Friday 24 March 2017

PROF. MUHAMMAD DHIYA: DARI SEORANG BERAGAMA HINDU MENJADI PAKAR HADIS


PROF. MUHAMMAD DHIYA UR-RAHMAN AZMI (DUDUK)
1.    Sesungguhnya hidayah atau nur Ilahi itu adalah milik mutlak Allah SWT.  Tidak ada manusia yang mampu memberi hidayah kepada manusia lain hatta Rasulullah SAW sendiri. Hakikat ini telah Allah tegaskan lebih 1,400 tahun lalu dalam firmanNya dalam surah Al-Qashah[Kesah-Kesah](28:56) yang berbunyi:

“Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk”.
 
2.    Inilah yang telah berlaku kepada Prof. Muhammad Dhiya ar-Rahman Azami.  Nama asal beliau ialah Banke Laal, seorang penganut agama Hindu. Beliau lahir pada tahun 1943 dalam sebuah keluarga Hindu kasta atasan (Brahmin) di desa Bilarya Ganj yang terletak dalam daerah Azamgarh, India. Beliau dikatakan telah memeluk agama Islam ketika berumur 18 tahun. 

3.   Apakah yang menarik perhatian beliau untuk memeluk Islam?. Ternyata hak kesamarataan dan keadilan yang diajarkan dalam agama   Islam telah mengetuk pintu hatinya untuk mencari agama yang mentauhidkan Allah SWT. Beliau menolak fahaman kasta yang terdapat dalam masyarakat Hindu India.  Baginya semua manusia adalah sama.

UNIVERSITI ISLAM MADINAH
4.  Apakah yang terjadi kepada beliau setelah mengucap dua kalimah syahadah?.  Masalah sama yang dialami oleh kebanyakan mualaf di dunia, iaitu beliau telah dipulaukan oleh kedua orang tua dan keluarga terdekatnya. Dengan masalah itu mendorong beliau untuk berpindah ke negara jiran India, Pakistan dengan tujuan untuk mendalami ilmu agama Islam. Beliau  belajar agama di sebuah madrasah yang bekerja sama dengan Jami'ah Islamiyah. Kemudiannya melanjutkan pengajian Islam di Universiti Islam Madinah (Jami'ah Islamiyah Madinah), Arab Saudi. Beliau merupakan bekas penganut agama Hindu pertama yang belajar di situ.
UNIVERSITI AL-AZHAR, MESIR
5. Prof. Dhiya menamatkan ijazah sarjana muda di Universiti Islam Madinah. Kemudiannya pada tahun 60an, beliau menyambung pelajarannya di Universiti Al-Azhar, Mesir diperingkat sarjana dan Ph.D. Beliau merupakan seorang graduan pertama dari Universiti Madinah yang memperolehi ijazah sarjana (Master) dan Ph.D dari Al-Azhar. Tesis Ph.D beliau berjudul “Abu Hurairah fi Dhau-i Marwiyatihi: Dirasatun Muqaranatun Fi miati Haditsin min Marwiyatihi”. Tesis ini membicarakan tentang  pembelaan beliau kepada sahabat baik Rasulullah SAW iaitu Abu Hurairah radhiallahu 'anhu. Beliau menyanggah keras tuduhan yang dibuat oleh orientalis dan beberapa orang Islam lain yang mempersoalkan kesahihan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah.
 
6.   Kepakaran Prof. Muhammad  Dhiya dalam bidang hadis diakui ramai. Universiti Islam Madinah mengiktirafnya dan  mengangkatnya sebagai dekan di Fakulti Hadis universiti tersebut sehingga beliau bersara. Selain bergiat dalam bidang akademik, beliau juga aktif dalam bidang sosial seperti penglibatannya dalam  Liga Muslim Dunia (Muslim World League) di Mekah. Selepas bersara, beliau diterima menjadi tenaga pengajar di Masjid Nabawi oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid Nabawi pada tahun 2013.  Di atas sumbangan beliau dalam kajian ilmu hadis mendorong kerajaan Arab Saudi menghadiahkannya kewarganegaraan Arab Saudi.

PROF. DHIYA BERSAMA DR.ZAKIR NAIK DIHADAPAN KARYA ENSAIKLOPEDIA HADISNYA

KOLEKSI ENSAIKLOPEDIA KARANGAN DR.DHIYA

7.  Apakah sumbangan besar beliau kepada Islam?. Bidang penulisan adalah sumbangan beliau kepada Islam.  Beliau telah menghasilkan puluhan buku mengenai pelbagai topik penting dalam Islam. Namun yang paling istimewa adalah karya beliau yang  berupa ensiklopedia hadis2 sahih Rasulullah SAW yang diberi nama  Al-Jami 'al-Kamil fi al-Hadits ash-Shahih ash-Shamil”. Ia terdiri dari 20 jilid buku yang mengandungi kira kira 16,000 hadis yang merangkumi persoalan akidah, hukum, ibadah, fekah, tafsir Al-Quran. Usahanya ini menjadi bukti bagaimana beliau mencontohi usaha Imam Al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, at-Tirmizi, an-Nasai, Imam Malik dan lain-lain lagi dalam meneliti dan mengumpulkan hadis.

8.    Karya beliau yang lain ialah "Encyclopedia of the Glorious Qur'an" dalam bahasa Hindi. Buku ini merupakan buku pertama  dalam bahasa Hindi. Ia telah diulang cetak sebanyak 8 kali di India.  Buku lain karangan beliau ialah "Dari Ganga ke Zamzam" dalam bahasa Urdu. Dalam buku ini Prof. Dhiya menceritakan kesah pengislamannya dan kepayahan yang dilalui sendiri olehnya kerana memeluk agama Islam.  Buku beliau tentang perbandingan agama pula bertajuk “Dirasat al-Yahudiyah wa al-Masihiyah wa al-Adyan al-Hind’. Buku ini juga mendapat penghargaan yang tinggi dan menjadi buku rujukan di universiti-universiti di Arab Saudi. Kini, Prof. Dhiya terlibat dalam penulisan tentang kajian perbandingan agama Hindu, Buddha, Jainisme dan Sikh untuk diterbitkan.




9.    Penutup: Bak kata orang tua-tua.  Tuah ayam nampak dikaki tetapi tuah manusia tidak ada siapa yang tahu.  Begitulah dengan Prof. Dhiya. Dari seorang yang beragama Hindu bertukar menjadi professor dalam bidang hadis Rasulullah SAW dan mengajar pula di sebuah universiti yang terkenal adalah sesuatu yang amat istimewa untuk dirinya.  Beliau telah mengikut jejak langkah mualaf lain yang hebat  seperti Maryam Jamilah, Dr. Maurice Bucaille, Dr. Laurence Brown, Muhammad Pickthall, Michael Wolfe dan Pamela Taylor. Itulah ketentuan dari Allah untuk hamba pilihanNya, Prof. Muhammad Dhiya ar-Rahman Azami. Maka benarlah bahawa hidayah dan nur Islam itu adalah milik Allah SWT. Ia bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah Al-An'am[Binatang Ternakan](6:125) yang berbunyi:  






“Barang siapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam. Dan barang siapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki langit. Begitulah Allah menimpakan seksa kepada orang-orang yang tidak beriman”. 

“Barangsiapa yang membuka kesalahan orang lain, maka akan dibukakanlah kesalahan-kesalahan keturunannya. Barangsiapa yang menghunuskan pedang kezaliman, maka ia akan terbunuh dengannya. Barangsiapa yang menggali sumur agar saudaranya masuk ke dalamnya, maka ia sendirilah yang nanti akan jatuh ke dalamnya” ~~ Mutiara Kata Al-Imam Jaa’far Assidiq

Sebahagian kandungan dipetik dari detikislam

No comments:

Post a Comment