Tuesday, 22 March 2016

JAUHI DARI SIFAT SOMBONG YANG DIBENCI ALLAH SWT

                                                                       

1.   Orang yang sombong selalunya memandang dirinya lebih hebat, lebih sempurna berbanding dengan orang lain.  Mereka akan memandang orang lain hina, rendah dan sebagainya.

2.    Rasulullah pernah bersabda tentang sombong ini yang bermaksud:
“Kesombongan adalah menolak kebenaran dan merendahkan manusia” (Hadis Riwayat Muslim).

3.   Dalam Surah Al-Israq [Memperjalankan Waktu Malam](17:83), Allah SWT berfirman yang berbunyi:

17:83
“Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah ia serta menjauhkan diri dari bersyukur dengan sikap yang sombong; dan apabila ia merasai kesusahan, jadilah ia (orang yang) berputus asa.

4.   Apakah sebab-sebab yang boleh membawa kepada timbulnya perasaan sombong dalam diri seseorang:

          4.1.   Sifat ‘Ujub (Suka Membanggakan Diri)

Manusia tidak akan takabbur kepada orang lain sebelum ‘ujub (membanggakan diri) wujud dalam dirinya dan dia akan memandang dirinya mempunyai kelebihan berbanding orang lain.  Merasa dirinya memiliki kuasa, kaya, cantik, pandai dan seumpamanya. Dari ‘ujub ini akan muncul pula kesombongan diri.  Dan ‘ujub adalah merupakan sifat yang membinasakan.  Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tiga perkara yang membinasakan; sifat sukh(rakus dan bakhil) yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti dan ‘ujub seseorang terhadap dirinya”. (Hadis Riwayat At-Tabrani, Bazar dan Baihaqi).

          4.2.   Merendahkan Orang Lain:

Manusia sepatutnya tidak merendahkan orang lain dan tidak akan memiliki sifat takabbur.  Ini kerana meremehkan seseorang yang dimuliakan Allah akan menjadikan seseorang itu berdosa kepada Allah SWT. Dalam Al-Quran Allah telah berfirman yang memberikan petunjuk untuk berakhlak yang baik dengan tidak meremehkan orang lain.  Firman itu dalam Surah Al-Hujurat[Bilik-Bilik](49:11) yang berbunyi:

49:11

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim”.

          4.3.   Suka Menonjolkan Diri(Taraffu’)

Manusia pada umumnya amat menyukai ketinggian dan kemuliaan melebihi orang lain.  Dari sinilah akan munculnya kesombongan sesama manusia. Allah berfirman dalam Surah Al-Qashash[Kesah-Kesah] (28:83) yang berbunyi:
28:83

“Negeri akhirat (yang telah diterangkan nikmat-nikmatnya) itu, Kami sediakan bagi orang-orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan (kesombongan diri) di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa”.

Sesungguhnya ketinggian yang hakiki itu ialah ketinggian yang tetap dan kekal di negeri akhirat nanti.  Justeru itu kita disyariatkan untuk berlumba-lumba meraih darjat yang tinggi di akhirat yang kekal abadi dan bukannya kemulian di dunia yang bersifat sementara.

          4.4.   Mengikut Hawa Nafsu:

Kesombongan ada pada manusia sebab manusia selalu mengikut hawa nafsunya tanpa memikirkan akibatnya nanti.  Nafsu itu sesungguhnya akan mengajak manusia untuk menuju ketinggian dan kemuliaan di dunia sahaja tanpa memikirkan akhirat.  Dalam Surah Al-Baqarah [Lembu Betina](2:87) Allah SWT berfirman yang berbunyi:

2:87

“Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami iringi kemudian daripadanya dengan beberapa orang Rasul, dan Kami berikan kepada Nabi Isa Ibni Maryam beberapa mukjizat serta Kami teguhkan kebenarannya dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu (dengan) sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu kamu dustakan, dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya?.”

5.   Ya Allah, jauhilah kami dari sifat sombong terhadap sesama manusia.  Sebaliknya jadikanlah kami hambaMu yang sentiasa tawaduk.  Mudah-mudahan kami menjadi manusia yang sentiasa bersyukur kepada nikmatMu.

6.  Sama-samalah kita berusaha untuk menjauhkan diri dari sifat sombong, iaitu  salah satu dari sifat mazmumah yang dibenci oleh Allah SWT dan Rasulullah. Berikhtiarlah untuk menjadi mukmin sejati yang sentiasa mendapat rahmat dan keredaan dari Allah SWT.

Kandungan dipetik dari grup watsap MPKM

                                         Ceramah Ustaz Kazim Elias tentang sifat sombong



“ Kita hidup di dunia ini bukan setakat nak hidup sahaja tetapi nak hidup biar sampai ke akhirat. Kita bekerja biar sampai ke akhirat, kita bertani biar sampai ke akhirat bahkan kita berpolitik biar sampai ke akhirat. Macam mana nak sampai ke akhirat, kalau semasa kita buat kerja ni tak pernah fikir tentang akhirat ?.” = Mutiara Kata  Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

No comments:

Post a Comment