Sunday, 6 March 2016

MELIHAT KEBESARAN ALLAH MELALUI GERHANA MATAHARI DAN BULAN


VIDEO GERHANA MATAHARI


VIDEO GERHANA BULAN
fenomena gerhana matahari 9 Mac 2016                                                                  


10:5

“Dia lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dia lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikanNya)”.{Petikan dari Surah Yunus (10:5)}


6:96

“Allah jualah Yang membelah cahaya subuh (yang menyingsingkan fajar), dan yang menjadikan malam untuk tinggal berehat, dan menjadikan matahari dan bulan untuk mengira waktu (menurut peredarannya). Yang demikian itu adalah kuasa penentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui”. {Petikan dari Surah Al-An’am [Binatang Ternakan](6:96)}

(6:97)
 6:97
“Dan Dialah yang menjadikan bintang-bintang bagi kamu supaya kamu berpedoman kepadanya dalam kegelapan (malam) di darat dan di laut. Sesungguhnya kami telah jelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) satu persatu bagi orang-orang yang mengetahui”.

36:40

“(Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat peredarannya masing-masing”. {Petikan dari Surah Yaasin (36:40)}

1.   Posting kali ini bersempena dengan jangkaan fenomena gerhana matahari separa yang akan berlaku pada 9.3.2016. Gerhana terdiri daripada dua jenis, iaitu gerhana bulan dan gerhana matahari. Kedua-duanya adalah fenomena alam yang amat menakjubkan. Allah SWT mentakdirkannya berlaku agar manusia berfikir untuk sentiasa membesar, memulia dan mengagungkanNya.  

2.  Kedua-dua gerhana ini berlaku apabila bumi, bulan dan matahari betul-betul berada pada satu garisan yang lurus.  Yang membezakan antara dua jenis gerhana ini ialah, apakah yang berada di tengah-tengah antara kedua-duanya?. Apakah yang membentuk bayang-bayang gergasi?. Apa pula yang terlindung?. Umum mengetahui bahawa matahari adalah sumber cahaya utama di alam semesta ini.

 

3.   Gerhana bulan terjadi apabila bulan – bumi – matahari berada dalam kedudukan selari, tersusun pada garis lurus. Sebaliknya pula gerhana matahari berlaku apabila kedudukan bumi – bulan - matahari tersusun selari seperti pada garis lurus. Lihat gambar di atas. 

4.   Pada masa dahulu manusia percaya bahawa bulan memiliki cahayanya sendiri.  Sebenarnya bulan tidak bercahaya.  Cahaya pada bulan adalah cahaya pembalikan (reflected) dari cahaya matahari. Dalam konteks ini lebih 1,400 tahun lalu Allah SWT telahpun berfirman dalam Surah  Yunus( 10:5) yang berbunyi:

10:5
“Dia lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikanNya)”.

5.   Ayat di atas menjelaskan mengenai perbezaan antara matahari dan bulan dalam konteks cahaya yang dikeluarkan oleh kedua-duanya. Mengikut Al-Quran, matahari membakar dan dengan itu ia mengeluarkan cahaya sedangkan bulan hanya bersinar iaitu menerima dan memantulkan cahaya. Kiasannya adalah seperti lampu dan cermin. Lampu mengeluarkan cahaya sedangkan cermin hanya memantulkan cahaya.
GERHANA BULAN PENUH
6.   Gerhana bulan berlaku tatkala bulan sedang mengambang. Pada ketika itu  cahaya matahari yang menerangi bulan akan dihalang oleh objek yang amat besar, iaitu bumi. 

GERHANA MATAHARI PENUH

7.  Gerhana matahari pula berlaku apabila bayang-bayang bulan yang besar menutup bahagian kecil permukaan bumi dan menjadikan sekitarnya gelap gelita  seperti malam.  Biasanya ia berlaku dalam masa yang singkat sahaja. Walaupun bulan jauh lebih kecil dari matahari, bayangan bulan mampu melindungi cahaya matahari sepenuhnya kerana bulan dengan anggaran jarak 384,400 kilometer adalah lebih dekat kepada bumi berbanding matahari yang mempunyai anggaran jarak  149,680,000 kilometer.
 
GERHANA MATAHARI SEPARA

8. Ketika berlaku gerhana matahari, mata kita tidak boleh melihat matahari secara langsung. Ini kerana cahaya Matahari yang sangat tajam boleh merosakkan titik fokus dalam mata yang boleh menyebabkan buta. Kita perlu menggunakan alat bantuan yang sesuai  seperti negatif filem hitam atau melihat bayangnya dalam air yang diisi dalam besen besar.


9. Gerhana matahari separa berlaku apabila matahari dan bulan tidak tepat sebaris dan bulan hanya melitupi matahari dengan separa. Fenomena ini lazimnya dapat dilihat dari sebahagian besar bumi yang terletak di luar laluan gerhana separa ataupun penuh. Walau bagaimanapun, beberapa gerhana hanya dapat dilihat sebagai gerhana separa oleh sebab umbra melintasi wilayah kutub bumi dan tidak menyilangi permukaan bumi.

10.   Islam mengajar umatnya supaya memikirkan hakikat kejadian gerhana-gerhana ini. Tujuannya ialah supaya kita sentiasa merasai  betapa kerdilnya kita berbanding dengan kebesaran dan kekuasaan Allah SWT. Perbanyakkanlah memohon keampunan dari Allah dan bertaubat kepadaNya serta berdoa apabila berlakunya gerhana. Waktu-waktu gerhana adalah antara waktu yang mustajab doa. 

11.  Semasa berlakunya gerhana kita digalakkan/disunatkan untuk melakukan solat sunat gerhana. Hukumnya adalah sunat muakkad. Rasulullah SAW bersabda yang berbunyi:

إِنَّ الشَّمْسَ  وَالقَمَر َ آيَتَانِ مِنْ ايَاتِ اللهِ  لاَيَخْسِفَان ِ لِمَوت ِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ، فَإِذَا رَأَيْتُمْ

 ذلِكَ فَادْعُوا اللهَ وَكَبِّرُوا وَتَصَدَّقُوا وَصَلُّوا

"Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua macam tanda dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Terjadinya gerhana matahari atau bulan itu bukanlah kerana kematian seseorang. Maka jikalau kamu melihatnya, berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, bersedekahlah serta bersembahyanglah." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim dari Aisyah r.ha.)

"Jika anak-anak kita akan menghadapi peperiksaan, kita akan berpesan kepadanya, jawab sebagaimana yang cikgu ajar. Jika betul, lulus. Jika salah jawabnya gagal. Di akhirat kelak, peperiksaan di hadapan Allah SWT nanti juga memerlukan kepada jawapan yang sama dengan cikgu ajar. Cikgu itu ialah Rasulullah SAW yang diutuskan oleh Allah SWT. Jawab seperti yang cikgu ajar, syurga balasannya. Gagal menjawab seperti yang diajar cikgu, nerakalah balasannya..." = Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

No comments:

Post a Comment