Monday, 20 October 2014

SALING INGAT MENGINGATI ADALAH SEBAHAGIAN AJARAN ISLAM


 
Ceramah Ustaz Shamsuri Haji Ahmad
 
 TAZKIRAH IALAH SALAH SATU PROGRAM UNTUK SALING INGAT MENGINGATI 
1. Setiap manusia muslim wajib mempersiapkan diri masing-masing untuk tinggal dalam syurga Allah setelah kita dibangkitkan dari alam barzah nanti dan setelah selesai urusan pengadilan dari Allah di Padang Mahsyar.  Setiap muslim wajib bercita-cita untuk masuk dan menjadikan syurga sebagai tempat kediaman kita yang kekal abadi untuk selama-selamanya.  Sekiranya bukan syurga yang kita temui maka nerakalah tempat kediaman kita. Nauzubillah. 

2. Allah mencipta dunia ini bukannya untuk dijadikan sebagai matlamat kehidupan.  Matlamat hidup setiap muslim ialah untuk tinggal dan menetap selama-lamanya di dalam syurga Allah yang penuh dengan kenikmatan dan keseronokan yang tidak dapat digambarkan dengan bahasa.  Dunia ini hanyalah semata-mata alat (wasilah) untuk mencapai syurga itu.  Dunia ini ibarat kebun untuk kita bercucuk tanam menanam apa jua tanaman yang kita sukai.  Walau bagaimana pun hasil tanaman itu bukannya untuk dituai dan dinikmati di dunia ini melainkan di negeri akhirat nanti.  Beruntung dan bertuahlah sesiapa yang menanam buah-buahan yang baik dan berkhasiat untuk dinikmati di akhirat nanti.  Sebaliknya celakalah bagi sesiapa yang semasa hidupnya telah menanam buah-buahan yang tidak dapat dimakannya di negeri akhirat kelak. Malah buah-buahan yang ditanam itu bertukar menjadi dosa yang menyebabkan mereka dihumbankan ke dalam neraka Allah, waliyyazubillah.
  
3. Bagi mencapai matlamat memperolehi syurga di akhirat inilah saya menukilkan artikel-artikel yang berpandukan firman Allah SWT atau sabda Rasulullah SAW dalam posting berikutnya untuk menjadi renungan bersama. Semoga kita sentiasa menjadikan Al-Quran dan juga sabda Rasulullah sebagai panduan hidup sehingga kita dimatikan oleh Allah.  Ia juga sesuai dengan pesanan, amanat dan wasiat Rasullulah yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari yang berbunyi “ballighu anni wal aayat” yang bermaksud sampaikanlah dariku walaupun sepotong ayat. Selain dari itu ia juga bagi memenuhi perintah Allah SWT supaya kita saling ingat mengingati dan nasihat menasihati satu sama lain dalam perkara yang baik seperti firman Allah dalam Surah Al’Asr [Masa] (103:1)



   "Demi Masa!"
              (103:2)
 
"Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian."


(103:3)


"Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran."

4.  Selain dari tujuan di atas, blog ini disediakan atas kesedaran kepada tanggung jawab sebagai seorang Islam kerana Allah memerintahkan kita untuk saling mengajak berbuat kebaikan dan meninggalkan kejahatan.  Renungilah firman-firman Allah berikut:

      4.1.  Dalam Surah Ali Imran [Keluarga Imran](3:110) berbunyi:




“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk kepentingan manusia, kerana kamu mengajak berbuat kebaikan dan mengajak meninggalkan kemungkaran, serta kamu beriman kepada Allah."

          4.2.  Dalam Surah Fussilat [Pembukaan] (41:33) berbunyi:




“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mentauhid dan mematuhi perintah) Allah dan dia sendiri mengerjakan amal soleh sambil berkata, “Sesungguhnya, aku adalah daripada kalangan orang Islam yang benar-benar berserah kepada Allah."


“Hanya lidah yang mahu berdusta dan berbohong. Namun pandangan mata, hayunan kedua belah tangan, langkah kedua belah kaki dan pergerakan tubuh atau seluruh anggota badan akan menafikan apa yang diucapkan oleh lidah” –Mutiara Kata Khalifah Ali bin Abi Talib

No comments:

Post a Comment