Tuesday, 31 March 2015

SOLAT TAHAJJUD : 5 KEMULIAAN DI DUNIA DAN 4 KEMULIAAN DI AKHIRAT

 

1.   Solat Tahajjud ialah salah satu dari solat yang sangat digalakkan.  Solat yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW.  Dalam Al-Quran Allah SWT telah berfirman tentang solat ini. Firman itu ialah dalam Surah Al-Israq [Memperjalankan Waktu Malam](17:79) yang berbunyi:

“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.”

2.  Solat tahajjud merupakan solat sunat muakkad yang sangat dituntut oleh Islam. Maksud dari sabda-sabda Rasulullah SAW mengenai solat ini ialah:

2.1.Solat yang paling baik selepas solat fardhu ialah solat  di tengah malam (tahajjud).” (Hadith Riwayat Muslim). 

2.2.   “Apabila berlalu setengah malam atau dua pertiga malam, turunlah Allah Yang Maha Tinggi ke langit dunia seraya berfirman: “Adakah sesiapa yang meminta untuk diberi (Aku perkenankan permintaannya), adakah sesiapa yang berdoa untuk dimakbulkan (Aku makbulkan doanya), adakah sesiapa yang beristighfar untuk diberi ampun kepadanya (Aku ampunkannya)”,sehinggalah terbit fajar.” (Hadith Riwayat Muslim).

2.3.   Rasulullah bersabda, "Barang siapa menjaga tahajjud dengan sungguh-sungguh, maka Allah memberinya sembilan kemuliaan (lima di dunia dan empat di akhirat).

3.    Lima kemuliaan di dunia ialah:

3.1.   Allah jauhkan dari bencana

3.2.   Tanda kesolehan memancar di wajahnya

3.3.   Akan dicintai hamba Allah yang soleh dan disegani manusia

3.4.   Bicaranya menjadi hikmah

3.5.   Mudah faham agama Allah.

4.   Empat kemuliaan di akhirat ialah:

4.1.   Bangkit dari kubur dengan wajah penuh bercahaya

4.2.   Mudah apabila dihisab di Mahsyar

4.3.   Seperti kilat menyambar ketika melintasi titian siratalmustaqim

4.4.   Menerima catatan amal dengan tangan kanan

5. Subhanallah. Mulia dan berharganya solat tahajjud. Ayuh, jangan lepaskan peluang untuk menjadi orang yang dimuliakan oleh Allah SWT. Jika tidak mampu menunaikannya pada jam 3 atau 4 pagi, kerjakanlah pada mana-mana waktu sebelum masuk waktu Subuh. Yang penting ialah jangan lepaskan peluang keemasan dari Allah yang berjanji untuk memakbulkan permintaan kita dan mengampunkan dosa-dosa kita.


“Ketahuilah bahwa sabar, jika dipandang dalam permasalahan seseorang adalah ibarat kepala dari suatu tubuh. Jika kepalanya hilang maka keseluruhan tubuh itu akan membusuk. Sama halnya, jika kesabaran hilang, maka seluruh permasalahan akan rosak.” ~ Mutiara kata Khalifah ‘Ali Karramallah Wajhah

No comments:

Post a Comment