Friday, 4 March 2016

BERBAIK SANGKA (HUSNU ZAN) DENGAN ALLAH SWT


2:218


“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. {Petikan dari Surah Al-Baqarah [Lembu Betina] (2: 218)}.



7:56
“Dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik”. {Petikan dari Surah Al-A’raf [Tempat Tinggi](7: 56)}.


1.  Dari Abu Hurairah Radhiallahu Anhu, dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang berbunyi: 


 عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَرضي الله عنهقَالَ قَالَ النَّبِىُّصلى الله عليه وسلميَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِى بِى ، وَأَنَا مَعَهُ إِذَا ذَكَرَنِى ، فَإِنْ ذَكَرَنِى فِى نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ فِى نَفْسِى ، وَإِنْ ذَكَرَنِى فِى مَلأٍ ذَكَرْتُهُ فِى مَلأٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ، وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَىَّ بِشِبْرٍ تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ ذِرَاعًا ، وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَىَّ ذِرَاعًا تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ بَاعًا ، وَإِنْ أَتَانِى يَمْشِى أَتَيْتُهُ هَرْوَلَةً


“Allah SWT berfirman: Aku sesuai persangkaan hambaKu. Aku bersamanya ketika ia mengingatKu. Jika dia mengingatiKu saat bersendirian, Aku akan mengingatnya dalam diriKu. Jika dia mengingatKu di suatu kumpulan, Aku akan mengingatnya di kumpulan yang lebih baik daripada ada itu (kumpulan malaikat). Jika ia mendekat kepadaKu sejengkal, Aku mendekat kepadanya sehasta. Jika ia mendekat kepadaKu sehasta, Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika ia datang kepadaKu dengan berjalan (biasa), maka Aku mendatanginya dengan berjalan cepat”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

2.   Hadis di atas membuktikan bahawa Allah SWT pasti akan merealisasikan apa yang disangkakan oleh hamba-hambaNya yang beriman. Sebagaimana makna “أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِى بِى (Aku sesuai persangkaan hamba padaKu).

3.   Hadis ini mengajar kita untuk sentiasa berhusnu zan (bersangka baik) kepada Allah. Ertinya setiap manusia hendaklah bersangka bahawa Allah maha pengampun, sangat menyayangi hambaNya, Maha menerima taubat, melipatgandakan ganjaran dan memberi pertolongan kepada orang beriman. Berhusnu zan kepada Allah maknanya seorang manusia itu memiliki rasa berharap dan rajin memohon doa pada Allah. Bersangka baik kepada Allah SWT merupakan ibadah hati yang mulia. Sesungguhnya bersangka baik kepada Allah SWT bererti meyakini apa yang layak untuk Allah, baik dari nama, sifat dan perbuatanNya.  Begitu juga meyakini kuasa Allah yang maha besar, yang tiada bandingannya. 

4.   Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; "Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu berbaik sangka dengan Allah." (Hadis Riwayat Muslim).

5.   Apakah yang difikirkan oleh seseorang yang bersangka baik dengan Allah SWT:

5.1. Apabila berdoa dia yakin bahawa Allah akan memakbulkan doanya.

5.2.   Apabila melakukan dosa, dia segera bertaubat dan bersangka baik bahawa Allah akan menerima taubatnya dan mengampunkan dosanya.

5.3.  Apabila melakukan sebarang ibadah, dia bersangka baik bahawa Allah akan menerima ibadahnya dan membalas dengan ganjaran pahala.

5.4. Apabila ditimpa musibah, dia akan bersangka baik bahawa di sebalik ujian itu ada hikmah untuk dirinya.

6. Berusahalah untuk menjadi seorang Islam sejati dengan memiliki sifat dan perasaan berbaik dengan Allah SWT dan juga sesama manusia. Mudah-mudahan hidup kita lebih ceria dan bermakna serta berada dalam limpahan nikmat dari Allah.

"Allah menciptakan di dunia ini orang-orang kurang upaya untuk menjadi ujian kepada orang yang sempurna. Di akhirat kelak akan ditanya, setakat manakah kita orang-orang yang cukup upaya ini menghulurkan bantuan kepada mereka yang kurang upaya. Sebab itu, saudara-saudara kita yang kurang upaya sedikit untung kerana terlepas daripada soalan ini di akhirat nanti. Manakala yang sempurna tubuh badan pula perlulah pastikan duit yang dia ada pada hari ini sedikit sebanyak dia peruntukkan untuk beli pahala lain selain beli lauk-pauk, beras dan keperluan hidup..." = Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Sebahagian kandungan dari abubasyer.blogspot.

No comments:

Post a Comment