1. Dalam Surah Al-Baqarah[Lembu
Betina](2:185) Allah SWT berfirman yang berkaitan dengan sambutan eidul
fitri yang berbunyi:
(Masa
yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan
Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi
keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan
antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang
menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa
bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka,
Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada
hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki
kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan
Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan
supaya kamu bersyukur.
2. Kurang satu minggu lagi umat Islam akan menyambut 1 Syawal, iaitu hari
raya eidul fitri pada tahun ini yang akan jatuh pada 17.7.2015. Begitulah pada setiap tahunnya apabila
datangnya 1 Syawal.
3. Hari raya eidul fitri merupakan rahmat dari Allah SWT yang
diberikan kepada umat Muhammad SAW yang berpuasa. Ia disebut “eid” kerana pada
hari itu Allah memberikan berbagai macam kebaikan kepada kita sebagai hambaNya.
Diantara kebaikan itu adalah berbuka setelah adanya larangan makan dan minum
selama sebulan berpuasa dan menunaikan zakat fitrah. Perkataan “fitri” pula bermaksud
fitrah. Pada umumnya fitrah membawa
maksud kejayaan manusia kembali kepada
fitrah yang asal kejadiannya. Fitrah itu merupakan suatu permulaan kejadian
manusia yang sememangnya bersih dan suci daripada dosa. Ini bererti janganlah sesekali kita mencampur adukkan perkara
yang hak dengan yang batil. Kita menyambut hari raya sebagai suatu perayaan
agama dan bukannya sebagai satu budaya atau tradisi. Oleh yang demikian cara
menyambutnya mestilah mengikut adab dan peraturan sepertimana yang ditetapkan oleh
Islam. Elakkanlah dari mencontohi perayaan yang disambut dan diraikan
oleh orang bukan Islam. Ibnu Umar RA
berkata, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “ Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka dia dianggap salah
seorang dari kalangan mereka." ( Hadis Riwayat Abu Daud).
4. Para ulama Islam telah menjelaskan tentang sunah-sunah
Rasulullah SAW yang berkaitan dengan sambutan hari raya, iaitu seperti berikut:
4.1. Apabila diumumkan hari raya, maka mulalah
malamnya dengan aktiviti ibadat dengan memperbanyakkan solat sunat, bertakbir,
bertahmid dan bertasbih sebagai tanda melahirkan kesyukuran dan kasih sayang
kita kepada Allah SWT. Daripada Abu Umamah
RA katanya Rasulullah SAW telah bersabda: “ Sesiapa mengerjakan amal ibadat pada malam hari raya (Aidil Fitri atau
Aidil Adha) dengan mengharapkan keredaan Allah SWT semata-mata, hatinya tidak
akan mati (pada hari kiamat) sebagaimana matinya hati (orang-orang yang kufur
engkar) pada hari itu.” (Hadis Riwayat
Ibnu Majah)
4.2. Mandi pada pagi hari raya: Disunatkan mandi pada
pagi hari raya sekalipun tidak berhasrat untuk solat hari raya dimasjid. Ini
berdasarkan kepada amalan sahabat dimana Imam Malik meriwayatkan dari Nafi’ yang
menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya Ibnu Umar R.A mandi pada hari raya fitrah sebelum keluar
pada pagi hari raya”.(Hadis Riwayat Imam Malik).
4.3. Selepas itu kita disunatkan menghias diri
dengan memakai pakaian baru kerana hari raya adalah hari yaum az-zinah, iaitu hari perhiasan. Berhias sebelum berangkat menunaikan
solat hari raya. Disunatkan bagi laki-laki untuk membersihkan diri dan memakai
pakaian terbaik yang dimilikinya, memakai minyak wangi dan bersiwak. Bagi
wanita pula tidaklah dianjurkan untuk berhias dengan mengenakan pakaian yang mahal-mahal
dan mewah serta menggunakan minyak wangi. Sebaik-baiknya hendaklah memakai baju
baru sebagai melahirkan kegembiraan kita menyambut hari raya. Dari Hasan bin Ali RA menceritakan bahawa: “Rasulullah SAW meminta kami pada dua hari raya supaya memakai pakaian
paling cantik yang kami miliki, menggunakan wangian paling harum yang kami ada
dan supaya kami menyembelih korban dengan binatang paling gemuk yang kami
miliki”. (Hadis Riwayat Imam al-Hakim dan at-Thabrani).
4.4. Makan sebelum menunaikan solat hari raya: “Dari
Anas RA, beliau berkata: “Rasulullah SAW
tidak keluar rumah pada hari raya eidul fitri sebelum baginda makan beberapa biji
kurma dengan bilangan yang ganjil.” (Hadis Riwayat Bukhari). Menurut Ibnu
Muhallab, hikmah makan sebelum solat adalah agar jangan ada yang beranggapan
harus tetap puasa hingga solat hari raya.
4.5. Mengambil jalan yang berbeza ketika pergi dan
pulang dari solat hari raya seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Tujuannya adalah agar orang-orang yang melalui jalan itu boleh memberikan salam
kepada orang-orang yang tinggal disekitar jalan yang dilalui tersebut bagi
mengeratkan lagi silaturrahim.
4.6. Bertakbir: Rasulullah bertakbir sambil
berangkat menunaikan solat hari raya hingga
tiba tempat solat bahkan sampai solat
akan dilaksanakan. Kenapakah kita diwajibkan bertakbir. Jawapnya ialah kerana firman Allah dalam ayat di atas supaya kita membesarkan Allah SWT dan bersyukur kepadaNya.
4.7. Solat hari raya: Hukum solat hari raya
adalah fardhu ‘ain bagi setiap orang kerana Rasulullah sentiasa mengerjakan
solat hari raya. Solat hari raya akan menggugurkan kewajipan solat Hari Jumaat
jika hari raya jatuh pada hari Jumaat. Rasulullah juga menyuruh wanita yang
tidak mempunya jilbab untuk dipinjamkan jilbab agar dia boleh hadir ke tempat
solat. Ini menunjukkan bahawa hukum
solat eidul fitri adalah fardhu ‘ain. Kaum wanita juga dibenarkan sama bersolat
sunat hari raya secara berjemaah. Ummu ‘Athiyyah r.a. menceritakan “Kami (para wanita di zaman Rasulullah SAW)
diperintahkan supaya keluar pada hari raya (ke tempat solat) sehingga kami
mengeluarkan anak gadis dari tabir/tirainya (yakni kami mengeluarkan anak gadis
kami dari biliknya untuk membawa mereka bersama-sama ke tempat solat), dan
sehingga perempuan-perempuan yang kedatangan haid juga turut sama keluar tetapi
mereka duduk di belakang orang ramai; bertakbir bersama dengan takbir mereka
dan berdoa bersama dengan doa-doa mereka serta mengharapkan keberkatan hari
tersebut dan kesuciannya” (Hadis Riwayat Imam Bukhari).
4.8.
Ucapan Selamat Hari Raya: Al-Hafidz ibnu Hajar berkata dari Jubair bin Nufair
yang menceritakan “Adalah para sahabat
Rasulullah SAW apabila saling bertemu pada hari raya maka berkata sebahagian
mereka kepada sebahagian yang lain ‘Semoga Allah menerima dari kami dan dari
kamu” (Riwayat Fathul-Bari). Sewaktu menemui saudara, kita hendaklah
bersalam-salaman dalam suasana dan semangat persaudaraan. Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud “ Tidak ada dua
orang muslim yang berjumpa, lalu mereka berdua saling berjabat tangan melainkan
akan diampunkan bagi kedua-dua mereka sebelum mereka berpisah lagi”(Hadis
Riwayat Imam Abu Daud). Semangat ukhwah dan persaudaraan Islam
hendaklah disuburkan semasa meraikan sambutan hari raya. Inilah lambang kekuatan
sebenar umat Islam seumpama binaan batu-batan yang kukuh dan kuat dan saling
memerlukan antara satu sama lain.
5. Kemenangan sewaktu menyambut Eidul Fitri bererti kemenangan
sahsiah manusia yang mampu membendung nafsu dan sifat mazmumah selama berpuasa. Puasa merupakan sekolah latihan dan apa-apa
yang dipelajari disekolah tersebut hendaknya berterusan dan berkekalan amalan
selama-lamanya.
“Orang yang
menggali asas dasar dunia ini dan membina bangunan akhirat di atasnya adalah
orang yang bijak. Kawan yang jahat ialah orang yang suka merosakkan orang yang
sedang menuju ke jalan Allah. Barang siapa yang terlalu menyintai emas dan
perak, dia akan dihina oleh Allah.” – Mutiara Kata Imam Hassan Basri.
No comments:
Post a Comment