Friday, 30 September 2016

TAHNIK : SUNNAH RASULULLAH SAW YANG TELAH DIBUKTIKAN BENAR OLEH SAINS MODEN

1.   Di dalam surah An-Najm[Bintang](53:3), Allah SWT berfirman yang berbunyi:


“Dan Dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri.

(53:4)

“Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya”.


2.    Anak adalah anugerah dan harta dari Allah SWT yang sangat berharga di dunia ini. Pasangan yang berkahwin pastinya menanti saat bahagia, iaitu menunggu kehamilan isteri dan kemudian kelahiran bayi dalam kandungannya. Setelah lahirnya anak, Islam telah menetapkan beberapa sunnah yang patut dilakukan oleh ibu bapa. Antaranya ialah azan/iqamat di telinga bayi, mencukur rambut bayi kemudian bersedekah mengeluarkan emas atau wang yang sama nilainya dengan kadar timbangan rambut tersebut, memberi nama yang baik-baik, melakukan ibadat akikah.  Selain dari itu ialah melakukan tahnik atau dalam bahasa mudah orang Melayu dipanggil membelah mulut bayi.  Kebaikan sunnah tahnik yang telah dibuktikan benar oleh sains moden inilah yang akan dibincangkan dalam posting kali ini.

ARWAH TUAN GURU NIK AZIZ SEDANG TAHNIK BAYI
3. Apakah maksud tahnik?.  Mengikut pandangan Ibnu Hajar Al-Asqalani rahimahullah pengertian tahnik ialah:

“Mengunyah sesuatu kemudian memasukkannya ke mulut bayi serta menggosok-gosokkan ke langit-langit mulut bayi. Perbuatan itu dilakukan dengan tujuan agar bayi dibiasakan dengan makanan dan juga untuk menguatkan bayi itu. Tatkala mentahnik hendaklah mulut bayi dibuka sehingga sesuatu yang telah dikunyah dapat masuk ke dalam perutnya. Yang aulanya ialah mentahnik dilakukan dengan kurma kering (tamar). Jika tidak ada, kurma basah (ruthab) pun digalakkan. Jika kurma tidak ada ia boleh digantikan  dengan sesuatu yang manis, terutamannya madu”.

4.  Dari segi bahasa tahnik bermaksud lelangit di dalam mulut. Pakar bahasa menyebut maksud tahnik ialah mengunyah buah tamar atau seumpamanya dan kemudian digosok tamar tersebut pada lelangit dalam mulut bayi. (Imam Al-Nawawi dalam Sharh sahih Muslim 1/462). 

5.  Anas bin Malik menceritakan, “Aku telah membawa Abdullah bin Abi Talhah ketika baru dilahirkan kepada Rasulullah SAW. Ketika itu baginda memakai jubah (aba’ah) sambil menginaikan untanya. Lantas baginda bertanya : “Adakah kamu mempunyai buah tamar?” Aku menjawab, ya Rasulullah. Lalu aku menghulurkan beberapa biji buah tamar dan Rasulullah SAW memasukkan ke dalam mulutnya. Lalu baginda mengunyahnya kemudian membuka mulut baginda dan mengeluarkan semula tamar yang dikunyah dan diletakkan ke mulut bayi itu. Selepas itu bayi tersebut menggerakkan lidahnya menghisap tamar tersebut. Kemudian baginda bersabda : “Yang disukai orang ansar ialah tamar dan namakannya dengan nama Abdullah”. (Hadis Riwayat Muslim, Lihat Al-Nawawi, Sharh sahih Muslim 7/269).

6.  Sebagai seorang Islam kita menyakini 100% bahawa apa jua sunnah Rasulullah itu ialah perintah dari Allah SWT kepada baginda yang sudah tentu mempunyai kebaikan untuk manusia. Apakah sebenarnya kebaikan dari amalan tahnik yang telah diamalkan Rasulullah lebih dari 1,400 tahun lalu itu?. Apakah penemuan sains moden hari ini dapat mengesahkan kebenaran sunnah Rasulullah?.  Jawabnya sudah pasti.  Penerangannya  seperti di bawah.

7.    Pada 25.9.2013 lalu, Berita British Broadcasting Corporation (BBC News) telah memuatkan sebuah artikel bertajuk “’Sugar gel’ helps premature babies”. Dalam berita tersebut dilaporkan bahawa pakar perubatan telah merumuskan sedikit gula yang diberikan kepada bayi baru lahir  adalah cara paling efektif  untuk melindungi bayi  pra matang dari mengalami kerosakan otak. Setiap tahun, di seluruh dunia dianggarkan seramai 15 juta bayi pra matang dilahirkan. Kandungan gula yang kurang dalam darah bayi memberi kesan kepada 1 dari 10 bayi pra matang.  Jika tidak ada rawatan ia akan menyebabkan  kemudaratan yang kekal.

8.  Dextrose gel, iaitu dos gula hanya bernilai lebih sedikit dari  £1 bagi kegunaan setiap bayi dan ia lebih mudah diurus berbanding glukos yang dimasukkan dalam badan bayi melalui drip, begitulah kata Prof. Jane Harding dan pasukannya di Universiti Auckland, New Zealand. Amalan sekarang melibatkan banyak kali perlu penyusuan dan melakukan ujian darah bayi untuk mengukur paras gula dalam darah.

9.   Neil Marlow dari Institute Kesihatan Wanita di   Universiti Kolej London pula berkata walaupun dextrose gel sudah tidak banyak di pakai kini, tetapi dengan penemuan baru ini menjadikan ia wajar di gunakan semula untuk rawatan. Kini, kita mempunyai bukti yang kuat bahawa ia amat bermanfat, katanya.

10.   Andy Cole, Ketua Eksekutif, Badan Amal Bliss yang bertanggung jawab menjaga bayi pra matang pula berkata: "Ini adalah penyelidikan baru yang amat menarik dan mengalu-alukan apa pun yang boleh memberi kebaikan kepada bayi pra matang atau sakit. Ia adalah rawatan yang murah dan dapat mengurangkan bayi-bayi dari  dimasukkan dalam penjagaan rawatan rapi. Memandangkan keputusan awal kajian ini memberikan manfaat kepada bayi-bayi yang lahir dengan kandungan gula yang rendah, maka adalah jelas bahawa lebih banyak kajian perlu dilakukan untuk melakukan rawatan menggunakan kaedah ini.”

11.    Hasil kajian ini boleh dibaca di www.bbc.com/news/health.

12.    Pengkaji barat tidak menggunakan buah tamar tetapi sebaliknya dos gula. Apa yang pentingnya ialah pada peringkat awal kelahiran, bayi memerlukan sedikit gula. Berbanding dos gula, buah tamar diyakini lebih baik kerana kandungan gula di dalamnya terhasil secara semula jadi dan menjadikannya selamat untuk kegunaan bayi.

13. Dr. Abdullah Abdur Razzaq Al-Saeed dalam bukunya Ar-Rutab Wan-Nakhlah memuatkan penemuan  kajian yang dijalankan oleh Iraqi Central Institute of Bacteriology dengan kerjasama pakar daripada Badan Kesihatan Sedunia (World Health Organisation - WHO) iaitu Dr. Oscar Felzenfield. Penemuannya ialah kuman tidak boleh hidup dalam buah tamar. Oleh sebab itulah kita dapati isi buah tamar dapat bertahan dalam masa yang lama tetapi tidak rosak.  Dengan tamar juga ia boleh mengelak dari jangkitan kuman kepada bayi yang ditahnik.

14.  Dengan penemuan ini maka terjawablah hikmah kenapa Rasulullah SAW mengajar orang Islam melakukan tahnik kepada bayi-bayi yang baru lahir. Masyaalah. Subnahallah. Maha Suci Allah yang mengajar hambaNya Muhammad, Rasulullah SAW untuk melakukan apa yang terbaik untuk manusia yang dicipta olehNya. Sebagai pencipta, tentunya Allah mengetahui semua keperluan manusia untuk meneruskan penghidupan dengan sihat dan sejahtera.  Lebih 1,400 tahun lampau adalah mustahil untuk Rasulullah mengetahui kebaikan manis kurma untuk keperluan perubatan bagi bayi yang baru dilahirkan jika ia tidak datang dari wahyu dan perintah Allah SWT. Ia sememangnya adalah wahyu dari Allah seperti penegasan Allah dalam firmanNya dalam surah An-Najm di atas. Ini satu lagi bukti nyata bahawa Islam ialah agama yang datangnya dari pencipta manusia, iaitu Allah SWT. 

15.    Memang benarlah bahawa agama Islam ini telah lengkap sepenuhnya. Islam telah mengajar segala-segalanya kepada penganutnya dari sekecil-kecilnya seperti berdoa ketika mahu masuk tandas. Benarlah penegasan Allah SWT seperti firmanNya dalam ayat 3, Surah Al-Maidah[Hidangan] yang merupakan wahyu terakhir yang berbunyi: “Alyaumaak maltulakum dinakum waatmal tualiakum nikmati waradhitulakumul islamadinaa” yang bemaksud “Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu, telah aku cukupkan nikmatKu kepada kamu dan aku redha Islam menjadi agama kamu.”

16.    Apakah ada lagi agama di atas muka bumi ini yang lebih lengkap dan sempurna dari agama Islam?.  Kenapakah manusia masih tidak mahu tunduk kepada kebenaran yang dibawa oleh agama Islam.

“Aku mengamati semua sahabat, dan tidak menemukan sahabat yang lebih baik daripada mereka yang menjaga lidahnya. Aku memikirkan tentang semua pakaian, tetapi tidak menemukan pakaian yang lebih baik daripada takwa. Aku merenungkan tentang segala jenis amal baik, namun tidak mendapatkan yang lebih baik daripada memberi nasihat yang baik. Aku mencari segala bentuk rezeki, tapi tidak menemukan rezeki yang lebih baik daripada sabar”~ Mutiara Kata Saidina Umar Al-Khattab.

No comments:

Post a Comment