Thursday 31 March 2016

AL-QURAN BERBICARA TENTANG PENDENGARAN DAN PENGLIHATAN


 

1.    Dalam Surah Al-Israq[Memperjalankan Waktu Malam](17:36), Allah SWT berfirman yang berbunyi:

17:36
"Dan janganlah engkau mengikut apa yang tidak engkau mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya". 

                                Video Bacaan Surah Al-Israq oleh Sheikh Saad Al-Ghamdi
                                   
2.   Selain dari surah di atas, surah-surah lain Allah menyebut tentang pendengaran dan penglihatan ialah: Surah Al-An’am[Binatang Ternakan] (6:46), Fussilat[Yang Dijelaskan](41:22), Al-Mukminun[Golongan Orang Beriman] (23:78), Al-Mulk[Kerajaan](67:23), As-Sajdah[Sujud](32:9), Al-Ahqaf[Bukit-Bukit Pasir](46:26), An-Nahl[Lebah](16:78).   Dalam bahasa Arab, pendengaran disebut As-Sam’an dan penglihatan disebut Al-Bashor. Ketika Allah menyebut dua perkataan ini dalam satu firmanNya, Allah akan mendahulukan kata As-Sam’an sebelum Al-Bashor.

3.  Perkara kedua dalam firman-firman Allah ini, Dia akan menyebut As-Sam’an (pendengaran) dengan bentuk mufrad (satu atau tunggal), dan Al-Bahsor (penglihatan) dalam bentuk jama’ (banyak), kecuali dalam Surah Al-Isra’[Memperjalankan Waktu Malam](17:36). Apakah rahsia disebalik dua perkara ini?.  

4.   Kajian telah membuktikan bahawa pendengaran janin dalam kandungan ibu lebih dahulu berfungsi daripada  penglihatan sedangkan untuk dapat melihat sekelilingnya bayi dalam kandungan memerlukan tempoh masa yang lebih lama. Mengapa pendengaran selalu disebut dalam bentuk mufrad dan penglihatan dalam bentuk jamak?.  Jawapannya ialah kerana pendengaran hanya boleh fokus kepada satu perkara sahaja manakala penglihatan pula boleh memfokus banyak objek dalam satu waktu. Pendengaran adalah pancaindera yang tidak pernah berehat. Ia selalu bekerja walaupun dalam kegelapan malam. 

5.  Deria penglihatan boleh dikawal oleh manusia kerana kita boleh memilih sama ada mahu melihat atau tidak. Manusia dapat memejamkan matanya dari memandang perkara yang dia tidak suka. Tetapi manusia sukar melakukan perkara yang sama dengan deria pendengaran. Pendengaran tidak mampu dielakkan melainkan jika  kita menutup telinga. Namun ia jarang dilakukan manusia.

6.  Allah menyebutkan pendengaran dahulu berbanding penglihatan kerana Allah ingin memberitahu bahawa pendengaran manusia terbentuk lebih dahulu berbanding dengan penglihatan.  Selain dari itu, ia juga memberikan gambaran bahawa pendengaran adalah pancaindera yang lebih penting berbanding pancaindera lain. Pendengaran akan tetap berfungi dalam apa jua keadaan pun. Malah ketika kita sedang tidur pun pendengaran tetap berfungsi.  Berbeza dengan mata yang memerlukan cahaya baru ia dapat berfungsi. Sama ada gelap atau terang, siang atau malam, pendengaran manusia akan tetap sama fungsinya.

CAROLYN GRANIER-DEFERRE

7.  Apakah pula fakta hasil dari kajian saintifik tentang pendengaran manusia. Fakta sains membuktikan bahawa telinga manusia menerima frekuensi bunyi antara 20 Hz hingga 20,000 Hz. Ia adalah pancaindera yang telah terbentuk dan berfungsi semenjak manusia dalam kandungan lagi. Ketika kandungan berusia 34 minggu, bahagian dalam telinga yang dipanggil koklea sudah pun berkembang dan pendengaran bayi akan menjadi sempurna. Hasil kajian yang dilakukan oleh seorang saintis Perancis bernama Carolyn Granier-Deferre, beliau mendapati pembentukan janin di dalam kandungan boleh dipengaruhi oleh bunyi muzik atau apa-apa bunyian. Menurutnya, bunyi muzik yang lembut akan menimbulkan suasana selesa dan tenang kepada janin. Ketenangan itu akan terbawa-bawa sehingga mereka lahir ke dunia. Berdasarkan kajiannya terhadap 5 orang ibu hamil di antara 35 hingga 37 minggu, Granier mendapati bayi sudah mampu mengingati bunyi-bunyian yang mereka dengari sejak di dalam rahim ibu lagi.

8. Dalam eksperimen tersebut, janin di dalam kandungan akan diperdengarkan dengan muzik yang bernada rendah sebanyak dua kali sehari sehinggalah mereka dilahirkan. Ketika usia bayi itu sebulan, muzik itu akan diperdengarkan semula ketika mereka tidur. Ketika ini, degupan jantung bayi akan berubah menjadi perlahan. Ini menunjukkan mereka berada dalam keadaan selesa. Bagaimanapun, apabila diperdengarkan dengan muzik yang tidak pernah didengari, degupan jantung bayi turut berubah tetapi tidak begitu ketara. Hasil kajian ini membuktikan bahawa pendengaran manusia berfungsi dengan baik sejak di dalam kandungan lagi, berbanding deria lain yang hanya berfungsi secara berperingkat selepas kelahiran.

9. Islam mengajar penganutnya supaya mengumandangkan azan dan iqamat kepada bayi yang baru dilahirkan. Malah, kita turut diajarkan untuk memperdengarkan ayat-ayat Al-Quran kepada bayi di dalam kandungan. Mengapa?. Ini kerana pendengaran seorang bayi telahpun berfungsi semasa dalam kandungan lagi.
“Tapak kaki kita kalau dah keras, pijak paku dan duri pun tidak terasa apa sebab tumitnya sudah keras. Tetapi kalau tapak kaki yang lembut, terpijak duri sikit sahaja sudah berdarah. Demikian jugalah dengan hati manusia, kalau ia sudah keras maka tidak terasa lagi bersalah walaupun berbuat dosa”. = Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat