Wednesday, 5 October 2016

APAKAH HIKMAH SUNNAH MENCUKUR RAMBUT BAYI

1.  Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:    “Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Tirmidzi).

2. Berdasarkan sabda Rasulullah di atas, Islam menggalakkan mencukur rambut anak-anak yang baru dilahirkan. Ibnul Qayyim rahimahullah menerangkan katanya: “Menggondol adalah untuk menghilangkan (rambut) yang kotor dari kepala bayi. Menggondol juga bererti membuang rambut yang lemah agar diganti dengan yang lebih kuat dan lebih kukuh. Selain itu, amalan menggondol boleh meringankan (beban) bayi dan membuka liang rambut di kepala agar wap dapat keluar dengan mudah. Hal ini akan menguatkan penglihatan, pendengaran dan deria hidung.” (Tuhfatul Maudud halaman 48).

3.  Kaedah yang betul ialah mencukur keseluruhan rambut bayi dan bukan sebahagiannya. Disunahkan juga setelah mencukur rambut ialah  menyapu wangian kepada kepala bayi. Rambut yang dicukur itu pula ditimbang dan bersedekah mengeluarkan emas atau wang yang sama nilainya dengan kadar timbangan rambut tersebut.

4.   Ali bin Abi Thalib radhiyallahu berkata bahawa Rasulullah SAW mengaqiqahkan Hasan dengan kambing, dan beliau menyuruh Fatimah untuk mencukur rambutnya. “Cukur rambutnya dan bersedekahlah dengan perak seberat rambut itu.” Fatimah pun menimbang rambut itu dan ternyata beratnya sekitar satu dirham atau kurang dari satu dirham. (Hadis Riwayat Termidzi, dishahihkan al-Hakim dalam Mustadrak 7589).

5.   Amalan bercukur ini ialah sunnah Rasulullah SAW yang sudah tentu perintahnya datang dari Allah SWT. Ini sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah An-Najm[Bintang](53:3) yang berbunyi:


“Dan Dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri”.

(53:4)

“Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya”.

6.   Setiap sunnah Rasulullah SAW pasti ada kebaikan kepada manusia.  Apakah kebaikan atau kelebihan bercukur rambut bayi:

6.1.   Semasa bayi keluar dari rahim ibunya pasti banyak lendir dan kotoran akan melekat pada kulit badan dan termasuk rambut bayi. Dengan mencukur rambut bayi  semua kekotoran yang meletak padanya akan hilang sepenuhnya.

6.2. Mencegah gangguan visual mata. Bila rambut terlalu panjang, terutamanya sekitar dahi, ia boleh menutupi mata.  Ini akan mengganggu pemandangan bayi. Bila hujung rambut sering mengenai mata ia boleh merosakkan kornea mata sehingga menyebabkan gangguan penglihatan yang dipanggil visus.

6.3. Rambut sekeliling telinga yang terlalu panjang boleh menimbulkan ketidakselesaan dan luka pada liang telinga. Ia boleh memberi gangguan alergi kulit pada telinga

6.4.  Rambut yang baru tumbuh selepas dicukur sepenuhnya lebih baik, sihat, subur dan kelihatan berkilat.

6.5. Bagi bayi yang menghadapi gangguan kerak kepala (dermatitis seboroik), mencukur rambut boleh memudahkan rawatan gangguan kulit tersebut. Dermatitis seboroik atau cradle cap (kulit kepala tebal dan bersisik) sering dialami bayi.  Tandanya ialah adanya kerak berwarna kuning dan berminyak. 

6.6. Memudahkan untuk mengesan adanya masalah di kulit kepala bayi seperti bisul, iritasi atau luka.

6.7. Meningkatkan aliran darah ke kepala bayi.  Justeru kulit kepala mendapat nutrisi yang mencukupi.

7.  Satu lagi sunnah Rasulullah SAW yang terbukti banyak kebaikannya kepada orang yang mempraktikkannya. Jelaslah bahawa sunnah ini membuktikan satu lagi kebenaran agama Islam dan ajarannya.

                        
                               MAJLIS BERCUKUR BAYI DI KELANTAN
                                   
"Seseorang tidak akan mencapai darjat kesolehan, kecuali melalui  enam    rintangan: menutup pintu kemuliaan dan membuka pintu kehinaan, menutup pintu nikmat dan membuka pintu kesukaran, menutup pintu istirehat dan membuka pintu perjuangan, menutup pintu tidur dan membuka pintu jaga, menutup pintu kekayaan dan membuka pintu kemiskinan, menutup pintu harapan dan membuka pintu bersiap menghadapi maut" ~~  Mutiara kata Ibrahim bin Adham

No comments:

Post a Comment