Wednesday 25 January 2017

BERAPAKAH LAMA MASA HIDUP DI DUNIA BERBANDING AKHIRAT?



1.   Bila berdoa lazimnya manusia akan meminta kepada Allah SWT agar dipanjangkan umurnya. Berapa tahunkah kita mahu hidup di dunia ini?.  50 tahun, 60 tahun atau 100 tahun?.  Tersangat jarang kita akan temui manusia yang boleh hidup sampai 100 tahun sekarang.  Sesungguhnya umur manusia adalah dalam lingkungan 63 tahun sahaja. Kenapa?.  Kerana itu adalah umur Rasulullah SAW. Sesiapa yang masih lagi hidup selepas umur 63 tahun anggaplah ia hanyalah umur bonus dari Allah SWT sahaja.

2.  Sesungguhnya umur kita di dunia ini tersangat sangat singkat berbanding umur kita di akhirat.  Diandaikan kita mampu hidup seperti umur Rasulullah, berapakah pula bandingannya dengan umur di akhirat?.  Untuk mengetahuinya kita perlu merujuk kepada firman Allah SWT dalam surah-surah berikut:

          2.1.   Surah Al-Hajj[Haji](22:47) yang berbunyi:


“Dan mereka meminta kepadamu (wahai Muhammad) menyegerakan kedatangan azab, padahal Allah tidak sekali-kali akan memungkiri janjiNya; dan (katakanlah kepada mereka): sesungguhnya satu hari dari hari-hari azab di sisi Tuhanmu adalah menyamai seribu tahun dari yang kamu hitung”.

          2.2.   Surah AsSajadah[Sujud](32:5) yang berbunyi:


“Dia mengatur segala urusan dari langit ke bumi. Kemudian (urusan) itu naik kepadaNya dalam satu hari yang kadarnya (lamanya) adalah seribu tahun menurut perhitunganmu.”

3.    Bersandarkan firman Allah tersebut  masa kehidupan kita di dunia jika hidup selama 63 tahun hanyalah bersamaan lebih kurang 1.5 jam mengikut ukuran akhirat.  Bagaimanakah masa itu ditentukan mengikut perkiraan matematik?. 24 jam(sehari) di akhirat bersamaan dengan 1,000 tahun di dunia. Ini bermakna 3 jam di akhirat bersamaan dengan 125 tahun dunia dan 1.5 jam di akhirat pula bersamaan dengan 62.5 tahun di dunia. Justeru, jika manusia mampu hidup di dunia ini dalam lingkungan 60-70 tahun maka masa hidup di akhirat adalah sekitar 1.5 jam sahaja.

4.  Jika sebegitu singkatnya masa di dunia berbanding akhirat, apakah keperluan untuk kita mengejar dan memburu kehidupan di dunia ini?. Apakah keperluannya mencari harta kekayaan hingga sampai merompak, mencuri, membunuh, makan riba, rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya. Bukankah jika kita miliki rumah banglo besar dan mewah serta kereta yang mewah pun kita akan tinggalkan dan berpindah ke alam akhirat yang kekal abadi selama-lamanya.  Bukankah tidak berakal namanya kita jika mencari kekayaan untuk ditinggalkan tetapi sebaliknya tidak pernah mempedulikan harta untuk di bawa pergi setelah mati?. Apakah kita tidak menyakini adanya fitnah kubur, soalan malaikat mungkir dan nakir dalam kubur, azab di Padang Mahsyar serta hari pengadilan di sana, titian sirat serta pembalasan syurga dan neraka?.

5.    Bukankah Rasulullah SAW itu utusan Allah SWT untuk menjadi contoh teladan, role model terbaik kepada manusia?. Apakah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah dalam hal memiliki kekayaan dunia.  Apakah Rasulullah seorang yang kaya raya dan hidup mewah bersama keluarganya?. Bukankah kehidupan Rasulullah itu susah malah menghampiri kemiskinan?. Bukankah yang telah Rasulullah tunjukkan teladan itu ialah amal ibadat, amalan soleh dan mendekatkan diri dengan Allah SWT demi mencapai kesenangan dan kenikmatan akhirat yang kekal abadi?.  Kenapakah kita mencari perkara lain dari apa yang telah Rasulullah tunjukkan. Bukankah kita mengaku kita umat Nabi Muhammad, Rasulullah dan mencintai beliau?.

“Aku tidak pernah melihat kezuhudan yang lebih sulit daripada kezuhudan terhadap kekuasaan. Kita banyak menemui orang-orang yang zuhud dalam masalah makanan, minuman, harta dan pakaian. Namun ketika diberikan kekuasaan kepadanya maka dia pun akan mempertahankan dan berani bermusuhan demi membelanya.” ~~ Mutiara Kata Sheikh Sufyan Ats-Tsauri

Thursday 19 January 2017

KENAPAKAH ISLAM HARAMKAN MINUM/MAKAN DARAH?



1.   Sesuai dengan ajaran agama Islam yang serba lengkap maka apa juga larangan dan perintah dari Allah dalam Islam pasti ada kelebihan dan kebaikannya kepada manusia.  Dalam beberapa bangsa di dunia mereka menjadikan darah binatang sebagai salah satu sumber minuman dan makanan. Sebaliknya dalam Islam salah satu perkara yang diharamkan ialah meminum atau memakan darah.  Larangan serta pengharaman Allah ini ditegaskan dalam surah-surah berikut:

1.1.   Surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:173) yang berbunyi:





“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

          1.2.   Surah Al-Maidah[Hidangan](5:3) pula berbunyi:





“Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik. Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari ugama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

2.   Makanan adalah keperluan setiap makhluk khususnya manusia dalam melangsungkan kehidupannya. Baik buruknya proses pertumbuhan dan perkembangan manusia sangat tergantung kepada baik atau buruknya makanan yang dimakan. Dalam sesetengah masyarakat di dunia yang tidak beragama Islam mereka menjadikan darah sebagai salah satu sumber makanan. Darah samada di minum mentah ataupun diproses menjadi  sosej, kueh, sup dan sebagainya. Kononnya meminum darah dapat menambahkan tenaga dan ia boleh menjadi ubat.
ETNIK SURMA DI ETHIOPIA AMBIL DARAH LEMBU UNTUK DI MINUM


SUP DARAH AYAM ATAU ITIK DI CHINA

MARUS, SEJENIS MAKANAN DIBUAT DARI DARAH

3.   Darah adalah cairan yang terdapat pada semua makhluk hidup kecuali tumbuhan.  Ia berperanan membawa oksigen dan zat-zat yang diperlukankan untuk tubuh, membawa bahan-bahan kimia hasil metabolisme dan juga sebagai pertahanan tubuh badan terhadap bakteri dan virus atau mikroorganisme lainnya. Darah mengandungi hemoglobin yang membawa oksigen dari jantung ke seluruh badan. Disamping itu juga darah berfungsi sebagai pembawa  vitamin, hormon, protein, gula, lemak dan zat-zat lain yang diperlukan oleh badan. Tetapi perlu juga diingat bahawa darah juga membawa sisa hasil metabolisme yang mengandungi racun dan bahan sampingan seperti urea, keratin dan karbon dioksida yang sepatutnya  dikeluarkan melalui alat perkumuhan.

4.  Ketika darah keluar dari badan haiwan, bermakna keluarlah virus, bakteri, kuman dan mikro organisme berbahaya lainnya. Jika darah yang mengandungi bahan buangan ini di makan maka segala kotoran tersebut  akan masuk ke dalam badan pemakannya. Dengan itu ia akan meningkatkan jumlah dan jenis kuman penyebab penyakit dalam badan manusia.
YANG DIPERTUAN AGONG SEDANG SEMBELIH LEMBU

5.  Oleh kerana darah ini mengandungi kotoran maka Islam mengajar penganutnya menyembelih binatang menggunakan pisau tajam yang memotong saluran makanan, saluran pernafasan serta dua saluran pembuluh darah.  Tujuannya ialah agar darah mengalir keluar dengan laju dan dalam kuantiti yang banyak. Dengan cara itu, darah tidak dapat menyerap masuk dalam daging binatang yang disembelih.

6.   Begitulah sempurna dan lengkapnya ajaran agama Islam. Agama yang diturunkan untuk menjaga dan memelihara kesejahteraan dan keselamatan penganutnya. Ini kerana Islam itu adalah dari Allah SWT selaku pencipta binatang, manusia dan alam seluruhnya. Allah sudah semestinya mengetahui bahaya dan keburukan darah untuk manusia.  Telah sempurna dan lengkapnya agama Islam ini telah  Allah firmankan dalam surah Al-Maidah seperti yang bertanda merah di para 1.2 di atas.

“Sekiranya manusia mengetahui keburukan percakapan dan hawa nafsu maka mereka akan melarikan diri daripada keduanya sebagaimana mereka melarikan diri dari harimau.” ~ Mutiara Kata Imam Syafie Rahimahullah

Sebahagian kandungan dipetik dari www.dakwatuna.com

Tuesday 10 January 2017

BAGAIMANAKAH TIDUR MENGIKUT SUNAH RASULULLAH SAW


1. Islam adalah agama yang serba lengkap dan ia diturunkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. Sebagai agama rahmatan lil ‘alamin ini ajaran yang terkandung di dalamnya menyentuh semua aspek kehidupan manusia.  Malah perkara seperti tidur juga di ajar dan dijelaskan dalam Islam. Antara firman-firman Allah SWT dalam Al-Quran tentang tidur ialah:

          1.1.   Dalam surah Al-Furqan[Pembeza](25:47) yang berbunyi:


“Dan Dialah Tuhan yang menjadikan malam untuk kamu sebagai pakaian dan menjadikan tidur untuk berhenti rehat, serta menjadikan siang untuk keluar mencari rezeki”.

1.2.   Dalam surah Ar-Rum[Kerajaan Rom](30:23) yang berbunyi:

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kemurahannya dan kasih sayangNya ialah tidurnya kamu pada waktu malam dan pada siang hari, dan usaha kamu mencari rezeki dari limpah kurniaNya (pada kedua-dua waktu itu). Sesungguhnya keadaan yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang mahu mendengar (nasihat pengajaran).  

1.3.   Dalam surah Naba’[Berita Besar](78:9) berbunyi:


“Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat.”

2.   Jika kita andaikan seseorang itu hidup selama  60 tahun maka dia akan menghabiskan masanya selama lebih kurang 20 tahun untuk tidur. Sekiranya dia tidur mengikut sunnah Rasullullah SAW, maka tidurnya akan jadi ibadah. Allah SWT hanya akan menerima ibadah yang dilakukan dengan ikhlas. Tidur adalah ibadat yang paling ikhlas kerana ia tidak perlu dipaksa atau terpaksa untuk tidur. Ganjaran Allah SWT untuk sesaorang yang mengamalkan sunnah Rasulullah SAW adalah sangat besar. 

3. Perbincangan kali ini ialah tentang persediaan dan cara tidur yang mengikut sunah Rasulullah. Jika seseorang tidur dengan cara selain dari cara yang diajarkan oleh Rasulullah dia hanya akan dapat kerehatan. Di antara sunnah Rasulullah SAW sebelum, ketika dan selepas tidur ialah:

3.1. Bersugi, ambil wuduk sebelum tidur dan mengerjakan solat sunat taubat 2 rakaat.

3.2. Sebelum dan selepas tidur bacalah doa. Ramai orang mengabaikan doa-doa ini sedangkan pahalanya amat besar disisi  Allah SWT.

 


3.3. Bacalah tasbih Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali, Allahuakbar 33 kali. 

3.4.  Bacalah 4 Qul (An-Nas, Al-Falaq, Al-Ikhlas, Al-Kafiruun) dan tiup ke tapak tangan serta sapu ke seluruh badan untuk menghindarkan sihir dan perbuatan jahat manusia.

3.5.   Berniat untuk bangun solat tahajjud. 

3.6.   Maafkan semua kesalahan manusia pada kita dan halalkan semua hutang piutang sebelum tidur. 

3.7.   Cara tidur Rasulullah SAW ialah dengan posisi mengiring badan ke kanan dan tapak tangan diletakkan di bawah pipi. 

4.  Jangan tidur menghadap kaki arah kiblat. Ini kerana ia adalah kedudukan berbaring orang yang telah mati.

5.  Tidur mengikut posisi tidur Rasulullah SAW banyak kebaikannya dari sudut kesihatan. Ikuti penerangannya dalam artikel bertajuk “KELEBIHAN POSISI TIDUR IKUT SUNNAH RASULULLAH” yang telah diterbitkan pada 16.6.2016.

6.  Selamat beramal cengan cara tidur yang mengikut sunah Rasulullah SAW.  Semoga kita memperolehi pahala dan kebaikan dari amalan tersebut.

“Tidak ada kebaikan ibadah yang tidak ada ilmunya dan tidak ada kebaikan ilmu yang tidak difahami dan tidak ada kebaikan bacaan kalau tidak ada perhatian untuknya.” ~~ Mutiara kata Sayidina Ali Karamallahu Wajhah

Sebahagian kandungan dipetik dari halaqat.net