“Barang
siapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, nescaya Dia
melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam. Dan barangsiapa yang
dikehendaki Allah kesesatannya, nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi
sempit, seolah-olah ia sedang mendaki langit. Begitulah Allah menimpakan seksa
kepada orang-orang yang tidak beriman”. {Petikan dari Surah Al-Anam[Binatang Ternakan](6:125)}
“Sesungguhnya
kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi
Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya, dan Allah lebih
mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk”.
{Petikan dari Surah Al-Qashah[Kesah-Kesah](28:56)}
1. Dua firman Allah di atas jelas membuktikan bahawa manusia tidak
akan mampu memberi hidayah kepada seseorang untuk menganut Islam. Hanya Allah SWT yang maha berkuasa berbuat
demikian. Itulah yang telah terjadi
kepada Dr. Jerald F.Dirks. Siapakah Dr.
Dirks?.
2. Dr. Jerald F. Dirks dilahirkan di Kansas Amerika Syarikat pada tahun
1950. Beliau ialah seorang paderi yang pernah menjadi Ketua Dewan Gereja Methodis.
Berkelulusan Bachelor of Arts (BA) dan Master of Divinity (M. Div.) dari
Universiti Harvard, Amerika Syarikat. Beliau juga memiliki
Master of Arts (MA) dan Doktor Psikologi dari Universiti Denver, Amerika
Syarikat. Dr. Dirks dibesarkan di dalam keluarga
dan masyarakat yang beragama Kristian
Methodis.
WILFRED CANTWELL SMITH |
3. Ketika menuntut di Universiti Harvard, Dr. Dirks turut memasuki
kelas perbandingan agama yang diajar oleh Wilfred Cantwell Smith untuk dua
semester. Di dalam kelas perbandingan agama ini, Dr. Dirks telah berpeluang mempelajari
dan mengkaji agama Islam. Bagi memenuhi keperluan kelulusan akademik, Dr. Dirks
diwajibkan membuat kajian mengenai konsep wahyu di dalam Al-Quran. Dari situ
beliau mula membaca pelbagai buku dan rujukan sumber-sumber mengenai Islam yang
sebahagian besarnya ditulis oleh penulis bukan Islam. Beliau juga turut membaca
Al-Quran terjemahan Bahasa Inggeris. Universiti Harvard telah menganugerahkan Hollis
Scholar kepada Dr. Dirks kerana kajiannya itu. Ia merupakan penghargaan tertinggi
untuk mahasiswa jurusan teologi
universiti tersebut.
HARVARD DIVINITY SCHOOL |
4. Ketika musim cuti pengajiannya Dr. Dirks bekerja sebagai
seorang paderi muda di sebuah Gereja Methodis terbesar di tempat tinggalnya.
Pada masa itulah beliau berjaya mendapat pengiktirafan dari pihak Gereja Methodis
Amerika untuk menjadi seorang pengkhutbah di gereja. Setelah lulus dari Universiti
Harvard pada tahun 1971, Dr. Dirks terus menyambung pelajarannya di Harvard
Divinity School. Beliau mengambil jurusan teologi dan dibiayai oleh Gereja Methodis Amerika. Selama belajar di sana, Dr. Dirks juga mengikuti program perintis di
Hospital Peter Bent Brigham di Boston. Beliau
menamatkan pengajiannya di Harvard Divinity School pada tahun 1974 dan
memperolehi gelaran Master dalam bidang teologi. Selepas mendapat gelaran
tersebut, beliau sempat menghabiskan cuti musim panasnya dengan menjadi paderi
di dua buah Gereja Metodis Amerika yang terletak di pinggir bandaraya Kansas.
5. Dr. Dirks bergiat aktif dalam memberikan dakwah Kristian kepada
penduduk Amerika. Namun beliau mendapati
kesan positifnya tidak seberapa. Beliau mendapati kehidupan beragama dikalangan
masyarakat Kristian amat berkurangan. Beliau mendapati dua dari sepuluh pasangan di Amerika akan
berakhir dengan perceraian. Meningkatnya
masalah sosial di sekolah dan di jalanan. Berkurangnya rasa tanggungjawab dan
disiplin di kalangan anak muda. Malah yang lebih mengejutkan beliau adalah ada diantara paderi Kristian yang terlibat di
dalam skandal seks dan kewangan. Baginya masyarakat Amerika sedang menuju kehancuran dari segi moral.
6. Akhirnya Dr. Dirks mengambil keputusan untuk bersendirian dan
tidak lagi menjalankan aktiviti rutinnya memberikan khutbah kepada para jemaah
di gereja. Beliau mula beralih untuk terlibat aktif di dalam kajian yang
dilakukan oleh isterinya, Debra L. Dirks. Kajian mengenai sejarah kuda Arab ini
membuatkan beliau dan isterinya mempunyai banyak hubungan dengan warga Amerika berketurunan
Arab Islam. Salah seorang darinya ialah Jamal. Pertemuan dengan Jamal ini
berlaku pada musim panas pada tahun 1991. Pada peringkat awalnya mereka sekadar
berhubung melalui telefon. Kemudiannya berterusan sehinggakan Jamal mengunjungi rumah
Dr. Dirks. Pada kunjungan kali pertama, Jamal telah menterjemahkan beberapa
sumber dari bahasa Arab ke Bahasa Inggeris.
7. Dalam satu peristiwa ketika masuk waktu solat Asar, Jamal
meminta izin Dr. Dirks untuk menggunakan tandas dan meminjam surat khabar untuk
digunakan sebagai alas untuk solat. Inilah buat pertama kali beliau melihat pergerakan
solat orang Islam. Jamal dan isterinya berkunjung ke rumah Dr. Dirks seminggu
sekali. Namun Jamal tidak pernah komen tentang agama Kristian dan tidak pernah menyampaikan ajaran Islam kepada
Dr. Dirks. Apa yang Jamal lakukan ialah memberikan contoh kelakuannya yang baik
seperti bercakap dengan suara yang rendah dan lembut. Ini yang menjadikan Dr.
Dirks dan isterinya kagum dengan Jamal. Dari
persahabatan itu Dr. Dirks dan keluarganya banyak pengetahuan baru. Jamal telah
menunjukkan disiplin melalui solat yang
dilaksanakannya. Moral dan etika yang diperlihatkan oleh Jamal dalam urusan
perniagaan dan sosialnya serta cara Jamal berkomunikasi telah menjadi tarikan
kepada Dr.Dirks.
8. Melalui Jamal beliau dapat mengetahui tentang sejarah Arab dan
peradaban Islam, kisah-kisah dan perilaku Rasulullah SAW serta ayat-ayat
Al-Quran dan makna yang terkandung di dalamnya. Setiap kali Jamal datang ke
rumahnya, Dr.Dirks akan meluangkan masa lebih
kurang 30 minit untuk berbincang mengenai Islam. Dari situlah beliau mula mengenali apa itu Islam. Melalui Jamal, Dr.Dirks
sekeluarga diperkenalkan kepada keluarga Arab lainnya. Antaranya keluarga Wael
dan keluarga Khalid. Selepas itu Dr.Dirks kerap berinteraksi dengan komuniti
Arab Amerika ini. Dari interaksi tersebut, beliau mendapat pengetahuan tentang
ajaran Islam yang selama ini tidak diketahuinya. Di dalam komuniti Islam, beliau
dapat merasakan persaudaraan, toleransi, nilai-nilai moral, etika, sikap saling
menghargai yang wujud di dalamnya.
9. Dalam tahun 1992, Dr.Dirks mula mendalami tentang ajaran
Islam melalui kitab suci Al-Quran. Dalam pengkajian isi kandungan Al-Quran ini,
Dr.Dirks menjumpai nilai-nilai yang sesuai dengan nalurinya yang selama ini
tidak ditemuinya di dalam ajaran Kristian. Beliau tidak terus memeluk Islam dan
meninggalkan Kristian yang dianutinya selama ini. Beliau memutuskan untuk
berkunjung ke Timur Tengah bersama isterinya pada awal tahun 1993. Ditakdirkan
Allah, ketika beliau berseorangan menikmati makanan di sebuah restoran, beliau
melihat pemilik restoran, Mahmoud sedang membaca Al-Quran terjemahan Bahasa
Inggeris. Iman, isteri Mahmoud ialah seorang warga Islam Amerika datang ke mejanya
sambil membawa makanan yang telah dipesan. Iman memberitahu kepada beliau
bahawa buku yang dibaca oleh suaminya adalah Al-Quran. Iman juga bertanya
adakah Dr.Dirks seorang Islam. Pertanyaan tersebut di jawab “tidak” oleh
Dr.Dirks.
10. Ketika Iman menghampiri mejanya untuk memberikan bil, Dr. Dirks
telah meminta maaf atas jawapannya tadi.
Katanya: ''Saya takut untuk
menjawab pertanyaan anda tadi. Namun jika anda bertanya kepada saya adakah saya
percayakan Tuhan itu hanya satu, maka jawapan saya adalah ya. Jika anda
bertanya adakah saya percaya bahawa Muhammad adalah salah satu utusan Tuhan,
maka jawapan saya tetap sama, ya.''
11. Minggu kelima pengembaraannya di Timur Tengah jatuh pada bulan
Ramadhan, iaitu pada bulan Mac tahun 1993. Buat pertama kalinya Dr.Dirks dan
isterinya berpuasa untuk menghormati masyarakat Islam di sekitarnya. Dikatakan juga,
Dr.Dirks mula terikut-ikut melaksanakan solat lima waktu bersama-sama dengan
temannya yang beragama Islam dan kenalan barunya yang berasal dari Timur
Tengah.
DR.DIRKS DAN DEBRA DIRKS |
12. Kunjungan ke Amman, Jordan telah merubah keyakinan/aqidahnya dan
memberikan sejuta makna dalam hidupnya. Hidayah Allah datang kepadanya ketika
beliau diajak oleh seorang rakannya untuk mengunjungi Amman, ibukota Jordan.
Ketika sedang melintas jalan di pusat bandar Amman, tiba-tiba seorang lelaki
tua datang menghampirinya dan mengucapkan “assalamualaikum” dan mengulurkan
tangannya untuk bersalaman serta bertanyanya adakah beliau seorang Islam?.
Sapaan salam dalam Islam itu membuatkannya tidak dapat berkata-kata. Beliau
tidak tahu bagaimana hendak menjelaskan kepada orang tua tersebut bahawa
dirinya bukanlah seorang Islam. Rakan yang bersamanya juga tidak tahu berbahasa
Arab. Dalam keadaan sukar itu, beliau hanya mempunyai dua pilihan, iaitu
berkata Na'am yang bermaksud ya atau berkata La’ yang bermaksud tidak. Hanya
beliau yang mampu menentukan pilihan tersebut. Setelah berfikir agak lama dan
memohon petunjuk dari tuhan, akhirnya Dr. Dirks menjawab dengan perkataan Na’am.
Semenjak dari peristiwa tersebut, beliau telah menyatakan bahawa dirinya
telah memeluk Islam. Hidayah Allah juga datang kepada isterinya.
13. Setelah menganut Islam, Dr. Dirks banyak menghabiskan masanya untuk mengarang buku dan menjelajah ke merata
tempat untuk memberikan ceramah tentang Islam dan hubungan antara Islam dan
Kristian. Beliau juga kerap diundang di dalam program Islam di kaca-kaca
televisyen. Bukunya yang menjadi best
seller berjudul "The Cross and
the Crescent: An Interfaith Dialogue between Christianity and Islam"
(terbitan tahun 2008). Buku-buku lain karangan beliau ialah:
13.1. Abraham: The Friend of God (Julai 2002).
13.2. Understanding
Islam: A Guide for the Judaeo-Christian Reader (Disember 2003).
13.3. The
Abrahamic Faiths: Judaism, Christianity, and Islam: Similarities &
Contrasts (30 April 2005).
13.4. Muslims
in American History: A Forgotten Legacy (1.9.2006).
13.5. Letters
to My Elders in Islam : Advice to the Muslim Community of America (29 Ogos
2008).
13.6. What
You Weren't Taught in Sunday School (30
Jun 2011).
13.7. The First Sin: Jewish, Christian, and
Islamic Perspectives (26 Mei 2014).
13.8. Muslims in American History : A Forgotten
Legacy.
13.9. What
You Weren't Taught in Sunday School.
14. Selain menulis buku, beliau juga telah menerbitkan lebih dari 60
artikel dalam bidang psikologi klinikal dan lebih dari 150 artikel tentang kuda
arab.
15. Lihat apakah komen beliau tentang agama Kristian selepas beliau
menganut Islam:
“By virtue of my seminary training
and education, I knew how badly the Bible had been corrupted (and often knew
exactly when, where, and why), I had no belief in any triune godhead, and I had
no belief in anything more than a metaphorical “sonship” of Jesus, peace be
upon him. In short, while I certainly believed in God, I was as strict a
monotheist as my Muslim friends.” - Dr Jerald F.Dirks.
16. Dr. Dirks ialah seorang yang mempunyai pengetahuan yang sangat
mendalam dalam bidang agama Kristian. Untuk memperolehi Master dalam bidang
Divinity Kristian tentulah memerlukan pengetahuan yang luas. Namun, oleh kerana beliau ingin mencari
kebenaran (truth) dalam beragama maka
beliau telah sanggup meninggalkan agama Kristian yang merupakan anutan nenek
moyangnya. Yang penting baginya ialah mencari tuhan yang sebenar (a true God). Baginya Kristian ialah agama
yang telah dipalsukan oleh pihak gereja dan ditambah pula dengan kitab Bible
yang telah diubahsuai sesuka hati oleh pihak gereja. Sepatutnya penghijrahan
Dr. Dirks ini boleh membuka mata dan memberi pengajaran kepada penganut agama
Kristian lain untuk mencari kebenaran dalam beragama. Jika orang yang benar-benar memahami agama Kristian sepertinya boleh menganut Islam, apalah sangat dengan penganut Kristian lain yang tidak benar-benar memahami agama mereka.
Sila klik video temu ramah dengan Dr. Dirks dalam program "The Deen Show" di bawah:
“Ambil wuduk tak perlu banyak air, tetapi biar sempurna. Ini kerana
basuhan dengan air itu hanyalah simbolik. Yang hendak dibasuh bukanlah najis
yang ada diwajah dan anggota kita, tetapi kotoran dosa yang dibawa oleh mata,
mulut, telinga, tangan dan kaki...” = Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul
Aziz bin Nik MatSila klik video temu ramah dengan Dr. Dirks dalam program "The Deen Show" di bawah:
No comments:
Post a Comment