Tuesday 13 April 2021

SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADAN 2021(1442 H)

1. Pada hari ini, Selasa 13 April 2021 (1 Ramadhan 1442) umat Islam di Malaysia sekali lagi menyambut kedatangan bulan Ramadhan, iaitu bulan ke9 dalam kalendar Islam. Bulan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan di sisi Allah SWT. Dalam bulan Ramadan ini  diwajibkan bagi setiap orang Islam yang berkemampuan dan sudah memenuhi syarat wajib untuk berpuasa dari terbit fajar hingga terbenamnya matahari.  

2.  Tanggung jawab berpuasa dalam bulan Ramadan ini telah diperintahkan oleh Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:183) yang berbunyi:


“Wahai orang yang beriman!. Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan  atas orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa”.

3.   Berpuasa itu bukanlah hanya sekadar menahan diri untuk tidak makan dan minum sahaja. Allah memerintahkan berpuasa agar umat Islam menjadi orang yang bertaqwa.  Apakah yang dimaksudkan dengan taqwa. Taqwa adalah berkaitan dengan sifat kepatuhan seseorang terhadap perintah Allah dan RasulNya, samada perintah itu berupa suruhan atau larangan. Ringkasnya orang yang bertaqwa ialah orang yang menjunjung dan patuh kepada semua perintah Allah.

4.   Para ulama' Islam telah memberikan pandangan bahawa  taqwa itu ialah menyucikan hati daripada dosa sehingga menguatkan azam untuk meninggalkan dosa dan seterusnya memelihara diri daripada segala maksiat. Definisi taqwa mengikut Thalq Bin Habib Al’Anazi ialah mengamalkan ketaatan kepada Allah dengan cahaya Allah (dalil), mengharap keampunan Allah, meninggalkan maksiat dengan cahaya Allah (dalil), dan takut terhadap azab Allah.

5.    Menurut Imam Al-Ghazali rahimahullah, kalimah taqwa yang terdapat di dalam al-Quran al-Karim membawa tiga maksud, iaitu:

5.1.   Bermaksud takut, gerun atau ngeri.

5.2.   Bermaksud taat.

5.3.   Bermaksud menyucikan hati daripada dosa.     
   
6.   Imam Al-Ghazali membuat kesimpulan bahawa taqwa itu ialah menjauhkan setiap apa yang ditakuti akan membawa mudarat kepada agama. Bandingannya ialah berpantang bagi orang yang mengidap penyakit. Ada pun bertaqwa pula ialah berpantang daripada melakukan perkara-perkara yang membawa kerosakan kepada agama.

7.   Sesungguhnya terdapat banyak hikmah atau kebaikan dari amalan berpuasa. Dalam posting ini aspek yang dipilih ialah bagaimana berpuasa boleh menjadikan seseorang Islam bertambah keinsafannya terhadap pemberiaan Allah dan seterusnya menjadikan kita lebih bersyukur kepadaNya.  Walaupun kita memiliki harta kekayaan dan mampu membeli makanan namun Allah melarang makan semasa berpuasa supaya kita dapat sama-sama merasai lapar dan dahaganya orang yang tidak mampu membeli makanan/minuman lantaran kemiskinan mereka.

8.    Dalam Surah Ar-Rahman[Maha Pemurah](55:13) Allah berfirman dengan ayat berikut sebanyak 31 kali: 


Firman ini bermaksud “Maka nikmat Tuhammu yang manakah yang kamu dustakan.” Firman ini pertama kali disebut pada ayat yang ke 13. Dalam  surah ini Allah mengulangi firman ini sebanyak 31 kali.  Kenapa Allah mengulanginya sebanyak 31 kali?. Ini sudah tentu menandakan betapa pentingnya ayat tersebut. Pentingnya kita yang mengaku beriman kepada Allah untuk sentiasa bersyukur kepada nikmat yang telah Allah anugerahkan.  Ingatlah orang yang tidak bersyukur kepada nikmat Allah bermakna mereka telah kufur kepada nikmat Allah.  Ini kerana syukur lawannya kufur.

9.   Kita hanya akan bersyukur kepada nikmat yang Allah SWT berikan jika kita sentiasa melihat nasib orang lain yang jauh lebih susah dan dhaif dari kita.  Tatapilah gambar-gambar di bawah semoga kita menjadi orang yang sentiasa bersyukur kepada nikmat Allah SWT.







"Kita tanam lada, 40 hari dapat hasil, boleh jual. Tanam terung, dua tiga bulan dapat hasil. Tapi keuntungan tidak besar kerana itu hanya projek kecil-kecilan. Jika projek yang lebih besar seperti tanam getah, bukan 40 hari tapi memakan masa bertahun. Semakin besar projek tersebut, semakin besar untungnya. Demikianlah juga pahala yang merupakan projek paling besar. Untungnya sangat besar jadi padanlah dengan menunggunya begitu lama iaitu selepas mati baru mendapat hasil." ~ Mutiara kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat