Thursday, 19 January 2017

KENAPAKAH ISLAM HARAMKAN MINUM/MAKAN DARAH?



1.   Sesuai dengan ajaran agama Islam yang serba lengkap maka apa juga larangan dan perintah dari Allah dalam Islam pasti ada kelebihan dan kebaikannya kepada manusia.  Dalam beberapa bangsa di dunia mereka menjadikan darah binatang sebagai salah satu sumber minuman dan makanan. Sebaliknya dalam Islam salah satu perkara yang diharamkan ialah meminum atau memakan darah.  Larangan serta pengharaman Allah ini ditegaskan dalam surah-surah berikut:

1.1.   Surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:173) yang berbunyi:





“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

          1.2.   Surah Al-Maidah[Hidangan](5:3) pula berbunyi:





“Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik. Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari ugama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

2.   Makanan adalah keperluan setiap makhluk khususnya manusia dalam melangsungkan kehidupannya. Baik buruknya proses pertumbuhan dan perkembangan manusia sangat tergantung kepada baik atau buruknya makanan yang dimakan. Dalam sesetengah masyarakat di dunia yang tidak beragama Islam mereka menjadikan darah sebagai salah satu sumber makanan. Darah samada di minum mentah ataupun diproses menjadi  sosej, kueh, sup dan sebagainya. Kononnya meminum darah dapat menambahkan tenaga dan ia boleh menjadi ubat.
ETNIK SURMA DI ETHIOPIA AMBIL DARAH LEMBU UNTUK DI MINUM


SUP DARAH AYAM ATAU ITIK DI CHINA

MARUS, SEJENIS MAKANAN DIBUAT DARI DARAH

3.   Darah adalah cairan yang terdapat pada semua makhluk hidup kecuali tumbuhan.  Ia berperanan membawa oksigen dan zat-zat yang diperlukankan untuk tubuh, membawa bahan-bahan kimia hasil metabolisme dan juga sebagai pertahanan tubuh badan terhadap bakteri dan virus atau mikroorganisme lainnya. Darah mengandungi hemoglobin yang membawa oksigen dari jantung ke seluruh badan. Disamping itu juga darah berfungsi sebagai pembawa  vitamin, hormon, protein, gula, lemak dan zat-zat lain yang diperlukan oleh badan. Tetapi perlu juga diingat bahawa darah juga membawa sisa hasil metabolisme yang mengandungi racun dan bahan sampingan seperti urea, keratin dan karbon dioksida yang sepatutnya  dikeluarkan melalui alat perkumuhan.

4.  Ketika darah keluar dari badan haiwan, bermakna keluarlah virus, bakteri, kuman dan mikro organisme berbahaya lainnya. Jika darah yang mengandungi bahan buangan ini di makan maka segala kotoran tersebut  akan masuk ke dalam badan pemakannya. Dengan itu ia akan meningkatkan jumlah dan jenis kuman penyebab penyakit dalam badan manusia.
YANG DIPERTUAN AGONG SEDANG SEMBELIH LEMBU

5.  Oleh kerana darah ini mengandungi kotoran maka Islam mengajar penganutnya menyembelih binatang menggunakan pisau tajam yang memotong saluran makanan, saluran pernafasan serta dua saluran pembuluh darah.  Tujuannya ialah agar darah mengalir keluar dengan laju dan dalam kuantiti yang banyak. Dengan cara itu, darah tidak dapat menyerap masuk dalam daging binatang yang disembelih.

6.   Begitulah sempurna dan lengkapnya ajaran agama Islam. Agama yang diturunkan untuk menjaga dan memelihara kesejahteraan dan keselamatan penganutnya. Ini kerana Islam itu adalah dari Allah SWT selaku pencipta binatang, manusia dan alam seluruhnya. Allah sudah semestinya mengetahui bahaya dan keburukan darah untuk manusia.  Telah sempurna dan lengkapnya agama Islam ini telah  Allah firmankan dalam surah Al-Maidah seperti yang bertanda merah di para 1.2 di atas.

“Sekiranya manusia mengetahui keburukan percakapan dan hawa nafsu maka mereka akan melarikan diri daripada keduanya sebagaimana mereka melarikan diri dari harimau.” ~ Mutiara Kata Imam Syafie Rahimahullah

Sebahagian kandungan dipetik dari www.dakwatuna.com

No comments:

Post a Comment