1. Di dalam Al-Quran, ada beberapa ayat dan surah di mana Allah berfirman tentang syafaat,
iaitu:
“Allah
mengetahui apa yang di hadapan mereka (yang telah mereka lakukan), dan apa yang
di belakang mereka (yang akan mereka lakukan); dan mereka tidak memohon syafaat melainkan bagi sesiapa yang diredhai Allah;
dan mereka pula sentiasa cemas takut daripada ditimpa azabNya”.{Petikan
dari surah Al-Anbiya[Para Nabi](21:28)}.
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Syafaat itu semuanya hak
kepunyaan Allah; Dia lah Yang Menguasai segala urusan langit dan bumi; kemudian
kamu akan dikembalikan kepadaNya (untuk menerima balasan)." {Petikan
dari surah Az-Zumar [Rombongan-Rombongan](39:44)}.
“(Golongan
yang musyrik mengharapkan pertolongan benda-benda yang mereka sembah itu)
padahal berapa banyak malaikat di langit, syafaat
mereka tidak dapat mendatangkan sebarang faedah, kecuali sesudah Allah
mengizinkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan diredhaiNya”. {Petikan
dari surah An-Najm [Bintang](53:26)}.
“Maka
tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (kalaulah
ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat
itu”. {Petikan dari surah Al-Muddaththir[Orang
Yang Berselimut](74:48)}.
2. Kita selalu mendengar perkataan syafaat. Tetapi tahukah apakah maksud syafaat itu?.
Syafaat berasal dari perkataan asy-sayafa’
(ganda) yang merupakan lawan perkataan al-witru
(tunggal), iaitu menjadikan sesuatu yang tunggal menjadi berganda. Contohnya seperti satu menjadi dua, dua
menjadi tiga, tiga menjadi empat dan
sebagainya. Ini adalah pengertian secara bahasa. Dari segi istilahnya pula, syafaat bermaksud
menjadi penengah bagi orang lain dengan memberikan manfaat kepadanya atau
menolak mudarat, iaitu pemberi syafaat itu memberikan manfaat kepada orang yang
diberi syafaat atau menolak mudarat untuknya.
3. Syafaat lazimnya dikaitkan dengan
pertolongan atau bantuan dari Rasulullah SAW tatkala seseorang itu berada di
Padang Mahsyar nanti untuk menantikan perbicaraan di hadapan Allah SWT. Di
Padang Mahsyar nanti tidak ada seorang manusia pun yang boleh memberi
pertolongan kepada manusia lain, hatta ibu bapa kita sendiri. Hanya Rasulullah
sahaja yang diizinkan oleh Allah untuk memberi pertolongan (syafaat) kepada
orang Islam lain. Selain dari itu syafaat juga datang dari beberapa amalan yang
kita kerjakan. Rasulullah memberi tahu mengenai sebahagian amalan yang boleh
mendatangkan syafaat di hari kiamat nanti. Apakah amalan-amalan baik itu?. Bagi
posting kali ini kita akan sama-sama mengikuti lima
dari pelbagai amalan yang membolehkan seseorang Islam mendapat syafaat di
akhirat nanti.
3.1. IKHLAS
DALAM IBADAH KEPADA ALLAH SWT:
Semasa
hidup ini kita mungkin mengerjakan pelbagai amalan/ibadah yang baik-baik yang
dituntut oleh agama Islam. Tetapi
sekadar beramal sahaja tidak memadai.
Yang lebih penting dan utama ialah mengikhlaskan
segala amalan/ibadah hanya semata-mata untuk dan kerana Allah SWT. Amalan yang
mempunyai niat selain darinya tidak ada apa-apa harga dan nilai dari Allah SWT.
Rasulullah
SAW pernah ditanya: "Siapakah orang yang paling bahagia dengan syafaatmu
pada hari Kiamat?" Rasilullah menjawab: "Yang paling bahagia dengan syafaatku pada hari Kiamat adalah orang yang
mengucapkan Laa ilaahaa illallaah dengan ikhlas dari hatinya atau dirinya."
(Hadis Riwayat Bukhari).
3.2. MENGIKUTI
AJARAN DAN SUNAH RASULULLAH SAW:
Rasulullah
SAW ialah sebagai Uswatun Hasanah yang bererti
contoh teladan yang terbaik untuk umat manusia. Beliau ialah pilihan Allah SWT
yang diutus untuk menyampaikan ajaran yang benar iaitu agama Islam. Justeru,
kita sebagai orang Islam wajib meniru dan mencontohi kepribadian baginda yang sangat
mulia. Tentang diri Rasulullah ini, Allah SWT berfirman dalam surah Al Ahzab [Perang Ahzab](33:21) yang
berbunyi:
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada
diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa
mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula
menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”.
Untuk
dapat mencontohi akhlak dan sifat Rasulullah SAW perlu banyak belajar dari
Al-Quran dan hadis baginda. Sifat Rasulullah SAW yang utama ialah:
Siddiq : ertinya jujur dan tidak mungkin bagi Rasulullah memiliki sifat
bohong. Jujurnya bukan hanya dalam pekerjaan malah perkataannya. Apa yang
dikata, disampaikan serta dilakukan
adalah benar dan tidak bohong. Ini kerana akhlak Rasulullah adalah cerminan
dari perintah Allah SWT.
Amanah : ertinya
dapat dipercayai. Tidak mungkin bagi Rasulullah bersifat khianat atau tidak
dapat dipercayai. Rasulullah tidak berbuat sesuatu yang melanggar perintah Allah
SWT. Rasulullah sangat taat kepada Allah SWT dalam menyampaikan risalah dari Allah
SWT.
Tabligh : ertinya
menyampaikan. Rasulullah sama sekali tidak menyembunyikan apa jua wahyu dari
Allah untuk disampaikan kepada umatnya walaupun yang disampaikan itu pahit dan
bertentangan dengan tradisi orang kafir. Rasulullah menyampaikan risalah secara
sempurna sesuai dengan perintah Allah SWT.
Fathonah : ertinya
cerdik. Rasulullah memiliki kecerdikan luar biasa bagi membolehkannya menyampaikan wahyu yang telah diterima dari
Allah SWT. Jika bodoh bagaimana mungkin Rasulullah dapat menyampaikan wahyu dan
perintah Allah kepada manusia.
Sifat-sifat
lain yang dimiliki Rasulullah ialah sabar,
penyayang, bertimbang rasa, budiman, dermawan, berani, tegas dan lain-lain.
3.3. BERSELAWAT
KEPADA RASULULLAH SAW:
Lazimilah
berselawat kepada Rasulullah SAW. Dari Ibnu Mas'ud, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda
yang bermaksud:
"Orang yang paling berhak mendapatkan
syafaatku pada hari kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat
kepadaku" (Hadis Riwayat Tirmidzi).
"Barang siapa yang berselawat
kepadaku di pagi hari 10 kali dan di petang hari 10 kali, maka dia akan
mendapatkan syafaatku pada hari kiamat." (Hadis Riwayat
Ath-Thabrani).
Sungguh
mudah untuk mendapatkan syafaat dari Rasulullah. Hanya dengan mengucapkan selawat yang paling
ringkas “Allahumma salliala Muhammad”
seseorang boleh mendapatkan syafaatnya.
Berbahagialah orang yang sentiasa basah bibirnya untuk berselawat kepada Rasulullah.
3.4. BERPUASA
(WAJIB ATAUPUN SUNAT):
Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud:
"Puasa dan membaca Al-Quran akan
memberi syafaat kepada seorang hamba pada hari kiamat kelak. Puasa akan
berkata: "Wahai, Rabb-ku. Aku telah menahannya dari makan pada siang hari
dan nafsu syahwat. Oleh itu, perkenankan aku untuk memberi syafaat kepadanya".
Al-Quran pula berkata: "Aku telah melarangnya dari tidur pada malam hari.
Oleh itu, perkenankan aku untuk memberi syafaat kepadanya ". Maka keduanya
pun memberi syafaat.” (Hadis Riwayat
Ahmad dan Al Hakim).
3.5. MEMPERBANYAKKAN
SUJUD:
Maksud
memperbanyakkan sujud ialah sentiasa menunaikan solat wajib serta tidak tinggal
dalam mengerjakan solat-solat sunat. Dari Rabi'ah bin Ka'ab al Aslami, dia
berkata: "Aku pernah bermalam bersama Rasulullah SAW, lalu aku mendatangi
baginda sambil membawa air untuk wuduk baginda. Kemudian Rasulullah berkata
kepadaku, 'Mintalah'. Aku berkata,
'Aku minta untuk dapat menemanimu di surga,' kemudian baginda berkata lagi, 'Selain dari itu?' Aku berkata, 'Itu
saja'. Lalu Rasulullah bersabda yang bermaksud:
"Tolonglah aku atas dirimu dengan
banyak bersujud" (Hadis Riwayat Muslim).
4. Sayangilah kehidupan kita di negeri akhirat nanti. Kehidupan
selama-lamanya yang tidak ada kematian lagi. Infiniti. Oleh itu buatlah
persiapan semasa hidup ini untuk membolehkan kita mendapat syafaat nanti. Lima
amalan di atas bukanlah sesuatu yang sangat sukar untuk diamalkan. Apa yang
perlu ada ialah kesedaran dan keinsafan untuk menikmati kehidupan yang aman, damai dan sejahtera
di dalam syurga. Selamat beramal.
CERAMAH TUAN GURU NIK AZIZ - "TAFSIR SURAH AL-WAQIAH (HARI KIAMAT)"
“Orang akan tetap menjadi ahli ilmu yang sejati selama dia masih menuntut. Tetapi apabila pada suatu ketika dia berkata ‘aku sudah pandai’, maka sesungguhnya dia sudah menjadi bodoh dengan sendirinya”. ~~ Mutiara Kata Luqman Hakim
Sebahagian kandungan dipetik dari
detikislam
No comments:
Post a Comment