Monday 29 August 2016

AMALAN UNTUK MEMPEROLEHI SYAFAAT DI PADANG MAHSYAR (BAHAGIAN 1)


1.   Di dalam Al-Quran, ada beberapa ayat dan surah  di mana Allah berfirman tentang syafaat, iaitu:


“Allah mengetahui apa yang di hadapan mereka (yang telah mereka lakukan), dan apa yang di belakang mereka (yang akan mereka lakukan); dan mereka tidak memohon syafaat melainkan bagi sesiapa yang diredhai Allah; dan mereka pula sentiasa cemas takut daripada ditimpa azabNya”.{Petikan dari surah Al-Anbiya[Para Nabi](21:28)}.


Katakanlah (wahai Muhammad): "Syafaat itu semuanya hak kepunyaan Allah; Dia lah Yang Menguasai segala urusan langit dan bumi; kemudian kamu akan dikembalikan kepadaNya (untuk menerima balasan)." {Petikan dari surah Az-Zumar [Rombongan-Rombongan](39:44)}.


“(Golongan yang musyrik mengharapkan pertolongan benda-benda yang mereka sembah itu) padahal berapa banyak malaikat di langit, syafaat mereka tidak dapat mendatangkan sebarang faedah, kecuali sesudah Allah mengizinkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan diredhaiNya”. {Petikan dari surah An-Najm [Bintang](53:26)}.


“Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu”. {Petikan dari surah Al-Muddaththir[Orang Yang Berselimut](74:48)}.

2.  Kita selalu mendengar perkataan syafaat.  Tetapi tahukah apakah maksud syafaat itu?. Syafaat berasal dari perkataan asy-sayafa’ (ganda) yang merupakan lawan perkataan al-witru (tunggal), iaitu menjadikan sesuatu yang tunggal menjadi berganda.  Contohnya seperti satu menjadi dua, dua menjadi tiga, tiga  menjadi empat dan sebagainya. Ini adalah pengertian secara bahasa.  Dari segi istilahnya pula, syafaat bermaksud menjadi penengah bagi orang lain dengan memberikan manfaat kepadanya atau menolak mudarat, iaitu pemberi syafaat itu memberikan manfaat kepada orang yang diberi syafaat atau menolak mudarat untuknya.

3.  Syafaat lazimnya dikaitkan dengan pertolongan atau bantuan dari Rasulullah SAW tatkala seseorang itu berada di Padang Mahsyar nanti untuk menantikan perbicaraan di hadapan Allah SWT. Di Padang Mahsyar nanti tidak ada seorang manusia pun yang boleh memberi pertolongan kepada manusia lain, hatta ibu bapa kita sendiri. Hanya Rasulullah sahaja yang diizinkan oleh Allah untuk memberi pertolongan (syafaat) kepada orang Islam lain. Selain dari itu syafaat juga datang dari beberapa amalan yang kita kerjakan. Rasulullah memberi tahu mengenai sebahagian amalan yang boleh mendatangkan syafaat di hari kiamat nanti. Apakah amalan-amalan baik itu?. Bagi posting kali ini kita akan sama-sama mengikuti lima dari pelbagai amalan yang membolehkan seseorang Islam mendapat syafaat di akhirat nanti.

3.1.   IKHLAS DALAM IBADAH KEPADA ALLAH SWT:

Semasa hidup ini kita mungkin mengerjakan pelbagai amalan/ibadah yang baik-baik yang dituntut oleh agama Islam.  Tetapi sekadar beramal  sahaja tidak memadai. Yang lebih penting dan utama ialah  mengikhlaskan segala amalan/ibadah hanya semata-mata untuk dan kerana Allah SWT. Amalan yang mempunyai niat selain darinya tidak ada apa-apa harga dan nilai dari Allah SWT.

Rasulullah SAW pernah ditanya: "Siapakah orang yang paling bahagia dengan syafaatmu pada hari Kiamat?" Rasilullah menjawab: "Yang paling bahagia dengan syafaatku pada hari Kiamat adalah orang yang mengucapkan Laa ilaahaa illallaah dengan ikhlas dari hatinya atau dirinya." (Hadis Riwayat  Bukhari).

3.2.   MENGIKUTI AJARAN DAN SUNAH RASULULLAH SAW:

Rasulullah SAW ialah sebagai Uswatun Hasanah yang  bererti contoh teladan yang terbaik untuk umat manusia. Beliau ialah pilihan Allah SWT yang diutus untuk menyampaikan ajaran yang benar iaitu agama Islam. Justeru, kita sebagai orang Islam wajib meniru dan mencontohi kepribadian baginda yang sangat mulia. Tentang diri Rasulullah ini, Allah SWT berfirman dalam surah Al Ahzab [Perang Ahzab](33:21) yang berbunyi:



“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”.

Untuk dapat mencontohi akhlak dan sifat Rasulullah SAW perlu banyak belajar dari Al-Quran dan hadis baginda. Sifat Rasulullah SAW yang utama ialah:

Siddiq : ertinya jujur dan tidak mungkin bagi Rasulullah memiliki sifat bohong. Jujurnya bukan hanya dalam pekerjaan malah perkataannya. Apa yang dikata, disampaikan serta  dilakukan adalah benar dan tidak bohong. Ini kerana akhlak Rasulullah adalah cerminan dari perintah Allah SWT.

Amanah : ertinya dapat dipercayai. Tidak mungkin bagi Rasulullah bersifat khianat atau tidak dapat dipercayai. Rasulullah tidak berbuat sesuatu yang melanggar perintah Allah SWT. Rasulullah sangat taat kepada Allah SWT dalam menyampaikan risalah dari Allah SWT.

Tabligh : ertinya menyampaikan. Rasulullah sama sekali tidak menyembunyikan apa jua wahyu dari Allah untuk disampaikan kepada umatnya walaupun yang disampaikan itu pahit dan bertentangan dengan tradisi orang kafir. Rasulullah menyampaikan risalah secara sempurna sesuai dengan perintah Allah SWT.

Fathonah : ertinya cerdik. Rasulullah memiliki kecerdikan luar biasa bagi membolehkannya  menyampaikan wahyu yang telah diterima dari Allah SWT. Jika bodoh bagaimana mungkin Rasulullah dapat menyampaikan wahyu dan perintah Allah kepada manusia.

Sifat-sifat lain yang dimiliki Rasulullah ialah sabar,  penyayang, bertimbang rasa, budiman, dermawan, berani, tegas  dan lain-lain.

3.3.   BERSELAWAT KEPADA RASULULLAH SAW:



Lazimilah berselawat kepada Rasulullah SAW. Dari Ibnu Mas'ud, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Orang yang paling berhak mendapatkan syafaatku pada hari kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat kepadaku" (Hadis Riwayat Tirmidzi).

"Barang siapa yang berselawat kepadaku di pagi hari 10 kali dan di petang hari 10 kali, maka dia akan mendapatkan syafaatku pada hari kiamat." (Hadis Riwayat Ath-Thabrani).

Sungguh mudah untuk mendapatkan syafaat dari Rasulullah.  Hanya dengan mengucapkan selawat yang paling ringkas “Allahumma salliala Muhammad” seseorang  boleh mendapatkan syafaatnya. Berbahagialah orang yang sentiasa basah bibirnya untuk  berselawat kepada Rasulullah.

3.4.   BERPUASA (WAJIB ATAUPUN SUNAT):

BERBUKA PUASA DI ISTANBUL, TURKI
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Puasa dan membaca Al-Quran akan memberi syafaat kepada seorang hamba pada hari kiamat kelak. Puasa akan berkata: "Wahai, Rabb-ku. Aku telah menahannya dari makan pada siang hari dan nafsu syahwat. Oleh itu, perkenankan aku untuk memberi syafaat kepadanya". Al-Quran pula berkata: "Aku telah melarangnya dari tidur pada malam hari. Oleh itu, perkenankan aku untuk memberi syafaat kepadanya ". Maka keduanya pun memberi syafaat.” (Hadis Riwayat  Ahmad dan Al Hakim).

3.5.   MEMPERBANYAKKAN SUJUD:


Maksud memperbanyakkan sujud ialah sentiasa menunaikan solat wajib serta tidak tinggal dalam mengerjakan solat-solat sunat. Dari Rabi'ah bin Ka'ab al Aslami, dia berkata: "Aku pernah bermalam bersama Rasulullah SAW, lalu aku mendatangi baginda sambil membawa air untuk wuduk baginda. Kemudian Rasulullah berkata kepadaku, 'Mintalah'. Aku berkata, 'Aku minta untuk dapat menemanimu di surga,' kemudian baginda berkata lagi, 'Selain dari itu?' Aku berkata, 'Itu saja'. Lalu Rasulullah bersabda yang bermaksud:

"Tolonglah aku atas dirimu dengan banyak bersujud" (Hadis Riwayat Muslim).

4.   Sayangilah kehidupan kita di negeri akhirat nanti. Kehidupan selama-lamanya yang tidak ada kematian lagi. Infiniti. Oleh itu buatlah persiapan semasa hidup ini untuk membolehkan kita mendapat syafaat nanti. Lima amalan di atas bukanlah sesuatu yang sangat sukar untuk diamalkan. Apa yang perlu ada ialah kesedaran dan keinsafan untuk menikmati kehidupan yang aman, damai dan sejahtera di dalam syurga. Selamat beramal. 

                            CERAMAH TUAN GURU NIK AZIZ - "TAFSIR SURAH AL-WAQIAH (HARI KIAMAT)"

“Orang akan tetap menjadi ahli ilmu yang sejati selama dia masih menuntut. Tetapi apabila pada suatu ketika dia berkata ‘aku sudah pandai’, maka sesungguhnya dia sudah menjadi bodoh dengan sendirinya”. ~~ Mutiara Kata Luqman Hakim

Sebahagian kandungan dipetik dari detikislam

Wednesday 24 August 2016

KETAHUI KELEBIHAN SOLAT SUNAT DHUHA


1.  Allah memuliakan waktu Dhuha dengan menjadikan Dhuha sebagai salah satu dari nama surah dalam Al-Quran, iaitu surah yang ke 93. Dalam ayat pertama surah tersebut Allah bersumpah yang berbunyi:


“Demi waktu Dhuha”

2.    Selain dalam surah Dhuha itu, perkataan Dhuha juga di firmankan oleh Allah dalam surah-surah berikut:


“Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main? {Petikan dari surah Al-'Araf [Tempat Yang Tinggi](7:98)


Nabi Musa menjawab: "Tempoh yang aku tetapkan untuk kamu itu ialah hari perayaan, dan hendaklah orang ramai berhimpun pada waktu dhuha". {Petikan dari surah Tha Ha (20:59)


“(Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya: seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja”. {Petikan dari surah An-Nazi'at [Malaikat Yang Mencabut](79:46)}.

3.  Waktu Dhuha ialah waktu yang bermula di awal pagi, iaitu setelah bermulanya naik matahari. Orang Islam sangat digalakkan menunaikan solat sunat Dhuha. Masuknya waktu dhuha bermula 28 minit setelah tamatnya waktu subuh (syuruk) dan berakhir apabila masuknya waktu Zuhur. Atau lebih tepatnya 9 minit sebelum masuk waktu Zuhur.

4. Solat Dhuha ialah salah satu solat sunat yang banyak kelebihan dan kemuliaan.  Antara kelebihannya berdasarkan sabda-sabda Rasulullah ialah seperti berikut:-

4.1.   “Barang siapa yang melaksanakan solat dhuha 2 rakaat, maka akan ditulis sebagai orang-orang yang tidak lalai dalam mengingat Allah. Barang siapa yang melaksanakan 4 rakaat, akan ditulis sebagai orang-orang yang suka beribadah. Barang siapa yang melaksanakan 6 rakaat, maka akan dicukupkan ia pada hari tersebut. Barang siapa yang melaksanakan 8 rakaat, akan ditulis sebagai orang- orang yang selalu berbuat taat. Dan barang siapa yang melaksanakan 12 rakaat, maka Allah akan membina baginya mahligai di dalam syurga”. (Hadis Riwayat Thabrani).

4.2.   “Sesungguhnya di dalam syurga terdapat pintu yang dinamakan pintu Dhuha.  Apabila tibanya kiamat maka aka ada suara yang berseru; “Dimanakah orang yang selalu mengerjakan solat Dhuha”. Inilah pintu kamu, maka masuklah kamu ke dalam syurga dengan rahmat Allah”. (Hadis Riwayat Thabrani dari Abu Hurairah).

4.3.   Solat Dhuha ibarat seperti mengeluarkan sedekah:

يُصْبِحُ عَلَى كُلِّ سُلاَمَى مِنْ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ فَكُلُّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ وَنَهْىٌ عَنِ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ وَيُجْزِئُ مِنْ ذَلِكَ رَكْعَتَانِ يَرْكَعُهُمَا مِنَ الضُّحَى

“Hendaklah masing-masing antara kamu bersedekah untuk setiap ruas tulang badanmu pada setiap pagi. Sebab setiap kali bacaan tasbih itu adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, menyuruh kepada kebaikan adalah sedekah, dan melarang berbuat munkar adalah sedekah. Dan sebagai ganti dari semua itu, maka cukuplah mengerjakan dua rakaat solat Dhuha.” (Hadis Riwayat Muslim).

4.4.   Allah mencukupkan nikmatnya. “Wahai anak Adam, janganlah engkau merasa lemah dari empat rakaat dalam mengawal harimu, nescaya Allah  akan mencukupkan mu  diakhirat nanti.” (Hadis Riwayat Abu Darda’).

4.5.  Barang siapa yang  menunaikan solat Dhuha mereka adalah tergolong dalam golongan orang yang bertaubat kepada Allah: “Tidaklah seseorang selalu mengerjakan solat Dhuha kecuali mereka telah tergolong sebagai orang yang bertaubat.” (Hadis Riwayat Hakim).

4.6.  Solat Dhuha merupakan ghanimah terbanyak. Satu hari Rasulullah SAW mendengar sahabatnya bercakap tentang ghanimah (harta rampasan perang), lalu baginda memberitahu amalan yang lebih banyak dari perolehan ghanimah.

مَنْ تَوَضَّأَ ثُمَّ غَدَا إِلىَ الْمَسْجِدِ لِسَبْحَةِ الضُّحىَ، فَهُوَ أَقْرَبُ مَغْزىً وَأَكْثَرُ غَنِيْمَةً وَأَوْشَكُ رَجْعَةً

“Barangsiapa berwuduk kemudian pergi pada waktu pagi ke masjid untuk menunaikan solat dhuha, maka hal itu adalah peperangan yang paling dekat, ghanimah yang paling banyak, dan kembalinya lebih cepat”. (Hadis Riwayat Termidzi dan Ahmad).

4.7.   “Barangsiapa yang selalu mengerjakan solat Dhuha nescaya akan diampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan.” (Hadis Riwayat Termizi).

5.   Begitulah tujuh kelebihan dan keutamaan solat Dhuha.  Solat Dhuha yang sangat mudah dikerjakan tapi pahalanya sangat besar disisi Allah.  Semasa hidup di dunia ini kita sangat mengambil berat kekayaan kita kononnya untuk kesenangan hidup.  Kenapakah pula kita alpa dan cuai untuk memikirkan harta kekayaan kita di negeri akhirat nanti.  Justeru, perbanyakkanlah solat Dhuha kerana ia ialah salah satu dari sumber kekayaan kita diakhirat nanti. Selamat beramal.

                                              Video bacaan surah Dhuha

“Orang yang menggali asas dasar dunia ini dan membina bangunan akhirat di atasnya adalah orang yang bijak. Kawan yang jahat ialah orang yang suka merosakkan orang yang sedang menuju ke jalan Allah. Barang siapa yang terlalu menyintai emas dan perak, dia akan dihina oleh Allah.” ~~ Mutiara Kata Imam Hassan Basri.
Sebahagian kandungan dipetik dari grup watsap Alumni 6AIP73.