Wednesday, 18 March 2015

MUMIA FIRAUN (RAMSES II) – SAINTIS MASUK ISLAM BAHAGIAN 8


 
DR. YAHYA MAURICE BUCAILLE
1.    Dr. Maurice Bucaille lahir pada 19 Julai 1920 di Pont-L'Eveque, Perancis  dan meninggal dunia pada 17 Februari 1998 ketika berusia 78 tahun. Beliau anak kepada pasangan Maurice dan Marie (James) Bucaille. Dr. Bucaille ialah  seorang ahli sains dan pakar bedah terkemuka Perancis. Beliau dilahir dan dibesarkan oleh ibu bapanya dalam sebuah keluarga Kristian Roman Katholik. Dr.Bucaille belajar jurusan perubatan di Universiti Perancis dan menjadi doktor dari tahun 1945 hingga 1982 dan merupakan seorang pakar dalam bidang gastroenterologi. Pada tahun 1973 Dr. Bucaille telah dilantik sebagai doktor keluarga kepada Raja Faisal Arab Saudi. Beliau pernah merawat ahli-ahli keluarga Anwar Sadat, bekas Presiden Mesir.

2.  Dr. Bucaille telah menghasilkan beberapa buah buku terkenal terutama Teori Islam Concordists yang menggalakkan keserasian Al-Quran dengan Sains Moden. Beliau berjaya membuktikan bahawa Al-Quran adalah konsisten dengan teori sains moden, manakala Bible pula banyak kesilapan dan tidak konsisten. Pendapat beliau telah di dikritik hebat oleh sarjana Barat. Setelah memeluk Islam pada tahun 1976 beliau menerbitkan sebuah buku bertajuk 'Bible, Quran and Science : The Holy Scriptures Examined in the Light of Modern Knowledge' dan berjaya dijual berjuta-juta naskah.  Buku ini juga telah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa di dunia. Beliau menegaskan bahawa Al-Quran mengandungi banyak fakta-fakta saintifik. Pada tahun 1987 beliau menerbitkan satu lagi buku bertajuk: “Mummies of the Pharaohs: Modern Medical Investigations". Buku-buku beliau mendapat kritikan keras dari cendekiawan Barat terutama dari Dr. William F. Campbell.

3.  Bukunya berjudul “Bible, Quran and Science” menjelaskan bahawa penerangan dalam Al-Quran amat konsisten dengan fakta sains dan pengetahuan moden. Antaranya seperti  penciptaan alam semesta, bumi, angkasa raya, haiwan, tumbuhan, pembiakan manusia, dan sebagainya. Sebaliknya beliau menegaskan bahawa Bible menjelaskan perkara yang bertentangan dengan pengetahuan saintifik semasa dan sains moden, terutama dari segi penciptaan bumi, tarikh kemunculan manusia di bumi (disimpulkan menggunakan geneologi yang terdapat dalam Bible), cerita banjir, atau geneologi Nabi Isa yang jelas salah sama sekali. Penerangan dalam Al-Quran menggambarkan bahawa sains moden dan agama adalah seperti kembar yang tidak ada percanggahan antara kedua-duanya. Beliau menegaskan bahawa Bible mengandungi kesilapan saintifik yang besar, sedangkan dalam Al-Quran keterangan berkaitan fenomena semulajadi sangat bertepatan dengan kajian sains moden. Bucaille menyimpulkan bahawa Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad, penduduk Arab Mekah yang buta huruf lebih 1400 tahun lalu adalah perkataan yang benar daripada tuhan. “Al-Quran yang di dalamnya diceritakan segala penjelasan mengenai fenomena alam sangat bertepatan dengan sains moden,” katanya. Beliau membuat kesimpulan bahawa tidak syak lagi Al-Quran adalah benar-benar qalam tuhan.

4.   Peristiwa Bagaimana Hidayah Allah Datang Kepada Dr. Bucaille

4.1.  Pada pertengahan tahun 1975, Perancis yang ketika itu di bawah pemerintahan Presiden Francois Mitterand membuat tawaran kepada kerajaan Mesir untuk membantu meneliti, mengkaji dan menganalisis mumia Firaun, Ramses II ( 1279 SM hingga 1213 SM) yang sangat terkenal. Firaun yang dikatakan hidup di zaman Nabi Musa yang akhirnya mati tenggelam dalam Laut Merah ketika mengejar Musa dan para pengikut baginda yang melarikan diri daripada kekejamannya. Kerajaan Mesir menerima baik tawaran itu dan membenarkan mumia itu diterbangkan ke Paris. Ketika sampai di lapangan terbang, kedatangan mumia itu disambut dengan penuh kehormatan. Presiden Mitterand dan pemimpin Perancis yang lain tunduk hormat ketika mumia itu dibawa lalu di hadapan mereka.

4.2. Mumia itu kemudiannya diletakkan di ruang khas di Pusat Arkeologi Perancis. Di situlah ia telah diperiksa dan dikaji oleh pakar-pakar, doktor bedah dan autopsi Perancis yang dipimpin oleh doktor yang sangat terkenal, iaitu Prof. Dr. Maurice Bucaille. Beliau seorang pakar bedah terkenal Perancis. Hasil penemuan pakar-pakar sangat mengejutkan. Dr. Bucaille menemui sisa-sisa garam yang masih melekat pada jasad mumia tersebut sebagai bukti terbesar bahawa firaun itu mati akibat lemas di dalam Laut Merah.  Dialah sebenarnya firaun yang hidup sezaman dengan Nabi Musa. Setelah jasadnya ditemui ia segera dibawa ke istana oleh rakyatnya, segera diawet dan dijadikan mumia supaya jasad itu kekal lama. 
4.3.  Penemuan itu menimbulkan persoalan yang sangat besar kepada Dr. Bucaille, iaitu bagaimana jasad tersebut masih dalam keadaan sangat baik berbanding jasad-jasad yang lazimnya tenggelam dan dikeluarkan daripada laut?. Lalu beliau menyiapkan sebuah laporan akhir yang diyakininya sebagai penemuan baru, iaitu proses menyelamatkan mayat firaun dari laut dan kaedah pengawetannya. Laporan tersebut diterbitkan dengan tajuk “Les Momies Des Pharaons Et La Midecine” (Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden). Selepas penerbitan laporan itu, Dr. Bucaille dianugerah penghargaan tertinggi kerajaan Peranchis, iaitu Le Prix Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Bidang Sejarah) oleh Academie Frantaise dan anugerah Prix General daripada Academie Nationale De Medicine, Perancis.

4.4.  Seorang rakannya yang beragama Islam memberitahu kepada Dr. Bucaille bahawa penemuan itu sebenarnya bukan sesuatu yang baru kepada orang Islam. Dr. Bucaille menjadi bingung dengan berita itu. Beliau semakin tertanya-tanya, bagaimana perkara seperti itu dapat diterima oleh akal kerana mumia itu baru sahaja ditemui sekitar tahun 1879, sedangkan Al-Quran telah berada di tangan umat Islam sejak ribuan tahun sebelumnya.

4.5.  Sebagai seorang Kristian, beliau merujuk kepada kitab Bible untuk mencari kepastian. Namun beliau mendapati kitab Bible hanya membicarakan Firaun yang tenggelam di tengah laut semasa mengejar Nabi Musa dan tidak ada penjelasan lanjut. Petikan dari Bible (Kitab Perjanjian Lama) adalah seperti berikut;

4.5.1. Dalam Buku Exodus (14:28) disebutkan bahawa: 

“Air laut berbalik dan menutupi kereta-kereta, pengendara-pengendara, dan seluruh tentera Mesir yang mengejar orang Israel ke tengah laut, sehingga mereka mati semua.”

4.5.2. Dalam Buku Psalm (136:15) disebutkan bahawa:

“Tetapi raja Mesir dan tenteranya Ia ditenggelamkan; kasih-Nya kekal abadi.”

4.6.  Dr. Bucaille kebingungan kerana Bible tidak menyebut langsung apa yang terjadi seterusnya kepada mayat Firaun selepas tenggelam itu. Apabila mumia dikembalikan semula ke Mesir, Dr. Bucaille cuba mendapatkan kepastian dan beliau telah bertemu dengan para ilmuwan Islam mengenai sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun sehinggalah Bani Israel meninggalkan Mesir dan dikejar Firaun dengan seluruh bala tentera di belakang mereka.  Salah seorang ilmuan Islam telah membaca terjemahan ayat al-Quran berhubung sejarah tersebut kepada Dr. Bucaille, iaitu dari surah ke 10, surah Yunus seperti berikut: 
 
 (10:90)


“Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): "Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)".
 
(10:91)


(Allah berfirman): "Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telahpun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan?.”

(10:92)

“Maka pada hari ini, Kami selamatkan jasadmu agar generasi sesudah kamu  menjadikan dirimu sebagai pengajaran dan sebahagian besar manusia itu  sesungguhnya mengabaikan  (melalaikan) tanda-tanda kebesaran Kami."

       4.7. Apabila mengetahui ayat ini, hati Dr. Bucaille benar-benar                tersentuh kerana meyakini ayat tersebut adalah dari tuhan. Beliau akhirnya mengakui kebenaran ayat itu kerana ia dapat diterima akal dan lebih terperinci penjelasannya berbanding dengan dua ayat dalam Bible. Dengan perasaan yang amat terharu dan penuh keinsafan beliau terus berkata: “Sesungguhnya aku masuk Islam dan beriman dengan Al-Quran ini.” Setelah memeluk Islam beliau  menukar namanya kepada Dr. Yahya  Maurice Bucaille.

5.      Pengajaran yang boleh diperolehi dari kesah yang dinukilkan di atas ialah:

5.1.   Jika Saidina Umar al-Khattab, khlifah Islam kedua mengucap dua kalimah syahad kerana membaca Surah Ta-Ha, Dr. Bucaille pula mendapat hidayah Allah kerana mengakui kebenaran Al-Quran seperti tercatat dalam Surah Yunus di atas.  

5.2. Allah telah memilih untuk memberikan hidayah kepada Dr. Bucaille untuk menerima agamanya melalui pengkajian mumia Firaun Ramses II. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui.  Ia amat bertepatan sekali dengan firmanNya dalam Surah Al-Qassas [Kesah-Kesah] (28:56), Allah SWT berfirman yang berbunyi:
 

“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (memeluk Islam).”
 
PIRAMID DI MANA BERSEMADINYA MUMIA RAMSES II
5.3. Penemuan jasad Firaun ini membenarkan janji Allah dalam firmanNya  dalam Surah Yunus bahawa dia akan memelihara jasad Firaun untuk menjadi pengajaran kepada manusia selepasnya supaya tidak melampaui batas. Firaun yang mati lemas telah ditolak ke pantai dengan kehendak Allah dan mayat itu dijumpai oleh rakyatnya. Allah berikan ilmu pengetahuan dan kepandaian mengawet mayat manusia kepada rakyat Firaun lebih 3,000 tahun lalu supaya mayat Firaun dapat disimpan lama. Selama lebih 3,000 tahun jasad Firaun bersemadi di Lembah Raja-Raja di mana terletaknya piramid dengan penuh kerahsiaan tanpa sesiapa pun mengetahuinya. Hanya pada tahun 1898, ekspedisi bersama yang dilakukan oleh ahli arkeologi Mesir dan Jerman berjaya memecahkan kod rahsia dan huruf kuno Mesir purba.  Akhirnya mereka menemui satu lubang sempit yang berliku-liku yang membawa mereka ke ruang yang besar dan menempatkan puluhan mumia termasuklah mumia yang dikenali sebagai Ramses 11 yang mengejar Nabi Musa lebih kurang 3,000 tahun yang lalu. Penemuan ini dinobatkan sebagai penemuan sejarah yang terbesar pada abad ke19. Lebih 3,000 tahun lamanya jasad Firaun tersimpan dengan penuh rahsia. Namun janji Allah adalah benar dan akan tetap benar. Mayat Firaun di bawah piramid diizinkan Allah untuk dijumpai oleh para pengkaji kerana itulah janji-Nya. Allah juga mentakdirkan mayatnya dalam keadaan sempurna walaupun masa telah berlalu begitu lama. Hari ini mayat Firaun tersimpan dan dipamerkan untuk tontonan umum di Muzium Cairo, Mesir. Maha benarlah janji Allah dalam Surah Yunus bahawa Allah akan menyelamatkan jasad Firaun untuk menjadi pengajaran, renungan, peringatan dan teladan kepada manusia selepasnya. Janganlah sekali-kali kita melawan perintah Allah, menolak hukum hakam Allah dan berbuat jahat kepadaNya. Jangan kita derhaka kepadaNya hanya kerana memiliki sedikit kuasa yang Allah pinjamkan.  Ingatlah bahawa Allah Maha Mengetahui, Maha Melihat dan Maha Mendengar.




 
Tonton video ceramah beliau bertajuk 
"The Quran and Modern Science"


5.4.  Wahai manusia.  Apakah lagi bukti yang dikehendaki untuk menyakinkan bahawa Al-Quran itu adalah  sebenar-benarnya dari Allah SWT, tuhan pencipta alam. Bagaimana mungkin seorang yang buta huruf bernama Muhammad bin Abdullah, Rasulullah boleh mengetahui peristiwa yang berlaku lebih 2,000 tahun sebelumnya seperti tercatat dalam Al-Quran ini.  MUSTAHIL. Mustahil sama sekali. Justeru sembahlah Allah yang satu, tuhan sebenar-benarnya dan kembalilah kepada ajaran Islam yang maha suci.


“Tiada sholat yang sempurna tanpa jiwa yang khusyu’.

Tiada puasa yang sempurna tanpa mencegah diri daripada perbuatan yang sia-sia.

Tiada kebaikan bagi pembaca al-Qur’an tanpa mengambil pangajaran daripadanya.

Tiada kebaikan bagi orang yang berilmu tanpa memiliki sifat wara’.

Tiada kebaikan mengambil teman tanpa saling sayang-menyayangi.”

~ Mutiara Kata Saidina Ali Karamallahu Wajhah

No comments:

Post a Comment