Wednesday 23 August 2017

KETAHUI KEUTAMAAN 10 HARI PERTAMA BULAN ZULHIJJAH



1.   Bulan Zulhijjah adalah bulan terakhir dalam kalendar Islam (Hijrah). Ia termasuk dalam “Asyhurul Hurum”, iaitu salah satu dari empat bulan mulia yang Allah SWT haramkan untuk berperang di dalamnya, kecuali dalam keadaan membela diri atau terdesak.  Dalam surah Al-Maidah[Hidangan](5:2), Allah SWT berfirman yang berbunyi:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar agama Allah, dan mengenai bulan-bulan haram, dan mengenai binatang-binatang yang dihadiahkan (ke Makkah untuk korban), dan mengenai kalong-kalong binatang hadiah itu, dan mengenai orang-orang yang menuju ke Baitullah Al-Haraam, yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaanNya (dengan mengerjakan ibadat Haji di Tanah Suci); dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah kamu berburu. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari masjid Al-Haraam itu - mendorong kamu menceroboh. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)”.

Bulan yang termasuk dalam Asyhurul hurum (bulan-bulan haram) itu ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab.

2.  Hari ini ialah 23 hb.Ogos 2017 yang bersamaan dengan 1 hb. Zulhijjah 1438.  Pada sepuluh hari pertama dalam bulan Zulhijjah ini terdapat kemuliaan dan barakah padanya. Dalam surah Al-Fajr[Waktu Fajar](89:1), Allah SWT berfirman yang berbunyi:
 

"Demi waktu fajar.”

(89:2)

“Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).”

3.   Adapun yang dimaksudkan dengan “layaalin asyrin” (malam yang sepuluh) itu ialah sepuluh malam pada permulaan bulan Zulhijjah. Pendapat ini dikemukakan oleh Ibnu Abbas, Ibnu Zubair,  Mujahid dan beberapa ulama salaf lain. Menurut riwayat Al-Bukhari dari Ibnu Abbas, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tiada amal-amal soleh yang lebih disukai  Allah melebihi hari-hari itu".

4.    Bulan Zulhijjah ialah bulan bagi umat Islam menunaikan rukun Islam yang kelima, iaitu fardhu haji di Mekah dan juga bulan yang terdapat di dalamnya Hari Raya Haji serta ibadat korban.  Bagi orang-orang yang tidak sempat menunaikan haji maka adalah digalakkan mereka melakukan amalan-amalan berikut dalam 10 hari pertama bulan Zulhijjah.  Ini kerana ganjaran pahalanya amat besar di sisi Allah SWT. Diantara amalan-amalan itu ialah:


4.1.   BERZIKIR: Memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT seperti “La ilaha Illalah”, “Subhanallah”, “Alhamdulillah” dan juga “Allahu Akbar”.  Ini berdasarkan dari hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh At-Tabrani. Dalam konteks ini Allah SWT  berfirman dalam Surah Al-Hajj[Haji](22:28) yang berbunyi:

"Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin”.

Ibnu Abbas  mentafsirkan maksud “hari-hari yang tertentu” itu ialah sepuluh hari dalam bulan Zulhijjah dan inilah pendapat kebanyakan ulama.

NIKMAT BAGI ORANG YANG BERPUASA IALAH KETIKA BERBUKA

4.2.   BERPUASA: Umat Islam  sangat-sangat digalakkan untuk berpuasa sunat daripada 1 hingga 9 Zulhijjah atau mana-mana hari darinya.  Hari Arafah yang jatuh pada 9 Zulhijjah pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa. Ia juga dikenali dengan nama puasa Arafah. Jika tidak mampu berpuasa pada hari lain maka berpuasalah pada hari itu. Pada hari itulah umat Islam yang mengerjakan haji berwukuf di Padang Arafah, iaitu yang menjadi salah satu dari rukun haji. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Tiada hari yang Allah lebih banyak membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah” (Hadis Riwayat Muslim).  Apabila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah, baginda menjawab; “Puasa itu menghapuskan dosa satu tahun yang lalu dan satu tahun berikutnya.” (Hadis Riwayat Muslim).


4.3.   MENUNAIKAN SOLAT EIDUL ADHA: Sangat digalakkan  untuk menunaikan solat Eidul Adha dan mendengar khutbah. Imam Ibnu Taimiyah berpendapat solat Eidul Adha adalah wajib (kecuali jika ada keuzuran atau halangan) berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Al-Kautsar[Nikmat Yang Banyak](108:2) yang berbunyi:

“Oleh itu, tunaikanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata, dan                    korban (sebagai bersyukur)”.


                                                             TAKBIR RAYA

4.4. BERTAKBIR: Ibnu Taimiyah dalam majmu' Fatawa menjelaskan; "Hendaklah takbir dilakukan mulai dari waktu fajar hari Arafah sampai akhir hari Tasyriq (pada 11,12,13 Zulhijjah).  Ia dilakukan setiap kali selesai mengerjakan solat dan disyariatkan bagi setiap orang untuk meninggikan suara dalam bertakbir.

Imam Bukhari menjelaskan bahwa Ibnu Umar dan Abu Hurairah, mereka berdua pergi ke pasar pada sepuluh hari Zulhijjah untuk menggemakan takbir pada khalayak ramai, lalu orang-orang lain mengikuti takbir mereka.

S.P.B. YANG DIPERTUAN AGONG SEDANG MENYEMBELIH LEMBU KORBAN
4.5.   BERKORBAN: Dalam surah Al-Hajj[Haji](22:32), Allah SWT berfirman yang berbunyi:

“Demikianlah (perintah Allah). Dan sesiapa yang mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketaqwaan hatinya.”

(Syiar-syiar Allah itu bermaksud segala amalan yang dilakukan dalam rangka ibadat haji dan termasuklah korban).

Berkorban adalah ibadah kepada Allah dengan menyembelih seekor kambing atau sepertujuh binatang korban pada hari Eidul Adha dan tiga hari tasyriq, iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Hukumnya ialah sunat muakkadah, menurut jumhur ulama. Ibadah korban bukan kewajiban sekali seumur hidup, tetapi amalan sunat yang dianjurkan setiap tahun jika berkemampuan.

Ketika di Madinah Rasulullah SAW berkorban setiap tahun. Dalam sebuah hadis disebutkan:

عَنْ أَنَسٍ رضي الله عنه قَال : ضحَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ وَسَمَّ 
 وَكَبَّرَ وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا ( متفق عليه)

Dari Anas ra berkata; Rasulullah SAW berkorban dengan dua kambing yang baik dan bertanduk yang disembelihnya dengan tangannya sendiri sambil mengucapkan takbir.

4.6. MENJAUHI MAKSIAT DAN MASA TERBAIK UNTUK BERTAUBAT: Bagi sesiapa yang selama ini menangguhkan taubat kepada Allah SWT, maka 10 hari pertama dalam bulan Zulhijjah ini ialah masa yang terbaik.  Adalah amat biadap sekali kepada Allah jika kita sebagai orang Islam masih lagi bersuka ria dengan melampaui batas dan berbuat maksiat pada hari yang sangat dimulia dan diagungkan oleh Allah SWT.


4.7. BERSEDEKAH, MEMBACA AL-QURAN, SOLAT SUNAT:  Semuanya termasuk dalam hadis umum yang membuktikan amalan-amalan itu amat disukai oleh Allah SWT.

5.   Jom kita pakat beramal dengan amalan-amalan yang mudah ini.  Carilah harta kekayaan akhirat yang pasti akan menjadi milik kekal abadi kita selama-selamanya. Yakinlah bahawa kekayaan duniawi ini akan kita tinggalkan sebaik sahaja berpisahnya roh dari jasad kita.  Perbanyakkan bekalan untuk negeri akhirat. Kita pasti akan ke sana tidak lama lagi.  Carilah JALAN PULANG  seperti yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW. Kita akan hidup abadi dan tinggal di sana untuk selama-lamanya. Infiniti.

“Kita pergi ke kedai minum air dan makan nasi, tiba-tiba enggan untuk bayar. Nescaya kita akan dimarahi tuan kedai kerana mahu makan percuma. Itu baru air dan nasi.  Apa kata pula jika kita sebagai manusia duduk di dunia, bernyawa dengan udara yang Allah cipta, melihat dengan mata yang Allah beri, mendengar dengan telinga serta bercakap dengan mulut yang Allah anugerahkan, tiba-tiba kita mahu semuanya dengan percuma tanpa buat kerja untuk Allah SWT.” ~~ Mutiara Kata Almarhum Nik Abdul Aziz bin Nik Mat     
                   
Sebahagian kandungan diambil dari grup watsap Alumni 6AIP73

Sunday 20 August 2017

KENAPA SURAH AT-TAUBAH TIDAK DIMULAI DENGAN BISMILLAH

1.  Al-Quran mengandungi 30 juzuk dan 114 surah.  Tiap surah dimulakan dengan bacaan “Bismillahirrahmanirrahim” yang bermaksud "Dengan Nama Allah Yang Amat Pemurah Lagi Amat Penyayang".  Ia adalah pernyataan dua sifat Allah SWT, iaitu Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Oleh itu sepatutnya Al-Quran mempunyai 114 Bismillah.  Tetapi surah At-Taubah (Pengampunan), surah kesembilan dalam Al-Quran tidak dimulai dengan bacaan Bismillah. Walaupun surah tersebut tanpa Bismillah, namun bilangan Bismillah  dalam Al-Quran tetap 114.  Ini kerana satu lagi Bismillah berada dalam ayat ke 30, surah ke 27, iaitu surah Al-Naml (Semut). Dalam ayat tersebut Allah SWT berfirman yang berbunyi:


"Sesungguhnya (surat) itu daripada Sulaiman yang isinya: “Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang”.

2.    Persoalan yang mungkin bermain dalam fikiran kita ialah kenapa surah At-Taubah tidak dimulai dengan Bismillah. Ada beberapa pendapat dikalangan ulama tentang perkara ini. Adapun pendapat yang paling kuat adalah pendapat dari Ali bin Abu Thalib radhiyallahu ‘anhu. Beliau menjelaskan, “Bismillahirrahmanirrahim adalah suatu kalimah yang menggambarkan kedamaian, sedangkan surat At-Taubah diturunkan tanpa kedamaian. Bismillah menggambarkan keamanan dan kasih sayang Allah SWT manakala At-Taubah pula menyebutkan tentang permusuhan Allah dan RasulNya kepada orang musyrikin dan orang munafik. Surah At-Taubah diturunkan dengan menyatakan pemutusan ikatan dan perjanjian antara kaum muslimin dan kaum musyrikin kecuali beberapa perjanjian yang menyebutkan batas waktu tertentu. Itupun dengan syarat tidak dikhianati dan tidak dirosakkan oleh kaum musyrikin.

3. 113 surah dalam Al-Quran dimulai dengan bacaan Bismillahirrahmanirrahim. Bismillah mengungkapkan  dua sifat Allah, iaitu  Ar Rahman dan Ar Rahim. Kalimah ini adalah  jaminan kedamaian dan ketenteraman bagi setiap orang. Ar-Rahman adalah sifat pemurah Allah yang memberikan nikmat di dunia kepada seluruh manusia tanpa mengira apakah agama mereka. Ar-Rahim pula adalah sifat Allah yang memberikan kasih sayang di akhirat nanti khusus bagi kaum muslimin sahaja. Kedua-dua sifat tersebut menggambarkan rahmat yang berupa kedamaian dan kasih sayang dari Allah SWT. Sedangkan surah At-Taubah memerintahkan umat Islam agar memerangi kaum musyirikin yang telah melanggar perjanjian dan mengkhianati umat Islam.

4.    Sebelum turunnya surah At-Taubah itu kaum musyrikin berusaha untuk merosakkan perjanjian damai dengan kaum muslimin dengan cara bekerja sama dengan kaum Yahudi, sehingga tidak ada lagi ikatan perjanjian dan jaminan dari kaum muslimin terhadap mereka. Tidak ada lagi tanggung jawab moral bagi orang Islam untuk menjamin perdamaian dengan mereka. Allah SWT dengan jelas membuat penegasan dalam firmanNya dalam surah At-Taubah[Pengampunan](9:1) yang berbunyi:


“(Ini adalah) pemutusan tanggungjawab (pembatalan perjanjian) dari Allah dan RasulNya terhadap kaum kafir musyrik yang kamu mengikat perjanjian setia (dengan mereka).”

“Orang yang putus hubungan dengan Allah ibarat  wau yang putus tali. Walaupun wau yang putus tali mungkin nampak hebat, ke kiri dan ke kanan dan terbang tinggi di tiup angin, namun itu tidak lama kerana ia akan jatuh juga.  Berbanding dengan wau yang bertali, ia terkawal dengan tali yang mengikatnya.  Begitulah  juga bandingan manusia yang putus hubungan dengan Allah dengan manusia yang terikat dengan Allah.” ~~ Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

Sebahagian kandungan dipetik dari blog bersamadakwah.net. Ia dikatakan diambil dari fatwa Syeikh Dr. Yusuf Qardhawi dalam Fatawa Mu’ashirah (Fatwa-Fatwa Kontemporeri).

Friday 11 August 2017

KENAPA ISLAM MEWAJIBKAN BINATANG DISEMBELIH

                                                                               
 
1.  Hari raya Eidul Adha akan datang lagi.  Bagi tahun ini umat Islam di Malaysia akan merayakannya pada 1.9.2017.  Hari raya ini pasti akan diserikan dengan ibadat korban binatang ternakan.  Ia bagi mengikuti syariat Nabi Allah Ibrahim yang telah menunaikan perintah Allah SWT supaya menyembelih anak kesayangannya nabi Allah Ismail. Binatang yang dibolehkan untuk dijadikan binatang korban ialah seperti unta, lembu, kerbau. 

2.  Posting kali ini bukan untuk membicarakan soal sambutan hari raya Eidul Adha tetapi kaedah peyembelihan binatang ternakan seperti yang telah diperintahkan oleh Allah SWT.  Kenapakah binatang ternakan perlu disembelih sebelum boleh dimakan?.  Kenapa tidak boleh dimatikan dengan pelbagai kaedah lain?. Allah SWT telah berfirman dengan sangat jelas bahawa binatang yang dimatikan dengan cara selain dari menyembelih dengan menyebut nama Allah adalah bangkai dan haram di makan. Dalam surah Al-Maidah[Hidangan](5:3) Allah SWT berfirman yang berbunyi:


“Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik. Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari ugama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha.”

3.  Kenapakah Islam mensyariatkan binatang perlu disembelih?.  Bila ia diwajibkan dalam agama Islam pasti ia ada kelebihan dan kebaikannya, terutamannya dari sudut kesihatan. Konsep sembelihan dalam Islam atau zabiha telah meletakkan garis panduan dalam penyembelihan haiwan dengan cara yang baik dan teliti. Pengetahuan mendalam mengenai kaedah penyembelihan yang mengikut syariat amat penting kerana ia berkait rapat dengan faktor kerohanian dan kesihatan.

4.  Sembelihan adalah salah satu cara untuk mematikan atau menghilangkan nyawa binatang yang halal dimakan dengan memutuskan urat halkum dan urat marih dengan menggunakan alat yang tajam dengan niat kerana Allah. Agama Islam ajar penganutnya supaya memastikan pisau untuk sembelihan mesti tajam, beri minum dan makan yang cukup sebelum binatang disembelih. Pisau sembelihan tidak boleh ditunjuk kepada binatang sembelihan dan tidak boleh sembelih depan binatang lain.

 

5.      Hasil kajian saintifik mendapati perkara-perkara berikut:

5.1.  Cara Islam sembelih (zabiha) ialah potong leher/kerongkong dan salur udara dan saluran darah leher tetapi ia tidak rosakkan saraf tunjang (spinal cord).  Jika saraf ini rosak, saraf yang bersambung pada jantung akan putus dan berlaku serangan jantung yang menyebabkan kesakitan yang amat sangat pada binatang.  Zabiha akan mengeluarkan darah yang banyak.  Jika potong leher, jantung masih berdenyut dan binatang tidak mati serta merta.

5.2.  Kini diketahui dalam darah ada bakteria, kuman dan toksin. Daging sembelih bebas dari bakteria kerana segala kekotoran tersebut keluar bersama darah yang banyak.

5.3.  Daging sembelihan kekal segar lebih lama berbanding dengan kaedah sembelihan lain.

5.4.  Kini diketahui cara zabiha itu lebih bertimbang rasa dan tidak menyakitkan binatang berbanding kaedah stunning yang digunakan oleh orang bukan Islam. 

5.5.  Dengan kaedah zabiha bekalan darah kepada saraf akan berhenti yang menyebabkan kesakitan terhenti.  Binatang tidak rasa sakit lagi. Kaki binatang yang disembelih kelihatan menendang itu bukan menandakan kesakitan. Sebaliknya kerana kesukaran bernafas sebab kekurangan darah dan oksigen dalam badan.

6.    Kajian oleh Profesor Wilhelm Schulze dan Dr Hazim bertajuk: “Cubaan untuk mengesan kesakitan dan rasa sedar mengikut kaedah konvensional dan agama ketika menyembelih lembu atau kambing”.

6.1.  Dalam kajian itu, beberapa alat pengesan dipasang di pelbagai tempat pada otak haiwan kajian tersebut. Alat itu dimasukkan menerusi pembedahan khas dan haiwan terbabit dibiarkan untuk pulih selama beberapa minggu.

6.2. Beberapa ekor haiwan disembelih mengikut kaedah Islam menggunakan tindakan pantas, memotong urat leher dengan pisau tajam. Beberapa ekor haiwan lain dibunuh mengikut cara Barat menggunakan kaedah Captive Bolt Pistol Stunning (CBP).

6.3.   Ketika ujian dijalankan, rekod electroencephalograph (EEG) dan electrocardiogram (ECG) dicatatkan bagi mengetahui keadaan otak dan jantung semua haiwan terbabit ketika proses penyembelihan secara Islam dan kaedah CBP dilaksanakan.

7.      Hasil ujian menurut kaedah sembelihan  Islam mendapati:

7.1.  Tiga saat pertama ketika disembelih, EEG tidak mencatatkan sebarang perubahan pada graf sama seperti sebelum penyembelihan. Keadaan itu membayangkan bahawa haiwan itu tidak berasa sebarang kesakitan ketika atau sebaik saja pisau memotong urat leher terbabit.

7.2.  Untuk tiga saat kedua, EEG mencatatkan keadaan tidur lena atau tidak sedar diri. Ini disebabkan banyak darah mengalir keluar dari badan.

7.3.  Selepas enam saat, EEG mencatatkan paras sifar, menunjukkan haiwan itu tidak merasai sebarang kesakitan.

7.4. Ketika mesej otak (EEG) jatuh ke paras sifar, jantung masih mengepam dan badan haiwan masih dapat bergerak akibat tindak balas daripada saraf tunjang, menyebabkan semua darah keluar dari badan haiwan menghasilkan daging yang selamat untuk dimakan, menurut penyelidikan itu.

KAEDAH STUNNING BINATANG
8.      Hasil Ujian Tembakan CBP Cara Barat pula mendapati:

8.1. Ketika mengkaji kaedah CBP, haiwan dikesan terus pengsan sebaik saja menerima tembakan CBP dan EEG menunjukkan bacaan amat sakit pada haiwan itu.

8.2.  Jantung haiwan itu berhenti berdenyut lebih awal selepas terkena kejutan berbanding haiwan yang disembelih. Keadaan itu menyebabkan banyak darah masih terkumpul dalam daging dan ia sebenarnya tidak selamat untuk dimakan.

9.   Kesimpulan: - Daripada hasil kajian tersebut, Profesor  Schulze dan Dr Hazim menyimpulkan bahawa kaedah sembelihan Islam adalah yang terbaik kerana lebih bertimbang rasa. Manakala amalan mengenakan kejutan elektrik ke atas haiwan pula seperti yang diamalkan oleh Barat mendatangkan kesakitan yang amat sangat pada haiwan.

10.   Sesungguhnya Islam itu adalah agama yang serba lengkap. Tidak ada lagi agama yang setanding dengannya.  Apa jua yang diperintahkan dalam Islam pasti ada kebaikannya.  Ini kerana perintah itu datangnya dari Allah SWT, pencipta semua perkara dan benda di atas muka bumi ini.

“Bila tiba cuti sekolah, anak-anak berduyun-duyun pulang ke kampong. Alhamdulillah.  Tetapi sedarkah kita, apabila tiba di akhirat kelak, tidak ada lagi balik kampong.  Orang Kelantan tidak boleh pulang ke Kelantan, orang Trengganu tidak boleh pulang ke Trengganu.  Semuanya kekal di akhirat tanpa dapat balik semula.  Beringatlah sebelum tiba masanya di mana kita tidak dibenarkan balik ke kampong lagi.” ~~ Mutiara Kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat