Friday, 2 September 2016

AMALAN UNTUK MEMPEROLEHI SYAFAAT DI PADANG MAHSYAR (BAHAGIAN 2)


1.  Bagi posting kali ini saya akan lanjutkan perbincangan mengenai amalan-amalan baik dan mulia yang boleh  memungkinkan kita memperolehi syafaat di negeri akhirat.  Ia adalah sambungan dari artikel sebelum ini bertarikh 29.8.2016.  Amalan-amalan itu ialah:

1.1. MEMBACA AL-QURAN, MENTADABBURINYA DAN MENGAMALKAN ISINYA:


1.1.1.     Membaca Al-Quran adalah ibarat perniagaan yang tidak pernah rugi.  Di dalam surah Fathir[Pencipta](35:29), Allah SWT berfirman yang berbunyi:
 

“Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian”.

(35:30)
 

“Supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahi mereka dari limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya).”

1.1.2. Abdullah ibn Mas’ud ra berkata; Rasulullah SAW bersabda yang berbunyi:

عَنْ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم :
مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ، وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لاَ أَقُولُ الم حَرْفٌ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ، وَلامٌ حَرْفٌ، وَمِيمٌ حَرْفٌ.

“Barang siapa yang membaca satu huruf dari Al-Quran maka baginya satu kebaikan, dan kebaikan itu akan dilipatgandakan sepuluh kali. Aku tidak mengatakan bahwa (alif laam mim) itu satu huruf, akan tetapi alif satu huruf, lam satu huruf, dan mim satu huruf”. (Hadis Riwayat Tirmizi).

1.1.3. Kebaikan lain membaca Al-Quran ialah Al-Quran itu akan menjadi syafaat dihari akhirat. Abu Umamah r.a berkata; Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Bacalah Al-Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya”. (Hadis Riwayat Muslim).

1.1.4. Al-Quran akan menjadi sebagai pembela untuk mempertahankan  pembacanya dihari akhirat. Nawwas bin Sam’an r.a. telah berkata ; Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Di hari akhirat kelak akan didatangkan Al-Quran dan orang yang membaca dan mengamalkan isi kandungannya, didahului dengan Surah Al Baqarah dan Surah Ali-Imraan, kedua-dua surah ini menghujah (mempertahankan) orang yang membaca dan mengamalkannya”. (Hadis Riwayat Muslim).

1.2.   SOLAT JENAZAH UNTUK SAUDARANYA:


1.2.1. Sekumpulan orang yang menyembahyangkan mayat saudaranya akan memperolehI syafaat dari Rasulullah SAW di hari akhirat kelak. Perkara ini telah disabdakan Rasulullah yang bermaksud; "Tidaklah seorang mayat disolatkan oleh sekelompok orang Islam yang jumlah mereka mencapai seratus, semuanya memintakan syafaat untuknya, melainkan syafaat itu akan diberikan pada dirinya". (Hadis Riwayat Muslim).

1.2.2. Hadis lain pula bermaksud: "Tidaklah seorang muslim meninggal dunia, lalu jenazahnya disolatkan oleh empat puluh orang yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun, melainkan Allah akan memberikan syafaat kepadanya". (Hadis Riwayat Muslim).

1.3.   SENTIASA BERDOA SETELAH AZAN:

 
Rasulullah SAW tidak pernah menganggap remeh sesuatu amalan yang mendatangkan kebaikan kepada pengamalnya walaupun kecil. Contohnya berdoa selepas  azan juga akan mendapat syafaat di akhirat kelak dari baginda. Dalam konteks ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Barangsiapa yang membaca ketika mendengar azan 'Ya Allah, Rabb pemilik panggilan yang sempurna ini dan solat (wajib) yang didirikan. Berilah al wasilah (darjat di syurga), dan keutamaan kepada Muhammad, dan bangkitkan beliau, sehingga boleh menduduki maqam terpuji yang engkau janjikan '. Maka dia berhak mendapat syafaatku pada hari kiamat. "(Hadis Riwayat Bukhari dari Jabir bin Abdillah).

1.4.   TINGGAL DI MADINAH, SABAR HADAPI DUGAANNYA DAN MATI DI SANA:


Syafaat ini khusus diperolehi oleh orang-orang yang tinggal di Madinah, bumi yang dimakmur dan dimuliakan oleh Allah SWT. Hal ini telah dijanjikan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud;

"Tidaklah seseorang sabar terhadap kesusahannya (semasa di Madinah) kemudian dia mati, kecuali aku akan memberikan syafaat padanya, atau menjadi saksi baginya pada hari kiamat, jika dia seorang Islam."(Hadis Riwayat Muslim).

"Barangsiapa yang ingin mati di Madinah, maka matilah di sana. Sesungguhnya aku akan memberi syafaat bagi orang yang mati di sana ". (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Ibnu Majah dan  Ibnu Hibban).

Oleh itu beruntunglah orang-orang yang sentiasa bersabar menghadapi apa jua ujian dan cabaran dalam mengharungi kehidupan mereka di Madinah. 

2.  Demikianlah empat lagi amalan dan perkara yang melayakkan seseorang mendapat syafaat dari Rasulullah SAW. Oleh itu, kita sebagai orang Islam semestinya berlumba-lumba umtuk beramal dengannya bagi mendapatkan syafaat dari Rasulullah. Sesungguhnya orang yang paling beruntung dan bertuah di Padang Mahsyar nanti ialah mereka yang memperolehi syafaat dari Rasulullah.  Memperolehi syafaat adalah memperolehi pertolongan serta bantuan dari Rasulullah SAW dalam keadaan tidak ada seorang pun dari berbilion manusia yang mampu memberikan pertolongan kepada kita. 

3.  Ingatlah bahawa perhimpunan seluruh manusia di Padang Mahsyar untuk menghadapi perbicaraan di hadapan Allah itu BENAR. Kehidupan manusia di sana nanti adalah kehidupan yang tersangat sukar, azab dan menyeksakan. Allah akan merendahkan matahari dan berada  hanya beberapa depa dari kepala manusia. Di sana nanti manusia akan menempuh kehidupan dalam keadaan tersangat letih, lapar dan dahaga.

4.   Justeru, buatlah persiapan semasa hidup ini untuk menempuh saat yang sangat sukar dan azab itu.


                        CERAMAH TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ "PERMULAAN NEGERI AKHIRAT"

“Peliharalah iman kamu dengan memperbanyakkan sedekah, bentenglah hartamu dengan mengeluarkan zakat dan tolaklah gelombang bencana bala dengan sentiasa berdoa kepada Allah” ~~ Mutiara Kata Saidina Ali bin Abi Thalib

Sebahagian kandungan dipetik dari detikislam

No comments:

Post a Comment