Sunday, 8 March 2015

AL-QURAN BERBICARA TENTANG IKAN

 

1.   Sesungguhnya Al-Quran itu ialah kitab agama yang paling lengkap di dunia.  Tidak ada kitab agama lain yang dapat menandinginya.  Semua perkara yang baik dan tidak baik untuk manusia dijelaskan dalam Al-Quran.  Hinggakan makanan apa yang baik juga diterangkan. Di dalam Al-Quran terdapat beberapa jenis makanan yang baik untuk manusia disebutkan.  Misalnya buah tin,  zaitun, kurma, ikan, susu, dan madu. Kajian saintifik telah membuktikkan bahawa makanan-makanan ini mempunyai khasiat yang sangat baik untuk kesihatan manusia. Sebagai seorang Islam yang beriman kepada Allah SWT, kita  perlu yakin bahawa setiap perkara yang disebut di dalam Al-Quran pasti ada kebaikannya. Keyakinan kita tidak hanya kerana ia telah dibuktikan oleh kajian-kajian saintifik. Jika tidak ada bukti saintifik pun kita wajib yakin dan percaya bahawa apa yang difirmankan oleh Allah itu pasti benar dan ada kebaikannya. Mungkin masa belum tiba lagi untuk ahli sains membuktikannya. Satu hari ia akan terdedah jua.

2.   Posting kali ini akan membicarakan tentang khasiat yang boleh diperolehi dari ikan.  Dalam Al-Quran Allah berfirman tentang ikan dalam ayat-ayat berikut:

2.1.   Dalam Surah An-Nahl[Lebah](16:14), Allah berfirman yang berbunyi:


“Dan Dialah yang menundukkan lautan (untuk mu), agar kamu dapat makan daging yang segar (ikan) darinya, dan dari lautan itu kamu mengeluarkan perhiasan yang kamu pakai. Kamu juga melihat kapal belayar padanya, dan agar kamu mencari rezeki dari limpah kurniaNya, dan agar kamu bersyukur”.

2.2. Dalam Surah Al-Maidah[Hidangan](5:96) pula Allah berfirman berbunyi:


“Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran; tetapi diharamkan atas kamu memburu binatang buruan darat selama kamu sedang berihram. Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah, yang kepadaNya kamu akan dihimpunkan.”

2.3.  Dalam Surah Al-Kahfi [Gua](18:60) Allah berfirman yang berbunyi:


"Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada muridnya (Yusya' bin Nun): “Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun lamanya”.

(18:61)


"Maka apabila mereka berdua sampai ke tempat pertemuan dua laut itu, lupalah mereka akan ikan mereka. Ikan itu telah melompat ke dalam laut dan berenang dengan bebasnya".

(18:62)


“Setelah mereka jauh berjalan, berkatalah Nabi Musa kepada muridnya: “Ambilah makanan kita. Kita telah mengalami penat dan letih dalam perjalanan kita ini”.

(18:63)


Muridnya menjawab: “Tidakkah engkau ketahui bahawa sewaktu kita mencari tempat berehat di batu besar tadi?.  Sebenarnya aku lupa menceritakan tentang ikan itu yang hidup semula dan menggelepar, lalu terjun ke laut dengan aneh sekali."
RUPA IKAN YANG DICERITAKAN DALAM FIRMAN DI ATAS - IA MENGERING DAN APABILA TERKENA AIR IA AKAN HIDUP.
3.   Makanan yang bersumberkan ikan sangat baik dan mempunyai khasiat untuk kesihatan manusia. Penyakit koronari jantung  merupakan antara masalah utama kesihatan masakini.  Berdasarkan kajian saintifik, ikan didapati sangat baik untuk pencegahan penyakit  jantung. Kajian dalam bidang sains moden kini telah menemui asid lemak Omega-3 di dalam daging (isi) ikan. Asid lemak ini menjadi keperluan asas kepada manusia. Terdapat dua jenis asid lemak di dalam minyak ikan yang penting untuk kesihatan manusia iaitu Eicosapentaenoic Acid (EPA) dan Docosahexaenoic Acid (DHA). EPA dan DHA mengandungi Omega-3. Mengikut kajian, ikan adalah merupakan sumber makanan yang paling kaya dengan EPA dan DHA.

4.   Kebaikan Asid Lemak Dari Sumber Ikan

4.1.  Sumber tenaga = Ia penting untuk menghilangkan keletihan dan meningkatkan keupayaan mental dan fizikal. Perhatikan firman Allah dalam Surah Al-Kahfi di atas.  Apabila keletihan setelah berjalan jauh, Nabi Musa meminta untuk makan ikan bagi menghilangkan keletihan. Ini bererti Nabi Musa membawa ikan sebagai bekalan sumber makanan. Ikan juga baik untuk otak. Ini kerana tisu otak terdiri dari asid lemak DHA yang mengandungi Omega-3.

4.2. Baik untuk jantung dan saluran darah = Omega-3 terbukti baik untuk jantung. Ia boleh merendahkan tekanan darah, mengurangkan kolesterol dan triglyseride. Omega-3 juga boleh mencegah pembekuan darah yang boleh menyebabkan tersumbatnya saluran darah dan seterusnya terjadi sakit jantung atau stroke. Omega-3 juga memainkan peranan penting dalam pengeluaran molekul haemoglobin yang merupakan komponen penting kepada sel darah merah.

4.3. Baik untuk tumbesaran bayi = Omega-3 merupakan komponen penting kepada mata dan otak. Oleh itu ia sangat penting kepada bayi di dalam kandungan dan bayi yang baru lahir kerana perkembangan sel-sel saraf dan otak pesat berlaku semasa tempoh ini. Justeru ibu yang mengandung dan baru melahirkan anak digalakkan banyak memakan ikan.

4.4. Baik untuk sakit sendi = Omega-3 juga boleh mencegah penyakit arthritis dan mengurangkan kesakitan sendi yang sensitif.

4.5. Baik untuk mencegah penyakit radang dan untuk menguatkan sistem pertahanan badan.

4.6.  Isi ikan dapat membantu dalam pembentukan gigi dan gusi yang sihat, manfaat untuk warna kulit, membuat rambut sihat dan memberikan sumbangan untuk memerangi jangkitan bakteria. 

5.    Banyak lagi kebaikan dari Omega-3 yang boleh di perolehi dari sumber ikan. Maha Suci Allah yang telah mencipta ikan untuk menjadi sumber makanan manusia. Yakinilah bahawa setiap apa yang disebutkan dalam Al-Quran pasti benar belaka. 


"Sesungguhnya aku telah mengatur urusan kamu, tetapi aku bukanlah orang yang paling baik di kalangan kamu.  Oleh itu berilah pertolongan kepadaku. Kalau aku bertindak betuk maka ikutilah aku tetapi kalau aku menyeleweng dan tersilap maka betulkan aku". Mutaiara Kata Saidina Abu Bakar Assiddiq

No comments:

Post a Comment