1. Telah diketahui umum bahawa seseorang wanita yang normal akan melalui pusingan darah haid mereka seminggu sekali dalam sebulan. Apakah kaitan darah haid ini dengan ajaran dalam agama Islam?. Islam adalah agama yang sempurna dan lengkap. Hinggalah perkara
berkaitan dengan pengharaman melakukan hubungan seks semasa wanita datang haid
juga dijelaskan. Tujuannya tidak lain melainkan untuk menjaga kesihatan dan
kesejahteraan penganutnya. Hukum pengharaman ini telah Allah SWT jelaskan lebih
1,400 tahun lalu dalam Al-Quran. Ia terdapat dalam surah Al-Baqarah [Lembu Betina](2:222) yang berbunyi:
“Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid.
Katakanlah: “Darah haid itu adalah kotoran dan mendatangkan mudarat”. Oleh
sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh
dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu
hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka
sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh
Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak
bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”
2. Malah Rasulullah SAW juga turut memperkatakan hal ini. Antara
sabda Rasulullah SAW adalah yang bermaksud: “Sesiapa
yang menyetubuhi wanita yang sedang haid ataupun menyetubuhi wanita di saluran
duburnya ataupun mendatangi tukang tenung nasib dan mempercayainya,
sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang diturunkan ke atas Muhammad.”
(Hadis Riwayat Ahmad dan Tarmizi).
3. Imam Al Ghazali merumuskan hukum ini di dalam kitabnya bertajuk
“Ihya Ulumuddin” dengan berkata, “Janganlah suami menyetubuhi isteri yang
sedang haid dan juga jangan sesudah haid sebelum si isteri menyempurnakan mandi
wajib terlebih dahulu, kerana yang demikian itu diharamkan dengan dalil
Al-Quran.“
4. Kajian Mengenai Bahaya Hubungan Seks Ketika Haid
4.1. Melakukan hubungan seks ketika haid mempunyai
banyak risiko kesihatan. Mengikut kajian yang dijalankan oleh Dr. Diana
Antoniskis (MD) dari Kumpulan Penyelidikan dan Pendidikan (The Research And Education Group) yang beribu pejabat di Oregon,
dalam artikel yang bertajuk “Women With
HIV Infection”, menerangkan bahawa risiko jangkitan kuman HIV meningkat di
kalangan wanita yang mengadakan hubungan seks ketika haid ataupun dengan lelaki
yang tidak berkhatan.
4.2. Perhimpunan kesebelas Pertubuhan Antarabangsa
Berhubung Penyakit-Penyakit Jangkitan Seksual di New Orleans, Amerika Syarikat telah
diadakan pada 27 hingga 30 Ogos pada tahun 1995. Dalam perhimpunan tersebut, Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit (Centers for Disease Control And Prevention)
di Amerika, melaporkan bahawa menjauhi hubungan seks ketika haid ataupun ketika
mengalami pendarahan di bahagian faraj adalah penting untuk mengurangkan risiko
dijangkiti kuman HIV bagi lelaki dan wanita. Laporan itu juga menjelaskan,
wanita yang mengadakan hubungan seks ketika haid meningkatkan risiko dijangkiti
AIDS sebanyak enam kali ganda. Hubungan seks pada waktu haid juga boleh
mengakibatkan pendarahan yang teruk ke atas wanita.
4.3. Kajian yang dilakukan oleh Dr. Winnifield
Cutler dan rakan-rakannya dari Institut Athena Bagi Kesihatan Wanita di Chester
Springs menunjukkan, wanita yang hampir putus haid atau perimenopausal, yang
kerap mengadakan hubungan seks ketika haid sering kali mengalami masalah
pendarahan yang teruk daripada biasa. Kebiasaannya kes-kes seperti ini akhirnya
terpaksa menjalani pembedahan berisiko tinggi untuk membuang rahim atau
hysterectomy dan ovari atau ovariectomy. Penemuan ini dilaporkan di dalam
Journal of Psychosomatic Obstetrics and Gynaecology pada tahun 1996. Bagi
golongan wanita, tiub fallopian dan ovari mereka boleh diserang kuman bakteria
sehingga menyebabkan keputihan, sakit dan demam yang kuat.
4.4. Risiko untuk menghidapi penyakit ini adalah
tinggi di kalangan mereka yang melakukan hubungan seks ketika haid. Hal ini
disebabkan, kebiasaannya tiub fallopian dan ovari dilindungi daripada serangan
bakteria oleh bahan asid yang terdapat di kawasan faraj atau vagina. Ketika
wanita itu didalam keadaan haid, kawasan faraj menjadi alkali justeru
memudahkan kuman untuk membiak dan mendatangkan penyakit terutamanya apabila
berlaku persetubuhan pada waktu itu.
5. Oleh yang demikian, hukum pengharaman persetubuhan ketika haid
oleh agama Islam adalah amat signifikan kerana ia memberi banyak manfaat dari
sudut kesihatan. Walau bagaimanapun Islam tidak melarang pasangan suami isteri
bergurau senda dan bergaul mesra semasa haid, asalkan perbuatan itu tidak
membawa kepada persetubuhan.
6. Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Aisyah pernah
ditanya oleh Masruq bin Ajdak, “Apakah yang boleh dilakukan oleh suami semasa
isterinya sedang dalam keadaan haid?” Lalu Aisyah menjawab, “Apa-apa sahaja
kecuali bersetubuh.” (Hadith Riwayat Bukhari)
7. Fakta mengenai kesihatan di atas mengesahkan bahawa agama Islam
adalah agama yang sempurna dan benar. Agama yang datang dari pencipta manusia,
iaitulah Allah SWT. Dalam surah Al-Maidah[Hidangan](5:3) Allah SWT
berfirman yang berbunyi:
Diharamkan
kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang
keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang
yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang
mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati
ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih
(sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan
(diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah.
Yang demikian itu adalah perbuatan fasik. Pada hari ini, orang-orang kafir
telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari ugama kamu (setelah mereka
melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan
gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada
hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu,
dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu
menjadi ugama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan
benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa
(maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi
Maha Mengasihani.
Sebahagian kandungan dipetik
dari blog hasnulhadiahmad.com
“Tapak kaki kita
kalau dah keras, pijak paku dan duri pun tidak terasa apa sebab tumitnya sudah
keras. Tetapi kalau tapak kaki yang lembut, terpijak duri sikit sahaja sudah
berdarah. Demikian jugalah hati, kalau ia dah keras tak terasa lagi bersalah
kalau buat dosa”. = Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
No comments:
Post a Comment