Wednesday, 3 August 2016

SEJARAH ISLAM DI NEGARA TIRAI BULUH ( CHINA)

1.      Dalam Surah As-Shaaf[Barisan](61:9), Allah SWT telah berfirman yang berbunyi:



 “Dialah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad SAW) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.” {Petikan dari Surah As-Shaaf[Barisan](61:9)}

2.      Rasulullah SAW pernah bersabda yang berbunyi:

ليبلغن هذا الأمر ما بلغ الليل والنهار ولا يترك الله بيت مدر ولا وبر
الا أدخله الله هذا الدين بعز عزيز أو بذل ذليل عزا يعز الله به

“Pasti akan sampai urusan ini (Islam) ke mana sahaja sampainya malam dan siang. Allah tidak akan tinggalkan satu rumah si kaya mahupun si miskin, kecuali akan dimasukkan oleh Allah agama ini…” (Riwayat Al-Hakim dan al-Baihaqi ; Berkata Al-Hakim : Hadith ini sahih menurut syarat al-Bukhari & Muslim. Ia juga dipersetujui oleh Imam Az-Zahabi).

 
                                                  WILAYAH-WILAYAH DI CHINA

 
                                                BANDAR-BANDAR UTAMA DI CHINA

3.      China adalah salah sebuah negara terbesar di dunia dengan penduduknya melebihi 1.3 billion orang.  Bilangan orang Islam di China kini dikatakan melebihi 22 juta orang. Bilakah Islam telah datang ke China?. Mengikut catatan rasmi dari Dinasti Tang yang memerintah China dari tahun 618 Masihi hingga 905 Masihi, Islam pertama kali datang ke China sekitar tahun 30 Hijrah atau 651 Masihi. Disebutkan, Islam masuk ke Negara China melalui utusan yang dikirim oleh Khalifah Usman bin Affan (23 hingga 35 H / 644 hingga 656 M). Catatan sama terdapat dalam buku “A Brief Study of the Introduction of Islam to China” karangan Chen Yuen.

4.      Menurut catatan lain dari Lui Tschih, seorang penulis China beragama Islam pada abad ke18 dalam karyanya “Chee Chea Sheehuzoo (Perihal Kehidupan Nabi)”, Islam dibawa ke China oleh rombongan dagang yang diketuai oleh Saad bin Abi Waqqas (bapa saudara Rasulullah sebelah ibunya) pada tahun 616 Masihi. Catatan tersebut menyatakan, Saad bin Abi Waqqas dan tiga sahabat lainnya datang ke China dari Abyssinia (kini dipanggil Ethiopia). Dikatakan setelah kunjungan pertamanya ke China, Saad kemudian kembali semula ke Arab. Kemudian dia datang semula ke China 21 tahun kemudian atau pada masa pemerintahan Khalifah Usman bin Affan dengan membawa salinan Al Quran. Pada masa pemerintahan Usman Affan Al-Quran telah dibukukan. 

5.      Diriwayatkan, bagi kedatangannya kali kedua ke China pada tahun  650 Masihi, Saad dan sahabatnya berlayar melalui Lautan Hindi ke Laut China menuju pelabuhan di Guangzhou (dulu dipanggil Canton). Mereka datang membawa hadiah dan diterima dengan baik oleh Maharaja dari  Dinasti Tang, iaitu Kao-Tsung (650M – 683M). Walaupun maharaja tidak menerima ajaran Islam tetapi beliau tidak pula menghalang pengembangan agama Islam yang dirasakannya sesuai dengan ajaran Konfusius. Orang China menyebut Islam sebagai Yi si lan Jiao atau agama yang murni. Kota Makkah pula disebut sebagai tempat kelahiran Ma-hia-wu (atau Rasulullah Muhammad SAW). 

6.      Dikatakan Saad bin Abi Waqqas kemudiannya menetap di Guangzhou dan beliau telah mendirikan Masjid Huaisheng yang menjadi salah satu simbol Islam paling berharga di China yang berusia melebihi 1,300 tahun. Ia terletak di Jalan Guang Ta Lu. Kini masjid ini masih wujud setelah beberapa kali melalui proses pembaikan. Masjid Huaisheng ini kemudian dijadikan Masjid Raya Guangzhou (Remember the Sage) atau masjid untuk mengenang Nabi Muhammad SAW. Masjid ini juga dikenali dengan nama Masjid Guang ta, kerana masjid dengan menara yang indah ini yang letaknya di Jalan Guangta. Ta bererti menara kerana menurut sejarahnya menara masjid ini adalah yang tertinggi pada masa pembinaannya jika dibandingkan dengan bangunan lain. 

 
                                                  MASJID RAYA GUANGZHOU



                                   VIDEO MASJID RAYA GUANGZHOU

                                                               
                                   
                              VIDEO SOLAT HARI RAYA DI MASJID RAYA
 
7.      Sebahagian orang  percaya Saad bin Abi Waqqas menghabiskan baki hidupnya di Guangzhou dan meninggal di sana. Sebuah pusara dikatakan sebagai makamnya. Makamnya menjadi tempat kunjungan pelancong, khususnya orang Islam dari seluruh dunia. Walau bagaimanapun, ada pendapat mengatakan Saad bin Abi Waqqas di kembumikan di kawasan makam para sahabat di perkuburan Baqi’, dekat Madinah. 


                             Pintu gerbang ke makam Saad Abi Waqqas



                                  Pusara Allahyarham Saad Abi Waqqas


                        Masjid untuk mendirikan solat Jumaat di tepi makam

                 Telaga yang telah digali oleh Saad Abi Waqas masih boleh
                 digunakan hingga kini

8.      Walaupun tidak dapat dipastikan di mana sebenarnya Saad bin Abi Waqqas meninggal dan dimakamkan, namun yang pasti beliau telah memainkan peranan penting dalam usaha membawa dan mengembangkan  Islam di China. Ada juga pendapat mendakwa, walaupun di  China itu bukan makamnya tetapi ia kemungkinan kepunyaan anak cucunya atau mana-mana orang Arab lain yang mempunyai jasa besar kepada perkembangan Islam di China. Wallahuaklam.

9.         Pada peringkat awalnya, orang Islam di China adalah terdiri dari para saudagar dari Arab dan Parsi. Orang China yang pertama memeluk Islam adalah suku Hui Chi. Ketika Dinasti Song memerintah, orang Islam dikatakan telah ramai menguasai sektor import dan eksport. Pada tahun 1070 Masihi, Maharaja Shenzong dari Dinasti Song telah mengundang 5,300 orang pemuda Islam dari Bukhara untuk tinggal di China. Tujuannya ialah untuk membangunkan zon penyanggah antara China dengan Kerajaan Liao di wilayah Timur Laut. Orang-orang dari Bukhara menetap di daerah antara Kaifeng dan Yenching (Beijing). Mereka dipimpin oleh Pangeran Amir Sayyid alias ‘So-Fei Er’, yang kemudian dikenali sebagai ketua komuniti Islam China.

10.    Di era kekuasaan Dinasti Mongol Yuan dari tahun 1274 M -1368 M, jumlah penganut Islam di China semakin ramai. Dinasti Mongol telah memberi kesempatan kepada pendatang Islam untuk naik status menjadi China Han hingga pengaruh umat Islam di China semakin kuat. Ratusan ribu imigran Islam di wilayah Barat dan Asia Tengah telah direkrut oleh Dinasti Mongol untuk membantu perluasan wilayah dan memperkuatkan dinastinya. Bangsa Mongol menggunakan jasa orang Parsi, Arab dan Uyghur untuk mengurus perniagaan dan kewangan. 

11.    Pada masa kerajaan Dinasti Ming, orang Islam masih memiliki pengaruh yang kuat di kalangan pemerintah. Pengasas Dinasti Ming, Zhu Yuanzhang adalah seorang jeneral Islam yang terkemuka. Ketika pemerintahan Maharaja Yong Le (Zhu Di) muncul seorang ahli pelayaran Islam terkenal bernama Laksamana Cheng Ho.

12.    Penduduk di Negara China dikatakan terdiri dari sejumlah 56 etnik.  Etnik yang menganut Islam paling ramai  ialah etnik Hui diikuti Uyghur, Kazakh, Tartar, Salar, Dongxiang, Tajik, Uzbek.  Mereka ramai tinggal di wilayah-wilayah Xinjiang, Gansu, Shaanxi, Ningxia, Yunnan dan Hainan. Etnik Hui mudah dikenali dengan penampilan lelaki mereka yang berkopiah putih serta sebahagiannya berjanggut manakala kaum wanitanya pula ramai yang  berjilbab. Di kota-kota besar dapat dilihat kebanyakan dari mereka  membuka warung makanan/restoran dengan ciri khas bertuliskan tulisan Arab di pintu masuk. 

13.    Etnik Islam kedua terbesar adalah Uyghur yang berasal dari Turki, Asia Tengah. Kebanyakan mereka tinggal di Daerah Otonomi Xinjiang yang terletak di bahagian Barat China. Suku ini terkenal dengan kemampuan mereka mengolah emas, batu, sutera dan barang-barang kulit. 

14.    Etnik lain yang berasal Turki adalah Kazakh. Etnik ini umumnya tidak lancar berbahasa Mandarin dan mereka memiliki bahasa dan huruf sendiri yang didasarkan pada huruf Arab. Suku Kazakh tinggal di Wilayah Xinjiang. Kebanyakan mereka bekerja sebagai penternak, petani dan pedagang. 

15.    Etnik berikutnya ialah Dongxiang yang memiliki hubungan darah dengan masyarakat Mongolia. Kebanyakan mereka tinggal di Linxia Hui dan daerah sekitar Gansu, Daerah otonomi Xinjiang Uyghur, Qinhai dan Daerah Otonomi Ningxia Hui. Nama Dongxiang diambil dari tempat tinggal mereka, iaitu Dongxiang. Bahasa etnik ini mirip dengan Mongolia, khususnya cabang Mongolia dari keluarga bahasa Altai. Sebahagian besar mereka boleh berbicara Mandarin. Pekerjaan utama mereka adalah bertani. Etnik Kyrgyz pula berasal dari Turki. Mereka tinggal di Daerah otonomi Uyghur Xinjiang. Etnik lain seperti Salar tinggal di Qinghai, Gansu dan Xinjiang. Kebanyakan mereka mampu berbicara bahasa Mandarin dan Tibet. Nenek moyang mereka adalah orang-orang Samarkand dari Uzbekistan. Seperti juga etnik  masyarakat Ningxia Hui, wanita-wanitanya gemar menggunakan tudung hitam di kepala yang menutupi pakaian. Etnik Tajik adalah merupakan keturunan orang-orang Islam dari Iran. Mereka menetap di Wilayah Xinjiang manakala etnik Uzbek pula tinggal di kota Yining dan juga Xinjiang.

16.    Pada tahun 2010  dianggarkan umat Islam di China berjumlah melebihi 22 juta orang  yang menetap di beberapa wilayah. Di anggarkan juga terdapat sebanyak 35,000 buah masjid. Pembinaan masjid adalah dengan menggunakan dana masyarakat Islam sendiri dengan sedikit subsidi atau bantuan dari kerajaan. Masyarakat etnik Hui adalah kumpulan komuniti Islam terbesar di China iaitu meliputi 90 peratus daripada jumlah penduduk yang beragama Islam. Mereka banyak membantu perkembangan tamadun Negara China. Masjid tidak hanya dijadikan pusat ibadat tetapi juga merangkumi aktiviti kemasyarakatan dan pendidikan. Masjid juga berfungsi untuk  membina kekuatan dan penyatuan umat Islam China. Kesan dari tamadun Islam di China telah berjaya melahirkan alim ulama dan tokoh ilmuan Islam terkenal seperti  Wang Daisyu dan Yusuf Ma Zhu yang memberi sumbangan besar kepada pembinaan Negara China. 

17.    Apakah umat Islam di China kini boleh hidup dalam keadaan aman damai?. Sebenarnya tidak. Orang Islam dari etnik Uighur seramai lebih kurang 8 juta orang di Xinjiang telah lama menderita di bawah kekuasaan kerajaan Komunis China. Daerah Xinjiang  kaya dengan sumber semulajadi seperti  minyak dan gas.  Sekitar 121 jenis bahan galian dari 148 jenis yang dihasilkan China terdapat di Xinjiang. Xinjiang berkeluasan satu perenam keluasan Negara China menjadi gerbang ke wilayah Asia Tengah, berkongsi sempadan dengan empat buah negara seperti Mongolia, Kazakhstan, Kirgizstan dan Pakistan. Etnik Uighur bercakap dalam bahasa Turki telah lama berusaha melepaskan diri dari kerajaan pusat Beijing. Mereka menentang keberadaan etnik Han (penduduk majoriti) yang berbeza agama dan bahasa.

18.    Seperti juga Tibet, Xinjiang adalah  kawasan bergolak. Di kedua wilayah itu, pemerintah China melakukan penindasan dan berusaha mengawal kehidupan beragama dan budaya penduduk. Namun yang menjadi berita dunia selama ini hanyalah di Tibet. Penindasan di Xinjiang amat sedikit diketahui masyarakat antarabangsa. Rejim Komunis China telah menekan penduduk Islam, membakar buku-buku agama Islam, merosakkan dan menutup masjid serta berusaha menghilangkan identiti Islam dari wilayah itu. Malah amalan berpuasa dalam bulan Ramadan juga cuba disekat dan penduduk Islam dipaksa makan pada siang hari.

19.    Marilah kita orang Islam bersama-sama membela saudara Islam yang sedang ditindas dan dizalimi ini. Paling kurang pun kita memanjatkan doa kepada Allah SWT agar mereka sentiasa dalam rahmat dan perlindunganNya.                                                         

Tapak kaki kita kalau dah keras, pijak paku dan duri pun tidak terasa apa sebab tumitnya sudah keras. Tetapi kalau tapak kaki yang lembut, terpijak duri sikit sahaja sudah berdarah. Demikian jugalah hati, kalau ia dah keras tak terasa lagi bersalah kalau buat dosa. ~~ Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

No comments:

Post a Comment