Friday 15 January 2021

LIMA PERISTIWA YANG BERLAKU KETIKA NABI MUHAMMAD SAW DILAHIRKAN

                TAPAK RUMAH DI MANA RASULULLAH DILAHIRKAN - KINI IALAH PERPUSTAKAAN  MEKAH

                                    

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)” {Petikan dari surah Al-Ahzab [Tentera Bersekutu](33:21)}

1.      Nabi Muhammad SAW dilahirkan oleh bondanya Aminah bin Wahab  di Kampung Bani Hasyim, Makkah pada hari Isnin 12 Rabiul Awwal bertepatan dengan tahun Gajah atau 20 April 571 Masihi. Baginda lahir dua bulan setelah pasukan tentera bergajah pimpinan Abrahah menyerang Kaabah. Akhirnya seluruh tentera Abrahah dimusnahkan oleh tentera Allah SWT yang berupa burung burung ababil yang melemparkan batu batu kecil yang akhirnya membakar seluruh tentera Abrahah.

2.      Beberapa peristiwa  besar telah berlaku pada masa Rasulullah SAW dilahirkan. Antaranya ialah:

2.1.  RUNTUHNYA BEBERAPA TIANG ISTANA KERAJAAN PARSI.

Singgahsana Raja Parsi bernama Anusyirwan bergoyang-goyang hingga berbunyi dan menyebabkan 14 balkoni istananya runtuh. Kerajaan Parsi ini bertapak di Kirmansyah, Iran. Ia diperintah oleh Dinasti Sassanik yang telah bertapak ribuan tahun lamanya. Rahib rahib Parsi telah membuat tilikan dan mengatakan satu hari akan lahir seseorang yang akan memberi cahaya kepada Parsi dan akan menawan Parsi. Rasulullah wafat pada tahun ke10 hijrah. Pada tahun ke14 hijrah kerajaan Parsi telah jatuh kepada tangan Islam semasa pemerintahan Saidina Umar al-Khattab. Apa yang istimewa tentang Parsi ini ialah apabila Islam menawan Parsi, orang Parsi beramai ramai memeluk agama Islam. Mereka tidak rasa dijajah. Maharaja Parsi, panglima dan anak anak lelaki raja Parsi telah mati. Tetapi 3 orang puteri raja Parsi tidak mati. Para sahabat kemudiannya bermesyuarat dan diputuskan 3 orang puteri raja Parsi ini dikahwinkan dengan anak lelaki khalifah, iaitu Muhammad Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar), Abdullah bin Umar (anak saidina Umar) dan Hussin bin Ali (anak Saidina Ali, bakal khalifah)

2.2    PADAMNYA API SEMBAHAN ORANG MAJUSI.

KUIL API MAJUSI DI YAZD, IRAN   
Tuhan orang Majusi ialah api dan mereka menyembah api. Api sembahan mereka telah diijaga selama 1,000 tahun disebuah kuil di Yazd, Iran. Api dinyalakan dengan arang batu. Setelah terpadam ia cuba dinyalakan tapi tidak menyala selama 1 bulan. Selepas sebulan barulah ia dapat dinyalakan semula. Dalam tilikan rahib rahib Majusi, mereka kata akan lahir seseorang yang akan memadamkan pengaruh agama Majusi.

Agama Majusi dikatakan lebih tua dari agama Islam atau Kristian. Ia muncul sekitar 1,200 tahun Sebelum Masihi. Kuil api atau Otash kadeh ialah tempat suci dan ibadah bagi orang Majusi. Majusi adalah agama kuno orang Iran.

2.3.  JIN TUNDUK KEMBALI KEPADA MANUSIA

Semasa Nabi Sulaiman menjadi nabi baginda bukan sahaja menjadi nabi kepada manusia tetapi juga kepada semua makhluk lain termasuk haiwan dan jin. Allah SWT mentakdirkan jin ini umurnya panjang dan pengalamannya banyak berbanding manusia yang singkat usianya. Lalu ada sebahagian jin ini menjadi sombong. Tetapi pada hari kelahiran Nabi Muhammad,  jin ini telah tunduk kembali kepada manusia.

Sesungguhnya manusia itu diutuskan oleh Allah SWT untuk menjadi khalifah dimuka bumi. Ia sesuai dengan firmanNYA yang berbunyi:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya". {Petikan dari surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:30)}

2.4.  DITUTUP PINTU LANGIT

Sebelum kelahiran Nabi Muhammad, jin jin yang berada di dunia boleh naik ke langit dan mereka mampu mendengar perkhabaran/berita dikalangan malaikat yang bercakap. Kemudian berita itu dibawa turun ke dunia. Ada sebahagian dari berita dari jin itu telah diubah lalu menjadilah berita yang tidak benar. Apabila Nabi Muhammad dilahirkan golongan makhluk jin ini tidak lagi boleh naik ke langit kerana pintu langit telah ditutup oleh Allah.

2.5.  SATU ILMU DARI SYAITAN TELAH DITARIK OLEH ALLAH SWT.

Ilmu itu ialah kemampuan syaitan untuk menyerupai manusia. Tetapi dengan kelahiran Nabi Muhammad itu Allah telah menarik ilmu syaitan yang boleh meyerupai manusia untuk memperdaya manusia.

3.      Peristiwa peristiwa itu berlaku bagi membuktikan bahawa Nabi Muhammad itu seorang hamba Allah yang tersangat istimewa. Ia menggambarkan kehebatan, kemulian dan ketinggian Nabi Muhammad sebagai seorang nabi akhir zaman yang bertaraf kekasih Allah (habibullah) yang membawa cahaya kebenaran ke seluruh alam. 

4.   Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW itu diutuskan oleh Allah SWT untuk memberikan rahmat kepada seluruh alam seperti firman Allah yang bermaksud:

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”. {Petikan dari surah Al-Anbiya[Para Nabi](21:107)}

Sebahagian kandungan dipetik dari ceramah agama Ustaz Muhammad Abdullah Al Amin di youtube.   

"Jika kereta rosak, mekanik yang akan membaikinya. Jika tubuh badan bermasalah, doktor yang akan mengubatinya. Jika kehidupan manusia bermasalah, maka Pencipta manusia itulah yang perlu dirujuk. Pelik sungguh manusia yang mengaku Allah SWT sebagai Tuhan tapi enggan merujuk kepada syariat Allah bila berdepan dengan masalah." ` Mutiara Kata Almarhum Nik Abdul Aziz bin Nik Mat