Wednesday, 24 August 2016

KETAHUI KELEBIHAN SOLAT SUNAT DHUHA


1.  Allah memuliakan waktu Dhuha dengan menjadikan Dhuha sebagai salah satu dari nama surah dalam Al-Quran, iaitu surah yang ke 93. Dalam ayat pertama surah tersebut Allah bersumpah yang berbunyi:


“Demi waktu Dhuha”

2.    Selain dalam surah Dhuha itu, perkataan Dhuha juga di firmankan oleh Allah dalam surah-surah berikut:


“Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main? {Petikan dari surah Al-'Araf [Tempat Yang Tinggi](7:98)


Nabi Musa menjawab: "Tempoh yang aku tetapkan untuk kamu itu ialah hari perayaan, dan hendaklah orang ramai berhimpun pada waktu dhuha". {Petikan dari surah Tha Ha (20:59)


“(Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya: seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja”. {Petikan dari surah An-Nazi'at [Malaikat Yang Mencabut](79:46)}.

3.  Waktu Dhuha ialah waktu yang bermula di awal pagi, iaitu setelah bermulanya naik matahari. Orang Islam sangat digalakkan menunaikan solat sunat Dhuha. Masuknya waktu dhuha bermula 28 minit setelah tamatnya waktu subuh (syuruk) dan berakhir apabila masuknya waktu Zuhur. Atau lebih tepatnya 9 minit sebelum masuk waktu Zuhur.

4. Solat Dhuha ialah salah satu solat sunat yang banyak kelebihan dan kemuliaan.  Antara kelebihannya berdasarkan sabda-sabda Rasulullah ialah seperti berikut:-

4.1.   “Barang siapa yang melaksanakan solat dhuha 2 rakaat, maka akan ditulis sebagai orang-orang yang tidak lalai dalam mengingat Allah. Barang siapa yang melaksanakan 4 rakaat, akan ditulis sebagai orang-orang yang suka beribadah. Barang siapa yang melaksanakan 6 rakaat, maka akan dicukupkan ia pada hari tersebut. Barang siapa yang melaksanakan 8 rakaat, akan ditulis sebagai orang- orang yang selalu berbuat taat. Dan barang siapa yang melaksanakan 12 rakaat, maka Allah akan membina baginya mahligai di dalam syurga”. (Hadis Riwayat Thabrani).

4.2.   “Sesungguhnya di dalam syurga terdapat pintu yang dinamakan pintu Dhuha.  Apabila tibanya kiamat maka aka ada suara yang berseru; “Dimanakah orang yang selalu mengerjakan solat Dhuha”. Inilah pintu kamu, maka masuklah kamu ke dalam syurga dengan rahmat Allah”. (Hadis Riwayat Thabrani dari Abu Hurairah).

4.3.   Solat Dhuha ibarat seperti mengeluarkan sedekah:

يُصْبِحُ عَلَى كُلِّ سُلاَمَى مِنْ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ فَكُلُّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ وَنَهْىٌ عَنِ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ وَيُجْزِئُ مِنْ ذَلِكَ رَكْعَتَانِ يَرْكَعُهُمَا مِنَ الضُّحَى

“Hendaklah masing-masing antara kamu bersedekah untuk setiap ruas tulang badanmu pada setiap pagi. Sebab setiap kali bacaan tasbih itu adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, menyuruh kepada kebaikan adalah sedekah, dan melarang berbuat munkar adalah sedekah. Dan sebagai ganti dari semua itu, maka cukuplah mengerjakan dua rakaat solat Dhuha.” (Hadis Riwayat Muslim).

4.4.   Allah mencukupkan nikmatnya. “Wahai anak Adam, janganlah engkau merasa lemah dari empat rakaat dalam mengawal harimu, nescaya Allah  akan mencukupkan mu  diakhirat nanti.” (Hadis Riwayat Abu Darda’).

4.5.  Barang siapa yang  menunaikan solat Dhuha mereka adalah tergolong dalam golongan orang yang bertaubat kepada Allah: “Tidaklah seseorang selalu mengerjakan solat Dhuha kecuali mereka telah tergolong sebagai orang yang bertaubat.” (Hadis Riwayat Hakim).

4.6.  Solat Dhuha merupakan ghanimah terbanyak. Satu hari Rasulullah SAW mendengar sahabatnya bercakap tentang ghanimah (harta rampasan perang), lalu baginda memberitahu amalan yang lebih banyak dari perolehan ghanimah.

مَنْ تَوَضَّأَ ثُمَّ غَدَا إِلىَ الْمَسْجِدِ لِسَبْحَةِ الضُّحىَ، فَهُوَ أَقْرَبُ مَغْزىً وَأَكْثَرُ غَنِيْمَةً وَأَوْشَكُ رَجْعَةً

“Barangsiapa berwuduk kemudian pergi pada waktu pagi ke masjid untuk menunaikan solat dhuha, maka hal itu adalah peperangan yang paling dekat, ghanimah yang paling banyak, dan kembalinya lebih cepat”. (Hadis Riwayat Termidzi dan Ahmad).

4.7.   “Barangsiapa yang selalu mengerjakan solat Dhuha nescaya akan diampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan.” (Hadis Riwayat Termizi).

5.   Begitulah tujuh kelebihan dan keutamaan solat Dhuha.  Solat Dhuha yang sangat mudah dikerjakan tapi pahalanya sangat besar disisi Allah.  Semasa hidup di dunia ini kita sangat mengambil berat kekayaan kita kononnya untuk kesenangan hidup.  Kenapakah pula kita alpa dan cuai untuk memikirkan harta kekayaan kita di negeri akhirat nanti.  Justeru, perbanyakkanlah solat Dhuha kerana ia ialah salah satu dari sumber kekayaan kita diakhirat nanti. Selamat beramal.

                                              Video bacaan surah Dhuha

“Orang yang menggali asas dasar dunia ini dan membina bangunan akhirat di atasnya adalah orang yang bijak. Kawan yang jahat ialah orang yang suka merosakkan orang yang sedang menuju ke jalan Allah. Barang siapa yang terlalu menyintai emas dan perak, dia akan dihina oleh Allah.” ~~ Mutiara Kata Imam Hassan Basri.
Sebahagian kandungan dipetik dari grup watsap Alumni 6AIP73. 

1 comment: