Thursday 19 March 2015

KAJIAN TENTANG ROH MANUSIA – SAINTIS MASUK ISLAM BAHAGIAN 9

 

1.  Maha benar firman Allah bahawa tidak ada manusia yang mampu memberikan hidayah kepada seseorang melainkan Dia.  Dalam Surah Al-Qassas [Kesah-Kesah](28:56), Allah SWT berfirman yang berbunyi:


“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (memeluk Islam).”
 
2.      Dalam posting kali ini kita akan mengenali seorang lagi saintis Barat yang telah diberikan hidayah oleh Allah setelah hambanya ini memahami maksud firman Allah yang sesuai dengan bidang pengkajiannya. Firman itu ialah dalam Surah Az-Zumar [Rombongan](39:42) yang berbunyi:


“Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).”

 
Islam is the religion of Peace and Love - Prof. Arthur Alison To Islam |  Facebook
                     DR. ARTHUR ALISON
 
3.   Saintis yang dimaksudkan itu ialah Profesor Dr. Arthur Alison (nama Islamnya Profesor Dr. Abdullah Alison).  Beliau ialah Ketua Jabatan Elektronik dan Elektrikal, Universiti London, England.  Pernah menjadi Presiden Persatuan Psikologi dan Kajian Kerohanian Britain untuk beberapa tahun. Beliau telah bertugas selama enam tahun sebagai Pengerusi Pertubuhan Parapsikologi dan Spritual Britain. Jawatannya ini telah mendorong beliau untuk mempelajari pelbagai agama dan falsafah, termasuk agama Islam. Beliau juga telah membuat perbandingan agama antara Islam, Buddha dan Hindu dan  menyimpulkan bahawa Islam adalah agama yang logik dan  sesuai dengan keperluan fitrah manusia. 

4. Penyelidikan parapsikologi dan perlakuan spiritual dengan berpandukan firman Allah dalam Surah Az-Zumar di atas telah menyedarkan beliau akan hakikat kebenaran agama Islam. Beliau pernah dijemput menghadiri Persidangan Perubatan Pertama di Cairo Mesir pada tahun 1985.   Beliau telah membentangkan dua kertas kerja, iaitu:

4.1.  Kaedah Terapi Psikologi dan Kerohanian Dalam Konteks  Al-Quran.

4.2.   Tidur & Mati Dalam Konteks Surah ke 39 dan ayat 42, Al-Quran (Dibentangkan bersama dengan Dr. Muhammad Yehya).
ORANG YANG NYENYAK TIDUR KELIHATAN SEPERTI ORANG MATI
5. Untuk mendalami perkara-perkara saintifik dalam Al-Quran,  Dr. Alison telah bekerjasama dengan Dr. Al-Musherif dan berjaya membuktikan bahawa tidur dan kematian hanyalah satu proses (one single process) sebagaimana yang dinyatakan di dalam ayat Al-Quran diatas.  Menurut beliau, eksperimen beliau telah menunjukkan bahawa ada sesuatu benda telah keluar dari badan manusia apabila kita tidur, dan ia akan kembali masuk semula ke dalam badan menyebabkan kita masih hidup dan boleh bangun dari tidur. Sebaliknya kematian pula menunjukkan bahawa sesuatu yang keluar dari badan manusia dan ia tidak kembali semula. Perkara yang keluar dan masuk semula itu ialah roh manusia. Kata Dr. Alison. “Saya yakin dengan apa yang diperkatakan oleh Al-Quran”.

6.   Didalam diskusi semasa persidangan tersebut, peserta telah membuat kesimpulan bahawa Islam tidak bercanggah dengan sains.  Beliau merancang untuk melakukan penyelidikan yang lebih lanjut di dalam bidang parapsikologi dalam konteks Al-Quran. Dalam persidangan inilah Dr. Alison telah memeluk agama Islam. Beliau berkata orang Islam telah gagal menjelaskan fakta saintifik yang ada dalam Al-Quran dan kebenaran agama Islam kepada orang bukan Islam. Beliau menggesa saintis Barat supaya mengenali Islam yang beliau sifatkan sebagai “agama yang menjawab kedua-dua bidang intelek dan keagamaan sekali gus”.  Beberapa orang sainstis Barat yang kebetulan mengkaji Al-Quran kerana keperluan penyelidikan akademik mereka telah memeluk agama Islam apabila melihat Islam sebagai agama yang tidak bercanggah dengan fakta sains moden, tidak seperti agama-agama lain. Beliau meluahkan rasa kekesalan kerana Barat sebenarnya jahil tentang fakta-fakta  saintifik dalam Al-Quran.

 7.  Allah SWT akan membuktikan kebenaran semua firmanNya dalam Al-Quran. Satu persatu kebenaran ini akan tersingkap dan diketahui manusia.  Hanya manusia yang hidup hatinya dan mendapat hidayah Allah akan mengakui kebenaran Al-Quran dan keesaan Allah SWT.
 

"Janganlah seseorang hamba itu mengharap selain kepada Tuhannya dan janganlah dia takut selain kepada dosanya”. ~ Mutiara kata Saidina Ali Karamallahu Wajhah

No comments:

Post a Comment