TANAH PERKUBURAN, TEMPAT PENANTIAN SEMENTARA MANUSIA
SEBELUM DIHIDUPKAN KEMBALI
1. Sebagai orang Islam kita wajib percaya, yakin dan mengimani
sifat-sifat yang dimiliki Allah SWT yang tidak dimiliki oleh mana-mana manusia
di atas muka bumi. Salah satu dari sifat
atau nama Allah dalam Asma ul Husna (nama-nama dan sifat-sifat yang baik) itu
ialah Al Muhyii (Yang Maha Menghidupkan). Allah SWT berkemampuan menghidupkan
orang atau makhluk yang telah mati dengan kekuasaanNya. Kekuasaan serta kehebatan Allah ini telah
dirakamkanNya dalam qalamNya, Al-Quran yang melibatkan lima kematian dan hidup
semula seperti berikut:
1.1 1.1. KESAH
PERTAMA ~~ Ia adalah kesah seramai 70 orang umat Nabi Musa yang telah disambar petir kerana engkar menurut perintah Allah SWT. Pada awalnya mereka telah meminta Nabi Musa tunjukkan Allah
kepada mereka jika tidak mereka tidak mahu beriman kepada Allah. Permintaan tersebut telah menimbulkan kemurkaan Allah sehingga Allah menurunkan azab yang berupa sambaran petir yang menyebabkan seramai 70
orang mati kerananya. Selepas peristiwa itu Allah menghidupkan mereka semula dengan
tujuan agar mereka sedar akan kebesaran Allah serta mendapat peluang untuk
bertaubat dan beriman kepada Allah.
Peristiwa ini Allah telah
rakamkan dalam surah Al-Baqarah[Lembu
Betina](2:55) yang berbunyi:
“Dan
(kenangkanlah) ketika kamu berkata: "Wahai Musa! Kami tidak akan beriman
kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala
kami)". Maka kerana itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya.”
(2:56)
“Kemudian
kami bangkitkan kamu sesudah kamu mati (atau pengsan dari sambaran petir itu),
supaya kamu bersyukur.”
1.2 1.2. KESAH
KEDUA ~~ Ia juga melibatkan umat Nabi Musa juga. Dalam satu
peristiwa, seorang telah membunuh seseorang. Tapi pembunuh tidak mengaku hingga
berlakulah pergaduhan/perselisihan dan
saling tuduh menuduh antara satu sama lain. Akhirnya peristiwa ini dilaporkan
kepada Nabi Musa. Kemudiannya Nabi Musa meminta supaya sembelih seekor lembu
betina. Lepas itu Allah perintahkan agar ambil satu bahagian anggota lembu
betina itu dan dipukul pada orang mati itu.
Akhirnya orang yang mati itu hidup semula dengan kehendak dan izin Allah
SWT. Bila dia hidup orang bertanya kepadanya siapa yang membunuhnya. Orang yang
mati itu telah memberitahu siapa pembunuhnya.
Peristiwa ini Allah telah
rakamkan dalam surah Al-Baqarah[Lembu
Betina](2:72) yang berbunyi:
“Dan
(ingatlah), ketika kamu membunuh seorang manusia, kemudian kamu tuduh-menuduh
sesama sendiri tentang pembunuhan itu, padahal Allah tetap melahirkan apa yang
kamu sembunyikan.”
(2:73)
“Maka
Kami (Allah) berfirman: "Pukulah si mati dengan sebahagian
anggota lembu yang kamu sembelih itu" (Mereka pun memukulnya dan ia
kembali hidup). Demikianlah Allah menghidupkan orang-orang yang telah mati, dan
memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanNya supaya kamu memahaminya.”
Allah takdirkan peristiwa ini berlaku supaya ia boleh
memberi pengajaran kepada umat Nabi Musa agar jangan sekali-kali menjadi tidak
jujur dan tidak mahu bertanggungjawab atas apa yang mereka kerjakan.
1.3 1.3. KESAH
KETIGA~~ Penduduk sebuah negeri yang cuba menghindari dari wabak
penyakit berbahaya di negeri mereka.
Ribuan orang sudah mati lalu mereka meninggalkan negeri mereka. Mereka
berfikir jika tinggalkan negeri, mereka akan selamat tetapi sangkaan mereka
salah kerana semuanya telah dimatikan oleh Allah. Kemudian Allah hidupkan mereka semula.
Tujuannya ialah supaya mereka sedar bahawa kematian itu adalah ketentuan Allah
yang tidak boleh dihindari oleh sesiapa pun. Dan Allah jugalah yang berkuasa menghidupkan
semula orang yang telah mati.
Peristiwa ini Allah rakamkan dalam surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:243) yang
berbunyi:
“Tidakkah
engkau ketahui (wahai Muhammad) tentang orang-orang yang keluar (melarikan
diri) dari kampung halamannya kerana takutkan mati, sedang mereka beribu-ribu
ramainya?. Maka Allah berfirman kepada mereka:" Matilah kamu "
kemudian Allah menghidupkan mereka. Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah
kurniaNya kepada manusia (seluruhnya), tetapi kebanyakan manusia tidak
bersyukur.”
1.4 1.4. KESAH
KEEMPAT ~~ Kesah seorang musafir yang menunggang keldai dan sampailah
dia di sebuah kota yang tidak berpenghuni. Bangunan kota itu banyak yang telah rosak.
Dia rasa heran dan takjub serta bertanya dalam dirinya bagaimanakah agaknya
Allah mahu membangunkan semula kota yang telah rosak ini. Dengan kehendak
Allah, orang itu telah dimatikan selama 100 tahun. Lepas kematiannya Allah
matikan pula keldainya. Selepas 100 tahun Allah hidupkannya semula si musafir itu.
Si musafir itu ialah Nabi Uzair, seorang hamba Allah SWT yang hidup pada
zaman Nabi Isa AS. Nabi Uzair AS adalah salah seorang nabi dan rasul utusan
Allah SWT.
Kesahnya di rakamkan oleh Allah SWT dalam surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:259) yang
berbunyi:
Atau
(tidakkah engkau pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui
sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata:
"Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah
matinya (rosak binasanya)? " Lalu ia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan
tidak berubah) selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula lalu
bertanya kepadanya: "Berapa lama engkau tinggal (di sini)?" Ia
menjawab: "Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari".
Allah berfirman:" (Tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan
demikian) selama seratus tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan
minumanmu, masih tidak berubah keadaannya, dan perhatikanlah pula kepada
keldaimu (hanya tinggal tulang-tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah
untuk) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan Kami) bagi umat manusia; dan
lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali
kemudian Kami menyalutnya dengan daging ". Maka apabila telah jelas
kepadanya (apa yang berlaku itu), berkatalah dia: Sekarang aku mengetahuinya
(dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".
1 1.5. KESAH KELIMA ~~ Nabi Ibrahim adalah seorang
yang sangat yakin akan kekuasaan Allah dalam menghidupkan kembali makhluk yang
telah mati. Namun timbul di dalam hatinya keinginan untuk menyaksikan sendiri
bagaimana Allah menghidupkan makhluk yang mati sehingga keimanannya menjadi
semakin mantap. Oleh kerana itu, beliau memohon kepada Allah agar ditunjukkan
kepadanya kejadian tersebut. Allah telah memakbulkan permintaan Nabi Ibrahim.
Allah memerintahkan baginda menangkap hidup-hidup empat ekor burung kemudian dikumpulkan
dan setelah itu dipotong-potong hingga menjadi bahagian-bahagian yang kecil.
Kemudian Allah memerintahkannya untuk meletakkan potongan-potongan kecil dari
keempat ekor burung tadi merata tempat di atas di beberapa buah gunung. Setelah
selesai melakukannya Allah memerintahkan pula Nabi Ibrahim untuk memanggil
keempat-empat ekor burung tersebut. Tiba-tiba Nabi Ibrahim melihat suatu kejadian yang
sangat menakjubkan, iaitu potongan-potongan burung tadi kembali bersatu dan
menjadi empat ekor burung yang hidup dan
sempurna seperti sebelumnya dan berkumpul di hadapan baginda.
Kisah Nabi Ibrahim ini Allah rakamkan dalam surah Al Baqarah[Lembu Betina](2:260) yang
berbunyi:
“(Ingatlah)
ketika Ibrahim berkata: "Wahai Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku bagaimana
Engkau menghidupkan orang-orang mati." Allah berfirman: "Belum
yakinkah kamu ?" Ibrahim menjawab: "Aku telah meyakininya, akan
tetapi agar hatiku tetap mantap (dengan imanku). Allah berfirman: "(Kalau
demikian) ambillah empat ekor burung, lalu cincanglah semuanya olehmu. Lalu
letakkan di atas tiap-tiap satu bukit satu bahagian dari bahagian-bahagian itu,
kemudian panggillah mereka, nescaya mereka datang kepadamu dengan segera.
Ketahuilah bahawasanya Allah itu Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."
2 2. Demikianlah lima kesah yang membuktikan sifat
Allah SWT yang maha berkuasa menghidupkan kembali makhluk yang telah mati.
Semoga kesah-kesah ini memberi pengajaran kepada kita agar sentiasa takut
kepada kekuasaan Allah. Lebih-lebih lagi
takut kepada kehidupan kembali kita selepas kematian nanti, iaitu kehidupan di
negeri akhirat yang kekal abadi buat selama-lamanya. Infiniti. Justeru, kesedaran perlu ada dalam diri
setiap orang Islam dan yang beriman bahawa apa yang sepatutnya dikejar ialah kebahagian dan
kesenangan kehidupan di negeri akhirat dan bukannya kehidupan sementara di
dunia ini. Beruntung dan bertuahlah
orang-orang yang menjadikan akhirat sebagai matlamat hidupnya. Sebaliknya celakalah orang yang menjadikan
dunia sebagai matlamat hidup sehingga melupakan kehidupan di negeri akhirat.
Barangsiapa menjaga kehormatan orang lain, pasti kehormatan dirinya
akan terjaga. ~ Mutiara Kata Saidina Umar Al-Khattab.
|
No comments:
Post a Comment