ABDULLAH AL-ASIRI
“Dan
dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat serta rukuklah bersama-sama dengan
orang-orang yang rukuk.” {Petikan dari surah Al-Baqarah [Lembu Betina](2:43)}.
1. Ramai para ulama menyimpulkan maksud firman 'rukuklah bersama
sama dengan orang yang rukuk' itu ialah kewajipan dan tuntutan solat secara berjamaah.
2. Mungkin amat sukar untuk kita mempercayai adanya seorang tua
yang telah berumur 77 tahun tetapi masih
tetap solat berjemaah di masjid meskipun mengalami kecacatan kerana lumpuh
kedua belah kakinya. Kecacatan yang
dialaminya sejak dilahirkan. Perjalanannya ke masjid adalah dengan cara merangkak
demi menunaikan solat berjamaah lima waktu sehari di masjid yang berdekatan rumahnya. Dikatakan dia berbuat demikian selama 65 tahun. Hanya taqwa dan iman
yang kental sahaja yang mampu mengalahkan segala kepayahan dan rintangan untuk beribadat kepada Allah SWT.
Begitulah gigihnya beliau kerana mencari kelebihan solat berjemaah yang
mendapat ganjaran pahala 27 kali ganda berbanding dengan solat bersendirian di
rumah.
3. Itulah yang terjadi pada Abdullah Al-Asiri yang tinggal di
sebuah perkampungan Al-Azizah di bukit
Saudah dekat kota Abha, Arab Saudi. Abdullah Al-Asiri mengungkapkan, dia merasa
damai ketika berada di masjid, sehingga dia selalu rindu untuk solat berjamaah
di masjid. Keluarganya telah berusaha membuat laluan untuk memudahkannya bergerak ke masjid. Anak saudara beliau pula iaitu Abdul Aziz Makhafah telah membuat rakaman video tentang bapa saudaranya untuk dikongsikan melalui Youtube.
VIDEO
4. Mungkin juga keimanan Abdullah yang kuat ini kerana keyakinannya
kepada sabda Rasulullah SAW seperti diriwayatkan oleh Abu Hurairah radhiyallahu
‘anhu yang bermaksud: “Jikalau manusia
mengetahui apa yang ada di dalam azan dan saf pertama, kemudian mereka tidak
mendapatkan hal itu kecuali dengan cara mengundi atasnya maka nescaya mereka
akan mengundi, jikalau mereka mengetahui apa yang ada di dalam bersegera pergi
ke masjid maka nescaya mereka akan berlumba-lumba kepadanya, jikalau mereka
mengetahui apa yang ada di dalam solat isyak dan solat subuh maka nescaya
mereka akan mendatangi keduanya walaupun dalam keadaan merangkak.” (Hadis
Riwayat Bukhari dan Muslim).
4. Bagaimana pula halnya dengan kita yang tidak ada sebarang
kecacatan ini?. Malah memiliki basikal,
motosikal ataupun motokar. Apakah kesungguhan dan kecekalan Abdullah Al-Asiri
ini tidak cukup kuat untuk menjadi inspirasi dan kesedaran kepada kita agar
menunaikan solat berjamaah di surau ataupun masjid. Apakah kita akan tetap solat
di rumah jika kita hanya dibayar RM 100.00 berbanding disurau atau masjid jika
kita mendapat bayaran RM 270.00?. Saya yakin masjid atau surau pasti penuh dengan
jemaah jika setiap kali solat mendapat bayaran RM 270.00. Apa yang Allah janjikan dengan ganjaran pahala
27 kali ganda itu sudah tentunya bukan duit atau harta dunia melainkan harta
dan kekayaan kita di negeri akhirat kerana ia adalah pahala kita. Orang yang banyak pahala ertinya orang yang
banyak hartanya di akhirat. Berlumba-lumbalah kita untuk mencari kekayaan
akhirat kerana sakratul maut itu boleh datang pada bila–bila masa menjemput
kita. Hanya orang Islam yang pendek akal sahaja yang tidak memikirkan kesenangan
kehidupannya di negeri akhirat.
5. Selain dari kelebihan pahala, solat berjemaah juga amat baik
dari segi kesihatan. Ikuti apakah kelebihannya dalam artikel yang diterbitkan
pada 7.4.2015 berjudul "SOLAT BERJEMAAH: RAHSIA YANG TERSINGKAP DARI SUDUT SAINS". Sila layari https://mekmad.blogspot.my/2015/04/solat-berjemaah-rahsia-yang-tersingkap.html
“Perkataan itu
seperti ubat, kalau sedikit bercakap memberi manfaat, tetapi terlalu banyak
bercakap nescaya boleh membunuh,” – Mutiara Kata Amru Al-As
No comments:
Post a Comment