VIDEO TALBIAH HAJI
1. Mengerjakan ibadat haji di tanah suci Mekah adalah rukun Islam kelima. Ia menjadi dambaan semua umat Islam di dunia. Allah SWT telah mewajibkan ibadat haji kepada sesiapa yang mampu menempuh perjalanan ke sana serta mereka yang sudah mukallaf (orang yang telah terkena kewajiban). Ia wajib dikerjakan hanya sekali seumur hidup. Seseorang Islam yang melaksanakan kewajipan haji ini adalah kerana menunaikan perintah Allah SWT selain mengharapkan keredhaan Allah serta ganjaran pahala dariNya. Antara firman Allah SWT dalam Al-Quran tentang kewajipan haji ini ialah:
“Di situ ada tanda-tanda keterangan yang
nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim.
Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan
manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang
mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji
itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari
sekalian makhluk”. Petikan dari surah Ali Imran[Keluarga Imran](3:97).
"Dan serukanlah umat manusia untuk
mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan
berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang
datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. Petikan
dari surah Al-Hajj[Haji](22:27).
2. Fokus penulisan bagi artikel ini ialah
untuk melihat apakah hikmah disebalik perintah melaksanakan ibadat haji bagi
setiap perbuatan atau pekerjaan dalam ibadat tersebut. Dan apakah pula hikmah
atau manfaatnya secara umum. Ibadah haji mempunyai banyak perkara yang
tersirat berbanding dengan apa yang tersurat. Kupasan mengenai perkara ini
adalah merangkumi perkara perkara berikut:
2.1. Ihram - Pakaian ihram disunatkan berwarna serba putih tanpa jahitan. Warna
putih itu melambangkan kesucian dan kebersihan. Kenapa pakaian ihram tidak
boleh berjahit?. Tujuannya ialah untuk mengingat keadaan manusia pada hari
kebangkitan nanti kerana mereka akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam
keadaan tidak beralas kaki dan telanjang bulat. Mengingati kematian dan negeri akhirat
pun mengandungi pelajaran. Antaranya ialah ia dapat menundukkan nafsu,
menimbulkan kesedaran tentang perlunya merendahkan diri (tawadhu’) dan
mensucikan diri dari sifat sifat kesombongan. Ia juga mengajarkan perlunya hidup
sederhana dan menjauhi sifat bermewah-mewahan serta menyayangi orang fakir
miskin.
2.2. Wukuf – Wukuf
di Arafah ialah rukun haji. Perhimpunan semua jemaah haji di sana adalah menjadi
simbolik kepada perhimpunan terbesar semua manusia di Padang Mahsyar nanti. Di
situlah semua manusia semenjak dari Nabi Adam hingga manusia terakhir sebelum
kiamat nanti akan dihisab dan dihitung amalan masing-masing. Wukuf memerlukan pengorbanan
yang besar. Cuaca adalah cabaran paling
utama. Kadang-kadang terlalu panas dan terlalu sejuk semasa musim sejuk. Maknanya
di situlah kemuncak pengorbanan kita untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.
Untuk apakah kita gunakan masa selama berada
di Arafah?. Untuk beribadat dan berdoa kepada Allah ?. Atau hanya sekadar
berbual kosong, makan, minum dan tidur. Hari Arafah sewajarnya dipenuhi dengan solat, doa dan zikir serta
penyerahan diri kepada Allah melalui doa taubat dan pengharapan supaya Allah
SWT mengampunkan dosa kita. Selepas wukuf di Arafah, jemaah haji bergerak pula ke
Muzdalifah untuk berada di situ dari waktu malam hingga subuh. Allah SWT mahu
memberi pengajaran bahawa waktu malam sangat berharga, bukan sahaja di
Muzdalifah tetapi setiap malam di mana pun kita berada. Waktu dua pertiga
daripada malam adalah masa untuk bermunajat kepada Allah. Allah SWT mahu memberi mesej kepada
kita, kalau mahu dekat denganNya, kita mesti menghidupkan malam dengan banyak
berzikir.
2.3. Kenapa kita disyariatkan pergi ke Muzdalifah pada
waktu tengah malam? Ini kerana kita mahu mendekatkan diri dengan Allah SWT.
Jemaah haji digalakkan banyak berzikir dan berdoa di sana selain dari untuk
mengutip batu bagi kegunaan melontar di jamarah di Mina.
2.4. Melontar jamarah
pada 10 hingga 13 Zulhijjah di Mina. Jamarah jamarah itu ialah Sughra, Wusta
dan Qubra. Melontar diketiga tiga jamarah itu dengan 7 biji anak batu
setiap satu adalah simbolik melontar syaitan yang mengganggu hidup kita
seharian. Kita sebagai manusia sebenarnya mempunyai sejarah pertarungan abadi dengan
syaitan. Kita sedar, syaitan adalah musuh dalam kehidupan kita. Setelah kita
melontar syaitan diketiga tiga jamarah itu, apakah ada lagi gangguan syaitan
setelah kita pulang ke kampong halaman?. Gangguan syaitan itu adalah
samada sifat sifat mazmumah dalam diri kita, mementingkan dunia, mencintai harta dunia lebih
dari akhirat dan seumpamanya yang boleh memalingkan kita dari mengabdikan diri
kepada Allah SWT.
Berada di Mina selama tiga hari untuk mengerjakan lontaran adalah
cabaran yang amat besar bagi semua jemaah. Terpaksa berada dalam khemah yang
kecil dan berhimpit himpit dengan jumlah orang yang ramai tentulah sangat tidak selesa. Begitulah juga
terpaksa melalui perjalanan hampir 7 kilometer pergi dan balik setiap kali
untuk melontar jamarah. Kenalah bersesak sesak dalam lautan manusia yang sangat
ramai. Itu belum lagi diambil kira untuk
mandi, buang air besar dan mengambil wuduk. Semuanya kena beratur panjang. Begitu
juga makanan yang disediakan yang mungkin tidak sesuai dengan selera kita. Kesemuanya
menjadi ujian terhadap keimanan kita dalam menghadapi dugaan dari Allah SWT.
Hanya kerana keimanan dan ketaatan kita kepada Allah SWT sahaja yang
membolehkan kita menghadapi semua ujian itu.
2.5. Tahallul bermaksud membebaskan diri dari larangan
ihram. Perbuatan bagi mencapai tahallul
itu ialah samada memotong sekurang kurangnya tiga helai rambut atau mencukur
rambut. Tahallul boleh dilakukan apabila jemaah haji selesai melontar di
jamarah Qubra pada 10 Zulhijjah. Walaupun dibolehkan hanya menggunting sekurang
kurangnya 3 helai rambut namun jemaah lelaki sangat digalakkan mencukur rambut
mereka. Bercukur membawa maksud membersihkan diri dari semua perkara yang kotor
serta membersihkan hati dan fikiran kita. Ia juga memberi makna membuang
perkara yang buruk menjadi perkara yang baik.
2.6. Tawaf adalah
salah satu rukun haji. Jemaah haji perlu mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh
kali. Pusingan mengelilingi Kaabah adalah pusingan fitrah, iaitu dari kanan ke
kiri. Ia berbeza dengan pusingan jam dari kiri ke kanan. Ia dikatakan pusingan fitrah kerana semua
planet planet ciptaan Allah SWT yang berpusing di angkasa raya semua berpusing
dari arah kanan ke kiri seperti manusia mengelilingi Kaabah. Begitulah juga dengan
para malaikat Allah SWT yang tidak diketahui bilangan banyaknya juga
mengelilingi Baitul Makmur dengan pusingan dari kanan ke kiri. Kenapa mesti tawaf
sebanyak 7 kali?. Tujuh merupakan nombor ganjil, yang ganjil itu pilihan Allah.
Langit mempunyai 7 lapis manakala bumi
pula dicipta selama 7 hari.
Tawaf juga menggambarkan suatu putaran kehidupan, iaitu
dari moyang, datuk/nenek, bapa, kita dan akan diteruskan oleh anak dan cucu cicit
kita. Itulah realiti kehidupan. Putaran merujuk kepada pusingan manusia
dari satu generasi kepada satu generasi
lain.
2.7. Saei- Sebaik
selesai tawaf jemaah haji perlu mengerjakan saie pula yang juga merupakan salah satu
rukun haji. Ia adalah perbuatan berjalan kaki dari Bukit Safar ke Bukit Marwah
secara ulang alik sebanyak 7 kali. Perbuatan saei ini adalah manifestasi sebuah pengorbanan dan perjuangan
seorang ibu, iaitu Siti Hajar yang berulang alik antara Bukit Safar dan Marwah untuk mencari air
untuk anak kecilnya yang bernama Ismail. Jemaah haji dikehendaki melakukan apa
yang telah dilakukan Siti Hajar ribuan tahun lalu. Tujuannya supaya kita sama
sama dapat merasai kepayahan dan keletihan yang dialaminya. Moralnya ialah bersabar apabila adanya ujian
dari Allah SWT.
3. Apakah pula hikmah ibadat haji secara
umum?. Ia bolehlah dirumuskan seperti
berikut:
3.1. Menjadi tetamu
Allah (duyufurrahman):
Kaabah atau Baitullah itu juga dikatakan sebagai 'Rumah
Allah'. Ia dikatakan sebagai 'Rumah Allah' kerana mengambil apa yang diucapkan
oleh Nabi Ibrahim a.s. Oleh yang demikian orang yang mengerjakan haji adalah
merupakan tetamu istimewa Allah. Dan sudah menjadi kebiasaan setiap tetamu
mendapat layanan yang istimewa dari tuan rumah.
3.2. Mendapat
tarbiah langsung daripada Allah:
Dikatakan mendapat tarbiah kerana cabaran haji adalah besar
samada semasa di Arafah, Muzdalifah, Mina, melontar, tawaf dan saei. Ini kerana
bilangan jemaah haji yang sangat ramai hingga melebihi 2 juta orang. Boleh
dikatakan diantara perintah Allah yang berupa rukun Islam, ibadat haji adalah
yang paling hebat cabarannya. Alah mahu menguji iman kita dengan pelbagai dugaan dariNya.
3.3. Berkenalan
sesama saudara Islam dari seluruh dunia:
Ibadah Haji setahun sekali menghimpun semua orang Islam
dari seluruh dunia. Mereka terdiri dari
berbagai bangsa, warna kulit dan bahasa pertuturan. Melalui ibadat haji jemaah
dapat berkenalan satu sama lain, terutamanya semasa duduk berdekatan
ketika menunggu solat samada di Masjid Haram
ataupun Masjid Nabawi. Berkesempatanlah
untuk berswafoto ataupun mengambil video menggunakan telefon bimbit. Pertemuan
orang Islam seluruh dunia melalui ibadat haji ini menggambarkan perpaduan dan
penyatuan orang Islam seluruh dunia yang mungkin tidak berlaku dalam mana mana
agama lain di dunia. Dari sudut inilah
kita akan dapati benarlah apa yang Allah SWT firmankan dalam surah Al-Hujurat[Bilik-Bilik](49:13) yang
berbunyi:
“Wahai umat manusia!
Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami
telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu
berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya
semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara
kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)”.
3.4. Membersihkan dosa:
Mengerjakan ibadah haji merupakan kesempatan untuk
bertaubat dan memohon keampunan dari Allah SWT. Terdapat beberapa tempat dalam
mengerjakan ibadah haji itu merupakan tempat yang mustajab untuk berdoa dan
bertaubat. Misalnya di Multazam, Kaabah. Ibadah haji itu sendiri jika
dikerjakan dengan sempurna dan tidak tercemar dengan perbuatan-perbuatan keji
maka Allah akan mengampunkan dosa-dosa seseorang sehingga ia suci bersih seperti baru
lahir ke dunia ini. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa yang melakukan ibadah haji
di Baitullah dengan tidak mengucapkan perkataan keji, tidak berbuat fasik, dia
akan kembali ke negerinya dengan fitrah jiwanya yang suci ibarat bayi baru
lahir daripada perut ibunya." (Hadis riwayat Bukhari Muslim).
3.5. Merasai gambaran Padang Mahsyar:
Kita sudah biasa mendengar tentang keadaan manusia di
Padang Mahsyar apabila dibangkitkan semula dari kubur masing masing. Bagi orang
yang belum mengerjakan haji tentunya belum pernah melihat perhimpunan jutaan manusia yang berkeadaan sama tiada beza, iaitu
semuanya berpakaian serba putih. Perhimpunan di Padang Arafah menghilangkan
status dan taraf manusia sehingga kita tidak dapat kenal siapakah yang kaya, hartawan, orang miskin, rakyat biasa,
raja atau sebagainya. Semua mereka sama dengan memakai pakaian putih tanpa berjahit. Semua manusia pada masa itu sama saja taraf mereka disisi Allah SWT. Yang membezakannya hanyalah keimanan dan ketaqawaan kepada Allah SWT.
4. Satu perkara yang selalu dikaitkan dengan
ibadah haji ialah samada seseorang itu memperolehi haji mabrur atau tidak. Apakah maksud mabrur?. Secara umumnya ia difahami
sebagai ibadat haji yang diterima oleh Allah SWT. Daripada Abu Hurairah, katanya, Rasulullah
SAW bersabda yang bermakdsud “Barang
siapa yang memperolehi haji mabrur maka tiadalah
balasan (ganjarannya) baginya melainkan syurga.” (Hadis Riwayat Bukhari dan
Muslim). Haji mabrur itu hanya Allah SWT sahaja yang menentukannya. Namun
demikian para ulama telah membuat kesimpulan akan tanda-tanda samada seseorang
jemaah haji itu mendapat haji mabrur atau tidak. Tanda tanda itu lazimnya
dikaitkan dengan perubahan seseorang itu apabila balik dari mengerjakan haji. Antaranya
termasuklah:
4.1. Seseorang itu
ternampak perubahan pada sikap, wajah, akhlak dan cara hidupnya apabila ia
kembali dari tanah suci Makkah dan Madinah.
4.2. Amal ibadat
seseorang itu bertambah baik dan ia rajin melakukannya berbanding sebelumnya.
4.3. Seseorang itu
terus menjaga solatnya dengan baik dan sentiasa berjemaah di setiap waktu.
4.4. Selalu
mengerjakan puasa-puasa sunat serta ibadat-ibadat lain.
4.5. Perubahan pada dirinya seperti menjadi seorang yang
berakhlak baik seperti bertawaduk, merendah diri, husnuzan, tolong menolong,
dermawan, bercakap benar, amanah, jujur, suka bersedekah dan memiliki
akhlak-akhlak terpuji lainnya.
4.6. Meninggalkan sifat-sifat
jahat dan keji seperti tamak, hasad dengki, riak, takabbur, angkuh, suuzon, bakhil,
membazir, boros dan lain lain sifat mazmumah.
4.7. Kalau dahulu dia seorang kaki judi, pemabuk, penzina
dan sebagainya tetapi sekarang dia terus meninggalkannya.
4.8. Tidak mudah untuk menerima dan menyebarkan berita berita palsu atau fitnah.
4.8. Tidak mudah untuk menerima dan menyebarkan berita berita palsu atau fitnah.
4.9. Di kalangan
wanita pula, kalau dahulu dia sering mendedahkan aurat tetapi sekarang dia menutup
auratnya sebagaimana dituntut oleh agama Islam.
5. Semoga penerangan yang ringkas ini memberi
manfaat kepada kita semua. Bagi yang belum mengerjakan haji lagi, berusahalah agar rukun Islam kelima ini dapat dikerjakan.
“Allah SWT telah menggariskan segala peraturan untuk kita patuhi di
dunia dan ganjarannya hanya akan diberikan di akhirat hanya jika peraturan itu
dipatuhi. Sebagaimana kita mengupah
tukang rumah untuk bina rumah, kita sudah sediakan pelan seperti yang kita
kehendaki. Jika tukang rumah tidak buat
seperti pelan yang kita sediakan, kita tidak akan bayar. Begitulah juga dengan
Allah SWT. Bagaimana Allah hendak
‘bayar’ kita dengan ganjaran jika kita
tidak patuh kepada pelan Allah SWT.”
~ Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
penjelasan tentang hikmah dan pengajaran mengerjakan ibadah haji sangat bermanfaat.
ReplyDeletePenjelasannya sangat mudah di pahami dan sangat mudah di mengerti.
Ingin lebih tau lagi? kunjungi https://www.hasanahtours.com/blog/detail/200/biaya-umroh-untuk-2-orang/
Semoga berkah