Saturday, 13 August 2016

MENGENALI TANDA-TANDA ALLAH SAYANG KEPADA KITA



1.      Dalam surah Ali Imran[Keluarga Imran](3:31), Allah SWT berfirman yang berbunyi:

“Katakanlah (wahai Muhammad), jikalau engkau semua mencintai Allah, maka ikutilah aku, tentu engkau semua dicintai oleh Allah, serta Allah mengampuni dosamu semua dan Allah itu adalah Maha Pengampun lagi Penyayang.”
 
2. Disayangi/dicintai?. Alangkah bahagianya hidup ini jika kita disayangi/dicintai orang.  Disayangi ibu bapa, adik beradik, kawan taulan ataupun bos pejabat. Gembira tidak terkata lagi kita.  Tapi tahukah kita bahawa kemuncak kegembiraan itu ialah apabila kita disayangi oleh Allah SWT, pencipta alam serta segala isi di dalamnya termasuk semua manusia.  Inilah bahagia hakiki dan abadi untuk kita, memperolehi cinta Allah. Dengan memperolehinya, in sha Allah kehidupan kita di dunia dan akhirat pastinya bahagia.

3.   Apakah tanda-tanda Allah sayang/cinta kepada kita?.  Pastinya ia sesuatu yang perlu dicari dalam hidup ini dan beramal dengannya. Antara tanda-tanda itu ialah:

3.1.   ALLAH FAHAMKAN KITA AKAN AGAMANYA

3.1.1. Dalam surah Al-Mujadilah[Wanita Yang Bersoal jawab]   (58:11), Allah berfirman yang berbunyi:



“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan”.

3.1.2. Rasulullah SAW pula bersabda yang bermaksud: “Apabila Allah mencintai seseorang maka Dia membuatnya faham mengenai agamanya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

3.1.3. Faham kepada agama itu tidak akan datang menggolek. Kita perlu berusaha belajar dan mencari perkara agama. Pasti Allah akan fahamkan kita kepada agamanya seperti firmanNya itu. Justeru, semasa masih hidup ini berusahalah kita untuk mencari ilmu agama agar boleh menjadi orang yang beriman dan bertaqwa.

3.2.   MEMILIKI SIFAT CINTA MENCINTAI KERANA ALLAH

3.2.1.  Allah SWT berfirman; “Pasti akan mendapat cintaKu orang-orang yang cinta-mencintai kerana Aku, saling kunjung mengunjungi kerana Aku dan saling memberi kerana Aku.” [Hadis Qudsi].

Cinta yang tertinggi dan paling mulia ialah cinta kepada Allah SWT diikuti dengan cinta kepada Rasulullah SAW, ibu bapa dan barulah manusia-manusia lain. Jangan jadikan diri  kita orang yang cintakan manusia lain kerana nafsu syahwat, harta-benda dan keduniaan semata-mata. 

3.3.   SENTIASA BERZIKIR PADA ALLAH

3.3.1.   Diriwayatkan bahawa Nabi Musa pernah berkata;  Wahai Rabb Ku Yang Maha Mulia, Bagaimana aku dapat membezakan antara orang yang engkau cintai dengan orang yang engkau?”. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud:  “Wahai Musa, Sesungguhnya jika Aku mencintai seorang hamba, maka Aku akan menjadikan dua tanda kepadanya”. 

Nabi Musa bertanya lagi; “Wahai Rabb, apa kedua tanda itu?”.
Allah SWT menjawab dengan firmanNya:  “Aku akan mengilhamkannya agar dia berzikir kepadaKu, agar Aku dapat menyebutnya di kerajaan langit dan Aku akan menahannya dari lautan murkaKu, agar dia tidak terjerumus dalam azab dan siksaKu.”

3.3.2. Begitulah besarnya fadhilat zikir.  Perkara yang sangat mudah untuk dilafazkan tetapi tersangat besar kelebihan dan kebaikannya. Namun kerana dorongan iblis ia menjadikan kita leka dan malas untuk berzikir kepada Allah.

3.4.   SABAR DAN REDHA DENGAN UJIAN-UJIAN ALLAH

          3.4.1.  Dalam surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:155), Allah SWT berfirman yang berbunyi:



Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar”.

          (2:156)




     (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

          (2:157)



     Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.

3.4.2.   Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; 

(i) “Sesungguhnya besarnya pahala sebanding dengan besarnya ujian. Dan sesungguhnya jika Allah mencintai suatu kaum pasti Dia menguji mereka. Maka siapa yang redha (terhadapnya) maka baginya keredhaan Allah, dan siapa yang marah (terhadapnya) maka baginya kemurkaan Allah.” (Hadis Riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah).

(ii) “Kalau Allah menghendaki kebaikan kepada hambaNya, maka akan disegerakan hukumannya di dunia, kalau mengkehendaki kepada hambaNya keburukan, maka ditahan (siksanya) kerana dosanya sampai penuh nanti di hari kiamat.”  (Hadis Riwayat Tirmizi)

3.4.3. Oleh itu jika kita diuji oleh Allah dengan pelbagai bentuk ujian maka brsabarlah. Kerana ia adalah salah satu tanda sayang Allah kepada kita. Bersabar adalah sebaik-baik penyelesaian.

3.4.4. Iangatlah sesungguhnya golongan manusia yang sangat hebat dan berat ujian Allah ialah para nabi dan rasul. Ini kerana Allah mahu meninggikan derjat mereka dan supaya kita mampu mencontohi mereka.

3.5.   MENGAKHIRI HIDUP DENGAN HUSNUL KHATIMAH

3.5.1. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Jika Allah mencintai seorang hamba, Dia akan memaniskannya.”

Sahabat bertanya: “Apakah itu memaniskannya, ya Rasulullah?”

Rasulullah menjawab; “Dia akan memberinya petunjuk untuk melakukan kebaikan ketika menjelang ajalnya, sehingga tetangga akan meredhainya (atau ia berkata) orang sekelilingnya.” (Hadis Riwayat Al-Hakim).

3.5.2.    Bagaimana cara mengakhiri kehidupan dengan husnul khatimah.  Melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya.  Merealisasikan perintah Allah, "amal makruf, nahi mungkar" dalam hidup kita.

4.     Sesungguhnya kehidupan kita di dunia ini sementara sahaja. Selain dari itu ia sangatlah sekejap.  Paling lama pun 70 atau 80 tahun. Justeru berlumba-lumbalah kita untuk berusaha dan beramal seperti dinyatakan atas agar kita menjadi hamba Allah yang dicintai/disayanginya.  Ia hanyalah sebahagian kecil tip yang dapat saya kongsikan. Ingatlah bahawa kita tidak boleh masuk syurga kerana solat kita, puasa kita, haji kita, sedekah kita atau sebagainya. Kita hanya boleh masuk syurga kerana rahmat dari Allah SWT.  Bagaimana memperolehi rahmat Allah?.  Salah satu caranya ialah beramal dengan perkara-perkara yang disayangi dan dicintai Allah.   

   
“Hidup ini tumpang menumpang...disitulah lahirnya syukur kita kepada Allah. Pada sepinggan nasi yang kita makan, disitu ada nasi yang diusahakan oleh petani, ada ikan yang dicari oleh nelayan, ada ayam yang dipelihara oleh penternak. Betapa banyaknya pihak yang bekerja untuk memberikan sepinggan nasi kepada kita..alangkah kerdilnya kita dibumi Allah SWT...maka siapalah kita untuk menolak agama Allah...?” ~~ Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.

Sebahagian kandungan dipetik dari detikislam

No comments:

Post a Comment