Friday, 27 March 2015

5 KAEDAH (TIPS) UNTUK MENGUATKAN IMAN (BAHAGIAN 3)


 Lima lagi tips untuk menguatkan keimanan kepada Allah SWT:

1.      Banyak bermunajat kepada Allah dan menerima takdirNya:


1.1    Seseorang yang banyak berserah dan tunduk nescaya akan lebih dekat dengan Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Saat seseorang paling dekat dengan Rabb-nya ialah ketika dia dalam keadaan sujud, maka perbanyaklah doa." (Hadis Riwayat Muslim).

1.2. Seseorang yang bermunajat kepada Allah dengan ucapan yang mencerminkan ketundukan dan kepasrahannya tentu imannya semakin kuat. Semakin menampakkan kehinaan dan kerendahan diri kepada Allah SWT, semakin kuatlah iman kita. Semakin banyak berharap dan meminta kepada Allah, semakin dekat kita dengan Allah.

2.      Tinggalkan angan-angan yang indah:

Perkara ini penting untuk menguatkan iman. Banyak berangan-angan hanyalah memenjara diri dan memupuk perasaan cinta kepada dunia (hubbud-dunya). Ini kerana hakikat dunia ini hanyalah sementara sahaja. Dalam Surah Yunus (10:45), Allah berfirman yang berbunyi:


“Dan (ingatlah) masa Tuhan himpunkan mereka (pada hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari. Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima balasan, dan yang tidak mendapat petunjuk (ke jalan mencari untung semasa hidup di dunia).”

3.      Memikirkan kehinaan dunia:

3.1.   Hati seseorang bergantung kepada apa yang difikirkan dalam kepalanya. Apa yang difikirkan, itulah orientasi hidupnya. Jika di fikirannya dunia adalah segala-galanya, maka hidupnya akan diarahkan untuk memperolehinya. Cinta kepada dunia akan diikuti dengan rasa takut kepada mati. Dalam Surah Ali Imran [Keluarga Imran] (3:185), Allah berfirman yang berbunyi:


“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

3.2.   Oleh kerana itu kita wajib menyedari bahawa dunia ini hina disisi Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:  "Sesungguhnya makanan anak keturunan Adam itu boleh dijadikan perumpamaan bagi dunia. Maka lihatlah apa yang keluar dari diri anak keturunan Adam, dan sesungguhnya rempah-rempah serta lemaknya sudah boleh diketahui akan menjadi apakah dia”. (Hadis Riwayat Thabrani).

3.3.   Dengan memikirkan bahawa dunia ini hanya seperti itu, maka fikiran kita tentunya akan mencari sesuatu perkara yang lebih tinggi dan berharga.  Ianya tidak lain melainkan  surga dan segala kenikmatan yang ada di dalamnya.

4.      Sering menghisab diri:

4.1.   Dalam Surah Al-Hasyr[Pengusiran]( 59:18) Allah SWT berfirman yang berbunyi:


“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Luas PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.”

4.2.   Saidina Umar Al-Khattab pernah berwasiat, katanya: "Hisablah dirimu sekalian sebelum kamu dihisab oleh Allah." Selagi waktu kita masih ada dan masih bernyawa, hitung-hitunglah bekalan kita untuk hari akhirat. Apakah sudah cukup untuk mendapat keampunan dan syurga dari Allah SWT. Ini satu dari cara yang baik untuk memperbaharui iman yang ada di dalam diri kita.

5.      Berdoa kepada Allah agar diberikan ketetapan iman:


Perbanyakkanlah doa. Doa adalah ikhtiar seorang yang beriman kepada Allah. Rasulullah SAW pernah berwasiat yang bermaksud: "Iman itu dijadikan di dalam diri salah seorang di antara kamu bagaikan pakaian yang dijadikan, maka memohonlah kepada Allah agar Dia memperbaharui iman di dalam hati."

Ya Allah, perbaharuilah iman yang ada di dalam dada kami. Tetapkanlah hati kami dalam ketaatan kepadaMu. Tidak ada daya dan upaya kami kecuali dengan pertolonganMu.


“Sesungguhnya seorang hamba itu bila merasa ujub kerana suatu perhiasan dunia, nescaya Allah akan murka kepadanya sehinggalah dia melepaskan perhiasan itu.” ~ Mutiara kata Sayidina Abu Bakar Assyiddiq

No comments:

Post a Comment