Wednesday, 11 March 2015

SEMUA MAKHLUK BERTASBIH KEPADA ALLAH – SAINTIS MASUK ISLAM BAHAGIAN 1

 
IKAN SEDANG BERTASBIH?
1. Allah telah berfirman dalam Al-Quran yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW lebih 1400 tahun lalu bahawa semua makhluk yang berada di langit dan di bumi bertasbih kepadanya.  Antara firman-firman  Allah itu ialah dalam surah-surah berikut:

          1.1.   Surah ArRaad[Guruh] (13:13) yang berbunyi:

 

“Dan Dialah juga yang guruh dan malaikat bertasbih memujiNya, kerana takut kepadaNya. Dan Dia lah juga yang menghantarkan petir, lalu Ia mengenakan dengan panahannya kepada sesiapa yang dikehendakinya Dan mereka yang ingkar itu membantah (serta mendustakan Rasul) mengenai perkara yang berhubung dengan Allah (dan kuat kuasaNya) Padahal Ia Amat keras azab seksanya”.

1.2.   Surah An-Nur [Cahaya] (24:41) berbunyi:



“Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah (Yang Maha Esa dan Maha Kuasa) sentiasa bertasbih kepadaNya sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi serta burung-burung yang terbang berbaris di angkasa? Masing-masing sedia mengetahui (menurut keadaan semulajadinya) akan cara mengerjakan ibadatnya kepada Allah dan memujiNya; dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.”

1.3.   Surah AzZumar [Rombongan] (39:75) pula berbunyi:


“Dan (pada hari itu) engkau akan melihat malaikat beredar di sekeliling Arasy dengan bertasbih memuji Tuhan mereka, serta mereka dihakimi dengan adil; dan (masing-masing bersyukur akan keputusan itu dengan) mengucapkan: “Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam."

1.4.   Surah Mukmin@Ghaffir [Orang Beiman](40:7) berbunyi:


“Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji TuhanNya; dan beriman kepadaNya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): “Wahai Tuhan kami! RahmatMu dan IlmuMu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalanMu, dan peliharalah mereka dari azab neraka.”

1.5.   Surah AsSyuura [Muyawarah](42:5) berbunyi:
 

“Alam langit nyaris-nyaris pecah dari sebelah atasnya (kerana ngeri dan takutnya kepada kemurkaan Allah terhadap penduduk bumi yang lupakan kebesaran Allah sehingga menyeleweng dari jalan yang benar); dan malaikat bertasbih dengan memuji Tuhannya serta memohon ampun bagi makhluk-makhluk yang ada di bumi. Ingatlah! Sesungguhnya Allah, Dia lah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

1.6.   Surah Al-Hasyr [Pengusiran] (59:1) pula berbunyi:
 

Segala yang ada di langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

(59:24)
 

“Dialah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya); bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dialah Yang tiada bandingNya, lagi Maha Bijaksana.”


1.7.   Surah AsShaff [Barisan] (61:1) berbunyi:
 

“Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

1.8.   Surah Al-Jumu’ah [Hari Jumaat](62:1) berbunyi:


Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi sentiasa mengucap tasbih kepada Allah Yang Menguasai (sekalian alam), Yang Maha Suci, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

1.9.   Surah Al-Hadid [Besi](57:1) berbunyi:


“Segala yang ada di langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

PROFESSOR WILLIAM BROWN

2.  Hasil satu kajian ilmiah telah dimuatkan dalam sebuah majalah sains terkenal yang bertajuk “Journal of Plant Molecular Biologies. Hasil kajian itu menyebut bahawa sekumpulan saintis yang diketuai oleh Professor William Brown dari Amerika Syarikat telah  mengadakan penyelidikan selama 3 tahun dan mendapati suara halus keluar dari sebahagian tumbuhan yang tidak boleh didengar oleh telinga manusia. Suara tersebut berjaya dirakam dan disimpan dalam sebuah alat perakam tercanggih. Juga ditemui ketika lafaz perkataan Allah terdengar, getaran di atas suara (ultrasonic / ultra sound) tersebut berubah menjadi gelombang elektrik optik yang dapat ditangkap oleh monitor. Pada monitor itu terbentuk garis-garis seperti huruf Allah. Mereka berjaya menganalisis denyutan atau rentak suara tersebut sehingga menjadi isyarat-isyarat yang bersifat cahaya elektrik dengan menggunakan sebuah alat canggih yang bernama oscilloscope. Denyutan cahaya elektrik ini dapat diubah menjadi gelombang elektrik optic lebih dari 1000 kali dalam satu saat.  

3.   Pasukan pengkaji ini membentangkan penemuan mereka di hadapan sebuah pasukan penyelidik dari Britain. Kebetulan dalam pasukan Britain itu ada seorang saintis yang beragama Islam. Setelah melakukan ujikaji selama lima hari, saintis Britain kagum dengan penemuan itu. Saintis Islam kemudiannya menegaskan bahawa hal ini sudah diketahui dan diyakini oleh orang Islam sejak 1400 tahun yang lalu. Mereka yang mendengar penjelasan itu memintanya untuk  menjelaskan perkara itu. Beliau  kemudiannya membaca terjemahan ayat Al-Quran dalam Surah Al-Israq [Memperjalankan DiWaktu Malam] (17:44) yang berbunyi:


"Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tak ada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi Maha Pengampun.

4.   Tidaklah suara denyutan halus tersebut melainkan lafaz jalalah (nama Allah SWT) sebagaimana kelihatan dalam skrin. Peristiwa ini menjadikan orang ramai yang berada dalam dewan kagum dengan penemuan ini. Akhirnya orang yang bertanggung jawab terhadap kajian ini, iaitu Profesor William Brown menemui saintis Islam tersebut. Tujuannya ialah untuk membincangkan tentang agama yang dibawa oleh Rasulullah seorang yang ummi (tidak boleh membaca dan menulis) lebih 1400 tahun lalu. Saintis Islam tersebut menerangkan kepadanya tentang Islam.  Setelah itu dia menghadiahkan Al-Qur'an dan terjemahannya kepada professor tersebut. Selang beberapa hari selepas itu, Profesor William Brown telah mengadakan ceramahnya di Universiti Carnegie Mellon, Pittsburgh, Pennsylvania Amerika Syarikat.  Universiti ini merupakan salah satu dari 10 universiti terbaik di USA. Beliau telah berkata:

UNIVERSITI CARNEGIE MELLON, USA
"Dalam hidupku, aku belum pernah menemui fenomena semacam ini selama 30 tahun menekuni pekerjaan ini, dan tidak ada seorang saintis pun yang melakukan pengkajian yang sanggup menafsirkan apa makna dari fenomena ini. Begitu pula tidak pernah ditemui kejadian alam yang boleh menafsirnya. Akan tetapi satu-satunya tafsir yang boleh kita dapati adalah dalam Al-Quran. Hal ini tidak memberikan pilihan lain buatku selain mengucapkan syahadah dan memeluk agama Islam."

5.  Subhanallah. Maha Suci Allah.  Segala apa yang terkandung dalam AlQuran itu benar belaka. Benarlah bahawa Al-Quran itu akan menjadi petunjuk kepada manusia yang hidup hatinya.


“Janganlah seseorang hamba itu mengharap selain kepada Tuhannya dan janganlah dia takut selain kepada dosanya.” = Saidina Ali Karamallahu Wajhah

No comments:

Post a Comment