Thursday, 12 March 2015

MISTERI AIR LAUT YANG TAWAR DAN MASIN TIDAK BERCAMPUR – SAINTIS MASUK ISLAM BAHAGIAN 2


1.  Di dalam Al-Quran Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al-Furqan [Pembeza](25:53) yang berbunyi:


“Dan Dialah Tuhan yang telah mengalirkan dua laut berdampingan, yang satu tawar lagi memuaskan dahaga, dan yang satu lagi masin lagi pahit; serta Ia menjadikan antara kedua-dua laut itu sempadan dan sekatan yang menyekat percampuran keduanya.”

2. Dalam Surah An-Naml[Semut](27:61) pula Allah berfirman yang berbunyi:

“Atau siapakah yang telah menjadikan bumi tempat penetapan dan telah menjadikan sungai-sungai di antara bahagian-bahagiannya dan telah menjadikan untuknya gunung-ganang yang menetapnya dan juga telah menjadikan di antara dua laut (yang masin dan yang tawar) sekatan (semula jadi) yang memisahnya? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? (Tidak!) bahkan kebanyakan mereka (yang musyrik itu) tidak mengetahui”
 
JACQUES-YVES COSTEAU
3. Membicarakan tentang ahli pengkaji lautan (oceanographer) kita tidak boleh melupakan seorang tokoh terkenal dalam bidang ini, iaitu allahyarham Kapten Jacques-Yves Costeau yang berasal dari Peranchis. Satu ketika dahulu wajahnya kerap keluar dalam rancangan “Discovery Channel”.  Beliau lahir pada tanggal 11 Jun 1910 di Saint-André-de-Cubzac Gironde, Peranchis dan meninggal dunia pada 25 Jun 1997 di Paris ketika berusia 87 tahun. Pada 12 Julai 1937 beliau berkahwin dengan Simone Melchior dan memperolehi dua orang anak lelaki, iaitu  Jean-Michel (lahir dalam tahun 1938) and Philippe (lahir dalam tahun 1940). Setelah kematian isteri pertamanya kerana penyakit kanser, pada tahun 1991 beliau telah berkahwin pula dengan Francine Triplet. 

4. Allahyarham merupakan seorang bekas pegawai angkatan tentera laut Peranchis, pembuat filem, pemelihara alam sekitar, ahli sains, jurugambar, penulis buku dan pengkaji  yang telah mengkaji tentang laut dan pelbagai kehidupan dalam laut. Beliau turut membangunkan Aqua-Lung di Peranchis untuk pemeliharaan hidupan laut. Buku pertamanya yang sangat terkenal berjudul “The Silent World: A Story of Undersea Discovery and Adventure” yang diterbitkan dalam tahun 1953. Beliau juga telah mengarahkan filem yang diasaskan dari bukunya seperti di atas. Filem ini telah memenangi anugerah Palme d’or dalam Festival Filem Cannes pada tahun 1956.
SUNGAI DALAM LAUTAN

5. Sepanjang hidupnya beliau banyak menyelam ke pelbagai dasar laut di merata dunia dan membuat filem dokumentari tentang keindahan alam dasar laut untuk tontonan orang ramai seluruh dunia. Pada suatu hari ketika sedang melakukan eksplorasi di bawah laut, tiba-tiba beliau menemui beberapa kumpulan mata air tawar segar yang sangat sedap rasanya kerana tidak bercampur dengan air laut yang masin di sekelilingnya. Ia seolah-olah ada dinding atau pemisah yang membatasi kedua-duanya. Penemuan ganjil itu membingungkan beliau dan mendorongnya untuk mencari sebab kenapa berlakunya pemisahan air tawar dari air masin di tengah-tengah lautan.
AIR DARI DUA LAUTAN YANG TIDAK BERCAMPUR
6. Di bahagian atas permukaan laut pemisahan air yang masin dan tawar ini dapat dilihat di Selat Gibraltar, Sepanyol dimana bertemunya air dari Lautan Mediteranian yang masin dan Laut Atlantik. 

7. Satu hari beliau bertemu dengan seorang profesor Islam dan beliau pun menceritakan fenomena ganjil itu. Profesor Islam itu teringat pada ayat Al-Quran tentang bertemunya dua lautan seperti dalam Surah Ar-Rahman [Maha Pemurah] (55:19) yang berbunyi:


“Ia biarkan air dua laut (yang masin dan yang tawar) mengalir, sedang keduanya pula bertemu.”

(55:20)

“Diantara keduanya ada penyekat yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadannya.”
GAMBARAJAH PERTEMUAN AIR DARI DUA LAUTAN
8.    Kedua-dua firman Allah dalam Surah Ar-Rahman dan Surah Al-Furqan di atas telah dijelaskan oleh professor Islam itu kepada beliau.  Kapten Costeau kagum mendengar terjemahan ayat-ayat Al-Quran itu, melebihi kekagumannya melihat keajaiban pemandangan yang pernah dilihatnya di dalam lautan. Dari sinilah bermula kesedaran untuk beliau memeluk agama Islam yang maha suci. Baginya Al-Quran ini mustahil ditulis oleh Muhammad Rasulullah yang hidup di abad ke tujuh, lebih 1400 tahun lalu.  Pada masa itu belum ada peralatan selam canggih untuk mencapai lokasi yang jauh terpencil di dalam laut. Sudah tentu ia datang dari pencipta laut itu sendiri.  Tidak lain melainkan Allah SWT. Maka bershadahlah beliau dan menjadi seorang Islam. 

9. Dalam Surah Fussilat[Pembukaan](41:53) Allah berfrman yang berbunyi:


“Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?”

10.   Allah SWT telah berjanji akan memberikan hidayah kepada sesiapa yang dikehendakinya.  Allahyarham ialah salah seorang dari  saintis di abad ini yang telah  mendapat hidayah dari Allah melalui pengkajiannya tentang lautan dan isinya. AlFatihah untuk Allahyarham.


“Cukuplah bila aku merasa mulia karena Engkau sebagai Tuhan bagiku dan cukuplah bila aku bangga bahawa aku menjadi hamba bagiMu. Engkau bagiku sebagaimana yang aku cintai, maka berilah aku taufik sebagaimana yang Engkau cintai” = Mutiara kata Saidina Ali Karamallahu Wajhah.

No comments:

Post a Comment