Tuesday 31 March 2015

SOLAT TAHAJJUD : 5 KEMULIAAN DI DUNIA DAN 4 KEMULIAAN DI AKHIRAT

 

1.   Solat Tahajjud ialah salah satu dari solat yang sangat digalakkan.  Solat yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW.  Dalam Al-Quran Allah SWT telah berfirman tentang solat ini. Firman itu ialah dalam Surah Al-Israq [Memperjalankan Waktu Malam](17:79) yang berbunyi:

“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.”

2.  Solat tahajjud merupakan solat sunat muakkad yang sangat dituntut oleh Islam. Maksud dari sabda-sabda Rasulullah SAW mengenai solat ini ialah:

2.1.Solat yang paling baik selepas solat fardhu ialah solat  di tengah malam (tahajjud).” (Hadith Riwayat Muslim). 

2.2.   “Apabila berlalu setengah malam atau dua pertiga malam, turunlah Allah Yang Maha Tinggi ke langit dunia seraya berfirman: “Adakah sesiapa yang meminta untuk diberi (Aku perkenankan permintaannya), adakah sesiapa yang berdoa untuk dimakbulkan (Aku makbulkan doanya), adakah sesiapa yang beristighfar untuk diberi ampun kepadanya (Aku ampunkannya)”,sehinggalah terbit fajar.” (Hadith Riwayat Muslim).

2.3.   Rasulullah bersabda, "Barang siapa menjaga tahajjud dengan sungguh-sungguh, maka Allah memberinya sembilan kemuliaan (lima di dunia dan empat di akhirat).

3.    Lima kemuliaan di dunia ialah:

3.1.   Allah jauhkan dari bencana

3.2.   Tanda kesolehan memancar di wajahnya

3.3.   Akan dicintai hamba Allah yang soleh dan disegani manusia

3.4.   Bicaranya menjadi hikmah

3.5.   Mudah faham agama Allah.

4.   Empat kemuliaan di akhirat ialah:

4.1.   Bangkit dari kubur dengan wajah penuh bercahaya

4.2.   Mudah apabila dihisab di Mahsyar

4.3.   Seperti kilat menyambar ketika melintasi titian siratalmustaqim

4.4.   Menerima catatan amal dengan tangan kanan

5. Subhanallah. Mulia dan berharganya solat tahajjud. Ayuh, jangan lepaskan peluang untuk menjadi orang yang dimuliakan oleh Allah SWT. Jika tidak mampu menunaikannya pada jam 3 atau 4 pagi, kerjakanlah pada mana-mana waktu sebelum masuk waktu Subuh. Yang penting ialah jangan lepaskan peluang keemasan dari Allah yang berjanji untuk memakbulkan permintaan kita dan mengampunkan dosa-dosa kita.


“Ketahuilah bahwa sabar, jika dipandang dalam permasalahan seseorang adalah ibarat kepala dari suatu tubuh. Jika kepalanya hilang maka keseluruhan tubuh itu akan membusuk. Sama halnya, jika kesabaran hilang, maka seluruh permasalahan akan rosak.” ~ Mutiara kata Khalifah ‘Ali Karramallah Wajhah

Monday 30 March 2015

BUAH TIN DAN ZAITUN: KEBENARAN AL-QURAN

 


1. Di dalam Al-Quran ada beberapa kali Allah menyebut nama buah-buahan seperti tin, zaitun kurma dan anggur. Inilah juga sebahagian makanan kegemaran Rasulullah. Ini menandakan bahawa buah-buah tersebut memberi keberkatan dan manfaat kesihatan yang sangat baik kepada orang yang memakannya. Firman-firman Allah SWT ialah seperti berikut:

          1.1.   Dalam Surah At-Tin [Buah Tin](95:1) yang berbunyi:


“Demi buah tin dan zaitun.”

(95:2)

“Dan Gunung Tursina”

(95:3)


“Serta negeri (Makkah) yang aman ini.”

(95:4)
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).”

          1.2.   Dalam Surah An-Nahl [Lebah](16:11) pula berbunyi:


“Dia juga menumbuhkan bagi kamu dengan sebab hujan itu tanaman-tanaman dan pokok-pokok zaitun dan tamar (kurma) serta anggur; dan juga dari segala jenis buah-buahan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu berfikir.”

          1.3.   Dalam Surah An-Nur[Cahaya](24:35) berbunyi:


“Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah “misykaat” yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu – dengan sendirinya – memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."

2.    Sabda Rasulullah SAW berkaitan dengan zaitun ialah seperti berikut:

“Hendaklah kamu menggunakan minyak zaitun sebagai lauk dan buatlah ia sebagai minyak oles, kerana ia (minyak zaitun) berasal dari pohon yang diberkati.”(Hadis Riwayat Abu Daud).

KEBUN POKOK ZAITUN
3.  Beberapa orang ahli biologi Jepun diberitakan telah memeluk Islam setelah membuat penyelidikan zat bernama metallothionein (MT). Zat protein ini keluar dari otak manusia dan binatang dalam jumlah yang sedikit. Zat ini sangat penting bagi tubuh manusia dan dapat mengurangkan kolesterol. Ia juga berguna untuk menguatkan jantung dan sistem pernafasan. Zat MT juga berfungsi untuk menahan penuaan (anti aging). Zat MT akan dihasilkan dalam jumlah yang lebih banyak selepas umur 15 tahun hingga 35 tahun. Selepas usia 35 tahun hingga 60 tahun, pengeluaran zat ini akan berkurangan semula. 
BUAH ZAITUN

4.   Selepas membuat kajian, ahli biologi Jepun mendapati zat MT ini hanya terdapat dalam dua jenis buah, iaitu buah tin dan zaitun. Setelah MT dikeluarkan dari buah tin dan buah zaitun, penyelidik Jepun mendapati bahawa MT yang didapati dari buah tin dan buah zaitun secara berasingan tidak memberi kesan  yang baik.  Kesan yang baik hanya dapat diperolehi apabila kedua-duanya dicampurkan sekali.  Kumpulan penyelidik dari Jepun cuba mencari kadar campuran yang betul untuk mendapatkan kesan yang terbaik. Hasilnya didapati kadar campuran yang betul ialah 1 bahagian buah tin dicampur dengan 7 bahagian buah zaitun.

MINYAK ZAITUN
POKOK TIN SEDANG BERBUAH

5. Dr. Taha Ibrahim Khalifa ialah bekas dekan dan profesor dalam bidang perubatan tumbuhan dan dadah, Universiti Azhar Mesir. Beliau telah memaklumkan kepada pengkaji dari Jepun tentang kandungan Al-Quran  yang menyebut mengenai buah tin dan zaitun.  Beliau telah mencari dalam Al-Quran dan mendapati bahawa perkataan 'At-Tin' telah disebut 1 kali manakala perkataan 'Zaitun' disebut 6 kali secara jelas dan 1 kali secara tersirat dalam Surah Al-Mukminun[Golongan Orang Beriman](23:20) yang berbunyi:


"Dan (Kami juga menumbuhkan untuk kamu) pokok yang asal tumbuhnya di kawasan Gunung Tursina, yang mengeluarkan minyak dan lauk bagi orang-orang yang makan." 
BUAH TIN KERING

6. Ia memberi gambaran seolah-olah Allah SWT memberi isyarat supaya campurannya ialah 1 bahagian buah tin dicampur dengan 7 bahagian buah zaitun. Setelah menyedari maklumat tentang kedua-dua buah ini telah disebutkan dalam Al-Quran lebih 1400 tahun lalu, ahli-ahli biologi Jepun ini  kemudiannya memutuskan untuk memeluk Islam. Subhanallah.


7.  Amalkanlah makan buah tin dan minyak zaitun kerana ia adalah makanan sunah Rasulullah SAW.  Sesungguhnya Rasulullah tidak akan makan makanan yang tidak memberi khasiat dan kesihatan kepada badan manusia. Apa yang datang dari Rasulullah itu hakikatnya adalah sama seperti ia datang dari Allah SWT.



 
“Orang yang paling aku sukai adalah orang yang menunjukkan kesalahanku”. ~ Mutiara kata Khalifah ‘Umar Al Khattab


Sebahagian kandungan dari sumber www.islampos.com