1. Manusia adalah makhluk ciptaan Allah SWT yang paling tinggi dan
mulia, melebihi makhluk-makhluk yang lain. Manusia dijadikan sebaik-baik
kejadian. Manusia bukan hanya memiliki bentuk fizikal dan anggota lahiriah
sahaja tetapi mempunyai jiwa atau roh yang mampu berhubung terus dengan Allah,
Tuhan yang mencipta manusia.
2. Asal usul manusia ialah dari alam roh dan diturunkan ke dunia
untuk menjadi hamba Allah, untuk mengabdikan diri kepadaNya. Apabila
membincangkan persoalan mengenai hakikat diri manusia, kita perlu membicarakan
tentang hati atau roh manusia. Ini adalah kerana dalam Al-Quran dan juga hadis
Rasulullah SAW, kemuncak pembicaraan tentang manusia ialah mengenai kalbu
(hati) yang kadang kala disebut jiwa atau roh.
3. Manusia hanya mampu hidup dan bernafas apabila roh berada di
dalam jasad. Sebaik sahaja roh dicabut keluar
dan berpisah dari jasad maka jadilah jasad manusia seperti kayu mati yang
menunggu masa untuk hancur dan
reput. Ketika manusia dilahirkan ke dunia, roh
dalam jasad manusia adalah bersih dan berada di dalam keadaan fitrah.
Apabila manusia membesar sedikit demi sedikit, persekitarannya sama ada ibu
bapanya, keluarganya, teman-temannya, masyarakatnya akan mempengaruhi kehidupannya.
Apabila suasana iman dan Islam mempengaruhi hidup seseorang maka jadilah dia seorang
manusia yang baik akhlak dan beriman. Sebaliknya jika persekitaran penuh dengan dosa dan maksiat
yang mempengaruhi kehidupan seseorang maka jadilah dia manusia yang kufur,
engkar dan derhaka kepada Allah SWT.
4. Roh datang dari alam ghaib ke alam nyata, iaitu di dunia dan
akan kembali semula ke alam ghaib. Ia datang untuk ditumpangkan sementara di
alam dunia ini. Roh telahpun mengenali Allah di alam arwah sebelum benda-benda
lain diciptakan. Roh sudah wujud dan bersifat dengan sifat ma'ani sebelum ia bercantum dengan jasad manusia. Roh sudahpun
mengenali dan mengetahui agamaNya sebelum ia dicantumkan dengan badan manusia.
Malah roh pernah mengaku dan menyaksikan di alam arwah bahawa Allahlah tuhan
yang maha esa seperti firman Allah SWT dalam Surah Al-A’araf[Tempat Tinggi](7:172) yang berbunyi:
“Dan
(ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam
(turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi
terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): "Bukankah
Aku tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan
kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada
hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi
peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini".
5. Untuk membimbing manusia ke jalan yang diredhai Allah, Allah
telah mengutuskan para nabi dan rasul sepanjang zaman. Tujuannya agar manusia tidak lalai dari
mengingati Allah, beribadat kepadaNya kerana itulah sahaja caranya untuk
manusia menemui syurga Allah di akhirat nanti. Dalam Surah Adz-Dzaariyaat[Angin Kencang](51:56) Allah berfirman yang berbunyi:
“Dan
(ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka
menyembah dan beribadat kepadaKu”.
6. Orang-orang yang tidak menerima Islam, agama Allah yang
disampaikan oleh para rasul di dunia ini bererti mereka sudah mengotori fitrah
bersih mereka yang sebenar semasa dilahirkan. Dengan itu jadilah mereka orang
yang kafir dan kufur di sisi Allah. Nerakalah
akan menjadi tempat tinggal bagi mereka.
7. Justeru sama-samalah kita menginsafi hakikat kejadian diri kita sebagai manusia yang diciptakan oleh
Allah SWT untuk menjadi hambaNya. Berusahalah untuk membersihkan hati dan jiwa
kita dari segala kekotoran sifat-sifat mazmumah. Sebaliknya suburkan jiwa kita dengan sifat-sifat
mahmudah. Sentiasalah membaca Al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya. Lazimilah mengingati mati dan kehidupan di alam barzakh. Jika ini dapat dilakukan, in sha Allah akan bersihlah roh kita dan
kita akan kembali kepada fitrah asal kejadian kita yang diredhai oleh Allah SWT.
"Walaupun dimalam yang gelap dan di bawah meja, semua
kerja-kerja sulit kita akan didedahkan apabila kita berhadapan dengan Allah SWT
di akhirat kelak. Baik manusia hebat mana pun, semuanya akan didedah rahsianya
nanti. Keyakinan seperti ini boleh menyebabkan manusia terbantut untuk buat
maksiat.." = Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Sebahagian kandungan dipetik dari abubasyer.blogspot.com
Sebahagian kandungan dipetik dari abubasyer.blogspot.com
No comments:
Post a Comment