Thursday 30 October 2014

SALAH TANGGAPAN ORANG BUKAN ISLAM KEPADA AGAMA ISLAM (BAHAGIAN 2)

DR. ZAKIR ABDUL KARIM NAIK

Perbincangan berikut ini adalah berupa sambungan dari tajuk sama bagi Bahagian 1 yang diterbitkan pada 29.10.2014


1.ORANG BUKAN ISLAM KATA ORANG ISLAM TAK BERPERIKEMANUSIAN KERANA BUNUH HAIWAN UNTUK DIMAKAN

Jawapan:
1.1. Orang bukan Islam kata sepatutnya manusia  jadi vegetarian untuk mengelakkan binatang dibunuh untuk dimakan.
1.2. Allah berfirman dalam Surah Al Maidah [Hidangan] (5:1) berbunyi:

"Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu. (Halalnya binatang-binatang ternak dan sebagainya itu) tidak pula bererti kamu boleh menghalalkan perburuan ketika kamu dalam keadaan berihram. Sesungguhnya Allah menetapkan hukum apa yang Ia kehendaki."

1.3. Dalam Surah An Nahl [Lebah](16:5) pula Allah berfirman seperti berikut:
"Dan binatang-binatang ternak itu, Ia juga menciptakannya untuk kamu; terdapat padanya benda-benda yang memanaskan tubuh dari sejuk dan beberapa faedah yang lain; dan daripadanya juga kamu makan."
1.4. Dalam Surah Al-Mukminun [Golongan Orang Beriman] (23:21) pula Allah berfirman berbunyi:

"Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu kamu beroleh punca-punca yang menyedarkan (tentang kemurahan dan kebijaksanaan Allah penciptanya); Kami beri kamu minum dari susu yang ada dalam perutnya, dan kamu beroleh banyak faedah lagi padanya; dan daripadanya juga kamu beroleh rezeki penghidupan kamu."

1.5. Hasil analisis yang dibuat oleh penyelidik dirumuskan seperti berikut:

1.5.1. Daging didapati kaya dengan protin, zat besi, vitamin B1dan asid niacin yang berkhasiat yang tidak ada dalam sayur-sayuran.
1.5.2. Gigi lembu, kambing, unta, kerbau yang makan rumput semuanya tumpul dan rata.  Gigi harimau, singa dan lain-lain yang makan daging semuanya tajam (taring) yang sesuai untuk mengoyak daging.  Gigi manusia ada yang rata dan ada yang tajam.  Jika Allah menghendaki manusia hanya makan sayuran kenapa gigi manusia diciptakan ada tajam dan tumpul.
1.5.3. Sistem penghadaman herbivor hanya boleh hadam rumput dan tidak boleh hadam daging.  Karnivor pula tidak boleh hadam rumput dan boleh hadam daging. Allah jadikan perut manusia boleh hadam kedua-duanya (sayuran dan daging). Ini bermakna manusia sesuai makan daging dan juga sayuran.
1.6. Orang Hindu tidak makan daging. Tapi kitab mereka sebut orang alim mereka makan daging. Ada kisah dalam kitab mereka sebutkan isteri pembesar minta suaminya memburu rusa.

2. ORANG BUKAN ISLAM KATA MAKAN DAGING BOLEH BERI KESAN KEPADA TINGKAH LAKU MANUSIA.

Jawapan:
Orang vegetarian kata, jika makan daging kelakuan kita akan jadi macam binatang yang kita makan.  Fakta ini benar.  Oleh sebab itulah Islam hanya benarkan  makan daging binatang yang jinak sahaja seperti lembu, kerbau, unta, kambing, ayam, itik dan seumpamanya. Daging binatang buas seperti harimau, singa, dubuk dan lain-lain diharamkan untuk dimakan.

3. ORANG BUKAN ISLAM KATA CARA SEMBELIHAN ORANG ISLAM ZALIM DAN KEJAM.

SULTAN KELANTAN SEDANG MENYEMBELIH LEMBU KORBAN
Jawapan:
3.1. Agama Islam ajar penganutnya supaya pastikan pisau untuk sembelihan mesti tajam, beri minum dan makan yang cukup sebelum sembelih. Pisau sembelihan tidak boleh ditunjuk kepada binatang sembelihan dan tidak boleh sembelih depan binatang lain.
3.2. Hasil kajian saintifik mendapati: 
3.2.1. Cara Islam sembelih (zabiha) ialah potong leher/kerongkong dan salur udara dan saluran darah leher tetapi ia tidak rosakkan sarat tunjang (spinal cord).  Jika saraf ini rosak, saraf yang bersambung pada jantung akan putus dan berlaku serangan jantung yang menyebabkan kesakitan yang amat sangat pada binatang.  Zabiha akan mengeluarkan darah yang banyak.  Jika potong leher, jantung masih berdenyut dan binatang tidak mati serta merta.
3.2.2.  Kini diketahui dalam darah ada bakteria, kuman dan toksin. Daging sembelih bebas dari bakteria kerana segala kekotoran tersebut keluar bersama darah yang banyak.
3.2.3.     Daging sembelihan kekal segar lebih lama berbanding dengan kaedah sembelihan lain.
3.2.4.     Kini diketahui cara zabiha itu lebih berperikemanusiaan berbanding kaedah stunning yang digunakan oleh orang bukan Islam. 
3.2.5.     Dengan kaedah zabiha bekalan darah kepada saraf akan berhenti yang menyebakana kesakitan terhenti.  Binatang tidak rasa sakit lagi. Binatang menendang bukan kerana kesakitan tetapi kerana kekurangan darah dan oksigen dalam badannya.
3.3. Kajian oleh Profesor Wilhelm Schulze dan Dr Hazim bertajuk: `Cubaan untuk mengesan kesakitan dan rasa sedar mengikut kaedah konvensional dan agama ketika menyembelih lembu atau kambing’.

3.3.1.Dalam kajian itu, beberapa alat pengesan dipasang di pelbagai tempat pada otak haiwan kajian tersebut. Alat itu dimasukkan menerusi pembedahan khas dan haiwan terbabit dibiarkan untuk pulih selama beberapa minggu.
3.3.2.Beberapa ekor haiwan itu disembelih mengikut kaedah Islam menggunakan tindakan pantas, memotong urat leher dengan pisau tajam. Beberapa ekor haiwan lain dibunuh mengikut cara barat menggunakan kaedah Captive Bolt Pistol Stunning (CBP).
3.3.3.Ketika ujian dijalankan, rekod electroencephalograph (EEG) dan electrocardiogram (ECG) dicatatkan bagi mengetahui keadaan otak dan jantung semua haiwan terbabit ketika proses penyembelihan secara Islam dan kaedah CBP dilaksanakan Barat.
3.4.   Hasil ujian menurut kaedah sembelihan  Islam mendapati:
3.4.1. Tiga saat pertama ketika disembelih, EEG tidak mencatatkan sebarang perubahan pada graf sama seperti sebelum penyembelihan. Keadaan itu membayangkan bahawa haiwan itu tidak berasa sebarang kesakitan ketika atau sebaik saja pisau memotong urat leher terbabit.
3.4.2.Untuk tiga saat kedua, EEG mencatatkan keadaan tidur lena atau tidak sedar diri. Ini disebabkan banyak darah mengalir keluar dari badan.
3.4.3.Selepas enam saat, EEG mencatatkan paras sifar, menunjukkan haiwan itu tidak merasai sebarang kesakitan.
3.4.4. Ketika mesej otak (EEG) jatuh ke paras sifar, jantung masih mengepam dan badan haiwan masih dapat bergerak akibat tindak balas daripada saraf tunjang, menyebabkan semua darah keluar dari badan haiwan menghasilkan daging yang selamat untuk dimakan, menurut penyelidikan itu.

3.5.   Hasil Ujian Tembakan CBP Cara Barat mendapati:
3.5.1. Ketika mengkaji kaedah CBP, haiwan dikesan terus pengsan sebaik saja menerima tembakan CBP dan EEG menunjukkan bacaan amat sakit pada haiwan itu.
3.5.2.  Jantung haiwan itu berhenti berdenyut lebih awal selepas terkena kejutan berbanding haiwan yang disembelih. Keadaan itu menyebabkan banyak darah masih terkumpul dalam daging dan ia sebenarnya tidak selamat untuk dimakan.
3.6.   Kesimpulan: - Daripada hasil kajian tersebut, Profesor  Schulze dan Dr Hazim menyimpulkan bahawa kaedah sembelihan Islam adalah yang terbaik kerana lebih berperikemanusiaan. Manakala amalan mengenakan kejutan elektrik ke atas haiwan sebelum dibunuh seperti yang diamalkan oleh Barat, mendatangkan kesakitan yang amat sangat pada haiwan.

 CARA CBP YANG JAUH LEBIH MENYAKITKAN BINATANG



4. ORANG BUKAN ISLAM KATA ORANG ISLAM SEMBAH KAABAH

UMAT ISLAM SEDANG TAWAF DI KAABAH
Jawapan:
4.1.   Sebenarnya orang Islam tidak sembah Kaabah tetapi sembah Allah.  Kaabah yang merupakan kiblat hanyalah arah untuk menyembah Allah sahaja.  Islam utamakan keseragaman dan kesatuan.  Semua orang sembahyang mengadap kaabah kerana kaabah ialah pusat dunia. Ia adalah simbol kesatuan dikalangan orang Islam.
4.2. Zaman rasulullah ada sahabat berdiri atas kaabah untuk melaungkan azan supaya dapat didengar dengan lebih jelas. Semasa kiswah ditukar pekerja perlu memijak atas Kaabah. Mana ada agama di dunia yang benarkan orang berdiri di atas berhala sembahan mereka. Ini membuktikan bahawa orang Islam tidak sembah Kaabah

5. KENAPA ORANG BUKAN ISLAM TIDAK DIBENARKAN MEMASUKI MEKAH DAN MADINAH

PETA ARAB SAUDI DI MANA TERLETAKNYA MEKAH DAN MADINAH

Jawapan:
5.1.   Orang bukan Islam kata jika Islam dikatakan agama universal kenapa orang bukan Islam tidak boleh memasuki Mekah dan Madinah.
5.2. Sebenarnya setiap rakyat di mana-mana negara pun tidak boleh masuk beberapa kawasan tertentu di negara mereka. Misalnya  kawasan keselamatan yang dikawal tentera dan polis. Mekah dan Madinah ialah seumpama kawasan keselamatan untuk orang Islam. Keselamatan dari segi akidah. Hanya orang Islam dan mempertahankan akidah Islam sahaja boleh ke sana.
5.3. Dalam Surah AtTaubah [Pengampunan](9:28) Allah berfirman:



"Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu kotor, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid Al-Haraam sesudah tahun ini; dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurniaNya, jika dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana."
5.4. Jika kita mahu melawat sesebuah negara kita perlukan visanya dan perlu penuhi syarat-syaratnya. Jika syarat kata hukuman gantung kepada pengedar dadah kita mesti ikut. Jika tidak setuju kita tidak boleh masuk. Begitu juga  jika mahu masuk ke Mekah dan Madinah juga perlukan visa.  Visanya ialah mengucap dua kalimah syahadah dan menjadi Islam terlebih dahulu.



“-Tiada solat yang sempurna tanpa jiwa yang khusyu'
-Tiada puasa yang sempurna tanpa mencegah diri daripada perbuatan yang sia-sia
-Tiada kebaikan bagi pembaca Al-Qur'an tanpa mengambil pangajaran daripadanya
-Tiada kebaikan bagi orang yang berilmu tanpa memiliki sifat wara'
-Tiada kebaikan mengambil teman tanpa saling sayang-menyayangi
-Nikmat yang paling baik ialah nikmat yang kekal dimiliki
-Doa yang paling sempurna ialah doa yang dilandasi keikhlasan
-Barangsiapa yang banyak bicara, maka banyak pula salahnya, siapa yang banyak salahnya, maka hilanglah harga dirinya, siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak wara', sedang orang yang tidak wara' itu bererti hatinya mati.” -  Muiara Kata Saidina Ali Karamallahu Wajhah