Thursday, 2 July 2015

BARZAKH: ALAM REALITI DIANTARA DUA KEHIDUPAN YANG DILUPAKAN

 
1.  Alam barzakh adalah alam kehidupan yang merupakan pembatas atau pembahagi  antara alam yang kita sedang diami kini yang dipanggil dunia dan sebuah alam lagi yang tidak dapat kita fahami yang dipanggil alam akhirat. Alam barzakh adalah alam kehidupan dengan realiti dan suasananya sendiri. Kehidupan dialam barzakh tidak seperti di dunia ini dan ia adalah permulaan kepada alam akhirat setelah berlakunya hari kiamat. Ia terletak di antara keduanya.

2.   Perkataan barzakh ini boleh kita temui dalam Al-Quran seperti firman Allah SWT dalam Surah Ar-Rahman[Maha Pemurah](55:19) yang berbunyi:

“Dia membiarkan air dua laut (yang masin dan yang tawar) mengalir, sedang keduanya pula bertemu”


(55:20)


“Di antara keduanya ada penyekat yang memisahkannya,masing-masing tidak melampaui sempadannya”

3. Dalam ayat di atas Allah menggunakan perkataan barzakh untuk menggambarkan pembatas antara dua lautan tersebut. Dan kata barzakh juga digunakan untuk menggambarkan kehidupan di dalam kubur setelah kematian sebelum berlakunya hari kiamat. Kita tidak tahu apa yang terjadi kepada orang-orang yang telah meninggal dunia dan mereka tidak tahu apa yang terjadi kepada kita. Kita hanya baru memahaminya apabila kita sudah meninggalkan dunia ini.
 
ALAM BARZAKH : INILAH RUPA RUMAH KEDIAMAN KITA NANTI
4. Untuk memahami alam barzakh ini bayangkan suasana apabila kita bermimpi semasa sedang tidur.  Semasa bermimpi badan kita berada dalam bilik tidur dan orang lain dapat melihat badan kita. Mereka boleh menyentuh badan kita tetapi roh kita berada di alam mimpi. Roh kita sedang melihat, mendengar dan melakukan sesuatu yang lain. Masa itu kita sedang berada di alam yang berbeda dan mungkin kita tidak tahu dimana kita berada walaupun badan/jasad kita berada di atas tempat tidur. Bagi orang lain di sekitar kita yang mereka lihat adalah badan/jasad kita yang sedang tidur.

5.  Alam barzakh adalah mirip seperti ketika roh kita keluar dari badan ketika sedang tidur. Kita tidak memerlukan oksigen untuk roh kita yang sedang bermimpi. Mungkin ada orang pernah bermimpi bernafas dalam air tanpa bantuan oksigen. Hal ini terjadi kerana roh kita tidak memerlukan apa yang diperlukan oleh badan kita. Badan kita boleh bertahan hidup dengan makanan dan oksigen tapi roh tidak demikian. Oleh itu jika kita memahami hakikat mimpi maka kita boleh memahami alam barzakh. Tetapi kita tidak memahami fenomena mimpi dan bagaimana roh keluar ketika sedang tidur.  Oleh kerana itulah kita tidak boleh memahami alam barzakh.

6.   Alam barzakh adalah tempat perhentian sementara di antara hidup di dunia dan akhirat. Di alam barzakh inilah seseorang akan diperlihatkan kesudahan nasibnya samada bakal menjadi penghuni syurga atau neraka, Waliyyazubillah. Rasulullah SAW pernah  bersabda bahawa barzakh/kubur adalah bahagian pertama dari akhirat. Jika seseorang diselamatkan dari azab dan siksa kubur maka apa yang akan terjadi selepas itu akan menjadi lebih baik dan mudah baginya. Dia akan diselamatkan dari azab yang lebih besar. Sebaliknya jika kita tidak diselamatkan dari siksa kubur, maka apa yang akan datang selepas itu akan menjadi lebih buruk bagi kita.

7.   Rasulullah SAW pernah bersabda apabila seseorang meninggal dunia, 3 perkara yang akan mengiringinya ke tanah perkuburan, iaitu hartanya, manusia (suami/isteri, anak-anak, sahabat handai dan jiran tetangga) dan amalannya. Setelah selesai dikembumikan maka dua akan meninggalkannya, iaitu harta dan manusia. Hanya satu akan bersama dan menjadi temannya dalam kubur, iaitu amalannya semasa hidup samada amalan baik ataupun amalan buruk/jahat. Amalan itulah yang akan menentukan kemana kesudahan hidupnya dan apa yang akan terjadi dalam kubur nanti. Sesungguhnya kubur kita boleh bertukar menjadi sebahagain dari taman-taman syurga ataupun sebahagian dari jurang-jurang neraka. Bergantunglah kepada bekalan amalan yang kita bawa.

8.  Rasulullah SAW sendiri seringkali berdoa agar dilindungi dari azab kubur. Justeru kita yang tidak maksum ini hendaklah lebih-labih lagi perlu berdoa agar dijauhkan dari azab kubur. 

9.   Tanamkanlah dalam diri kita rasa takut dan gerun kepada azab kubur ini.  Perbanyakkanlah amalan baik yang boleh mendatangkan pahala.  Semasa hidup kita bersungguh-sungguh benar menambah kekayaan harta benda untuk kesenangan dunia. Kenapa pula kita tidak bersungguh untuk menambahkan kekayaan akhirat. Semasa hayat masih dikandung badan ini luangkan masa untuk mengejar harta akhirat, iaitu pahala. Ingatlah harta dunia yang kita miliki sekarang ini betapa banyak sekalipun semuanya akan menjadi hak isteri, suami atau anak-anak kita sebaik sahaja kita meninggal dunia. Hanya orang bodoh dan tidak berakal sahaja yang tidak mahu memikirkan kesenangan hidupnya di negeri akhirat.

“Orang yang paling aku sukai adalah orang yang menunjukkan kesalahanku”. ~ Mutiara kata Khalifah ‘Umar Al Khattab.

No comments:

Post a Comment