“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah
menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu
berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah
mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi
Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih
keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha
Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)”. Petikan
dari surah Al-Hujurat[Bilik] (49:13)
1. Berdasarkan firman Allah di atas, Allah mencipta manusia dari
berbagai bangsa dan berpuak-puak agar manusia boleh berkenalan antara sama
lain. Dengan kata lain supaya manusia
dapat menjalin persahabatan sesama manusia agar mereka saling mendapat manfaat dari
persahabatan tersebut. Berkaitan dengan persahabatan ini banyak yang telah
Rasulullah SAW sabdakan. Antaranya
ialah:
1.1. Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud:
"Seseorang itu atas agama
(perjalanan) sahabatnya, maka hendaklah seseorang kamu memerhatikan siapa harus
di pilih menjadi sahabat."(Hadis Riwayat Abu Daud,
At-Tarmizi dan al-Hakim).
1.2. Dari Nu’man bin Basyir r.a., Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud:
“Perumpamaan persaudaraan kaum muslimin
dalam cinta dan kasih sayang di antara mereka adalah seumpama satu tubuh.
Apabila satu anggota tubuh sakit maka mengakibatkan seluruh tubuh menjadi demam
dan tidak boleh tidur.” (Hadis Riwayat Muslim).
2. Persahabatan dapat dikategorikan kepada 7 jenis, iaitu:
2.1. TA’ARUFFAN
Persahabatan
yang terjalin secara kebetulan seperi pernah bertemu di airport, hotel,
hospital, pejabat pos, ATM dan sebagainya.
2.2. TAARIIHAN
Persahabatan
yang terjalin kerana faktor sejarah. Misalnya
teman sekampong, satu kelas, satu sekolah, satu asrama dan seumpamanya.
2.3. AHAMMIYYATAN
Persahabatan
yang terjalin kerana faktor kepentingan tertentu seperti rakan perniagaan, kawan
dalam politik dan sebagainya.
2.4. FAARIHAN
Persahabatan
yang terjalin kerana faktor mempunyai hobi atau kegemaran yang sama seperti
teman bermain futsal, golf, badminton, memancing, melancong dan sebagainya.
2.5. AMALAN
Persahabatan
yang terjalin kerana faktor kerjaya. Contohnya sama sama menjadi guru dan
mengajar di sekolah yang sama, sama sama jadi doktor, arkitek, tentera dan
sebagainya.
2.6. ADDUWWAN
Sahabat
tetapi sebenaranya musuh. Depan kita bukan main nampak baik. Pijak semut pun
tidak mati. Tetapi dibelakang kita hanya Allah sahaja yang tahu. Kawan yang
menjadi talam dua muka. Kawan yang suka melihat kawan dalam kesusahan. Kawan
seperti ini telah Allah firmankan dalam surah Ali Imran[Keluarga Imran](3:120) yang berbunyi:
“Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran
dan kemenangan, maka yang demikian) menyakitkan hati mereka; dan jika kamu
ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan kalau kamu sabar dan
bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun.
Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan”.
Bila
bertemu dengan sahabat seperti ini, Rasulullah ajarkan doa untuk kita: “Allahumma Ya Allah. Selamatkanlah aku dari
sahabat yang bila melihat kebaikanku dia mendiamkan diri tetapi bila dia
melihat keburukanku dia sebarkan.”
2.7. HUBBAN
LIMAANAN
Sebuah
ikatan persahabatan yang terbina kerana Allah SWT. Mereka saling tolong menolong, nasihat
menasihati, menutup aib sahabatnya, memberi hadiah bahkan dalam diam-diam di
penghujung malam dia mendoakan kesejahteraan sahabatnya. Boleh jadi mereka jarang bertemu tetapi dia
mencintai sahabatnya kerana Allah SWT.
3. Dari 7 jenis persahabatan di atas, kategori 1 hingga 6 lama kelamaan
akan hilang. Yang tinggal hanya
persahabatan yang ke 7. Persahabatan yang
terjalin kerana ketaqwaan kepada Allah SWT, iaitu persahabatan yang kekal
hingga akhirat. Ia sesuai dengan firman
Allah dalam surah Az-Zukruf[Perhiasan]
(43:67) yang berbunyi:
“Pada
hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada
setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan
taqwa (iman dan amal soleh).”
4. Justeru, cari dan perbanyakkanlah sahabat dalam kategori ke
tujuh itu. Mudah-mudahan kita mendapat
kebaikan dari persahabatan sedemikian.
“Syaitan lebih suka
untuk menyesatkan orang yang alim daripada orang jahil kerana orang alim
apabila sesat maka dia akan turut menyesatkan orang lain dengan kejahilannya
sedangkan orang jahil tidak begitu” ~~ Mutiara Kata Imam Abdullah bin Alwi
al-Haddad al-Husaini
Sebahagian kandungan dipetik dari
islampos.com
No comments:
Post a Comment