Monday 1 October 2018

KEMBALINYA ARNOUD VAN DOORN, SEORANG PEMBENCI ISLAM KE PANGKAL JALAN


ARNOUD VAN DOORN
1.      Sesungguhnya hidayah atau nur Ilahi itu adalah milik mutlak Allah SWT.  Tidak ada manusia yang mampu memberi hidayah kepada manusia lain hatta Rasulullah SAW sendiri. Hakikat ini telah Allah tegaskan lebih 1,400 tahun lalu dalam firmanNya dalam surah Al-Qashah[Kesah-Kesah](28:56) yang berbunyi:


“Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk”.

2.      Posting kali ini akan membicarakan seorang lagi penganut agama Kristian yang telah memeluk Islam.  Beliau ialah Arnoud Van Doorn. Kemasukannya ke dalam agama Islam membuatkan seluruh negara kelahirannya, Belanda menjadi gempar. Betapa tidak. Beliau  adalah teman rapat Geert Wilder yang merupakan mantan Ketua Parti Kebebasan Belanda  (Partij Voor de Vrijheid - PVV). Geert Wilders amat dikenali sebagai tokoh  politik Belanda yang sangat anti Islam.  PVV sangat dikenali sebagai parti politik berhaluan liberal yang lantang menentang Islam. Dengan sokongan Van Doorn, beliau telah membuat filem bertajuk “Fitna” pada 2008. Filem ini cuba mengaitkan Al-Quran dan agama Islam dengan aktiviti keganasan.

3.      Arnoud Van Doorn dilahirkan pada 18 March 1966 di The Hague, Belanda. Beliau  merupakan salah seorang pemimpin tinggi dalam parti PVV. Perkara  yang kerap menjadi pertanyaan dalam sanubarinya ialah kenapakah partinya menjadi sangat membenci agama Islam dan penganutnya. Pertanyaan ini menjadikan beliau tergerak hati untuk mengetahui dan mempelajari agama Islam dengan lebih mendalam. Dari sifat ingin tahu beliau inilah yang telah membawa kepada pengislamannya.

4.      Sifat dan naluri ingin tahu itulah menyebabkannya mula membaca Al-Quran terjemahan, hadis Rasulullah dan buku buku tentang Islam. Bermulalah dalam hidupnya mengenali Islam dari dekat.  Sebelum ini beliau mengenali Islam dari orang orang yang sangat membenci agama Islam. Orang-orang yang rapat dengan Van Doorn mengetahui beliau banyak  membaca buku buku tentang Islam tetapi mereka tidak pernah menyangka Van Doorn akan menganut Islam. Beliau menghabiskan masa hampir setahun untuk mengkaji Al-Quran, hadis dan sejumlah kitab agama Islam. Malah dikatakan beliau juga berkesempatan berdialog dengan penganut Islam untuk mengetahui lebih dalam tentang agama yang mula menarik minatnya itu.

5.      Semakin lama mempelajari agama Islam, Van Doorn semakin tertarik dengan Islam. Dia mula merasakan Islam adalah satu agama yang istimewa berbanding dengan agama Kristian. Apa yang selama ini ada dalam fikirannya bahawa Islam adalah agama yang fanatik, menindas wanita, tidak toleran, memusuhi agama Kristian dan Barat mula hilang. Beliau mula mendapati Islam yang sama sekali berbeda dari apa yang pernah beliau sangka dan fikirkan. Van Doorn juga menemukan bahawa Islam adalah agama yang mencinta perdamaian, tidak seperti tuduhan media Barat yang selama ini menggambarkan  Islam sebagai agama anutan pengganas. Katanya: "99 persen kaum muslimin adalah pekerja keras dan pecinta damai. Jika lebih ramai orang mempelajari Islam yang benar, semakin ramai  orang yang akan melihat keindahan itu," kata Van Doorn ketika diwawancara oleh MNA.

KETIKA MENUNAIKAN HAJI DI MEKAH

6.    Jalan menemui hidayah Allah bagi Van Doorn semakin terbuka luas apabila beliau  bertemu dengan seorang Islam bernama Aboe Khoulani, rakannya yang bekerja di Dewan Kota Den Haag. Selain menerangkan tentang Islam dengan lebih mendalam, Aboe  Khoulani juga bertanggung jawab membawa Van Doorn ke Masjid As-Soennah di Belanda. Van Doorn telah mengumumkan pengislamannya pada tahun  2012.  Selepas menunaikan haji di Mekah dan menziarahi makam Rasulullah beliau telah memohon kemaafan kepada ulama di Saudi di atas penglibatan dan percubaannya menanamkan kebencian kepada agama Islam. Beliau pernah berkata: “Hinggga kini saya masih menyesal kerana terlibat menyebarkan filem “Fitna”.  Saya mempunyai tanggungjawab untuk memperbetulkan kesilapan saya di masa lepas”.

7.   Pada bulan April 2013, Van Doorn menjelaskan beliau akan menggunakan pengalamannya untuk menerbitkan filem bertaraf antarabangsa yang menceritakan kehebatan Nabi Muhammad. Filem berjudul “Muhammad: Master of Human Beings” itu diusahakan bersama dengan Persatuan Dakwah Kanada yang bertanggung jawab membawanya menunaikan haji. Hingga Mei 2014, beliau berkhidmat sebagai ahli Majlis Bandaraya The Hague untuk parti PvdE, sebuah parti politik berasaskan Islam. 

8.   Lebih kurang setahun selepas Van Doorn memeluk Islam, jejak langkahnya telah diikuti oleh anaknya, Iskander Amien De Vries yang berumur 22 tahun. Beliau melihat betapa bapanya menjadi seorang yang bertambah tenang dan damai setelah masuk Islam. Iskandar bersama sama dengan 37 orang lain telah memeluk Islam dalam Konvensyen Keamanan Antarabangsa di Dubai. Iskandar juga mendapat ransangan dari Younis, seorang pemuda Islam yang banyak membimbingnya kepada agama Islam.

9.     Sesungguhnya apa yang berlaku kepada Van Doorne ini bersesuaian dengan firman Allah SWT di atas.  Tidak ada siapa menyangka beliau boleh berubah 360 darjah. Memeluk Islam dan menjadi pembela Islam. Pengislamannya akan mengingatkan kita kepada pengislaman Saidina Umar Al-Khattab yang asalnya merupakah musuh Islam dan Rasulullah nombor satu tetapi akhirnya memeluk Islam dan menjadi pembela Islam. Malah beliau telah menjadi khalifah Islam kedua menggantilakn Saidina Abu Bakar Al-Siddiq.



“ Kita hidup di dunia ini bukan setakat nak hidup sahaja tetapi nak hidup biar sampai ke akhirat. Kita bekerja biar sampai ke akhirat, kita bertani biar sampai ke akhirat bahkan kita berpolitik biar sampai ke akhirat. Macam manna nak sampai ke akhirat, kalau semasa kita buat kerja ni tak pernah fikir tentang akhirat ?...” =Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat