Friday, 21 October 2016

KEBENARAN RAMALAN DALAM AL-QURAN DAN RASULULLAH SAW


1.  Dalam surah An-Najm[Bintang] (53:3) Allah SWT telah berfirman yang berbunyi:

“Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri.”

(53:4)

“Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.”

2.   Benarkah firman Allah di atas?. Bagi orang bukan Islam sudah tentu mereka tidak yakin dengan firman Allah tersebut.  Sebaliknya sangat berbeza dengan orang Islam sejati yang pasti mempercayai bahawa setiap apa yang diucapkan oleh Rasulullah itu adalah wahyu dan hidayah dari Allah yang maha mengetahui.  Rasulullah tidak akan bercakap tentang sesuatu perkara melainkan setelah ia mendapat wahyu, hidayah atau petunjuk dari Allah SWT.  

3.  Apakah kayu ukur atau penilaian untuk membuktikan hakikat tersebut.  Salah satu darinya ialah nubuah atau ramalan Rasulullah atas sesuatu perkara lebih 1,400 tahun lalu yang kesemunya telah menjadi kenyataan dan terbukti kebenarannya. Adalah mustahil sama sekali untuk Rasulullah mengetahui dengan tepat apa yang akan berlaku ratusan malah ribuan tahun akan datang jika ia bukan dari hidayah Allah SWT. Nubuah atau ramalan inilah bukti bahawa Rasulullah itu ialah seorang nabi utusan Allah.

4.  Berikut ini ialah beberapa kejadian atau peristiwa besar yang telah berlaku yang membuktikan ramalan Al-Quran dan Rasulullah SAW adalah benar dan tepat:

4.1.  RAMALAN AKAN KEMENANGAN ISLAM.

4.1.1. Salah satu perkara yang diramalkan dalam Al-Quran adalah kemenangan bagi agama Islam walaupun tatkala turunnya ayat Quran itu bilangan orang Islam sangat kecil. Malah umat Islam pada masa itu ramai yang ditindas dan dibunuh oleh Arab Quraish. Bagaimanapun di dalam Al-Quran Allah telah menjanjikan kemenangan kepada agamanya seperti dalam firman-firman berikut:



“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” {Petikan dari surah An-Nur[Cahaya](24:55)}






“Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah).” {Petikan dari surah An-Nasr[Bantuan](110:1)}.



“Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai.” {Petikan dari surah An-Nasr[Bantuan]  (110:2)}.

4.1.2. Firman Allah ini menjadi kenyataan apabila Kota Mekkah dikuasai oleh Rasulullah. Masa pemerintahan  Khalifah ArRasyidin (Abu Bakar, Umar, Othman dan Ali), menyaksikan orang-orang kafir telah masuk Islam secara beramai-ramai.  Islam pula berjaya menguasai banyak negara.  Tentera Islam berjaya mengalahkan tentera Romawi, Persia dan Islam melebarkan kekuasaannya hingga ke Sepanyol serta Cina hanya dalam tempoh  masa 20 hingga 40 tahun sahaja.

4.1.3. Ramalan lain dalam Al-Quran ialah dalam surah    AtTaubah[Pengampunan](9:33), Allah berfirman yang berbunyi:



“Dialah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.”

4.1.4. Allah telah menjanjikan bahawa agama Islam akan menang atas semua agama lain. Islam akan menjadi agama terbesar di dunia. Inilah kenyataan yang sedang disaksikan masakini. Kini Islam telah menjadi agama yang paling pesat berkembang di dunia. Malah ada pengkaji yang meramalkan pada tahun 2050 nanti dianggarkan seramai 30% penduduk dunia akan menganut Islam. Pertambahan ini kerana faktor kadar kelahiran tinggi dikalangan orang Islam dan juga kerana ramainya orang bukan Islam memeluk Islam.  Ini akan menjadikan Islam adalah agama yang paling ramai penganutnya di dunia.

4.2.  RAMALAN KEMENANGAN TENTERA ROMAWI

4.2.1. Dalam surah Ar-Ruum [Kerajaan Rom](30:1), Allah SWT telah berfirman yang berbunyi:


"Alif Lam Mim"
 (30:2) 



 “ Telah dikalahkan Kerajaan Rom (oleh Kerajaan Parsi)” 
(30:3)



“ Dinegeri terdekat (negara Arab, iaitu Syria dan Palestin) dan mereka selepas dikalahkan, mereka akan menang.”

(30:4) 
 
“Dalam beberapa tahun lagi.  Semua urusan ada pada Allah samada sebelum atau sesudahnya dan pada hari itu orang-orang mukmin bergembira.”

4.2.2.   Ayat ini diturunkan pada tahun 620 Masihi, iaitu 6 tahun selepas Kerajaan Parsi mengalahkan Kerajaan Byzantine (Romawi) pada tahun 614 Masihi. Dalam peperangan ini Byzantine kalah teruk sehingga tidak memungkinkannya untuk bangkit semula.  Semua kawasan jajahan Byzantine ditakluki kerajaan Parsi.  Namun pada tahun 622 Masihi, ketua tentera Byzantine, iaitu Hercules berjaya mengalahkan Parsi dan Armenia. Pada bulan Disember 627 Masihi pula Hercules berjaya membebaskan Jurusalem.  Ramalan Al-Quran seperti di atas adalah sangat tepat sekali. Beberapa tahun yang disebutkan dalam A-Quran itu ialah 13 tahun selepas kekalahannya, Kerajaan Byzantine berjaya bangkit dan mengalahkan pula Kerajaan Parsi. 

4.3.  RAMALAN PEMBERONTAKAN TERHADAP KHALIFAH OTHMAN DAN TEMPOH KEKHALIFAHAN

4.3.1. Dalam satu peristiwa Rasulullah sedang duduk di taman bersama Abu Musa Ashari. Kemudian Othman bin Affan datang. Rasulullah memberitahu mereka khabar baik tentang syurga dan juga pemberontakan semasa pemerintahan Othman. Ramalan ini benar-benar berlaku apabila tatkala pemerintahan Othman telah berlaku pemberontakan, bahkan Saidina Othman sendiri telah dibunuh.
 
4.3.2. Dalam hadis yang lain, Rasulullah berkata kekhalifahan Islam akan berlangsung selama 30 tahun. Lepas itu akan ada perselisihan antara umat Islam. Itulah yang kemudiannya terjadi. Abu Bakar Assidiq menjadi khalifah selama 2 tahun, Umar selama 10 tahun, Othman selama 12 tahun manakala  Ali selama 2 setengah tahun. Hassan yang mewarisi kekhalifahan Ali bin Abi Thalib pula selama 3 setengah tahun. Tempoh masa ini amat tepat dengan ramalan Rasulullah. Selepas itu perselisihan dan permusuhan terjadi sesama Islam sebagaimana sabda Rasulullah SAW.

          4.4.  RAMALAN PENAKLUKAN KOTA KONSTANTINAPOL.

4.4.1. Peperangan khandaq (parit)/ahzab telah berlaku pada bulan Zulqaedah tahun kelima Hijrah atau bersamaan dengan 31 Mac 627 Masihi. Dalam peperangan inilah, iaitu semasa sedang menggali parit Rasulullah telah bersabda kepada sahabat-sahabatnya yang berbunyi:

“Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam.  Pemimpin yang menaklukinya adalah sebaik-baik pemimpin dan tentera yang dipimpinnya adalah sebaik-baik tentera.” (Hadith Riwayat Ahmad bin Hanbal).

4.4.2. Setelah kewafatan Rasulullah pada tahun 632 Masihi, kepimpinan Islam telah digantikan oleh khalifah-khalifah ArRashidin yang empat dari tahun 632 Masihi hingga 661 Masihi.  Kemudiannya pemerintahan Islam disambung pula oleh Kerajaan Bani Umaiyyah (661 Masihi hingga 750 Masihi), Bani Abbasiyah (752 Masihi hingga 1258 Masihi) dan akhir sekali Bani Uthmaniyyah (1301 Masihi hingga 1924 Masihi). Sejak itu tamatlah pemerintahan khalifah Islam di dunia.

4.4.3. Bagi memenuhi sabda Rasulullah di ataslah maka bermula dari pemerintahan Saidina Ali bin Abi Talib yang diikuti oleh kerajaaan Bani Umaiyyah hinggalah kepada kerajaan Bani Uthmaniyyah beberapa kali percubaan telah dibuat untuk menawan Kota Konstantinapol (kini Istanbul). Mereka mahu membuktikan bahawa merekalah orang yang disebutkan dalam sabda Rasulullah. Tetapi semuanya gagal. Ia hanya berjaya ditakluki pada tanggal 29 Mei 1453 oleh Sultan Muhammad Al-Fateh, iaitu  826 tahun selepas sabda Rasulullah  dalam perang khandaq tersebut. Fateh bermaksud pembuka kota atau penakluk.  Untuk mengetahui lebih lanjut kesah penaklukan kota ini, sila layari artikel berjudul “Sultan Muhammad Al-Fateh: Pelaksana janji Rasulullah SAW” bertarikh 4.1.2015.

5. Berdasarkan peristiwa-peristiwa di atas, apakah yang dapat dirumuskan?.  Rumusannya ialah nyata dan jelaslah bahawa Al-Quran itu datangnaya dari Allah, tuhan pencipta alam dan manusia.  Hanya tuhan yang mampu meramalkan perkara yang akan berlaku ratusan malah ribuan tahun akan datang kerana tuhan yang mengaturkan perjalanan sesuatu peristiwa berdasarkan ketentuan qada/qadarnya.  

6. Peristiwa yang dinubuah/diramalkan oleh Rasululah juga menjadi kenyataan. Walaupun Rasulullah bukannya tuhan, tetapi setiap apa yang Rasulullah cakapkan/ramalkan adalah hidayah/petunjuk/wahyu dari Allah SWT.  Hanya manusia yang bertaraf nabi sahaja yang menerima hidayah terus dari Allah SWT. 

7.   Maka jelaslah bahawa Allah adalah tuhan yang sebenarnya yang wajib disembah oleh manusia. Agama Islam pula ialah agama yang benar dan haq di sisi Allah SWT manakala Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah yang merupakan nabi terakhir yang diutuskan oleh Allah kepada manusia.

“Nikmat yang paling baik ialah nikmat yang kekal dimiliki. Doa yang paling sempurna ialah doa yang dilandasi keikhlasan. Barangsiapa yang banyak bicara, maka banyak pula salahnya. Siapa yang banyak salahnya, maka hilanglah harga dirinya. Siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak warak. Sedang orang yang tidak warak itu bererti hatinya telah mati.” ~ Mutiara kata Saidina Ali Karamallahu Wajhah

No comments:

Post a Comment