Tuesday 21 April 2020

SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK 1441 H/2020 M


1. Pada hari Jumaat ini, 24 April 2020 (1 Ramadhan 1441) umat Islam di Malaysia sekali lagi akan menyambut kedatangan bulan Ramadhan, iaitu bulan ke9 dalam kalendar Islam. Bulan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan di sisi Allah SWT. Dalam bulan Ramadhan diwajibkan bagi setiap orang Islam yang berkemampuan dan sudah memenuhi syarat wajib untuk berpuasa dari terbit fajar hingga terbenamnya matahari.  

2. Oleh kerana berkebetulan dengan wabak Covid 19 yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia maka terpaksalah umat Islam berpuasa dalam keadaan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan.  Disamping itu terpaksalah juga mengerjakan solat sunat terawih di rumah masing masing. Ramadhan tahun ini jelas sekali akan mengurangkan kemeriahan sambutan bulan yang penuh dengan keberkatan ini.

3.  Tanggung jawab berpuasa dalam bulan Ramadan ini telah diperintahkan oleh Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:183) yang berbunyi:


“Wahai orang yang beriman!. Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan  atas orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa”.

4.   Berpuasa itu bukanlah hanya sekadar menahan diri untuk tidak makan dan minum sahaja. Allah memerintahkan berpuasa agar umat Islam menjadi orang yang bertaqwa.  Apakah yang dimaksudkan dengan taqwa. Taqwa adalah berkaitan dengan sifat kepatuhan seseorang terhadap perintah Allah dan RasulNya, samada perintah itu berupa suruhan atau larangan. Ringkasnya orang yang bertaqwa ialah orang yang menjunjung dan patuh kepada semua perintah Allah.

5.   Para ulama' Islam telah memberikan pandangan bahawa  taqwa itu ialah menyucikan hati daripada dosa sehingga menguatkan azam untuk meninggalkan dosa dan seterusnya memelihara diri daripada segala maksiat. Definisi taqwa mengikut Thalq Bin Habib Al’Anazi ialah mengamalkan ketaatan kepada Allah dengan cahaya Allah (dalil), mengharap keampunan Allah, meninggalkan maksiat dengan cahaya Allah (dalil), dan takut terhadap azab Allah.

6.    Menurut Imam Al-Ghazali rahimahullah, kalimah taqwa yang terdapat di dalam al-Quran al-Karim membawa tiga maksud, iaitu:

6.1.   Bermaksud takut, gerun atau ngeri.

6.2.   Bermaksud taat.

6.3.   Bermaksud menyucikan hati daripada dosa.     
   
7. Imam Al-Ghazali membuat kesimpulan bahawa taqwa itu ialah menjauhkan setiap apa yang ditakuti akan membawa mudarat kepada agama. Bandingannya ialah berpantang bagi orang yang mengidap penyakit. Ada pun bertaqwa pula ialah berpantang daripada melakukan perkara-perkara yang membawa kerosakan kepada agama.

8. Sesungguhnya terdapat banyak hikmah atau kebaikan dari amalan berpuasa. Dalam posting ini aspek yang dipilih ialah bagaimana berpuasa boleh menjadikan seseorang Islam bertambah keinsafannya terhadap pemberiaan Allah dan seterusnya menjadikan kita lebih bersyukur kepadaNya.  Walaupun kita memiliki harta kekayaan dan mampu membeli makanan namun Allah melarang makan semasa berpuasa supaya kita dapat sama-sama merasai lapar dan dahaganya orang yang tidak mampu membeli makanan/minuman lantaran kemiskinan mereka.

9.    Dalam Surah Ar-Rahman[Maha Pemurah](55:13) Allah berfirman dengan ayat berikut sebanyak 31 kali: 


Firman ini bermaksud “Maka nikmat Tuhammu yang manakah yang kamu dustakan.” Firman ini pertama kali disebut pada ayat yang ke 13. Dalam  surah ini Allah mengulangi firman ini sebanyak 31 kali.  Kenapa Allah mengulanginya sebanyak 31 kali?. Ini sudah tentu menandakan betapa pentingnya ayat tersebut. Pentingnya kita yang mengaku beriman kepada Allah untuk sentiasa bersyukur kepada nikmat yang telah Allah anugerahkan.  Ingatlah orang yang tidak bersyukur kepada nikmat Allah bermakna mereka telah kufur kepada nikmat Allah.  Ini kerana syukur lawannya kufur.

10.   Kita hanya akan bersyukur kepada nikmat yang Allah SWT berikan jika kita sentiasa melihat nasib orang lain yang jauh lebih susah dan dhaif dari kita.  Tatapilah gambar-gambar di bawah semoga kita menjadi orang yang sentiasa bersyukur kepada nikmat Allah SWT.







SELAMAT BERPUASA. SEMOGA IBADAT KITA TAHUN INI DITERIMA OLEH ALLAH SWT.



"Setiap orang di dunia ini adalah seperti seorang tetamu dan hartanya adalah pinjaman. Tetamu ini pasti akan pergi samada cepat atau lambat dan pinjaman itu haruslah dikembalikan kepada tuannya". ~ Mutiara Kata Ibnu Mas’ud


Tuesday 7 April 2020

10 JENIS HAWAN YANG AKAN MASUK SYURGA


Berikut ini ialah 10 jenis haiwan yang akan masuk syurga. Haiwan haiwan ini telah disebutkan dalam Al-Quran, iaitu seperti berikut:

1.      Unta Rasulullah SAW

Unta tersebut digunakan oleh baginda untuk berhijrah dari Mekah ke Madinah. Unta inilah yang kemudiannya menunjukkan di rumah siapakah baginda tinggal di Madinah tatkala mula sampai di sana. Para sabahat berebut rebut meminta kepada Rasulullah agar bermalam di rumah mereka. Supaya tidak mengecewakan sahabatnya lalu baginda memutuskan agar pilihan rumah itu ditentukan oleh unta baginda. Caranya dengan melihat di rumah siapakah unta itu berhenti setelah tali pengikatnya dilepaskan. Akhirnya unta itu berhenti di rumah sahabat baginda yang bernama Abu Ayub Al Ansari. Di rumah Abu Ayublah Rasulullah bermalam.

2.      Semut Nabi Sulaiman


Satu satunya nabi yang Allah kurniakan kebolehan bercakap dengan semua binatang ialah Nabi Sulaiman,anak Nabi Daud. Itulah antara mukjizat besar yang Allah berikan kepada baginda. Percakapan semut dengan Nabi Sulaiman ini Allah SWT rakamkan dalam surah An-Naml[Semut](27:17) yang berbunyi:



“Dan dihimpunkan bagi Nabi Sulaiman bala tenteranya, dari jin dan manusia serta burung; lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing”.

(27:18)



(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke "Waadin-Naml", berkatalah seekor semut: "Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari".

(27:19)


Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata:" Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh".

3.      Burung Belatuk (Hud Hud) Nabi Sulaiman

Ratu Balqis ialah seorang wanita pemerintah Negeri Saba’ di Yaman. Burung belatuk ini digunakan oleh Nabi Sulaiman bagi menghantar surat pada Ratu Balqis. Surat untuk berdakwah kepadanya agar beriman kepada Allah. Dalam surah An-Naml[Semut](27:20), Allah SWT berfirman mengenai peristiwa ini yang berbunyi:



Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam tenteranya) lalu berkata: "Mengapa aku tidak melihat burung belatuk? Adakah ia dari mereka yang tidak hadir?

(27:21)

"Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya dengan seksa yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, kecuali ia membawa kepadaku alasan yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab ia tidak hadir)".

 (27:22)



Burung belatuk itu tidak lama ghaibnya selepas itu, lalu datang sambil berkata (kepada Nabi Sulaiman): "Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara yang engkau tidak cukup mengetahuinya, dan aku datang kepadamu dari negeri Saba' dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya.

 (27:23)



"Sesungguhnya aku dapati seorang perempuan memerintah mereka dan ia telah diberikan kepadanya (serba sedikit) dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan) dan ia pula mempunyai singgahsana yang besar.

 (27:24)



"Aku dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada matahari dengan meninggalkan ibadat menyembah Allah, dan Syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar); oleh itu mereka tidak beroleh petunjuk, -

 (27:25)




"(Mereka dihalangi oleh Syaitan) supaya mereka tidak sujud menyembah Allah yang mengeluarkan benda yang tersembunyi di langit dan di bumi, dan yang mengetahui apa yang kamu rahsiakan serta apa yang kamu zahirkan.

(27:26)


 
"Allah! - Tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar ".

 (27:27)



Nabi Sulaiman berkata: Kami akan fikirkan dengan sehalus-halusnya, adakah benar apa yang engkau katakan itu, ataupun engkau dari golongan yang berdusta.

 (27:28)




"Pergilah bawa suratku ini, serta campakkanlah kepada mereka, kemudian berundurlah dari mereka; dalam pada itu perhatikanlah apa tindak balas mereka".

 (27:29)


(Setelah membaca surat itu), berkatalah raja perempuan negeri Saba': "Wahai ketua-ketua kamu! Sesungguhnya telah disampaikan kepadaku sepucuk surat yang mulia.

 (27:30)



"Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut): `

 (27:31)



"Bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadapku, dan datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri (beriman dan mematuhi ajaran agama Allah)."

4.      Unta Nabi Saleh 

Unta tersebut merupakan mukjizat yang diberikan oleh Allah SWT kepada Nabi Saleh yang hidup bersama sama kaumnya bernama kaum Tsamud disebuah perkampongan bernama Madain Saleh yang bererti Kota Saleh. Ia adalah sebuah kota kuno yang letaknya di bahagian utara Hijaz (Arab Saudi). Tetapi akhirnya unta itu telah dibunuh oleh kaumnya walaupun ia telah dilarang oleh Nabi Saleh.

Peringatan Nabi Saleh kepada umatnya dan datangnya azab Allah kerana membunuh unta itu telah Allah firmankan dalam surah Hud(11:64) yang berbunyi:



" Dan wahai kaumku! Ini adalah unta betina dari Allah untuk kamu sebagai tanda (mukjizat) yang membuktikan kebenaranku. Oleh itu, biarkanlah dia mencari makan di bumi Allah dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya, (kalau kamu menyakitinya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang dekat masa datangnya".

(11:65)




“Mereka kemudiannya menyembelih unta itu, lalu berkatalah Nabi Soleh kepada mereka: Bersenang-senanglah kamu di tempat masing-masing selama tiga hari; tempoh yang demikian itu, ialah suatu janji yang tidak dapat didustakan".

(11:66)




“Maka ketika datang azab kami, kami selamatkan Soleh beserta umatnya yang beriman, dengan rahmat dari Kami, dan Kami selamatkan mereka dari azab serta kehinaan hari itu. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa”.

(11:67)


“Dan orang-orang yang zalim itu, dibinasakan oleh satu letusan suara yang menggempakan bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing”.

(11:68)




“(Mereka punah-ranah) seolah-olah mereka tidak pernah tinggal di situ. Ketahuilah! Sesungguhnya kaum Thamud itu kufurkan Tuhan mereka. Ketahuilah! Sesungguhnya kebinasaanlah akhirnya bagi kaum Tsamud”.

5.      Anak Lembu Nabi Ibrahim

Daging anak lembu itu hendak dihidangkan kepada tamu Nabi Ibrahim, iaitu para malaikat yang membawa khabar gembira tentang kelahiran anak Nabi Ibrahim yang bernama Ishak. Dialog Nabi Ibrahim dengan para malaikat itu Allah firmankan dalam surah Az-Zaariyat [Angin Kencang](51:24)  yang berbunyi:



“Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan?”

(51:25)



“Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: "Salam sejahtera kepadamu!" Dia menjawab: Salam sejahtera kepada kamu! "(Sambil berkata dalam hati): mereka ini orang-orang yang tidak dikenal”.

(51:26)


“Kemudian dia masuk mendapatkan ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang)”.

(51:27)


“Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: "Silalah makan".

(51:28)



“(Setelah dilihatnya mereka tidak menjamah makanan itu), maka dia merasa takut dari keadaan mereka. (Melihat kecemasannya), mereka berkata: "Janganlah engkau takut (wahai Ibrahim)". Lalu mereka memberikan berita gembira kepadanya, bahawa dia akan beroleh seorang anak yang berpengetahuan”.

(51:29)


“(Mendengarkan berita yang menggembirakan itu), maka datanglah isterinya sambil menjerit (kehairanan) lalu menepuk mukanya sambil berkata: "Aku sudah tua, lagi mandul, (bagaimana aku boleh mendapat anak)?"

(51:30)




Mereka berkata: "Demikianlah Tuhanmu berfirman, (kami hanya menyampaikan sahaja); Sesungguhnya Dialah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui".

6.      Kibas Nabi Ismail

Allah SWT pernah menguji kesabaran, ketaatan dan keimanan Nabi Ibrahim kepada perintahNya dengan arahan untuk menyembelih anak kesayanganya, Ismail. Akan tetapi oleh kerana keikhlasan serta kepatuhan Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail kepada Allah, maka Allah SWT telah menggantikan Ismail dengan seekor kibas yang gemuk dan besar. Peristiwa bersejarah dan agung dalam Islam ini kemudiannya menjadi satu syariat kepada orang Islam untuk berkorban binatang ternakan pada setiap kali menyambut Hari Raya Eidul Adha (Hari Raya Qurban).

Kisah dramatis yang bersejarah ini telah Allah firmankan dalam surah As Saffat[Yang Bersaf Saf](37:102) yang berbunyi:




“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar".




“Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami)”



“Serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim!”


(37:105)



"Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan”.

(37:106)


“Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata”

(37:107)

“Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar”

7.      Lembu Nabi Musa

Nabi Musa diutuskan oleh Allah bagi memimpin Bani Israil ke jalan benar. Beliau merupakan anak kepada Imran dan Yukabad binti Qahat, (Musa bin Imran bin Qohath bin Lewi bin Yakqub bin Ishaq bin Ibrahim). Bersaudara (adik-beradik mengikut sesetengah periwayatan) dengan Nabi Harun. Beliau dilahirkan di Mesir pada masa pemerintahan Firaun.

Pada ketika itu ada seorang Bani Israil yang meninggal dunia. Mereka ingin mengetahui siapakah pembunuh orang tersebut. Lalu datanglah Bani Israil itu kepada Nabi Musa untuk meminta petunjuk.

Maka Allah SWT menyuruh mereka supaya menyembelih seekor lembu betina milik seorang yatim dan dipukulkan kepada mayat tersebut. Lalu, hiduplah orang mati itu sekejap untuk mengkhabarkan siapakah pembunuh yang sebenarnya. Kesah ini Allah firmankan dalam surah Al-Baqara[Lembu Betina](2:72) yang berbunyi:



“Dan (ingatlah), ketika kamu membunuh seorang manusia lalu kamu saling tuduh menuduh tentang itu. Dan Allah hendak menyingkapkan apa yang selama ini kamu sembunyikan”.

(2:73)


“Lalu Kami berfirman:"Pukullah mayat itu dengan sebahagian anggota lembu betina itu!". Demikianlah Allah menghidupkan kembali orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan padamu tanda-tanda kekuasaanNya agar kamu mengerti”.

8.      Ikan Paus Nabi Yunus 

Sepanjang yang dapat dicatat dan diceritakan oleh para sejarawan dan ahli tafsir tentang Nabi Yunus ialah beliau bernama Yunus bin Matta. Baginda telah diutuskan oleh Allah untuk berdakwah kepada penduduk di sebuah tempat bernama "Ninawa" yang bukan tempat kaumnya dan tidak pula ada ikatan darah dengannya. Di situ baginda merupakan seorang asing mendatang di tengah-tengah penduduk Ninawa itu. Dia mendapati mereka berada di dalam kegelapan, kebodohan dan kekafiran kerana mereka menyembah berhala dan menyekutukan  Allah. Setelah keenganan mereka menerima dakwah Nabi Yunus maka baginda  meninggalkan kaum itu dengan menaiki sebuah kapal.

Tiba tiba kapal yang dinaiki oleh Nabi Yunus itu dilambung ombak yang tinggi dan hampir karam. Maka tidak ada pilihan lain melainkan perlulah mengurangkan muatan. Setelah berbincang dikalangan penumpang kapal, lalu mereka setuju untuk mencabut undi untuk memilih siapa yang sepatutnya dikeluarkan daripada kapal. Takdir Allah, Nabi Yunus dipilih. Namun disebabkan ahli kapal lain tidak sanggup untuk membuang Nabi Yunus maka dibuat undian yang kedua dimana tetap sama keputusannya, dan seterusnya undian ketiga tetapi tetap juga terkena kepada Nabi Yunus.

Maka terjunlah Nabi Yunus ke dalam laut. Kemudian dia disambar dan ditelan hidup hidup oleh ikan paus (nun) yang tersangat besar. Kisah ini dirakam oleh Allah SWT dalam surah As-Saafat [Bersaf-Saf](37:140) yang berbunyi:




“(Ingatkanlah peristiwa) ketika ia melarikan diri ke kapal yang penuh sarat”.

(37:141)


“(Dengan satu keadaan yang memaksa) maka dia pun turut mengundi, lalu menjadilah ia dari orang-orang yang kalah yang digelunsurkan (ke laut)”.

(37:142)


“Setelah itu ia ditelan oleh ikan besar, sedang ia berhak ditempelak.”

(37:143)


“Maka kalaulah ia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih)”

(37:144)


“Tentulah ia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur”.

(37:145)



“Oleh itu Kami campakkan dia keluar (dari perut ikan) ke tanah yang tandus (di tepi pantai), sedang ia berkeadaan sakit”.

Ketika berada dalam perut ikan paus selama 3 hari dan 3 malam Nabi Yunus hanya berdoa kepada Allah untuk menyelamatkannya. Doa beliau yang masyhur itu dirakamkan oleh Allah dalam surah Al-Anbiya [Para Nabi](21:87) yang berbunyi:



“Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: "Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri".

(21:88)



“Maka Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan dia dari kesusahan yang menyelubunginya; dan sebagaimana Kami menyelamatkannya Kami akan selamatkan orang-orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami)”.

9.      Keldai Nabi Uzair 


Dikatakan bahawa Uzair adalah seorang Nabi dari nabi-nabi Bani Israil. Dialah yang menjaga kitab Taurat. Lalu terjadilah peristiwa yang sangat mengagumkan padanya. Allah SWT telah mematikannya selama seratus tahun kemudian ia dibangkitkan kembali. Selama Uzair tidur satu abad penuh, terjadilah peperangan yang didalangi oleh Bakhtansir di mana dia membakar Taurat. Tidak ada satu pun yang tersisa kecuali yang dijaga oleh kaum lelaki. Mukjizat yang terjadi pada Nabi Uzair adalah sumber fitnah yang luar biasa di tengah kaumnya.

Kisah tentang keldai milik Nabi Uzair Allah SWT firmankan dalam surah Al-Baqarah [Lembu Betina](2:259) yang berbunyi:



“Atau (tidakkah engkau pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata: "Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)? " Lalu ia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula lalu bertanya kepadanya: "Berapa lama engkau tinggal (di sini)?" Ia menjawab: "Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari". Allah berfirman:" (Tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama seratus tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya, dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (hanya tinggal tulang-tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah untuk) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan Kami) bagi umat manusia; dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging ". Maka apabila telah jelas kepadanya (apa yang berlaku itu), berkatalah dia: Sekarang aku mengetahuinya (dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".

Ibnu Abi Hatim meriwayatkan dari Ali bin Abi Thalib ra, dia berkata, “Orang yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah Nabi Uzair.” Pendapat ini juga diiwayatkan Ibnu Jarir dan Ibnu Hatim, dari Ibnu Abbas, al-Hasan, Qatadah, as-Suddi, dan Sulaiman bin Buraidah. Pendapat inilah yang masyhur. Sedangkan negeri yang dimaksudkan adalah sudah sangat masyhur iaitu Baitul Maqdis. Dia melintasi negeri setelah dihancurkan dan dibunuh penduduknya oleh raja Bukhtanasir.

10.    Anjing Ashabul Kahfi

Pada awalnya penduduk negeri Efesus beriman kepada Allah. Tapi keadaan berubah setelah Raja Diqyanus (Decius) yang menguasainya. Kekejamannya yang luar biasa telah membuat ramai rakyat sengsara. Sesiapa  yang taat dan patuh kepadanya diberi pakaian dan berbagai macam hadiah lainnya. Tetapi sesiapa yang tidak taat atau tidak bersedia mengikuti kemahuannya akan segera dibunuh. Dalam masa yang cukup lama, sebahagian besar rakyat patuh kepada raja dengan menyembah selain Allah.

Demi mempertahankan keislaman dan keimanan kepada Allah SWT, pemuda pemuda Ashabul Kahfi dan seekor anjing memilih untuk mengasingkan diri serta bersembunyi dalam sebuah gua. Mereka teguh mempertahankan aqidah mereka walaupun menyedari nyawa dan diri mereka mungkin terancam dengan berbuat demikian.

Kesah pemuda pemuda ini Allah SWT firmankannya dalam surah Al-Kahf[Gua](18:10) yang berbunyi:



“(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami".

(18:11)



Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya.

(18:12)



"Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk Kami menguji siapakah dari dua golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka hidup (dalam gua itu)".

Berapa orangkah sebenarnya bilangan pemuda pemuda itu tidaklah dapat dipastikan dengan tepat. Apa yang Allah firmankan dalam ayat 22 berbunyi:




“(Sebahagian dari) mereka akan berkata: "Bilangan Ashaabul Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka "; dan setengahnya pula berkata:"Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka" - secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui; dan setengahnya yang lain berkata: "Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kedelapannya ialah anjing mereka". Katakanlah (wahai Muhammad): "Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit". Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran), dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan (yang membincangkannya).”

Walaupun Allah tidak menjelaskan bilangan mereka dengan tepat tetapi pendapat mashyur dikalangan ulama ialah bilangan mereka seramai 7 orang dan seekor anjing.

Pendapat yang mashyur pula pemuda pemuda ini ditidurkan oleh Allah dalam gua itu selama 309 tahun.

"Bila sebut Allah, Allah itulah yang buat langit yang kita junjung, bumi yang kita pijak dan udara yang kita gunakan. Allah itu jugalah yang buat bangsa-bangsa yang ada di dunia ini, tujuannya untuk berkenalan-kenalan antara satu sama lain bukannya untuk bermegah-megah dengan darah keturunan kita.” ~ Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat