1. Posting kali ini adalah sambungan bagi posting sebelum ini
bertarikh 8.3.2017. Posting kali
ini akan menjelaskan 7 lagi jenis binatang yang Allah firmankan dalam
Al-Quran, iaitu seperti berikut:
1.1.1. Allah berfirman tentang
burung gagak ini dalam surah Al-Maidah[Hidangan])(5:31)
yang berbunyi:
“Kemudian
Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek di bumi supaya
diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil)
berkata: "Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku
tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat
saudaraku?". Kerana itu menjadilah ia dari golongan orang-orang yang menyesal.”
1.1.2. Firman Allah ini
berkaitan dengan peristiwa pembunuhan pertama manusia dalam sejarah. Ia
melibatkan dua orang anak Nabi Adam, iaitu Habil dan Qabil. Peristiwa ini Allah rakamkan dalam ayat-ayat
27 hingga 30 surah Al-Maidah. Qabil
telah membunuh saudaranya Habil. Setelah
Habil mati, Qabil tidak tahu apa yang perlu dilakukan kepada jasad saudaranya. Oleh sebab itulah Allah mengilhamkan seekor
burung gagak untuk mengorek lubang supaya ia dapat ditiru oleh Qabil.
1.1.3. Penelitian moden kini
mendapati burung gagak seperti juga
binatang lain (anjing, ikan lumba-lumba, gajah dan chimpanze) memiliki tahap kecerdikan
yang tinggi. Burung gagak amat kreatif menggunakan logiknya untuk memecahkan sesuatu
masalah.
1.2. BELALANG, KUTU DAN KATAK:
1.2.1. Allah SWT berfirman
tentang belalang, kutu dan katak ini dalam surah Al-A’araf[Tempat Tinggi](7:133) yang berbunyi:
“(Allah
berfirman): Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, dan belalang, dan
kutu, dan katak, dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata,
maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka.”
1.2.2. Firman di atas
berkaitan dengan azab Allah kepada Firaun dan kaumnya yang engkar kepada
perintah Allah SWT dan menolak dakwah Nabi Musa kepada mereka untuk beriman
kepada Allah SWT.
1.2.3. Mula-mula Allah
mengirimkan taufan yang dahsyat.
Kemudiannya diikuti pula dengan
kedatangan belalang, kutu dan katak dalam jumlah yang sangat banyak dan juga
darah. Semua itu datang saling bergantian.
Mujahid mengatakan: “Belalang-belalang itu menggigit pintu rumah dan
kayu. Hal yang sama berlaku pada
katak”. Abu Jaafar bin Jarir pula
berkata: “Bilangan katak sangat banyak sehingga jika seseorang yang menguap
tidak menutup mulut pun akan dimasuki katak”. {Tafsir Al-Quran
Al-Muhtamir, cetakan 2004}.
1.3. BURUNG BELATUK (HUD-HUD):
1.3.1.Burung belatuk pula
difirman Allah SWT dalam surah An-Naml[Semut](27:20)
yang berbunyi:
“Dan
(setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam
tenteranya) lalu berkata: "Mengapa aku tidak melihat burung belatuk?
Adakah ia dari mereka yang tidak hadir?”
(27:22)
“Burung
belatuk itu tidak lama ghaibnya selepas itu, lalu datang sambil berkata (kepada
Nabi Sulaiman): "Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara yang
engkau tidak cukup mengetahuinya, dan aku datang kepadamu dari negeri Saba'
dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya.”
1.3.2. Dalam catatan sejarah,
Negeri Saba’ beribu kota di Maarib.
Negeri ini berada dalam peta moden yang termasuk dalam wilayah Negara Yaman
sekarang. Burung belatuk melanjutkan bicaranya, katanya:
(27:23)
"Sesungguhnya
aku dapati seorang perempuan memerintah mereka dan ia telah diberikan kepadanya
(serba sedikit) dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan) dan ia pula mempunyai
singgahsana yang besar.”
1.3.3. Pemimpin negara itu
seorang perempuan bernama Balqis.
Zuhair bin Muhammad mengatakan: “Singgahsana
Ratu Balqis diperbuat dari emas yang dilapisi intan permata. Panjaganya 80 hasta dan lebarnya pula ialah
40 hasta”. {Tafsir Al-Quran Al-Muhtamir, cetakan tahun 2004}.
1.4. KELDAI:
1.4.1. Keldai pula binatang
yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah Al-Jumuah[Hari Jumaat](62:5) yang berbunyi:
“(Sifat-sifat
Nabi Muhammad itu telahpun diterangkan dalam Kitab Taurat tetapi orang-orang
Yahudi tidak juga mempercayainya, maka) bandingan orang-orang (Yahudi) yang
ditanggungjawab dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab
Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu,
samalah seperti keldai yang memikul bendela kitab-kitab besar (sedang ia tidak
mengetahui kandungannya). Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan
ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah
petunjuk kepada kaum yang zalim.”
1.4.2. Bandingan itu bermaksud
orang-orang Yahudi itu seperti keldai kerana kepada mereka diturunkan kitab
Taurat tetapi mereka tidak mengamalkan isi kandungannya. Sebaliknya orang-orang
Yahudi mengubahsuai si kandungan kitab Taurat mengikut selera dan pemahaman
mereka. Sebahagian dari isi kandungan
kitab Taurat itu terdapat dalam kitab Bible (Old Testament) yang digunakan
sekarang oleh orang-orang Yahudi yang beragama Judaism.
1.4.3. Perumpamaan itu
disampaikan oleh Allah SWT agar orang-orang Islam tidak mengikut jejak langkah
orang Yahudi.
Binatang bersaiz kecil bernama
anai-anai ini telah difirmankan oleh Allah SWT dalam surah Saba’[Negeri Saba’](34:14) yang berbunyi:
“Setelah
Kami tetapkan berlakunya kematian Nabi Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan
kepada mereka tentang kematiannya melainkan semut putih (anai-anai) yang telah
memakan tongkatnya. Maka apabila ia tumbang, ternyatalah kepada golongan jin
itu, bahawa kalaulah mereka sedia, mengetahui perkara yang ghaib nescaya mereka
tidak tinggal sedemikian lamanya di dalam azab (kerja berat) yang menghina”.
1.6. NYAMUK:
1.6.1. Sejenis lagi binatang
kecil yang dirakamkan dalam Al-Quran ialah nyamuk. Unggas ini Allah firmankan
dalam surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:26) yang berbunyi:
“Sesungguhnya
Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke
suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya), iaitu kalau
orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu
benar dari Tuhan mereka; dan kalau orang-orang kafir pula maka mereka akan
berkata: "Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?"
(Jawabnya): Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan
itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan
Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan
orang-orang yang fasik.”
1.6.2. Allah SWT adalah zat yang maha besar dan
agung. Oleh sebab itu Allah tidak malu untuk menyampaikan sesuatu kebenaran walaupun
dengan contoh-contoh yang mudah dan kecil.
Ini kerana prinsip kebenaran itu tidak harus datang dari persoalan yang
besar. Perkara kecil pun jika disepakati
dengan sifat keterbukaan hati dan fikiran serta ditanggapi tanpa mendahulukan
kesombongan, akan menghasilkan
kebenaran. Hasil kebenaran yang paling
utama ialah keimanan.
1.7. BABI:
1.7.1. Babi adalah binatang
yang diharamkan dimakan dalam Islam. Berkaitan dengan pengharaman makan daging
babi ini Allah telah berfirman dalam banyak tempat dalam Al-Quran. Antaranya ialah surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:173) yang berbunyi:
“Sesungguhnya
Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging
babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa
terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak
pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia
berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
1.7.2. Selain dari ayat di
atas, firman Allah SWT tentang pengharaman daging babi ini juga terdapat dalam
surah Al Maidah[Hidangan](5:3), surah Al-An’am[Binatang Ternakan](6:145) dan juga surah An-Nahl[Lebah](16:115).
1.7.3. Bukankah setiap
binatang itu dicipta oleh Allah SWT.
Allah mengetahui bahaya yang ada pada daging babi. Daging babi telah
dibuktikan mengandungi cacing pita (taenia
solium). Ramai orang sudah mengetahuinya. Ia payah mati walaupun
setelah direbus dalam air panas. Selain dari itu, lemak babi mengandung
kolesterol paling tinggi jika dibandingkan dengan lemak haiwan yang lain.
1.7.4. Bebarapa tahun lalu
negara kita dikejutkan dengan merebaknya penyakit Japaneese
Enchephalitis (JE) yang berpunca dari kawasan ternakan babi.
DR.MURAD HOFFMAN |
1.7.5. Dr.Murad Wilfried Hoffman,
seorang Islam berbangsa Jerman dalam bukunya “Pergolakan Pemikiran: Catatan
Harian Muslim Jerman”, halaman 130-131 menjelaskan: “Memakan daging babi yang terjangkiti cacing babi tidak hanya
berbahaya, tetapi juga dapat menyebabkan meningkatnya kandungan kolestrol dan
melambatkan proses penguraian protein dalam badan. Akibatnya ia memungkinkan risiko penyakit kanser usus, iritasi kulit dan
rematik. Bukankah sudah kita ketahui, virus-virus influenza yang berbahaya
hidup dan berkembang pada musim panas kerana berpunca dari babi?”
1.7.6 Babi adalah binatang
yang sangat rakus dalam pemakanannya. Ia melahap semua makanan yang ada di
depannya. Jika perutnya telah penuh atau makanannya telah habis, ia akan
memuntahkan isi perutnya dan memakannya lagi untuk memuaskan nafsu makannya. Ia
akan memakan kotoran apa pun di hadapannya. Kotoran manusia, binatang atau sampah
busuk, bahkan memakan najisnya sendiri hingga tidak ada yang tersisa.
“Harta itu kurang
apabila dibelanjakan tapi ilmu pula bertambah bila dibelanjakan.” = Mutiara
Kata Saidina Ali bin Abi Talib
No comments:
Post a Comment