Wednesday, 25 March 2015

5 KAEDAH (TIPS) UNTUK MENGUATKAN IMAN (BAHAGIAN 1)

 

1.  Sesungguhnya iman seseorang Islam itu ibarat air laut yang ada pasang surutnya.  Ada masanya iman kita kuat dan teguh namun ada pula masanya kita berasa tidak kuat iman dan mudah tergoda dengan hasutan syaitan untuk melakukan perkara yang jahat. Dalam konteks ini Rasululah SAW telah bersabda yang bermaksud:

1.1. “Iman itu kadang-kadang naik dan kadang-kadang turun, maka hendaklah kamu perbaharui iman kamu dengan kalimah La Ilaha illallah.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)

1.2.  “Iman seseorang boleh menjadi usang dan lusuh seperti usang dan lusuhnya sehelai pakaian. Maka hendaklah kamu memohon kehadrat Allah SWT supaya memperbaharui iman kamu yang ada dalam hatimu.” (Hadis Riwayat Tabrani dan Hakim)

2.  Di bawah ini disenaraikan 5 perkara yang sesuai diamalkan untuk menguatkan iman kita supaya terhindar dari melakukan kejahatan.

2.1.Membanyakkan membaca Al-Quran:

2.1.1. Al-Qur'an diturunkan oleh Allah SWT sebagai cahaya kepada manusia, menjadi petunjuk dan juga sebagai ubat bagi hati manusia. Dalam Surah Al-Isra’ [Memperjalankan Waktu Malam]( 17:82) Allah berfirman yang berbunyi:


"Dan Kami turunkan dari Al-Qur'an sesuatu yang menjadi ubat dan rahmat bagi orang-orang yang beriman." 

2.1.2. Ibnu Qayyim berkata seseorang Islam sewajarnya menyembuhkan hatinya dengan membaca Al-Quran. Ada dua cara, iaitu:

(i) Harus mengalihkan hati kita dari sentiasa mengingati dunia, dan sebaliknya melebihkan akhirat. 

(ii) Memfokuskan hati kita kepada makna Al-Qur'an.  Memahami apa yang dimaksudkan dan mengapa ia diturunkan. Mengamati semua ayat-ayat Al-Quran. Jika sesuatu ayat diturunkan untuk mengubati hati maka dengan izin Allah hati kita yang bermasalah insyaallah  akan sembuh. 

2.2. Perlu merasakan keagungan Allah SWT seperti yang digambarkan dalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW:

2.2.1. Al-Quran dan sunah banyak sekali mengungkap keagungan Allah SWT. Seorang Islam sejati ialah orang  yang ketika berbicara tentang keagungan Allah, hatinya akan bergetar dan jiwanya akan tunduk patuh. Kekhusyukan akan hadir mengisi ruang hatinya. Dia akan segera merasai  betapa agungnya Allah yang Maha Mendengar, Maha Mengetahui, yang memiliki nama-nama yang baik (asma'ul husna). Dialah yang menciptakan segala sesuatu dan hanya kepada-Nyalah kita kembali.


2.2.2. Jangan sampai kita termasuk orang yang difirman Allah dalam Surah AzZumar[Rombongan](39:67) yang berbunyi: 
 

“Dan mereka (yang musyrik) tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang sewajibnya diberikan kepadaNya, sedang bumi seluruhnya – pada hari kiamat – dalam genggaman kuasaNya, dan langit tergulung dengan kekuasaanNya. Maha Sucilah Dia dan Tertinggi keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan.”

3. Sentiasa berada dalam majlis zikir kepada Allah
 
3.1.  Satu hari Saidina Abu Bakar melawat Hanzalah. Kata Abu Bakar. "Bagaimana keadaanmu, wahai Hanzalah?" Hanzalah menjawab, "Aku telah berbuat munafik." Abu Bakar bertanya apa sebabnya. Kata Hanzalah, "Jika kami berada di sisi Rasulullah SAW, beliau akan mengingatkan kami tentang neraka dan syurga yang seakan-akan kami boleh melihat dengan mata kepala sendiri. Lalu setelah kami pergi dari sisi Rasulullah SAW kami pun disibukkan oleh urusan isteri, anak-anak, dan kehidupan dunia, lalu kami pun banyak lupa. "

3.2.   Kedua-dua mereka mengadukan hal itu kepada Rasulullah SAW. Kata Rasulullah, "Demi jiwaku yang ada di dalam genggaman-Nya, andaikata kamu sekalian tetap seperti keadaanmu di sisiku dan di dalam keadaan sentiasa berzikir, tentu para malaikat akan menolong kamu."(Hadis Riwayat Muslim)

3.3.   Begitulah kelebihan majlis zikir. Boleh menambah berat iman kita. Oleh sebab itulah sahabat Rasulullah sangat bersemangat mengadakan pertemuan dalam majlis halaqah zikir. Di dalam majlis ini kita boleh membuat perkara-perkara yang dituntut oleh agama seperti membaca Al-Quran, membaca hadis, membaca kitab agama atau mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan dan sebagainya.

4. Memperbanyakkan amal soleh:

4.1. Suatu hari Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat: "Siapa diantara kamu yang berpuasa pada hari ini?" Abu Bakar menjawab, "Saya." Lalu Rasulullah SAW bertanya lagi, "Siapa di antara kamu yang hari ini menjenguk orang sakit?" Abu Bakar menjawab, "Saya." Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah amal-amal itu bersatu dalam diri seseorang melainkan dia akan masuk syurga." (Hadis Riwayat Muslim)

4.2. Begitulah seorang mukmin yang sejati.  Begitu bersemangat menggunakan setiap kesempatan untuk memperbanyak amal soleh. Mereka berlumba-lumba untuk mendapatkan syurga. Mereka beramal menepati seperti firman Allah dalam Surah Al-Hadid[Besi](57:21) yang berbunyi:


“Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.”

4.3.  Keadaan orang mukmin sejati adalah seperti yang digambarkan Allah SWT dalam Surah Az-Zariyat [Angin Yang Kencang](51:17) yang berbunyi:


“Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam untuk mereka tidur.

(51:18)

“Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar (memohon keampunan) kepada Allah.”

(51:19)

“Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).”


4.4. Banyak beramal soleh boleh menguatkan iman kita. Jika kita berterusan dengan amal-amal soleh, Allah akan mencintai kita. Dalam sebuah hadis qudsy, Rasulullah SAW menerangkan bahawa Allah berfirman: "Hamba-Ku sentiasa bertaqarrub kepada-Ku dengan mengerjakan nafilah sehingga Aku mencintainya." (Hadis Riwayat Bukhari).

5.      Melakukan pelbagai ibadah:

5.1. Ibadah mempunyai banyak jenisnya. Ada ibadah fizikal seperti puasa, ibadah harta seperti zakat, ibadah lisan seperti doa dan zikir. Ada juga ibadah  yang menggabungkan semuanya seperti haji. Semua jenis ibadah itu sangat bermanfaat untuk menyembuhkan iman kita yang lemah.
5.2. Puasa membuat kita khyusuk dan meningkatkan rasa muraqabatullah (merasa diawasi Allah). Solat-solat sunat pula dapat menambahkan pahala bagi menyempurnakan amal-amal wajib kita yang kurang sempurna kualitinya. Berinfak pula dapat mengikis sifat bakhil dan penyakit cintakan dunia. Solat tahajjud boleh menambah kekuatan iman.

5.3. Banyak melakukan berbagai macam ibadah bukan hanya membuat baju iman kita makin baru dan cemerlang, tapi juga menyediakan bagi kita begitu banyak pintu untuk masuk syurga. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menjadi orang yang banyak mendirikan solat, maka dia dipanggil dari pintu solat. Barang siapa menjadi orang yang banyak berjihad, maka dia dipanggil dari pintu jihad. Barang siapa menjadi orang yang banyak melakukan puasa, maka dia dipanggil dari pintu ar-rayyan. Barang siapa menjadi orang yang banyak mengeluarkan sedekah, maka dia dipanggil dari pintu sedekah."(Hadis Riwayat Bukhari).


“Orang yang bakhil itu tidak akan terlepas daripada salah satu daripada 4 sifat yang membinasakan iaitu : Dia akan mati dan hartanya akan diambil oleh warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya atau; hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim atau; hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan dipergunakan untuk kejahatan pula atau; adakalanya harta itu akan dicuri dan dipergunakan untuk jalan yang membazir dan sia-sia.” ~ Mutiara kata Sayidina Abu Bakar Assyidiq

No comments:

Post a Comment