Tuesday, 10 January 2017

BAGAIMANAKAH TIDUR MENGIKUT SUNAH RASULULLAH SAW


1. Islam adalah agama yang serba lengkap dan ia diturunkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. Sebagai agama rahmatan lil ‘alamin ini ajaran yang terkandung di dalamnya menyentuh semua aspek kehidupan manusia.  Malah perkara seperti tidur juga di ajar dan dijelaskan dalam Islam. Antara firman-firman Allah SWT dalam Al-Quran tentang tidur ialah:

          1.1.   Dalam surah Al-Furqan[Pembeza](25:47) yang berbunyi:


“Dan Dialah Tuhan yang menjadikan malam untuk kamu sebagai pakaian dan menjadikan tidur untuk berhenti rehat, serta menjadikan siang untuk keluar mencari rezeki”.

1.2.   Dalam surah Ar-Rum[Kerajaan Rom](30:23) yang berbunyi:

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kemurahannya dan kasih sayangNya ialah tidurnya kamu pada waktu malam dan pada siang hari, dan usaha kamu mencari rezeki dari limpah kurniaNya (pada kedua-dua waktu itu). Sesungguhnya keadaan yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang mahu mendengar (nasihat pengajaran).  

1.3.   Dalam surah Naba’[Berita Besar](78:9) berbunyi:


“Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat.”

2.   Jika kita andaikan seseorang itu hidup selama  60 tahun maka dia akan menghabiskan masanya selama lebih kurang 20 tahun untuk tidur. Sekiranya dia tidur mengikut sunnah Rasullullah SAW, maka tidurnya akan jadi ibadah. Allah SWT hanya akan menerima ibadah yang dilakukan dengan ikhlas. Tidur adalah ibadat yang paling ikhlas kerana ia tidak perlu dipaksa atau terpaksa untuk tidur. Ganjaran Allah SWT untuk sesaorang yang mengamalkan sunnah Rasulullah SAW adalah sangat besar. 

3. Perbincangan kali ini ialah tentang persediaan dan cara tidur yang mengikut sunah Rasulullah. Jika seseorang tidur dengan cara selain dari cara yang diajarkan oleh Rasulullah dia hanya akan dapat kerehatan. Di antara sunnah Rasulullah SAW sebelum, ketika dan selepas tidur ialah:

3.1. Bersugi, ambil wuduk sebelum tidur dan mengerjakan solat sunat taubat 2 rakaat.

3.2. Sebelum dan selepas tidur bacalah doa. Ramai orang mengabaikan doa-doa ini sedangkan pahalanya amat besar disisi  Allah SWT.

 


3.3. Bacalah tasbih Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali, Allahuakbar 33 kali. 

3.4.  Bacalah 4 Qul (An-Nas, Al-Falaq, Al-Ikhlas, Al-Kafiruun) dan tiup ke tapak tangan serta sapu ke seluruh badan untuk menghindarkan sihir dan perbuatan jahat manusia.

3.5.   Berniat untuk bangun solat tahajjud. 

3.6.   Maafkan semua kesalahan manusia pada kita dan halalkan semua hutang piutang sebelum tidur. 

3.7.   Cara tidur Rasulullah SAW ialah dengan posisi mengiring badan ke kanan dan tapak tangan diletakkan di bawah pipi. 

4.  Jangan tidur menghadap kaki arah kiblat. Ini kerana ia adalah kedudukan berbaring orang yang telah mati.

5.  Tidur mengikut posisi tidur Rasulullah SAW banyak kebaikannya dari sudut kesihatan. Ikuti penerangannya dalam artikel bertajuk “KELEBIHAN POSISI TIDUR IKUT SUNNAH RASULULLAH” yang telah diterbitkan pada 16.6.2016.

6.  Selamat beramal cengan cara tidur yang mengikut sunah Rasulullah SAW.  Semoga kita memperolehi pahala dan kebaikan dari amalan tersebut.

“Tidak ada kebaikan ibadah yang tidak ada ilmunya dan tidak ada kebaikan ilmu yang tidak difahami dan tidak ada kebaikan bacaan kalau tidak ada perhatian untuknya.” ~~ Mutiara kata Sayidina Ali Karamallahu Wajhah

Sebahagian kandungan dipetik dari halaqat.net

No comments:

Post a Comment