1. Hari raya Eidul Adha akan datang lagi. Bagi tahun ini umat Islam di Malaysia akan
merayakannya pada 1.9.2017. Hari raya
ini pasti akan diserikan dengan ibadat korban binatang ternakan. Ia bagi mengikuti syariat Nabi Allah Ibrahim
yang telah menunaikan perintah Allah SWT supaya menyembelih anak kesayangannya
nabi Allah Ismail. Binatang yang dibolehkan untuk dijadikan binatang korban
ialah seperti unta, lembu, kerbau.
2. Posting kali ini bukan untuk membicarakan soal sambutan hari
raya Eidul Adha tetapi kaedah peyembelihan binatang ternakan seperti yang telah
diperintahkan oleh Allah SWT. Kenapakah
binatang ternakan perlu disembelih sebelum boleh dimakan?. Kenapa tidak boleh dimatikan dengan pelbagai kaedah
lain?. Allah SWT telah berfirman dengan sangat jelas bahawa binatang yang
dimatikan dengan cara selain dari menyembelih dengan menyebut nama Allah adalah
bangkai dan haram di makan. Dalam surah Al-Maidah[Hidangan](5:3) Allah SWT berfirman yang berbunyi:
“Diharamkan
kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang
keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang
yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang
mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati
ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu
sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan
(diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah.
Yang demikian itu adalah perbuatan fasik. Pada hari ini, orang-orang kafir
telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari ugama kamu (setelah mereka
melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan
gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada
hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan
nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu.
Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang
diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia
memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha.”
3. Kenapakah Islam mensyariatkan binatang perlu disembelih?. Bila ia diwajibkan dalam agama Islam pasti ia
ada kelebihan dan kebaikannya, terutamannya dari sudut kesihatan. Konsep
sembelihan dalam Islam atau zabiha
telah meletakkan garis panduan dalam penyembelihan haiwan dengan cara yang baik
dan teliti. Pengetahuan mendalam mengenai kaedah penyembelihan yang mengikut
syariat amat penting kerana ia berkait rapat dengan faktor kerohanian dan
kesihatan.
4. Sembelihan adalah salah satu cara untuk mematikan atau
menghilangkan nyawa binatang yang halal dimakan dengan memutuskan urat halkum
dan urat marih dengan menggunakan alat yang tajam dengan niat kerana Allah. Agama
Islam ajar penganutnya supaya memastikan pisau untuk sembelihan mesti tajam,
beri minum dan makan yang cukup sebelum binatang disembelih. Pisau sembelihan
tidak boleh ditunjuk kepada binatang sembelihan dan tidak boleh sembelih depan
binatang lain.
5. Hasil kajian saintifik mendapati perkara-perkara berikut:
5.1. Cara Islam sembelih (zabiha) ialah potong
leher/kerongkong dan salur udara dan saluran darah leher tetapi ia tidak
rosakkan saraf tunjang (spinal cord).
Jika saraf ini rosak, saraf yang bersambung pada jantung akan putus dan
berlaku serangan jantung yang menyebabkan kesakitan yang amat sangat pada
binatang. Zabiha akan mengeluarkan darah
yang banyak. Jika potong leher, jantung
masih berdenyut dan binatang tidak mati serta merta.
5.2. Kini diketahui dalam darah ada bakteria,
kuman dan toksin. Daging sembelih bebas dari bakteria kerana segala kekotoran
tersebut keluar bersama darah yang banyak.
5.3. Daging sembelihan kekal segar lebih lama
berbanding dengan kaedah sembelihan lain.
5.4. Kini diketahui cara zabiha itu lebih
bertimbang rasa dan tidak menyakitkan binatang berbanding kaedah stunning yang digunakan oleh orang bukan
Islam.
5.5. Dengan kaedah zabiha bekalan darah kepada
saraf akan berhenti yang menyebabkan kesakitan terhenti. Binatang tidak rasa sakit lagi. Kaki binatang
yang disembelih kelihatan menendang itu bukan menandakan kesakitan. Sebaliknya kerana
kesukaran bernafas sebab kekurangan darah dan oksigen dalam badan.
6. Kajian oleh Profesor Wilhelm Schulze dan Dr Hazim bertajuk: “Cubaan untuk mengesan kesakitan dan rasa
sedar mengikut kaedah konvensional dan agama ketika menyembelih lembu atau
kambing”.
6.1. Dalam
kajian itu, beberapa alat pengesan dipasang di pelbagai tempat pada otak haiwan
kajian tersebut. Alat itu dimasukkan menerusi pembedahan khas dan haiwan
terbabit dibiarkan untuk pulih selama beberapa minggu.
6.2. Beberapa ekor haiwan disembelih mengikut
kaedah Islam menggunakan tindakan pantas, memotong urat leher dengan pisau
tajam. Beberapa ekor haiwan lain dibunuh mengikut cara Barat menggunakan kaedah
Captive Bolt Pistol Stunning (CBP).
6.3. Ketika ujian dijalankan, rekod electroencephalograph (EEG) dan electrocardiogram (ECG) dicatatkan bagi
mengetahui keadaan otak dan jantung semua haiwan terbabit ketika proses
penyembelihan secara Islam dan kaedah CBP dilaksanakan.
7. Hasil ujian menurut kaedah sembelihan Islam mendapati:
7.1. Tiga saat pertama ketika disembelih, EEG
tidak mencatatkan sebarang perubahan pada graf sama seperti sebelum
penyembelihan. Keadaan itu membayangkan bahawa haiwan itu tidak berasa sebarang
kesakitan ketika atau sebaik saja pisau memotong urat leher terbabit.
7.2. Untuk tiga saat kedua, EEG mencatatkan
keadaan tidur lena atau tidak sedar diri. Ini disebabkan banyak darah mengalir
keluar dari badan.
7.3. Selepas enam saat, EEG mencatatkan paras
sifar, menunjukkan haiwan itu tidak merasai sebarang kesakitan.
7.4. Ketika mesej otak (EEG) jatuh ke paras sifar,
jantung masih mengepam dan badan haiwan masih dapat bergerak akibat tindak
balas daripada saraf tunjang, menyebabkan semua darah keluar dari badan haiwan
menghasilkan daging yang selamat untuk dimakan, menurut penyelidikan itu.
KAEDAH STUNNING BINATANG |
8. Hasil Ujian Tembakan CBP Cara Barat pula mendapati:
8.1. Ketika mengkaji kaedah CBP, haiwan dikesan
terus pengsan sebaik saja menerima tembakan CBP dan EEG menunjukkan bacaan amat
sakit pada haiwan itu.
8.2. Jantung haiwan itu berhenti berdenyut lebih
awal selepas terkena kejutan berbanding haiwan yang disembelih. Keadaan itu
menyebabkan banyak darah masih terkumpul dalam daging dan ia sebenarnya tidak
selamat untuk dimakan.
9. Kesimpulan: - Daripada hasil kajian tersebut, Profesor Schulze dan Dr Hazim menyimpulkan bahawa
kaedah sembelihan Islam adalah yang terbaik kerana lebih bertimbang rasa.
Manakala amalan mengenakan kejutan elektrik ke atas haiwan pula seperti yang
diamalkan oleh Barat mendatangkan kesakitan yang amat sangat pada haiwan.
10. Sesungguhnya Islam itu adalah agama yang serba lengkap. Tidak ada
lagi agama yang setanding dengannya. Apa
jua yang diperintahkan dalam Islam pasti ada kebaikannya. Ini kerana perintah itu datangnya dari Allah
SWT, pencipta semua perkara dan benda di atas muka bumi ini.
“Bila tiba cuti
sekolah, anak-anak berduyun-duyun pulang ke kampong. Alhamdulillah. Tetapi sedarkah kita, apabila tiba di akhirat
kelak, tidak ada lagi balik kampong.
Orang Kelantan tidak boleh pulang ke Kelantan, orang Trengganu tidak
boleh pulang ke Trengganu. Semuanya
kekal di akhirat tanpa dapat balik semula.
Beringatlah sebelum tiba masanya di mana kita tidak dibenarkan balik ke
kampong lagi.” ~~ Mutiara Kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
No comments:
Post a Comment