Wednesday 29 July 2015

MANDI : 3 WAKTU YANG DILARANG



1.      Terdapat 3 waktu atau masa di mana kita dilarang mandi.  Waktu-waktu itu serta sebab-sebab larangannya ialah:

1.1.   30 Minit Setelah Masuk Waktu Solat Asar:

Sebab larangan : 30 minit setelah masuk waktu solat asar itu adalah waktu di mana darah di dalam badan kita sedang panas. Jika kita mandi ketika itu ia akan menyebabkan badan menjadi letih dan penat untuk melakukan perkerjaan.

1.2.        Setelah Masuk Waktu Maghrib:

Sebab larangan : Setelah masuk waktu maghrib jantung kita sudah mulai lemah untuk melakukan perkerjaan. Jadi, kajian menunjukkan bahawa ketika ini jika kita mandi akan menyebabkan paru-paru boleh dimasuki air dan boleh menyebabkan paru-paru basah.

1.3.        Setelah Waktu Isyak Sehingga Pukul 12 Tengah Malam:

Sebab larangan : Setelah masuk waktu solat isyak, ini ketikanya jantung kita melakukan istirahat. Jika kita mandi ketika ini akan menyebabkan kerosakan jantung akibat kemasukan air. Sebaiknya mandi waktu malam ialah setelah 1 jam lepas jam 12 tengah malam. Antara pukul 2 - 3 pagi adalah waktu terbaik kerana ia akan lebih memberikan tenaga kepada badan kita seperti mana bateri yang telah lemah dicas semula.

2.      Dikatakan:- 

2.1.        Surah Al-Fatihah dapat memadam kemurkaan Allah SWT.

2.2.    Surah Yasin dapat menghilangkan rasa dahaga atau kehausan pada Hari Kiamat.

2.3.    Surah Dukhan dapat membantu kita ketika menghadapi ujian Allah SWT pada hari kiamat.

2.4.  Surah Al-Waqi’ah dapat melindungi kita daripada ditimpa kesusahan atau fakir.

2.5.        Surah Al-Mulk dapat meringankan azab di dalam kubur.

2.6.        Surah Al-Kauthar dapat merelaikan segala perbalahan.

2.7.        Surah Al-Kafirun dapat menghalang kita daripada menjadi kafir ketika menghadapi kematian. 

2.8.    Surah Al-Ikhlas dapat melindungi kita daripada menjadi golongan munafiq.

2.9.        Surah Al-Falaq dapat menghapuskan perasaan hasad dengki.

2.10.   Surah An-Nas dapat melindungi kita daripada ditimpa penyakit was-was. Seterusnya bagi menangani syaitan durjana.
  
2.11.   Dikatakan juga:- Ketika kita membawa Al-Quran, respon syaitan ialah biasa saja, dia tengok je. Ketika kita membukanya, syaitan mula curiga. Ketika kita membacanya, syaitan mula gelisah. Ketika kita memahaminya, dia mula kejang.  Ketika kita mengamalkan Al-Quran dalam kehidupan setiap hari, syaitan ibarat kena  stroke. Justeru teruskan membaca Al-Quran dan mengamalkannya agar syaitan terus kena stroke.

Dipetik dari www.detikislam.blogspot.com 

“Orang yang menzalimi diri sendiri ialah mereka yang tunduk dan patuh pada mereka yang tidak menghormatinya, mengharapkan kemanisan pada sesuatu yang tidak memberi manfaat kepadanya dan menerima pujian daripada mereka yang tidak dikenalinya.” – Mutiara Kata Imam Syafie Rahimahullah


Sunday 26 July 2015

KEAGUNGAN DAN KEMULIAAN LAUNGAN AZAN

                                          

                                                           VIDEO LAUNGAN AZAN
 
1.   Azan adalah satu lafaz khusus yang diamalkan oleh orang Islam sebagai tanda untuk menyatakan masuknya waktu solat fardu supaya orang-orang Islam boleh diseru agar segera berkumpul untuk mengerjakan solat fardu.

2.  Dari segi bahasa azan bermaksud “al-i`lam” (pemberitahuan) atau “an-nida’” (seruan). Azan ialah suatu gabungan perkataan-perkataan tertentu untuk menandakan masuk waktu solat fardu atau boleh diertikan juga sebagai pemberitahuan tentang waktu solat. Penandaan ini dibuat dengan melaungkan lafaz-lafaz tertentu.

3. Hukum melaungkan azan adalah sunat muakkad ketika hendak menunaikan solat fardu. Melaungkan azan juga adalah satu fardu kifayah bagi sesuatu kumpulan. Tuntutan sunatnya terlaksana walaupun tidak dilakukan oleh semua ahli kumpulan.. Bagi kaum wanita pula disunatkan melakukan Iqamat sahaja kerana dikhuatiri boleh menimbulkan fitnah apabila meninggikan suara mereka.

4.   Berkaitan dengan azan ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila tiba waktu solat hendaklah salah seorang dari kamu melakukan azan dan yang lebih tua daripada kamu pula hendaklah menjadi imam.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

5. Di dalam Surah Al-Maidah[Hidangan](5:58) Allah SWT berfirman tentang azan yang berbunyi:


“Dan apabila kamu menyeru (azan) untuk mengerjakan sembahyang, mereka menjadikan sembahyang itu sebagai ejek-ejekan dan permainan. Yang demikian itu ialah kerana mereka suatu kaum yang tidak berakal.”

6.    Dari segi sejarahnya azan mula diamalkan oleh orang-orang Islam pada tahun pertama Hijrah. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Ibnu `Umar RA katanya: “Pada mulanya ketika orang-orang Islam berhijrah ke Madinah, mereka berkumpul dan menunggu untuk mengerjakan solat. Ketika itu tidak ada orang yang menyeru (melaungkan azan). Pada suatu hari Rasulullah SAW telah mengumpulkan para sahabat untuk bermesyuarat tentang cara untuk memberitahu masuknya waktu solat serta mengajak orang ramai agar ke masjid melakukan solat jemaah. Dalam mesyuarat itu, terdapat beberapa cadangan. Ada yang mencadangkan supaya dikibarkan bendera sebagai tanda waktu solat, ada yang mencadangkan ditiup serunai ataupun trompet dan ada yang mencadangkan supaya dibunyikan loceng. Semua cadangan itu telah ditolak oleh Rasulullah SAW kerana meniup serunai atau trompet dan memukul loceng adalah cara panggilan sembahyang bagi orang Yahudi dan Kristian (Nasrani). Umar bin al-Khattab mencadangkan diteriakkan ucapan: “Telah datang waktu solat”. Cadangan ini telah diterima oleh Rasulullah SAW tetapi baginda menukar lafaz itu dengan lafaz “assolatu jami`ah” yang bererti “marilah solat berjemaah”. Pada suatu malam Abdullah bin Zaid telah bermimpi mengenai cara yang lebih baik untuk memberitahu solat dengan mengkumandangkan "Allahu Akbar" dan lafaz-lafaz azan seterusnya. Pada pagi keesokan harinya, Abdullah bin Zaid menemui Rasulullah SAW dan baginda bersabda: “Mimpimu itu mimpi yang benar”. Rasulullah memerintahkan Bilal bin Rabah mengkumandangkan azan tersebut. Ketika Bilal hendak menyerukan azan, Umar datang kepada Rasulullah SAW dan menceritakan bahawa beliau juga bermimpi sama seperti mimpi Abdullah bin Zaid.

7. Al-Bazzar meriwayatkan bahawa: “Rasulullah SAW pada malam Israk Mikraj telah diperlihatkan dengan azan dan diperdengarkan kepadanya di atas langit yang ketujuh. Kemudian Jibril mendatanginya lalu dia menjadi imam kepada ahli langit. Antara mereka ialah Nabi Adam a.s. dan Nabi Nuh a.s. Maka Allah SWT menyempurnakan kemuliaan baginya ke atas penduduk langit dan bumi”.

8.   Lafaz azan terdiri daripada lima belas kalimah. Mari sama-sama kita lihat apa yang tersirat di sebalik makna panggilan azan itu:

                                        الله اكبر

“ALLAH Maha Besar, ALLAH Maha Besar
ALLAH Maha Besar, ALLAH Maha Besar”

Sebutannya sebanyak 4 kali ini menunjukkan betapa agung dan besarnya Allah SWT. Ia akan menyedar dan mengingatkan kita betapa kebesaranNya mengatasi segala apa yang ada di langit dan di bumi. Pada waktu ini seharusnya kita tinggalkan semua urusan duniawi dan segera menunaikan kewajipan untuk menyembah Allah tanpa sebarang kelengahan lagi.
                              
                            اشهد ان لا اله الا الله 

“Aku naik saksi tiada Tuhan selain ALLAH
Aku naik saksi tiada Tuhan selain ALLAH”
 
Sebutan sebanyak 2 kali yang memberi kesaksian tentang sifat Esa Allah SWT. Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah. Ia akan segera menyedarkan kita tentang kalimah syahadah kita. Insyaallah syahadah kita akan terpelihara dengan solat yang khusyuk dan sempurna. Kita tidak ada alasan lagi untuk mengelak dari melakukan perkara yang paling utama dari semua perkara di dunia ini.

                              اشهد ان محمدا رسول الله   

“Aku naik saksi Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH
Aku naik saksi Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH”.

Sebutan sebanyak 2 kali ini memberi kesaksian tentang kerasulan Rasulullah SAW. Kalimah ini akan segera mengingatkan kita betapa Nabi Muhammad itu sesungguhnya utusan dan kekasih Allah SWT. Justeru itu selepas solat sebaik-baiknya berselawatlah kepada Rasulullah dan keluarga serta sahabat-sahabatnya. Betapa pengorbanan besar Rasulullah dan akhlaknya perlu menjadi contoh teladan bagi setiap orang Islam. Kita perlu menyedari betapa kasih dan sayangnya baginda kepada kita sebagai umatnya.  Ingatlah lafaz terakhir dari mulut Rasulullah sebelum wafatnya ialah “ummati,ummati,ummati (umatku, umatku, umatku)”. Jangan sesekali lupa akan syafaat Rasulullah yang akan diberikan kepada umatnya yang beriman kepadanya di Padang Mahsyar nanti. Kasihilah Rasulullah sepertimana beliau mengasihi kita.

                              حي على الصلاة    

“Marilah mendirikan solat
Marilah mendirikan solat.”

Sebutan 2 kali yang mengajak kita untuk menunaikan solat. Sebaik-baik solat itu adalah solat berjemaah. Solat adalah ibarat jambatan yang menghubungkan seorang hamba dengan tuhan yang menciptanya. Solat fardhu sehari semalam telah ditetapkan lima kali. Sekiranya kita gagal menunaikannya ia akan dikira sebagai hutang disisi Allah SWT. Sebagai hambaNya kita perlu membayar hutang ini sebelum kita dimatikan oleh Allah. Agaknya bilakah kita boleh solat dengan sempurna dan bilakah pula kita boleh memperuntukkan masa untuk menggantikan  solat yang kita tinggalkan?. Jika kita tidak mampu lagi menggantikannya, bermohonlah keampunan dari Allah.  Semoga Allah yang maha pengampun itu boleh mengampunkan dosa dan kesalahan kita.  Sesungguhnya masa semakin dekat kepada kita untuk menghuni alam barzakh.

                     حي على الفلاح         

“Marilah menuju kejayaan
Marilah menuju kejayaan”

Sebutan 2 kali yang sama banyak dengan panggilan untuk mengerjakan solat. Seruan ini menegaskan bahawa orang yang menang dan berjaya disisi Allah SWT ialah orang yang mengerjakan solat dengan hati yang khusyuk. Islam mengajar dan menganjurkan umatnya untuk menuju kejayaan. Namun demikian kejayaan hakiki itu ialah bukannya kejayaan di dunia melainkan kejayaan akhirat, iaitulah kejayaan menghuni syurga Allah. Sebaik mendengar seruan azan, tinggalkan dahulu kerja duniawi untuk mengerjakan solat, bertemu dengan Allah yang mencipta dan masih memberi nyawa kepada kita kerana melalui solatlah kita bakal memperolehi  kejayaan hakiki.
     
             الله اكبر

“ALLAH Maha Besar, ALLAH Maha Besar
       
                                     لا اله الا الله

Tiada Tuhan selain ALLAH”

Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Tuhan-tuhan yang disembah oleh penganut agama lain adalah bukan tuhan yang sebenarnya.  Ia adalah batu atau patung yang diukir oleh tangan-tangan manusia.  Bagaimana mungkin batu atau patung ini boleh memberi manfaat atau mudarat kepada manusia, sedangkan  ia sendiri diukir oleh manusia.   Akal yang waras akan menolak semua itu. 

9.   Manusia itu lemah dan mudah lupa tapi Allah sama sekali tidak. Solat yang sempurna dapat mencegah diri dari melakukan perbuatan tercela. Syaitan sekalipun akan lari bertempiaran apabila terdengar laungan azan.  Ini membuktikan azan itu mampu memberi rasa takut dan gentar kepada syaitan. Jika pada diri kita tidak ada rasa takut pada panggilan dan seruan azan untuk mengerjakan solat maka kita  sebenarnya lebih teruk daripada syaitan. Apakah tidak ada rasa gentar dan takut dalam diri  kita apabila nama Allah dilaungkan dengan kuat semasa azan?. Bersegeralah untuk menunaikan solat sebaik mendengar azan kerana kita tidak tahu sampai bilakah laungan azan akan kedengaran di cuping telinga kita.

10.  Sama-samalah kita bertanya kepada diri masing-masing. Apakah yang kita lakukan sebaik sahaja mendengar azan berkumandang?. Adakah kita senyap dan menghayati setiap kalimah azan yang dilaungkan dan menjawab azan tersebut. Adakah kita terus bangun untuk mengambil wuduk untuk mengerjakan solat. Adakah kita membiarkan azan yang berkumandang itu berlalu begitu sahaja sedangkan kita masih bersembang kosong dengan kawan-kawan. 

11. Imam Nawawi di dalam kitabnya berjudul Syarah Sahih Muslim menyebut: "Dan ketahuilah bahawasanya disunatkan menjawab seruan muazzin sepertimana laungannya bagi setiap orang yang mendengarnya samaada yang berada dalam keadaan suci atau berhadas atau berjunub atau seorang perempuan yang haid dan selain mereka dari kalangan orang yang tidak dilarang untuk menjawabnya. Adapun antara sebab larangan dari menjawab azan ialah jika berada di dalam tandas atau ketika sedang berjimak dengan pasangannya atau seumpama dengannya."

12.   Tahukah kita bahawa seruan azan ini berkemundang di seluruh dunia setiap masa 24 jam sehari tanpa henti. Inilah satu keajaiban pada azan.  Bagaimana ia terjadi. Katakan seruan azan subuh bermula di bahagian timur Indonesia, iaitu  di Pulau Sulawesi pada jam 5 pagi. Beribu surau dan masjid bersahut-sahutan mengumandangkan azan. Antara timur dan kepulauan Jawa mempunyai perbezaan waktu sebanyak 1 ½  jam dan azan akan bersahutan dalam jangka waktu ini. Diikuti oleh Pulau Sumatra. Sebelum azan ini berakhir di Indonesia, azan tersebut mulai dikumandangkan di Malaysia, diikuti oleh Myanmar dan terus ke China. Dalam jangka waktu 1 jam setelah azan dikumandangkan di Jakarta, azan subuh telah bermula di Dhaka, Bangladesh dan bersahutan hingga kebahagian barat India.  Kemudian ia akan terus melebar hingga ke wilayah Mumbai dan Kashmir. Seluruh bandar dibahagian utara Pakistan juga mulai mengumandangkan azan subuh yang terus bersahutan. Sebelum azan berakhir di Pakistan, azan tersebut mula dikumandangkan di Afghanistan dan Muskat. Antara Muskat dan Baghdad, perbedaan waktunya adalah 1 jam, dan dalam waktu 1 jam ini, azan subuh mulai dikumandangkan di United Arab Emirate, Kuwait, Yaman, Somalia dan Arab Saudi. Antara waktu di Arab Saudi dan Mesir juga mempunyai perbedaan waku 1 jam. Azan masih berkumandang di Syria, Jordan dan Sudan dalam jangka waktu itu. Istanbul dan Kahirah terletak pada perbedaan waktu yang sama juga, kemudian antara timur dan barat Turki mempunyai jangka perbedaan waktu selama 1 ½ jam. Kahirate dan ibukota Libya, mempunyai perbedaan waktu 1 jam. Dari Libya, azan bersambung untuk bersahutan ke Tunisia, Al-Zairah, ibu kota Morokko dan Marrakesh. Laungan seruan azan akan terus silih berganti bersahut-sahutan hingga ke seluruh bahagian negara-negara di Afrika. Laungan seruan azan yang bermula dibahagian Timur Indonesia waktu subuh sampai ke perairan Lautan Atlantik setelah 9 jam. Akan tetapi, sebelum azan subuh dikumandangkan di perairan bahagian Lautan Atlantik, azan zuhur telah mulai dikumandangkan di bahagian Timur Indonesia. Sebelum azan zuhur tiba di Dhaka, azan asar telah mulai dikumandangkan di wilayah timur Indonesia. Begitu juga sebelum azan asar mulai dikumandangkan di Dhaka, Bangladesh azan maghrib telah mulai dikumandangkan di Wilayah Timur Indonesia lagi. Sebelum azan maghrib mula dikumandangkan di Wilayah Sumatra, azan Isyak kembali dikumandangkan di Wilayah Timur Indonesia. Renung dan amatilah fenomena ini. Berpuluh ribu muadzin dari seluruh dunia saling bersahut-sahutan mengumandangkan azan untuk mengagungkan Kebesaran Allah SWT, Pencipta Alam Semesta. Insyaallah, seruan dan laungan azan ini akan terus menerus berkumandang dan bersahut-sahutan seluruh dunia hingga akhir zaman apabila dunia ini dihancurkan oleh Alah SWT dengan berlakunya Hari Kiamat.

                               Fenomena azan bukti kebesaran Allah SWT

“Orang yang menggali asas dasar dunia ini dan membina bangunan akhirat di atasnya adalah orang yang bijak. Kawan yang jahat ialah orang yang suka merosakkan orang yang sedang menuju ke jalan Allah. Barang siapa yang terlalu menyintai emas dan perak, dia akan dihina oleh Allah.” – Mutiara Kata Imam Hassan Basri

Wednesday 22 July 2015

SUNAH RASULULLAH SAW SELEPAS BANGUN TIDUR

 

1.  Islam ialah agama (addin) yang serba lengkap.  Dalam Al-Quran Allah SWT telah menegaskan perkara ini dalam surah-surah berikut:

1.1.        Surah Al-Maidah[Hidangan](5:3) yang berbunyi:


“Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik. Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari ugama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

1.2.        Surah Al-An’Am[Binatang Ternakan](6:115) yang berbunyi:


“Dan telah sempurnalah Kalimah Tuhanmu (Al-Quran, meliputi hukum-hukum dan janji-janjiNya) dengan benar dan adil; tiada sesiapa yang dapat mengubah sesuatupun dari kalimah-kalimahNya; dan Dialah yang sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui.”

2.  Maksud firman di atas ialah benar dalam khabar yang disampaikan dan adil dalam seluruh perintah dan larangan Allah. Setelah agama disempurnakan bagi manusia maka sempurnalah nikmat yang diberikan Allah kepada mereka.

3.  Rasulullah SAW tidak hanya mengajarkan kepada umat Islam soal ibadat, jinayah, muamalat dan hukum hakam sahaja. Malah apa yang perlu dibuat selepas bangun dari tidur juga turut diajarkan oleh baginda.  Islam adalah agama yang indah dan sempurna. Setiap aspek kehidupan telah diatur ataupun sudah ditunjukkan contoh tauladan oleh Rasulullah SAW sendiri. Salah satu dari sunah-sunah Rasulullah SAW ialah sunah setelah bangun dari tidur. Berikut ini sunah-sunah amalan Rasulullah SAW setelah bangun tidur:

3.1.   Membasuh muka dengan tangan:

“Rasulullah kemudian bangun dari tidur, lalu duduk sambil mengusap (bekas) tidur di wajah beliau dengan tangan beliau”. (Hadis Riwayat Muslim)

3.2.   Membaca doa bangun tidur:

       
3.3.   Menyuci gigi dengan bersiwak:

“Rasulullah SAW ketika bangun tidur menggosok mulutnya dengan siwak”. (Muttafaq’alaih)

3.4.   Menghisap air ke dalam hidung:

Rasulullah SAW bersabda: “Tatkala salah seorang di antara kamu bangun dari tidur hendaklah dia menghisap air ke hidung sebanyak tiga kali, sesungguhnya syaitan menginap di lubang hidungnya.” (Muttafaq ‘alaih)

3.5.   Membasuh kedua belah tangan tiga kali:

Rasulullah SAW bersabda: “Ketika salah seorang di antara kamu bangun dari tidurnya hendaklah dia tidak mencelupkan tangannya ke dalam bekas air sehingga dia membasuh tangannya itu sebanyak tiga kali.” (Muttafaq ‘alaih)

4.      Salah satu dari tanda menunjukkan kecintaan dan kasih sayang kita kepada Rasulullah ialah dengan beramal apa yang dipraktikkan oleh baginda semasa hayatnya. Beramallah dengan sunah-sunah Rasulullah SAW semoga kita memperolehi syafaatnya di Padang Mahsyar nanti.

“Aku mengamati semua sahabat, dan tidak menemukan sahabat yang lebih baik daripada mereka yang menjaga lidahnya. Aku memikirkan tentang semua pakaian, tetapi tidak menemukan pakaian yang lebih baik daripada takwa. Aku merenungkan tentang segala jenis amal baik, namun tidak mendapatkan yang lebih baik daripada memberi nasihat yang baik. Aku mencari segala bentuk rezeki, tapi tidak menemukan rezeki yang lebih baik daripada sabar”. ~ Mutiara Kata Saidina Umar bin Al-Khattab