Sunday, 30 July 2017

PADANG PASIR BERTUKAR JADI PADANG RUMPUT : BUKTI KEBENARAN SABDA RASULULLAH SAW





“Al-Quran tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk seluruh alam. Dan demi sesungguhnya, kamu akan mengetahui kabenaran perkara-perkara yang diterangkannya tidak lama lagi.”{Petikan dari surah Sad (38:87-88)}.

1.    Rasulullah SAW telah meninggalkan kita, umatnya lebih dari 1,400 tahun yang lalu.  Ia adalah satu jangka masa yang tersangat lama. Salah satu dari sabda Rasulullah lebih dari 1,400 tahun lampau yang telah menjadi kenyataan pada hari ini ialah tentang tanda-tanda akan berlakunya hari kiamat. Antaranya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:Hari kiamat tidak akan terjadi sehingga tanah Arab kembali menjadi padang rumput dan sungai." (Hadis Riwayat Muslim).
 

2.  Tanah Arab dalam sabda tersebut ialah merujuk kepada jazirah Arab. Jazirah Arab (Hijaz) ialah Arab Saudi yang merangkumi negara-negara Iraq, Yaman, Sham (Jordan, Palestin dan Syria).  Makna ‘sehingga tanah Arab kembali’ pula memberi pengertian bahawa pada zaman sebelum Rasulullah SAW tanah Arab adalah satu kawasan subur yang dipenuhi padang rumput.  Namun di zaman Rasulullah jazirah Arab adalah kawasan padang pasir dan ia akan kembali semula menjadi subur dan dipenuhi rumput.

                     DATA SATELIT YANG MENUNJUKKAN JAZIRAH ARAB MENGHIJAU

3.   Dalam hadis ini, Rasulullah bersabda "sehingga tanah Arab" maksudnya tanah jazirah Arab. Adapun makna sabda Rasulullah SAW  "kembali" ialah bahawa dahulu kala tanah Arab dipenuhi oleh rumput dan ladang dan nanti ia akan kembali seperti keadaan asalnya. Tatkala sabda Rasululah SAW ini  diucapkan pastinya para sahabat baginda tidak dapat membayangkan bagaimanakah keadaannya pada masa itu.  Namun demikian apa yang mereka pasti ialah apa juga sabda Rasulullah SAW wajib akan berlaku.  Ini kerana Rasulullah tidak bercakap mengikut  nafsu atau kemahuannya. Allah SWT yang memberi hidayah kepadanya untuk bercakap tentang sesuatu perkara.

4.   Apa yang pernah diucapkan oleh Rasulullah itu kini telah menjadi kenyataan. Berkat kemajuan teknologi dan ketinggian ilmu geologi, ahli geologi telah mengesahkan bahawa sebahagian dataran Arab pada masa dahulu adalah tanah yang subur untuk pertanian dan ladang. Dahulu tanah Arab sangat subur dan bukan padang pasir yang tandus. Namun demikian akibat dari perubahan iklim menyebabkan kekeringan air dan kesannya terhasillah padang pasir yang tandus. Di antara buktinya adalah penemuan saintis dalam bidang geologi. Salah seorang darinya ialah Professor Alfred Kroner.  Beliau ialah seorang pakar geologi terkemuka dunia dari Jabatan Ilmu Bumi Institut Geosciences, Universiti Johannes Gutenburg, Mainz, Jerman. Beliau pernah berkata: “Jika anda menggali tanah di jazirah Arab maka anda akan menemui peninggalan-peninggalan yang menunjukkan bahawa dulunya tanah Arab pernah menjadi daerah yang subur. Buktinya sangat banyak. Di antaranya adalah peninggalan-peninggalan yang ditemui di bawah permukaan batu.”





 

                                 KAWASAN SEKITAR PADANG ARAFAH KINI

5.   Kebenaran sabda Rasulullah ini telah disokong dengan berlakunya fenomena luar biasa, iaitu turunnya salji di Jazirah Arab.  Sesuatu yang tidak pernah kita fikirkan. Contohnya pada tahun 2009 dan 2012.  Pada bulan Januari dan Disember 2013 sudah dua kali berlakunya kejadian salji turun di Arab Saudi. Bulan Januari berlaku di Tabuk, sebuah kota yang lebih kurang 1,500 km dari Riyadh. Salji turut turun di  Jerusalem Palestin. Di Syria juga terjadi salji turun pada tahun 2013.



6.   Berdasarkan sabda Rasulullah SAW di atas jelas membuktikan bahawa sesungguhnya ramalan Rasulullah tentang suburnya bumi jazirah Arab itu datangnya dari Allah SWT pencipta alam semesta.  Adalah mustahil bagi Rasulullah SAW untuk mengetahui perkara yang akan berlaku lebih 1,000 tahun selepasnya.  Tambahan pula Rasulullah itu sendiri seorang ummi yang tidak boleh membaca dan menulis. Jauh sekali dari memiliki peralatan atau teknologi untuk membuat ramalan masa depan.  Jelaslah bahawa Rasulullah itu adalah pesuruh Allah SWT, tuhan semesta alam yang wajib diyakini oleh semua manusia di atas muka bumi ini.

“Tidak ada kebaikan ibadah yang tidak ada ilmunya dan tidak ada kebaikan ilmu yang tidak difahami dan tidak ada kebaikan bacaan kalau tidak ada perhatian untuknya.” – Mutiara kata Sayidina Ali Karamallahu Wajhah

No comments:

Post a Comment