Tuesday 31 December 2019

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2020


 
 
1.      Besok (5 Jamadil Awwal 1441)  kita akan melangkah ke tahun baru 2020. Dengan masuknya tahun 2020 ini bererti blog saya “MENCARI JALAN PULANG” sudah memasuki tahun keenam. Alhamdulilah saya masih dapat bertahan untuk mengisi blog ini dengan pelbagai tajuk/artikel walaupun sejak kebelakangan ini artikel artikel dalam blog saya amat berkurangan. In sha Allah saya akan cuba menambahkannya mulai tahun 2020 nanti. 

2.      Tahun paling rancak blog saya dikemaskinikan ialah pada tahun 2015 dengan sebanyak 153 posting meliputi berbagai perkara/tajuk. Kemuncaknya ialah pada bulan April dimana terdapat 30 posting yang bererti setiap hari ada satu artikel diterbitkan. Ia diikuti pada tahun 2016 sebanyak 91 posting. Sepanjang tahun 2019 saya hanya dapat membuat posting sebanyak 5 artikel sahaja.

3.   Walau apapun saya mengucapkan terima kasih banyak kepada penjenguk setia blog saya ini yang masih tetap menjenguk dan membacanya walaupun di luar sana masih ada berbagai medium serta wadah lain untuk mendapatkan maklumat/informasi. 

4.      Selagi terdaya dan ada penjengok blog ini,  in sha Allah  saya akan terus menulis.  Saya juga amat mengalu alukan komen ikhlas dari penjengok blog ini supaya saya dapat memperbaiki kualiti penulisan dan persembahan blog saya.

5.      Sejak blog ini dimulakan pada 20.10.2014 lalu ia telah menerima page view sebanyak 144,877. Terima kasih banyak banyak atas sokongan anda semua. Selamat Tahun Baru 2020.



Monday 28 October 2019

HIKMAH SERTA PENGAJARAN DALAM IBADAT HAJI





                                                 VIDEO TALBIAH HAJI

1.      Mengerjakan ibadat haji di tanah suci Mekah adalah rukun Islam kelima.  Ia menjadi dambaan semua umat Islam di dunia. Allah SWT telah mewajibkan ibadat haji kepada sesiapa yang mampu menempuh perjalanan ke sana serta mereka yang sudah mukallaf (orang yang telah terkena kewajiban). Ia wajib dikerjakan hanya sekali seumur hidup. Seseorang Islam yang melaksanakan kewajipan haji ini adalah kerana menunaikan perintah Allah SWT selain mengharapkan keredhaan Allah serta ganjaran pahala dariNya. Antara firman Allah SWT dalam Al-Quran tentang kewajipan haji ini ialah:


“Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk”. Petikan dari surah Ali Imran[Keluarga Imran](3:97).


"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. Petikan dari surah Al-Hajj[Haji](22:27).

2.      Fokus penulisan bagi artikel ini ialah untuk melihat apakah hikmah disebalik perintah melaksanakan ibadat haji bagi setiap perbuatan atau pekerjaan dalam ibadat tersebut. Dan apakah pula hikmah atau manfaatnya secara umum.  Ibadah haji mempunyai banyak perkara yang tersirat berbanding dengan apa yang tersurat. Kupasan mengenai perkara ini adalah merangkumi perkara perkara berikut:

Pakaian Ihram Perempuan dan Laki-Laki serta Cara Memakainya - Hasuna Tour 🕋

2.1. Ihram - Pakaian ihram disunatkan  berwarna serba putih tanpa jahitan. Warna putih itu melambangkan kesucian dan kebersihan. Kenapa pakaian ihram tidak boleh berjahit?. Tujuannya ialah untuk mengingat keadaan manusia pada hari kebangkitan nanti kerana mereka akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan tidak beralas kaki dan telanjang bulat. Mengingati kematian dan negeri akhirat pun mengandungi pelajaran. Antaranya ialah ia dapat menundukkan nafsu, menimbulkan kesedaran tentang perlunya merendahkan diri (tawadhu’) dan mensucikan diri dari sifat sifat kesombongan. Ia juga mengajarkan perlunya hidup sederhana dan menjauhi sifat bermewah-mewahan serta menyayangi orang fakir miskin. 


2.2.   Wukuf – Wukuf di Arafah ialah rukun haji. Perhimpunan semua jemaah haji di sana adalah menjadi simbolik kepada perhimpunan terbesar semua manusia di Padang Mahsyar nanti. Di situlah semua manusia semenjak dari Nabi Adam hingga manusia terakhir sebelum kiamat nanti akan dihisab dan dihitung amalan masing-masing. Wukuf memerlukan pengorbanan yang  besar. Cuaca adalah cabaran paling utama. Kadang-kadang terlalu panas dan terlalu sejuk semasa musim sejuk. Maknanya di situlah kemuncak pengorbanan kita untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Untuk apakah kita gunakan masa selama berada di Arafah?. Untuk beribadat dan berdoa kepada Allah ?. Atau hanya sekadar berbual kosong, makan, minum dan tidur. Hari Arafah sewajarnya  dipenuhi dengan solat, doa dan zikir serta penyerahan diri kepada Allah melalui doa taubat dan pengharapan supaya Allah SWT mengampunkan dosa kita. Selepas wukuf di Arafah, jemaah haji bergerak pula ke Muzdalifah untuk berada di situ dari waktu malam hingga subuh. Allah SWT mahu memberi pengajaran bahawa waktu malam sangat berharga, bukan sahaja di Muzdalifah tetapi setiap malam di mana pun kita berada. Waktu dua pertiga daripada malam adalah masa untuk bermunajat kepada Allah. Allah SWT mahu memberi mesej kepada kita, kalau mahu dekat denganNya, kita mesti menghidupkan malam dengan banyak berzikir.


2.3. Kenapa kita disyariatkan pergi ke Muzdalifah pada waktu tengah malam? Ini kerana kita mahu mendekatkan diri dengan Allah SWT. Jemaah haji digalakkan banyak berzikir dan berdoa di sana selain dari untuk mengutip batu bagi kegunaan melontar di jamarah di Mina.



2.4.   Melontar jamarah pada 10 hingga 13 Zulhijjah di Mina. Jamarah jamarah itu ialah Sughra, Wusta dan Qubra. Melontar diketiga tiga jamarah itu dengan 7 biji anak batu setiap satu adalah simbolik melontar syaitan yang mengganggu hidup kita seharian. Kita sebagai manusia sebenarnya mempunyai sejarah pertarungan abadi dengan syaitan. Kita sedar, syaitan adalah musuh dalam kehidupan kita. Setelah kita melontar syaitan diketiga tiga jamarah itu, apakah ada lagi gangguan syaitan setelah kita pulang ke kampong halaman?. Gangguan syaitan itu adalah samada sifat sifat mazmumah dalam diri kita, mementingkan dunia, mencintai harta dunia lebih dari akhirat dan seumpamanya yang boleh memalingkan kita dari mengabdikan diri kepada Allah SWT.






Berada di Mina selama tiga hari untuk mengerjakan lontaran adalah cabaran yang amat besar bagi semua jemaah. Terpaksa berada dalam khemah yang kecil dan berhimpit himpit dengan jumlah orang yang ramai tentulah sangat tidak selesa. Begitulah juga terpaksa melalui perjalanan hampir 7 kilometer pergi dan balik setiap kali untuk melontar jamarah. Kenalah bersesak sesak dalam lautan manusia yang sangat ramai. Itu belum lagi diambil kira  untuk mandi, buang air besar dan mengambil wuduk. Semuanya kena beratur panjang. Begitu juga makanan yang disediakan yang mungkin tidak sesuai dengan selera kita. Kesemuanya menjadi ujian terhadap keimanan kita dalam menghadapi dugaan dari Allah SWT. Hanya kerana keimanan dan ketaatan kita kepada Allah SWT sahaja yang membolehkan kita menghadapi semua ujian itu.

Pilihlah Barber Shop Legal!

2.5. Tahallul bermaksud membebaskan diri dari larangan ihram.  Perbuatan bagi mencapai tahallul itu ialah samada memotong sekurang kurangnya tiga helai rambut atau mencukur rambut. Tahallul boleh dilakukan apabila jemaah haji selesai melontar di jamarah Qubra pada 10 Zulhijjah. Walaupun dibolehkan hanya menggunting sekurang kurangnya 3 helai rambut namun jemaah lelaki sangat digalakkan mencukur rambut mereka. Bercukur membawa maksud membersihkan diri dari semua perkara yang kotor serta membersihkan hati dan fikiran kita. Ia juga memberi makna membuang perkara yang buruk menjadi perkara yang baik.


2.6.   Tawaf adalah salah satu rukun haji. Jemaah haji perlu mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali. Pusingan mengelilingi Kaabah adalah pusingan fitrah, iaitu dari kanan ke kiri. Ia berbeza dengan pusingan jam dari kiri ke kanan.  Ia dikatakan pusingan fitrah kerana semua planet planet ciptaan Allah SWT yang berpusing di angkasa raya semua berpusing dari arah kanan ke kiri seperti manusia mengelilingi Kaabah. Begitulah juga dengan para malaikat Allah SWT yang tidak diketahui bilangan banyaknya juga mengelilingi Baitul Makmur dengan pusingan dari kanan ke kiri. Kenapa mesti tawaf sebanyak 7 kali?. Tujuh merupakan nombor ganjil, yang ganjil itu pilihan Allah. Langit mempunyai 7 lapis manakala  bumi pula dicipta selama 7 hari.

Tawaf juga menggambarkan suatu putaran kehidupan, iaitu dari moyang, datuk/nenek, bapa, kita dan akan diteruskan oleh anak dan cucu cicit kita. Itulah realiti kehidupan. Putaran merujuk kepada pusingan manusia dari  satu generasi kepada satu generasi lain.


2.7.   Saei- Sebaik selesai tawaf jemaah haji perlu mengerjakan saie pula yang juga merupakan salah satu rukun haji. Ia adalah perbuatan berjalan kaki dari Bukit Safar ke Bukit Marwah secara ulang alik sebanyak 7 kali. Perbuatan saei ini adalah  manifestasi sebuah pengorbanan dan perjuangan seorang ibu, iaitu Siti Hajar yang berulang alik antara Bukit Safar dan Marwah untuk mencari air untuk anak kecilnya yang bernama Ismail. Jemaah haji dikehendaki melakukan apa yang telah dilakukan Siti Hajar ribuan tahun lalu. Tujuannya supaya kita sama sama dapat merasai kepayahan dan keletihan yang dialaminya.  Moralnya ialah bersabar apabila adanya ujian dari Allah SWT.

3.    Apakah pula hikmah ibadat haji secara umum?.  Ia bolehlah dirumuskan seperti berikut:

3.1.   Menjadi tetamu Allah (duyufurrahman):

Kaabah atau Baitullah itu juga dikatakan sebagai 'Rumah Allah'. Ia dikatakan sebagai 'Rumah Allah' kerana mengambil apa yang diucapkan oleh Nabi Ibrahim a.s. Oleh yang demikian orang yang mengerjakan haji adalah merupakan tetamu istimewa Allah. Dan sudah menjadi kebiasaan setiap tetamu mendapat layanan yang istimewa dari tuan rumah. 

3.2.   Mendapat tarbiah langsung daripada Allah:

Dikatakan mendapat tarbiah kerana cabaran haji adalah besar samada semasa di Arafah, Muzdalifah, Mina, melontar, tawaf dan saei. Ini kerana bilangan jemaah haji yang sangat ramai hingga melebihi 2 juta orang. Boleh dikatakan diantara perintah Allah yang berupa rukun Islam, ibadat haji adalah yang paling hebat cabarannya. Alah mahu menguji iman kita dengan pelbagai dugaan dariNya.

3.3.  Berkenalan sesama saudara Islam dari seluruh dunia:

Ibadah Haji setahun sekali menghimpun semua orang Islam dari seluruh dunia.  Mereka terdiri dari berbagai bangsa, warna kulit dan bahasa pertuturan. Melalui ibadat haji jemaah dapat berkenalan satu sama lain, terutamanya semasa duduk berdekatan ketika  menunggu solat samada di Masjid Haram ataupun Masjid Nabawi.  Berkesempatanlah untuk berswafoto ataupun mengambil video menggunakan telefon bimbit. Pertemuan orang Islam seluruh dunia melalui ibadat haji ini menggambarkan perpaduan dan penyatuan orang Islam seluruh dunia yang mungkin tidak berlaku dalam mana mana agama lain di dunia.  Dari sudut inilah kita akan dapati benarlah apa yang Allah SWT firmankan dalam surah Al-Hujurat[Bilik-Bilik](49:13) yang berbunyi:


“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)”.

3.4. Membersihkan dosa:

Mengerjakan ibadah haji merupakan kesempatan untuk bertaubat dan memohon keampunan dari Allah SWT. Terdapat beberapa tempat dalam mengerjakan ibadah haji itu merupakan tempat yang mustajab untuk berdoa dan bertaubat. Misalnya di Multazam, Kaabah. Ibadah haji itu sendiri jika dikerjakan dengan sempurna dan tidak tercemar dengan perbuatan-perbuatan keji maka Allah akan mengampunkan dosa-dosa seseorang sehingga ia suci bersih seperti baru lahir ke dunia ini. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa yang melakukan ibadah haji di Baitullah dengan tidak mengucapkan perkataan keji, tidak berbuat fasik, dia akan kembali ke negerinya dengan fitrah jiwanya yang suci ibarat bayi baru lahir daripada perut ibunya." (Hadis riwayat Bukhari Muslim).

3.5. Merasai gambaran Padang Mahsyar:

Kita sudah biasa mendengar tentang keadaan manusia di Padang Mahsyar apabila dibangkitkan semula dari kubur masing masing. Bagi orang yang belum mengerjakan haji tentunya belum pernah melihat perhimpunan jutaan  manusia yang berkeadaan sama tiada beza, iaitu semuanya berpakaian serba putih.  Perhimpunan di Padang Arafah menghilangkan status dan taraf manusia sehingga kita tidak dapat kenal siapakah yang  kaya, hartawan, orang miskin, rakyat biasa, raja atau sebagainya. Semua mereka sama dengan memakai pakaian putih tanpa berjahit. Semua manusia pada masa itu sama saja taraf mereka disisi Allah SWT. Yang membezakannya hanyalah keimanan dan ketaqawaan kepada Allah SWT.

4.      Satu perkara yang selalu dikaitkan dengan ibadah haji ialah samada seseorang itu memperolehi haji mabrur atau tidak.  Apakah maksud mabrur?. Secara umumnya ia difahami sebagai ibadat haji yang diterima oleh Allah SWT.  Daripada Abu Hurairah, katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermakdsud “Barang siapa yang memperolehi haji mabrur  maka tiadalah balasan (ganjarannya) baginya melainkan syurga.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Haji mabrur itu hanya Allah SWT sahaja yang menentukannya. Namun demikian para ulama telah membuat kesimpulan akan tanda-tanda samada seseorang jemaah haji itu mendapat haji mabrur atau tidak. Tanda tanda itu lazimnya dikaitkan dengan perubahan seseorang itu apabila balik dari mengerjakan haji. Antaranya termasuklah:

4.1.   Seseorang itu ternampak perubahan pada sikap, wajah, akhlak dan cara hidupnya apabila ia kembali dari tanah suci Makkah dan Madinah.

4.2. Amal ibadat seseorang itu bertambah baik dan ia rajin melakukannya berbanding sebelumnya.

4.3.   Seseorang itu terus menjaga solatnya dengan baik dan sentiasa berjemaah di setiap waktu.

4.4.   Selalu mengerjakan puasa-puasa sunat serta ibadat-ibadat lain.

4.5.  Perubahan pada dirinya seperti menjadi seorang yang berakhlak baik seperti bertawaduk, merendah diri, husnuzan, tolong menolong, dermawan, bercakap benar, amanah, jujur, suka bersedekah dan memiliki akhlak-akhlak terpuji lainnya.

4.6.  Meninggalkan sifat-sifat jahat dan keji seperti tamak, hasad dengki, riak, takabbur, angkuh, suuzon, bakhil, membazir, boros dan lain lain sifat mazmumah.

4.7. Kalau dahulu dia seorang kaki judi, pemabuk, penzina dan sebagainya tetapi sekarang dia terus meninggalkannya.

4.8.   Tidak mudah untuk menerima dan menyebarkan berita berita palsu atau fitnah.

4.9.     Di kalangan wanita pula, kalau dahulu dia sering mendedahkan aurat tetapi sekarang dia menutup auratnya sebagaimana dituntut oleh agama Islam.

5.      Semoga penerangan yang ringkas ini memberi manfaat kepada kita semua. Bagi yang belum mengerjakan haji lagi, berusahalah agar rukun Islam kelima ini dapat dikerjakan.

                                           
“Allah SWT telah menggariskan segala peraturan untuk kita patuhi di dunia dan ganjarannya hanya akan diberikan di akhirat hanya jika peraturan itu dipatuhi.  Sebagaimana kita mengupah tukang rumah untuk bina rumah, kita sudah sediakan pelan seperti yang kita kehendaki.  Jika tukang rumah tidak buat seperti pelan yang kita sediakan, kita tidak akan bayar. Begitulah juga dengan Allah SWT.  Bagaimana Allah hendak ‘bayar’ kita dengan ganjaran jika kita  tidak patuh kepada pelan Allah SWT.”  ~ Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat