Friday 31 March 2017

SHEIKH SULAIMAN AL RAJHI : JUTAWAN AKHIRAT 2



SHEIKH SULAIMAN BIN ABDUL AZIZ AL RAJHI

1.   Dalam posting bertarikh 27.12.2016 lalu saya telah memuatkan satu artikel tentang kesah seorang jutawan akhirat yang  berasal dari Malaysia.  Beliau ialah Ahmad Dawjee Dadabhoy.  Untuk posting kali ini kita akan mengikuti pula kesah seorang lagi jutawan akhirat yang berasal dari Arab Saudi.  Beliau ialah Sheikh Sulaiman bin Abdul Aziz Al Rajhi.  Sheikh Sulaiman lahir pada tahun 1920 disatu tempat bernama  Al Bukairiyah dalam daerah Al Qassim, Arab Saudi dan membesar di kawasan padang pasir Nejd. Pendidikannya hanya setakat sekolah rendah sahaja. Ini kerana beliau berasal dari keluarga miskin.  Setelah lulus sekolah rendah, beliau mula bekerja untuk membantu orang tuanya.

2.  Pada peringkat awalnya beliau memulakan perniagaan dengan abangnya, Saleh ketika berusia 10 tahun.  Perniagaan masa itu ialah menyewa unta-unta untuk pengangkutan jemaah haji untuk pergi ke Mekah dan Madinah serta perniagaan menukar wang untuk pengembara yang merentasi padang pasir ke bandar Mekah dan Madinah. Dalam tahun 1945 beliau berjaya mengumpul modal untuk membuka kedai runcit dan kemudiannya menjadi agen penukaran wang. Perkembangan dan kejayaan perniagaan adik beradik Al-Rajhi ini dibantu oleh kemasukan ramai imigran dalam tahun 1970an kerana limpahan kekayaan minyak Arab Saudi.  Ramai imigran adalah dari Pakistan dan Indonesia.

3.  Kerja keras, disiplin dan dedikasinya membolehkannya mengembangkan perniagaannya dalam pelbagai sektor, antaranya:

NamaaZone | Al-Rajhi Bank profits down 4.7% in nine months
3.1.   Perbankan Islam - Bank Al Rajhi:

Pengalaman masa muda dalam bidang tukaran wang  dijadikan asas dan panduannya untuk menubuhkan Bank Al Rajhi dan seterusnya menjadikannya pemegang saham terbesar dalam bank tersebut.  Bank ini telah mendapat kelulusan penubuhannya dari kerajaan Arab Saudi dalam tahun 1983. Abang beliau Sheikh Saleh Bin Abdul Aziz Al Rajhi juga turut membantu dalam merancang penubuhan serta menguruskan Bank Al Rajhi.  Sulaiman Al Rajhi, Pengerusi Bank Al Rajhi adalah seorang yang bijak mentadbir dan menjalankan urusan perniagaannya sehingga Bank Al Rajhi dilaporkan mencatat keuntungan yang paling tinggi berbanding dengan bank-bank lain di Arab Saudi. Bank Al-Rajhi menjadi salah satu syarikat terbesar di Arab Saudi. Kini Bank Al-Rajhi mempunyai 570 cawangan di seluruh dunia.  Pada Oktober 2006, Bank Al Rajhi telah beroperasi di Malaysia dan sebanyak 25 cawangan banknya sudah ditubuhkan di seluruh negara.
Bank Al-Rajhi menjadi bank Islam terbesar di dunia. Beliau juga bertanggungjawab memperkenalkan perbankan Islam ke negara-negara Eropah.

3.2.   Ladang Ternakan Ayam Al-Watania:

Dorongan utama beliau menceburi perniagaan ternakan ayam ini kerana beliau mahu memasarkan ayam-ayam yang disembelih mengikut syariat Islam. Pusat Penternakan Ayam al-Watania ini terletak di Bandar Qassim, Arab Saudi. Ayam-ayam di ladang ternakannya ini diternak dengan baik, diberi makan dengan sempurna dan disembelih secara halal mengikut peraturan syariah. Kini syarikat ini telah berjaya mengeluarkan setengah juta ayam dan satu juta telur setiap hari dan menguasai 40% pasaran di Arab Saudi dan merupakan ladang ternakan ayam  terbesar di Timur Tengah.

3.3.   Pusat Pertanian Al-Watania:
 
Al Watania Agriculture Co.

Sheikh Sulaiman Al Rajhi dikatakan  telah melabur sejumlah lebih USD 250 juta dalam bidang pertanian secara organik untuk memastikan pengguna dapat makan makanan yang bebas daripada bahan kimia berbahaya.  Syarikat Pertanian Al-Watania yang ditubuhkan pada tahun 1982 kini telah menjadi salah satu syarikat pertanian terkenal di Arab Saudi.  Syarikat ini banyak melakukan penyelidikan terhadap tanaman secara organik dan menghasilkan produk pertanian yang menggunakan baja organik sepenuhnya.  Beribu pejabat di kota Riyadh, syarikat ini mempunyai ladang yang terletak di utara, tengah dan selatan Arab Saudi. Perniagaannya dalam bidang pertanian diusahakan melalui syarikat bernama National Agricultural Development Company (NADEC) di mana beliau menjadi pengerusinya. NADEC juga memiliki projek-projek pertanian di Afrika dan Timur Eropah.
Beliau dilaporkan memiliki sejumlah 5,466 hektar ladang kurma di kawasan Qashim, Arab Saudi.  Ini adalah ladang kurma terbesar di dunia yang ditanam lebih dari 200,000 pokok kurma pelbagai spesis.  Pada setiap kali bulan Ramadan  beliau akan mewakafkan buah kurma ini  kepada Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi untuk jemaah berbuka puasa.

3.4. Ladang Ternakan Lembu dan Keluaran Tenusu:

MENCARI JALAN PULANG: March 2017
NADEC juga terlibat dalam ternakan lembu berskala besar dan pengeluaran produk tenusu. Ia melibatkan  keluasan tanah sejumlah 37,500 hektar.  Ladang ternakan ini mempunyai antara  25,000 hingga 30,000 ekor lembu.  Ia memiliki sebuah kilang besar untuk memproses susu lembu menjadi pelbagai jenis produk tenusu bermutu tinggi seperti susu,  cheese dan yogurt.


3.5.  Perniagaan lain syarikat Al-Watania ialah dalam bidang pengeluaran plastik, pengeluaran kontena, keluaran barangan kertas, makanan dan batu bata.  Ibu pejabat bagi syarikat-syarikat ini terletak di Riyadh.

3.6.   Pelaburan Dalam Pasaran Saham:

Sulaiman Al Rajhi juga melabur dalam pasaran saham di Arab Saudi. Banyak wang yang telah dilaburkan dalam pasaran saham dipelbagai sektor penting di negara tersebut. 


3.7. Universiti Sulaiman Al Rajhi:
 Virtual Tours - Sulaiman Alrajhi University | Sulaiman Alrajhi University

Menubuhkan Universiti Sulaiman Al Rajhi di daerah Qassim. Fokus utama universiti ini adalah untuk melahirkan pelajar-pelajar dalam bidang kesihatan dan perbankan Islam. Graduan dari universiti ini dapat memenuhi keperluan tenaga kerja yang diperlukan oleh negara Arab Saudi.

4.  Sulaiman Al Rajhi adalah seorang yang suka merendah diri.  Beliau juga memiliki pegangan saham dalam syarikat penerbangan. Namun beliau tidak berminat untuk memiliki jet peribadi walaupun berkemampuan. Beliau lebih suka menaiki penerbangan kelas ekonomi.  Baginya, Allah tidak memberikannya harta dan kekayaan untuk ditunjuk-tunjuk kepada orang ramai.  Sheikh Sulaiman juga seorang yang sangat suka bersedekah. Beliau pernah bersedekah dengan memberi makan kepada hampir 3 juta jemaah haji yang mengerjakan wuquf di Arafah. Sulaiman Al Rajhi tidak hanya menyediakan wang dan mengupah orang memasak hidangan itu, tetapi beliau sendiri dikatakan telah turun padang untuk melihat bagaimana lebih daripada 800 orang tukang masak yang diupah untuk menyediakan makanan itu.

5.    Sulaiman Al Rajhi juga merupakan pengasas kepada Yayasan Kebajikan Sulaiman Al Rajhi (Sulaiman Bin Abdul Aziz Rajhi Charitable Foundation - SAAR). Ia adalah sebuah organisasi kebajikan dan amal yang terkemuka di Arab Saudi malah di dunia.  Kini selepas pengagihan hartanya dibuat, fokus utama Sulaiman Al Rajhi lebih kepada kerja-kerja amal seperti menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan Yayasan SAAR.

6.    Beliau juga diiktiraf atas segala jasa beliau seperti mencetak ratusan ribu salinan Al-Quran dan mengedarkannya secara percuma ke seluruh dunia, terutamanya di Afrika, pembinaan masjid dan sumbangan kewangan untuk pembangunan sosio-ekonomi.
 
7.   Kerajaan Arab Saudi juga telah menganugerahkan beliau dengan "Anugerah Antarabangsa Raja Faisal 2012" dalam satu acara gilang gemilang yang telah diadakan di Riyadh.  Beliau telah dipilih untuk menerima anugerah ini atas jasa dan peranan besar beliau dalam mewujudkan perbankan Islam yang terbesar selaras dengan syariah Islam, menderma setengah dari kekayaannya untuk kebajikan, menyokong kerja-kerja kebajikan dan membantu melaksanakan projek-projek kerajaan Saudi.
Bilionair Arab Yang Pilih Untuk Dermakan Seluruh Hartanya - Majalah Labur
 
8.    Pada tahun 2011, Majalah Forbes telah menyenaraikan beliau sebagai seorang yang berpengaruh dan merupakan orang yang ke 120 terkaya di dunia.  Beliau juga dikatakan antara 10 orang yang terkaya di Arab Saudi. Dikalangan orang yang bukan dari keluarga diraja Arab Saudi pula beliau adalah orang paling kaya.

9.  Pada bulan Mei 2011, Sulaiman Al Rajhi telah melontarkan soalan kepada sekumpulan ahli perniagaan di hadapannya. Katanya: “Bagaimana anda boleh memuaskan nafsu lapar anda sedangkan jiran anda menghabiskan malam mereka dalam keadaan kelaparan?” Pada bulan yang sama itu jugalah, dunia telah dikejutkan dengan pengumuman beliau untuk memindahkan sebahagian harta kekayaannya yang dianggarkan Majalah Forbes bernilai USD 7.7 bilion (anggaran RM 30 bilion) itu kepada seramai 23 orang anak-anak beliau.  Sebahagian yang lain pula diwakafkan kepada badan-badan amal dan kebajikan  untuk pendidikan dan membiayai orang miskin di Arab Saudi. Dengan bantuan agensi-agensi yang berkaitan, pengagihan harta perniagaannya termasuklah saham dan hartanah miliknya telah berjaya dilakukan dan seterusnya menjadikan beliau seorang yang ‘miskin’ semula dan hanya tinggal ‘sehelai sepinggang’.  Beliau berkata, jalan yang dipilihnya ini telah membuatkan jiwanya menjadi lebih tenang dan gembira.  Beliau menganggap dirinya hanyalah penjaga bagi seluruh harta kekayaannya dan pemilik kekal adalah Allah SWT.  

10. Dengan melakukan pengagihan hartanya, beliau juga dapat mengelakkan perebutan harta dan seterusnya permusuhan dikalangan anak-anaknya sekiranya beliau mati sebelum sempat membahagikan hartanya.  Sesuatu yang tidak diingininya adalah melihat perbalahan antara anak-anaknya sendiri seperti yang berlaku dalam sesetengah keluarga.  Pengagihan harta ini juga dibuat agar beliau boleh memastikan anak-anaknya boleh menguruskan perniagaan dan pelaburan yang telah diusahakannya.  Dengan cara ini juga, beliau berpeluang untuk memberi tunjuk ajar kepada anak-anaknya sekiranya mereka menghadapi masalah dalam mentadbir perniagaan yang diwarisi darinya.  Sulaiman Al Rajhi juga berharap dengan mewariskan sebahagian besar daripada hartanya ke jalan Allah (infaq/sedekah), beliau telah dapat menunaikan tanggungjawab menjaga saudara-saudara Islam yang lain dan seterusnya menjadi bekalan pahala untuk dirinya di negeri akhirat kelak.

11.    Jalan yang dipilih oleh Sheikh Sulaiman untuk berinfaq harta kekayaan di jalan Allah SWT  akan mengingatkan kita kepada sahabat Rasulullah SAW, iaitu Abdul Rahman bin Auf.  Beliau ialah korporat dan jutawan terkenal di zaman Rasulullah.  Beliau juga telah menginfaqkan hartanya yang sangat banyak di jalan Allah.  Rasulullah SAW pernah bersabda tentang 10 orang sahabatnya yang dijamin masuk syurga.  Salah seorang darinya ialah Abdul Rahman bin Auf.  Barangkali kita tidak pernah terfikir di zaman ini setelah lebih 1,400 tahun ditinggalkan Rasulullah SAW, ada lagi orang yang memiliki jiwa, akhlak, peribadi dan pekerti luhur seperti Abdul Rahman bin Auf. Bagi Sheikh Sulaiman beliau berbuat demikian kerana ingin mencari kebahagian dalam hidupnya. Baginya, harta kekayaan adalah penghalang kepadanya untuk mencari kebahagian dalam hidup.

12.  Barangkali juga keputusan Sheikh Sulaiman itu kerana menyedari adanya firman Allah SWT dalam surah Al-Munafiqun[Orang Munafik](63:9) yang berbunyi:


“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi”.

13.   Beliau juga mungkin tidak mahu menjadi orang yang terpedaya dengan kesenangan kehidupan di dunia seperti difirmankan Allah SWT dalam surah Al-Hadid[Besi](57:20) yang berbunyi:
 

“Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

14.   Orang Islam yang hanya tahu mencari harta kekayaan samada halal atau haram tanpa mempedulikan bekalan akhirat adalah orang yang tidak takut kepada azab Padang Mahsyar ataupun mereka tidak percaya kepadanya. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud;  Akan ada tiga golongan manusia yang lama hitungan hisabnya di Padang Mahsyar, iaitu orang yang ramai anak, orang yang banyak ilmu dan orang yang banyak harta.  Mahsyar adalah tempat yang penuh dengan kesengsaraan.  Setelah berada di sana nanti barulah kita akan menyesal memiliki harta yang banyak di dunia kerana perlu menempuh hitungan hisab yang panjang dari Allah SWT.

15.  Apakah kita mampu mengikuti jejak langkah Sheikh Sulaiman Al-Rajhi jika ditakdirkan Allah kita mempunyai harta kekayaan yang banyak?.  Jika kita mampu mencontohinya maka bolehlah kita memiliki kekayaan yang banyak.  Sebaliknya jika tidak mampu, eloklah kita bersabar dengan sedikit kesusahan yang kita sedang lalui.  Ini kerana azab di Padang Mahsyar itu tersangat dahsyat.

16.  Sheikh Sulaiman telah memilih  untuk menjadi seorang jutawan akhirat.  Ini kerana semua kekayaan yang dimilikinya pasti akan ditinggalkan sebaik sahaja rohnya berpisah dari jasad.  Kekayaan sebenar miliknya nanti adalah semua harta yang telah diinfaqkan ke jalan Allah dan ikhlas hanya kerana Allah SWT.

“Tiada bekal yang lebih utama daripada takwa. Tiada sesuatu yang lebih baik daripada diam. Tiada musuh yang lebih berbahaya daripada kebodohan. Tiada penyakit yang lebih parah daripada berbohong”. ~~ Mutaiara Kata Al-Imam Jaa’far Ash-Shidiq