Friday, 9 September 2016

MENCARI CINTA DAN KASIH SAYANG ALLAH SWT (BAHAGIAN 1)

NAMA ALLAH PADA SARANG LEBAH, SUBHANALLAH

“Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)”{Petikan dari surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:152)}.


"Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku”.{Petikan dari surah Ta-Ha (20:14)}

1.  Setiap orang Islam pastinya bercita-cita dan sangat berharap untuk mendapat cinta dan kasih sayang dari Allah SWT. Tidak ada cinta dan kasih sayang yang lebih tinggi dan mulia selain dari cinta dan kasih sayang Allah SWT. Tetapi bagaimanakah cara untuk memperolehinya. Ibnul Qayyim Rahimahullah dalam kitabnya berjudul “Madarijus Salikin” telah menghuraikan perkara-perkara yang boleh dipraktikkan untuk mendapatkan cinta dari Allah, iaitu seperti berikut:

1.1. MEMBACA AL-QURAN, MEMAHAMI MAKNANYA SESUAI DENGAN MAKSUD SEBENAR.

1.1.1. Dalam surah Al-Faatir[Pencipta](35:29), Allah SWT berfirman yang berbunyi:


"Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah dan mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan merugi".

1.1.2. Membaca Al-Quran dengan memahami maksud dan pengertiannya adalah merupakan suatu kenikmatan yang tersendiri. Dengan membacanya secara perlahan sambil menghayati setiap isi kandungannya menjadikan pembacanya mampu menikmati  keindahan pada qalam Allah itu. Al-Quran adalah kitab yang penuh dengan kemuliaan sehingga menjadikan seseorang tidak pernah jemu membaca dan mendengarnya walaupun berkali-kali.

1.1.3. Berkaitan dengan kelebihan Al-Quran ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya.” (Hadis Riwayat Bukhari).

“Bacalah Al-Quran, kerana ia akan datang pada hari kiamat sebagai pembela pada orang yang mempelajari dan mentaatinya.” (Hadis Riwayat Muslim).

“Barang siapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah, maka akan ia mendapat kebaikan dan tiap kebaikan mempunyai pahala 10 kali ganda. Aku tidak berkata Alif, Lam Mim itu satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf, dan Mim satu huruf.” (Hadis Riwayat Tirmidzi).

                      
                               Bacaan Al-Quran (Surah Faatir)

1.2. MENDEKATKAN DIRI KEPADA ALLAH DENGAN MENGERJAKAN IBADAH-IBADAH SUNAT SETELAH MENGERJAKAN IBADAH-IBADAH WAJIB.

Orang yang menunaikan ibadah-ibadah fardhu dengan sempurna mereka itu adalah yang mencintai Allah. Sebaliknya orang yang mengerjakan ibadat-ibadat sunat selepas menunaikan ibadat fardhu adalah orang yang dicintai Allah. Ibadah-ibadah sunat untuk mendekatkan diri kepada Allah ialah seperti solat-solat sunat, puasa-puasa sunat, bersedekah dan mana-mana amalan sunat dalam haji dan umrah.

1.3.  SENTIASA BERZIKIR MENGINGATI ALLAH.
1.3.1. Zikir kepada Allah adalah salah satu kayu ukur untuk menentukan kecintaan seseorang hamba kepada Allah SWT. 

1.3.2. Berkaitan dengan suruhan berzikir ini, Allah SWT telah berfirman dalam Al-Quran seperti berikut:


“Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya”. {Petikan dari surah An-Nisa[Kaum Wanita](4:103)}.

“Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya”.{Petikan dari surah Al-Ahzab[Tentera Ahzab](33:41)}.

1.3.3. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud; Perumpamaan orang yang berzikir kepada Rabbnya dan yang tidak, seumpama orang hidup dan orang mati. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

1.4.  MENCINTAI ALLAH MELEBIHI CINTA DIRI SENDIRI

1.4.1. Rasulullah mengajarkan umatnya agar mencitai Allah melebihi dari diri sendiri sebagaimana sabdanya yang bermaksud; Ada tiga hal yang barang siapa mengamalkannya, maka ia dapat menemukan manisnya iman, iaitu orang yang lebih mencintai Allah dan RasulNya daripada yang lain, mencintai orang lain hanya kerana Allah, tidak suka kembali ke dalam kekufuran (setelah Allah menyelamatkannya) sebagaimana ia tidak suka dilemparkan ke dalam neraka. (Hadis Riwayat Muslim).

1.4.2. Allah SWT telah memberikan amaran kepada manusia yang mencintai manusia lain lebih dariNya dan rasulNya. Dalam surah At-Taubah[Pengampunan] (9:24), Allah SWT berfirman yang berbunyi:
 

Katakanlah: "Jika bapa-bapa , anak-anak , saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan RasulNya dan dari berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya". Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

1.5.  MERENUNG DAN MEMERHATI ALAM SEMESTA UNTUK MELIHAT  KEBESARAN ALLAH.

1.5.1. Sesungguhnya manusia tidak akan sama sekali mampu melihat Allah. Manusia hanyalah berupaya untuk melihat dan menilai kebesaran Allah dengan cara merenung dan memerhatikan semua makhluk ciptaan Allah di muka bumi ini. Memerhatikan alam semesta ini agar manusia dapat memahami begitu besar anugerah dan nikmat Allah yang diberikan kepada manusia. Melihat alam dan memperhatikan asal kejadian seluruh ciptaan Allah itu akan menambah keyakinan bahwasanya Allah yang maha pencipta itu memang wujud. Matahari yang terbit dari timur dan terbenam di barat, pertukaran musim dari tahun ke tahun, pertukaran malam dengan siang, hujan yang turun dari langit, adanya matahari, bulan dan bintang, adanya angin dan udara untuk pernafasan dan sebagainya adalah bukti nyata adanya Allah sebagai Penciptanya.

1.5.2.  Allah SWT telah berfirman dalam surah Fussilat[Yang DiJelaskan](41:53) yang berbunyi: 
 

“Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?”.

          PEMANDANGAN-PEMANDANGAN YANG INDAH

PULAU KECIL DI LAUTAN RAJA AMPAT INDONESIA 
KEINDAHAN AIR TERJUN
GERHANA BULAN
AWAN YANG INDAH
TASIK TAHOE, AMERIKA SYARIKAT
TASIK MERAH JAMBU, AUSTRALIA
“Ilmu itu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga engkau dan engkau menjaga harta. Ilmu itu penghukum (hakim) dan harta terhukum. “Harta itu kurang apabila dibelanjakan tapi ilmu pula bertambah bila dibelanjakan.” ~~ Mutiara kata Saidina Ali bin Abi Talib

No comments:

Post a Comment