1. Sesungguhnya kitab Al-Quran itu adalah kitab yang paling
lengkap untuk menjadi panduan dan pedoman bagi perjalanan kehidupan manusia.
Malah di dalamnya juga terkandung pelbagai pengajaran dan peringatan dari
Allah untuk manusia. Tahukah kita bahawa
di dalam Al-Quran, Allah telah berfirman tentang 20 jenis binatang untuk kita
mengambil pengajaran darinya.
2. Posting kali ini akan menyebutkan tentang 7 dari jenis binatang-binatang
tersebut.
2.1. UNTA
2.1.1.
Binatang yang digelar dengan kenderaan padang pasir ini banyak kali difirmankan
Allah dalam Al-Quran. Salah satunya
ialah dalam surah Al-Ghashiyah [Hari Pembalasan](88:17) yang berbunyi:
“Maka tidakkah mereka memerhatikan unta,
bagaimana ia diciptakan?”
2.1.2. Keistimewaan yang ada pada unta-unta telah dihuraikan
dalam posting lalu bertarikh 9.11.2016 bertajuk “KEISTIMEWAAN PENCIPTAAN UNTA
OLEH ALLAH SWT”.
2.2. KUDA
2.2.1.
Kuda difirman Allah dalam surah An-Nahl
[Lebah](16:8) yang berbunyi:
“Dan (Allah menjadikan) kuda dan baghal
serta keldai untuk kamu menunggangnya, dan untuk menjadi perhiasan; dan Dia
menjadikan apa yang kamu tidak mengetahuinya.”
2.2.2.
Kuda adalah binatang yang gagah dan lincah untuk berjalan dan berlari di
pelbagai bentuk permukaan bumi di dunia ini. Hampir seluruh bangsa di dunia ini
menjadikan kuda sebagai haiwan ternakan dan juga sebagai kenderaan mereka. Allah SWT telah mencipta badan kuda
yang miliki kekuatan yang seimbang untuk menampong beban atas belakangnya agar
tidak mudah tergelincir atau terjatuh ketika berlari. Malah bentuk lekuk badan
dan belakangnya amat sesuai dan selesa untuk ditunggani. Penelitian yang
dilakukan mendapati menunggang kuda boleh memberi kesan yang baik kepada kesihatan penunggangnya.
2.3. LEBAH
2.3.1. Allah memberi penghormatan kepada
lebah dengan menjadikan salah satu surah dalam Al-Quran adalah sempena namanya.
Dalam surah An-Nahl[Lebah](16:68),
Allah SWT berfirman yang berbunyi:
"Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah:
"Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok
kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia."
(16:69)
“Kemudian makanlah dari segala jenis
bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan
peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu". (Dengan
itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya,
yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit).
Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan
Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.”
2.3.2.
Lebah adalah sejenis serangga yang makanannya berasal dari makanan berkualiti dan indah pada pandangan manusia, iaitu bunga bungaan atau benda lain yang mengandungi gula. Dari makanan berkualiti itu terhasillah minuman berkualiti pula, iaitu madu. Warnanya samada putih, kekuning kuningan, kemerah merahan adalah bergantung pada jenis bunga yang dihisap sarinya.
2.3.3. Serangga penghasil madu ini sering dijadikan sebagai misalan orang-orang yang soleh. Mereka akan mengambil yang baik-baik dan mengeluarkan yang baik-baik pula. Lebah menghasilkan madu manis yang lazat serta sangat tinggi khasiatnya untuk kesihatan manusia. Meminum madu adalah salah satu sunnah Rasulullah SAW. Khasiat madu lebah dapat mengubati beberapa jenis penyakit berkaitan pernafasan, mata, mulut, kulit dan juga pencernaan.
2.3.3. Serangga penghasil madu ini sering dijadikan sebagai misalan orang-orang yang soleh. Mereka akan mengambil yang baik-baik dan mengeluarkan yang baik-baik pula. Lebah menghasilkan madu manis yang lazat serta sangat tinggi khasiatnya untuk kesihatan manusia. Meminum madu adalah salah satu sunnah Rasulullah SAW. Khasiat madu lebah dapat mengubati beberapa jenis penyakit berkaitan pernafasan, mata, mulut, kulit dan juga pencernaan.
2.3.4.
Adalah amat menakjubkan bagaimana lebah-lebah mampu terbang sangat jauh dari
sarangnya dan mampu kembali semula ke sarang selepas mencari madu. Sesungguhnya
ia adalah dengan pertolongan Allah seperti firman Allah di atas.
2.4. LABAH-LABAH
2.4.1.
Labah-labah juga menjadi salah satu surah Al-Quran, iaitu Al-Ankabut. Dalam surah Al-Ankabut[Labah-Labah](29:41), Allah SWT berfirman yang berbunyi:
“Misal bandingan orang-orang yang menjadikan
benda-benda yang lain dari Allah sebagai pelindung-pelindung (yang diharapkan
pertolongannya) adalah seperti labah-labah yang membuat sarang (untuk menjadi
tempat perlindungannya); padahal sesungguhnya sarang-sarang yang paling reput
ialah sarang labah-labah, kalaulah mereka orang-orang yang berpengetahuan.”
2.4.2.
Bandingan Allah ini ialah kepada orang-orang kafir yang tidak menjadikan Allah
sebagai tuhan/pelindung mereka. Mereka menyembah selain dari Allah yang tidak
dapat memberi apa-apa manfaat dan mudarat. Sebaliknya mereka menggunakan segala
nikmat yang dikurnikan oleh Allah SWT.
2.5. SEMUT
2.5.1. Semut dalam bahasa Arab disebut Naml.
Semut juga menjadi nama salah satu surah Al-Quran, iaitu An-Naml. Dalam surah An-Naml[Semut](27:18), Allah SWT
berfirman yang berbunyi:
"Hingga apabila mereka sampai di
lembah semut, berkatalah seekor semut: Hai semut-semut, masuklah kamu ke dalam
sarang-sarangmu, agar kamu tidak dipijak oleh Sulaiman dan tentaranya, sedangkan
mereka tidak menyedari.”
2.5.2. Qatadah menyampaikan keterangan yang diperolehi dari Al-Hassan bahawa seekor semut itu bernama Heros. Ia berasal dari kabilah Bani Syeashan. Kerana bimbangkan kaumnya dipijak tentera Nabi Sulaiman lalu ia memerintahkan kaumnya masuk ke dalam sarang masing-masing. Nabi Sulaiman yang memahami bahasa semut lalu tersenyum mendengar seruan Heros. {Terjemahan Al-Quran Al-Muhtamir, cetakan tahun 2004}.
2.6. LALAT
2.6.1.
Allah berfirman tentang lalat ini dalam surah Al-Hajj[Haji](22:73) yang berbunyi:
“Wahai umat manusia, inilah diberikan satu
misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh.
Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak
sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun
beramai-ramai untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari
mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah
belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya), dan lemah yang diminta
(daripada menunaikannya).”
2.6.2.
Firman ini menjelaskan betapa lemah dan tidak berkuasanya tuhan yang disembah
oleh orang kafir. Tuhan yang tidak mampu walaupun untuk mencipta seekor lalat. Tuhan
itu juga tidak berupaya untuk menentang lalat yang merampas sesuatu dari
mereka, walaupun lalat itu binatang yang amat lemah.
2.7. ANJING
2.7.1.
Allah berfirman tentang anjing ini dalam surah Al-‘Araf[Tempat Tinggi](7:176) yang berbunyi:
“Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami
tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia
bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka
bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia menjelirkan
lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan
lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan
ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kesah-kesah itu supaya mereka berfikir.”
2.7.2. Bandingan seperti anjing, iaitu jika kamu menghalaunya dijelirkan lidahnya. Dan jika kamu
membiarkannya, ia mengulurkan lidahnya juga. Para ahli tafsir telah berbeza pendapat
mengenai maknanya. Menurut ungkapan Ibnu Ishaq, dari Salim, dari Abu Nadhr,
bahawa Bal’am bin Ba'ura telah keluar lidahnya sampai ke dadanya. Maka tasybih (penyerupaan)
dirinya dengan anjing yang menjulurkan lidahnya dalam kedua situasi itu cukup
jelas.
2.7.3. Ada juga yang mengatakan bahawa makna
firman itu adalah Bal’am menjadi seperti anjing dalam kesesatannya yang
terus-menerus serta tidak mahu mengambil manfaat, baik diseru kepada iman
mahupun tidak, sehingga menjadi seperti anjing yang menjulurkan lidahnya, baik
ketika dihalau atau dibiarkan. Demikianlah keadaan Bal’am, di mana sama saja
baginya, ia tidak mengambil manfaat ketika diberi pelajaran dan
seruan kepada keimananan ataupun tidak. {Tafsir Ibnu Katsir dari blog al-quranmulia.wordpress.com.}
“Jadilah seperti pohon kayu yang lebat buahnya, tumbuh di tepi
jalan. Dilempar buahnya dengan batu, tetapi tetap dibalas dengan buah.” =
Mutaira Kata Saidina Abu Bakar As-Siddiq
No comments:
Post a Comment